Wednesday, January 03, 2007

Murid tahfiz mati syahid

Beberapa hari sebelum dunia memasuki tahun baru masihi, lima orang murid sebuah tahfiz dari Kedah mati syahid dalam satu kecelakaan di Lebuh Raya Utara Selatan dekat Sungkai, Perak. Kelima-lima mereka masih kanak-kanak kerana berusia bawah 12 tahun.

Saya amat sedih kerana sempat menemui mereka pada 26 Disember lalu di persinggahan Rehat dan Rawat Tapah menuju Kuala Lumpur. Mereka adalah dalam perjalanan dari Alor Setar ke Kuala Lumpur untuk mengutip derma untuk Pusat Tahfiz Amal, Simpang Empat, Kuala Kedah. Saya bersama isteri dan kakak ipar dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke ibu negara.

Semasa berhenti pada waktu untuk solat Zohor di Tapah, saya lihat mereka ke hulu dan ke hilir meminta sumbangan daripada orang Islam untuk tahfiz berkenaan. Mereka tidak pun meminta derma atau sumbangan daripada yang bukan beragama Islam.

Salah seorang daripada mereka menghampiri saya dan menyatakan tujuan mereka. Saya menderma RM10 dan sebagai balasan, saya diberi sebotol kecil Gel Herba Sakti keluaran Al Mansur Marketing Sdn Bhd, Sungai Petani, Kedah. Saya mendapat tahu kemudian bahawa tahfiz berkenaan ada hubung-kait dengan Al Mansur. Selain gel, penderma juga diberi takwim Hijrah(kalendar) dan barangan lain keluaran Al Mansur mengikut jumlah derma yang diberikan.

Dua hari kemudian, mereka terkorban semasa dalam perjalanan pulang ke Kedah. Saya terperanjat apabila melihat foto wajah murid yang saya temui tersiar dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris.

Persoalan yang ingin saya bangkitkan ialah pihak pentadbir pusat tahfiz berkenaan telah menyalahguna dan mengeksploitasi kanak-kanak itu untuk mengutip derma. Laporan media ada menyebut bahawa ibu bapa atau penjaga murid berkenaan tidak tahu-menahu yang mereka dibawa dengan sebuah van ke Kuala Lumpur untuk mengutip derma.

Kanak-kanak adalah dilindungi undang-undang daripada semua bahaya termasuk apa jua jenis penyalahgunaan, penyeksaan, penderaan, diskriminasi dan eksploitasi.

Selain itu, di bawah Konvensyen Hak Kanak-Kanak, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), terutama Fasal 19 dengan terang dan tegas mewajibkan semua negara yang menandatangani konvensyen itu memberi perlindungan ke atas kanak-kanak dari semua bentuk kekerasan fizikal dan mental, penyalahgunaan, perlakuan salah dan eksploitasi.

Kelima-lima murid pusat tahfiz itu telah disalahguna untuk menagih derma dan perbuatan itu jelas melanggari Akta Perlindungan Kanak-Kanak dan Konvensyen Hak Kanak-Kanak PBB.

Tindakan tegas mesti diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab. Kita tidak mahu mendengar lagi murid-murid sekolah yang tidak berdosa menjadi korban kerana "dipaksa" menjual barangan tertentu sambil menagih derma untuk apa tujuan sekalipun.

Murid-murid sekolah, sama ada sekolah kerajaan, sekolah swasta atau sekolah agama rakyat, tidak seharusnya disuruh mengumpul dana untuk sekolah dalam apa cara sekalipun termasuk jogathon, walkathon, Persatuan Ibu Bapa dan Guru atau untuk aktiviti sekolah. Murid-murid ke sekolah untuk menimba ilmu bukan untuk menagih derma atau mengutip sumbangan daripada orang ramai.

Kelima-lima murid Pusat Tahfiz Amal, Simpang Empat, Kuala Kedah telah syahid dan Insya Allah, roh mereka akan ditempatkan di Jannah.

No comments: