Thursday, September 27, 2007

Kebebasan institusi kehakiman semakin rapuh

Akhbar atau media di Malaysia adalah bebas, institusi kehakiman juga bebas dan Badan Pencegah Rasuah pun bebas dan rakyat jelata juga bebas meluahkan perasaan dan pendapat tertakluk kepada batasan yang dibenarkan oleh undang-undang.


Ungkapan di atas sering menjadi buah mulut bapak-bapak menteri Malaysia apabila timbul sesuatu perkara atau masalah berkaitan perkara-perkara berkenaan. Semuanya bebas ala-Malaysia. Kita terima dan akui bahawa tidak ada satu negarapun yang memberi kebebasan mutlak kepada rakyatnya tetapi kebebasan yang rakyat Malaysia nikmati adalah terkawal dan dikawal oleh undang-undang dan peraturan yang sering kali dilaksanakan mengikut tafsiran pihak-pihak berkenaan terutama polis.


Sebagai seorang yang berpengalaman hampir 27 tahun dalam dunia kewartawanan dan hampir lima tahun di Jabatan Perdana Menteri, saya mengakui bahawa media Malaysia, terutama yang disebut sebagai arus perdana, sering menerima arahan daripada pihak-pihak berkuasa tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilaporkan. Para editor sering kali dijemput ke kementerian atau jabatan dan agensi tertentu untuk diberi taklimat tentang pantang larang tersebut. Saya sendiri pernah menghadirinya.


Terkini persoalan kebebasan media terserlah lagi apabila pihak Kementerian Keselamatan Dalam Negeri mengarahkan para editor supaya jangan menyiarkan di muka depan atau halaman-halaman utama perarakan aman anjuran Majlis Peguam yang menuntut "pemulihan" ke atas institusi kehakiman negara, ekoran daripada beberapa perkembangan yang mempersoalkan kewibawaan institusi tersebut kelmarin. Semua akhbar arus perdana akur dengan arahan itu apabila melaporkan peristiwa tersebut di muka empat seperti yang diarahkan. Inilah kebebasan media yang dilaung-laungkan oleh bapak-bapak menteri kita dan para editor pula, demi menjaga kedudukan masing-masing, jadi Pak Turut, seperti yang pernah saya alami.


Tumpuan tulisan saya ialah kepada kebebasan institusi kehakiman yang dilihat sebagai semakin rapuh dan reput.


Semuanya bermula ekoran daripada pengharaman UMNO oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 1987. Penghakiman yang dibuat oleh Hakim Harun Mahmud Hashim itu bukan sahaja memeranjatkan kedua-dua pihak yang bertelagah tetapi majoriti rakyat.

Peristiwa bersejarah itu berlaku selepas perebutan kuasa dalam UMNO antara kumpulan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan kumpulan yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Kumpulan Tun Mahathir diberi nama joloklan "Team A" manakala kumpulan Ku Li "Team B".

Antara orang kuat Ku Li dalam Team B adalah Tun Musa Hitam, Abdullah Ahmad (Badawi), Dr Rais Yatim, Syed Hamid Albar, Abdul Kader Sheikh Fadzir, Zainal Abidin Zin, Tengku Azlan Sultan Abu Bakar, Radzi Sheikh Ahmad, Marina Yusof dan Rahmah Othman.

Dalam pemilihan UMNO pada tahun itu, presiden yang mempertahankan jawatannya, Tun Mahathir, nyaris-nyaris ditumbangkan oleh Ku Li, yang tidak puas hati dengan kekalahannya sebanyak 43 undi. Ku Li, melalui 11 orang bentaranya mengheret UMNO ke Mahkamah untuk mendapatkan penawar undang-undang. Ini kerana mereka mendakwa pemilihan itu telah tercemar berikutan sebanyak 33 buah cawangan yang tidak berdaftar di negeri-negeri tertentu telah menghantar perwakilan ke mesyuarat peringkat bahagian yang mengakibatkan pemilihan seterusnya di peringkat kebangsaan tidak sah.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan UMNO sebagai sebuah pertubuhan haram (tidak sah) menurut seksyen 12 Akta Pertubuhan 1966. Team A kemudian berjaya mendaftarkan UMNO Baru walaupun dibantah di mahkamah oleh Team B yang berpendapat nama "UMNO" tidak seharusnya digunakan lagi.

Tun Mahathir tidak mahu perkara yang sama berulang dan beliau mengemukakan pindaan ke atas Akta Pertubuhan dengan memasukkan perkara baru, iaitu selepas 1988 mana-mana urusan atau hal ehwal dalaman sesebuah pertubuhan tidak boleh dipersoalkan dalam mahkamah. Ini bermakna segala kepincangan atau perlanggaran perlembagaan parti tidak boleh dibawa ke mahkamah tetapi "dibicarakan" oleh jawatankuasa disiplin atau sebuah jawatankuasa khas yang dilantik oleh Majlis Tertinggi parti. Dengan itu, UMNO akan selamat daripada diharamkan buat kali kedua dan kali berikutnya.

Episod pengharaman UMNO merupakan detik bermulanya 'perang dingin' antara pentadbiran iaitu kerajaan, dengan institusi kehakiman, iaitu para hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara. Ia berikutan pemilihan panel sembilan orang Hakim Mahkamah Agung (ketika itu) untuk mendengar rayuan Kumpulan 11 (Team B) yang tidak puas hati dengan penghakiman Mahkamah Tinggi. Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Salleh Abas mula menjadi sasaran kecaman, terutama oleh Team A. "Bencana" yang menimpa institusi kehakiman selepas itu, menyaksikan pemecatan Ketua Hakim Negara dan dua orang hakim kanan, menjadi satu sejarah hitam untuk negara.

Institusi Kehakiman 'kehilangan taring' dan tidak lagi 'bebas' mengikut amalan pengagihan kuasa dalam sistem demokrasi. Perlantikan hakim secara jelas memperlihatkan 'keputusan politik' atas nama Yang di-Pertuan Agong seperti yang dikehendaki Perlembagaan, iaitu SPB Agong membuat perlantikan atas nasihat perdana menteri setelah berunding dengan ketua hakim negara.

Malaysia mengamalkan sistem demokrasi ala Westminster dan Perlembagaan Persekutuan menentukan garis kasar peranan dan kuasa-kuasa yang ada pada tiga unsur atau komponen terlibat, iaitu kuasa dan tanggungjawab pihak legislatif (Parlimen dan Dewan Undangan Negeri), pihak eksekutif (Kerajaan) dan pihak kehakiman (Mahkamah). Secara mudah, ini bermakna pihak eksekutif menjalankan semua undang-undang yang diluluskan oleh pihak legislatif manakala pihak kehakiman menentukan perjalanan undang-undang dengan saksama. Pihak eksekutif tidak seharusnya dilihat sebagai mengawal atau 'menguasai' pihak kehakiman mahupun pihak legislatif. Apa-apa keputusan (penghakiman) yang dibuat oleh pihak kehakiman mesti dipatuhi dan dihormati.

Selepas episod pemecatan Tun Salleh Abas, seorang hakim dan pengamal undang-undang yang cekap, bersih dan amanah serta warak dari segi amalan agama Islam, kewibawaan institusi kehakiman mula menurun dan dilihat sebagai 'tidak sebebas' dalam erti kata sebenar kebebasan kehakiman.


Semasa di JPM, saya sedar tentang kehadiran hakim-hakim tertentu menemui bapak menteri ataupun pemimpin tertinggi. Ada kalanya pertemuan diadakan di kamar hakim. Saya tidak berani menyatakan apakah tujuannya kerana saya sendiri tidak tahu. Mungkin tujuannya baik dan mungkin juga ada 'udang di sebalik batu'...


Belumpun reda isu pemecatan Tun Salleh dan dua hakim kanan yang mendapat bantahan dan kritikan dari dalam dan luar negeri, timbul pula kisah Ketua Hakim Negara Tun Eusoff Chin bercuti di New Zealand bersama-sama seorang peguam, yang dikatakan berpengaruh, bernama V.K. Lingam. Sebelum itu, isu surat layang berkaitan salah laku dan tingkah laku tidak sewajarnya oleh hakim-hakim tertentu termasuk Eusoff Chin menjadi berita panas.


Episod Tun Eusoff Chin agak menarik kerana ia membabitkan V.K. Lingam, yang kini menjadi perbualan di kalangan pengamal undang-undang dan rakyat berikutan terdedahnya rakaman video percakapannya dengan, menurut pemahaman ramai, penyandang jawatan Ketua Hakim Negara sekarang, Tun Ahmad Fairuz, berkaitan isu dalaman institusi kehakiman termasuk pelantikan hakim.


Pada tahun 1994, Tun Eusoff dan keluarganya bercuti ke New Zealand dan rakaman foto yang tersebar luas dalam Internet, menunjukkan Tun Eusoff ditemani oleh Lingam. Ia menimbulkan banyak tanda tanya dan menjadi satu isu panas.


Keadaan menjadi lebih panas apabila Menteri di JPM ketika itu, Dr Rais Yatim dalam satu temubual oleh sebuah stesen radio di Australia, berkata ia tidak sejajar dan seharusnya berlaku kerana ia membabitkan seorang personaliti kehakiman. Tun Eusoff, yang agak marah dengan beberpa teguran oleh Dr Rais, mengadakan sidang media di Kuala Lumpur dan menunjukkan resit serta bil-bil berkaitan lawatan riadahnya ke New Zealand. Tun Eusoff berkata dia terserempak dengan Lingam di sana. Tun Eusoff juga mengingatkan Dr Rais bahawa tugasnya terhadap insitutsi kehakiman tidak lebih daripada yang berkaitan peralatan dan logistik mahkamah. Perang mulut antara Tun Eusoff dan Dr Rais merupakan sesuatu yang amat jarang bahkan belumpun berlaku tetapi ia memperlihatkan sejauh mana kebebasan institusi kehakiman dan campur tangan pihak eksekutif.


Semua episod yang membabitkan institusi kehakiman bermula daripada pengharaman UMNO, pemecatan ketua hakim negara, perbicaraan kes mantan timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, isu perlantikan hakim mahkamah tinggi, mahkamah rayuan dan mahkamah persekutuan serta beberapa penghakiman membuatkan Majlis Peguam dan orang ramai tertanya-tanya mengenai kebebasan kehakiman.


Pada 26 September, hampir 2,000 orang, kebanyakannya para peguam telah mengakan perarakan aman dari Istana Keadilan (Palace of Justice) ke Jabatan Perdana Menteri berkaitan isu yang membabitkan institusi kehakiman. Turut sama untuk memberi sokongan kepada Majlis Peguam ialah para penulis blog, parti-parti politik bukan memerintah, badan-badan bukan kerajaaan dan orang ramai yang sensitif terhadap masalah berbangkit. Mereka menggunakan hak dan kebebasan seperti yang dibenarkan oleh Perlembagaan. Malangnya, pihak polis melihat kebebasan itu dari sudut tertentu.


Kehadiran begitu ramai anggota polis termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU), Unit Tindakan Cepat, mata-mata gelap dari CID, anggota Cawangan Khas dan sebuah helikopter polis seolah-olah memberi gambaran kepada dunia bahawa keadaan akan menjadi runcing dan huru hara mungkin berlaku seperti di Pakistan apabila para pengamal undang-undang membantah pemecatan ketua hakim negara itu dan di Rangoon atau Yangon, Myanmar (Burma) yang diketuai oleh para sami Buddha.


Pihak polis tidak sedar bahawa perarakan aman yang diketuai oleh pengamal undang-undang yang berpakaian kemas itu mendapat liputan oleh media asing termasuk yang bertaraf gergasi seperti CNN, BBC, Al-Jazeera, Reuters dan AFP. Apakah gambaran yang cuba diberikan oleh pihak polis? Para pengamal undang-undang Malaysia militan? Pengganas? Perusuh?


Tindakan polis menyekat beberapa buah bas yang membawa kira-kira 200 orang peguam untuk ke Istana Keadilan boleh dipersoalkan walaupun polis ada"kuasa" untuk berbuat demikian atas alasan "keselamatan". Sekali lagi saya ingin tahu, apakah pihak polis melihat para peguam Malaysia sebagai golongan militan yang mengancam keselamatan Putrajaya amnya dan Jabatan Perdana Menteri khasnya? Bagi saya, tindakan yang sudah tentu mendapat arahan Ketua Daerah Polis (OCPD) Putrajaya yang sudah tentu menerima arahan pihak atasannya, adalah kurang bijak dan tidak seharusnya dilakukan.


Kepada para peguam berkenaan, syabas dan tahniah kerana tidak patah semangat dan sanggup berjalan hampir lima km untuk ke Istana Keadilan. Sekiranya mereka golongan militan seperti yang cuba di bayangkan oleh pihak polis, sudah tentu mereka tidak akan berbuat demikian tetapi akan bertindak balas menjangkaui keluhuran undang-undang. Mereka membuktikan kepada polis bahawa mereka patuh kepada undang-undang dan patuh kepada arahan polis.


Tahniah Majlis Peguam, dan ucapan syabas kepada para peguam/pengamal undang-undang yang cukup berdisiplin walaupun menghadapi rintangan dan terpaksa bermandi hujan semata-mata untuk membetulkan sesuatu yang tidak kena dengan institusi kehakiman.


Kereputan dan kerapuhan institusi kehakiman perlu segera diubati sebelum ianya mati.

Oh ya, mengenai komen menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamad Nazri Abdul Aziz yang bidang tugas utamanya menjaga urusan Parlimen, .... mudah saja. Usah dilayan. Biarkan dia .....

4 comments:

Anonymous said...

bro syed,
saya rasa bro perlu ceritakan sedikit sebanyak latar belakang lawyer vk lingam yang famous untuk makluman semua orang. ramai yang nak tahu siapa dia ni???

selamat berpuasa dan salam ramadan.

Unknown said...

Bro John Bronze adik John Silver,

Satu Malaya dah tau sapa dia V.K.Lingam, loyar hebat yang tak dak tolok bandingnya seantero nusa. Tak kan nak habaq lagi? Hang posa ka? La ni masa paling baik nak buang tebiat merokok. Hang boleh sep duit. Bagi tau kat Din White jugak.
Selamat berposa dan selamat menyambut hari raya posa.

Unknown said...

Mamak ZAM buat lawak lagi,

Menteri Penerangan Mamak Zainuddin Maidin (ZAM) buat lawak lagi. Kali ini dia buat komen samdul mengenai perarakan aman anjuran Majlis Peguam di Putrajaya kelmarin.

Mamak ZAM kata anggota Majlis Peguam tak profesional dan perlu membersihkan majlis itu daripada unsur pengaruh politik supaya ia menjadi sebuah pertubuhan yang profesional.

Mamak oh Mamak, hang tak tau ka orang politik yang ikut Majlis Peguam dan bukan sebaliknya.

Hang dak lupa ka jaminan keramat yang terkandung dalam Perlembagaan
tentang kebebasan asasi?

Kalau ada masa, cuba Mamak buka Perlembagaan dan baca dengan teliti dan fahamilah isi kandungan Perkara 10 - Kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan.

Jangan dok asyik buat komen dan buat lawak kurang cerdik.

Sikit-sikit pembangkang, sikit-sikit pembangkang. Tak dak modal lain ka?

Mamak ZAM dah lupa pendirian dan prinsip yang dipegang semasa jadi wartawan Utusan Melayu dulu? Mamak dah lupa isi kandungan buku Di Sebalik Tabir?

Kalau dak tak dak modal, jangan cakap!

Unknown said...

To Azlan Dzaiddin,

Yeah, it's not worth a sen to comment on what Nazri Aziz said.