Sunday, January 28, 2007

Batu Talam: Kemenangan tak sehebat kempen

Kemenangan calon parti campuran Barisan Nasional pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Batu Talam hari ini, Ahad 28 Januari, 2007 sememangnya diduga oleh semua pihak, termasuk calon bebas yang berusia 22 tahun Ng Chee Kuan.

Calon BN Abdul Aziz Kassim, 47, memperolehi 6276 undi manakala Ng mendapat sokongan 419 undi. Sebanyak 385 undi dikira rosak oleh Suruhanjaya Pilihanraya. Ini mungkin undi protes.

Kemenangan yang membabitkan pertandingan antara gergasi dengan si kerdil tidak boleh dijadikan ukuran atau contoh untuk apa tujuan sekalipun. Ia terlalu berat sebelah dan boleh dikatakan sebagai bukan satu pertandingan.

Jentera penggempur BN yang dikepalai oleh Timbalan Panglima Perang Najib Tun Razak dan disokong oleh panglima-panglima divisyen dan batalion terdiri daripada para menteri besar dan ketua menteri, pak-pak menteri dan timbalan menteri, ibu-ibu menteri dan timbalan menteri, anggota-anggota pangkat rendah terdiri daripada barisan pemuda, wanita dan puteri serta askar-askar berjalan kaki telah bersilih-ganti "berperang" di Batu Talam walaupun kelibat musuh tidak kelihatan. Turut sama pegawai-pegawai simpanan berpangkat rendah terdiri daripada barisan Exco dari negeri-negeri.

Selain itu, ketumbukan sokongan logistik mengandungi askar-askar upahan dari Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan, Jabatan Kemas, Pemaju-Pemaju Masyarakat dari Felda dan Felcra dan pakar-pakar perang saraf dari RTM dan Media Prima dikerah membantu.

Kekuatan yang diperlihatkan oleh jentera BN memang gagah, besar dan hebat. Pihak lawan tidak memiliki walau satu platun askar untuk menentang musuh. Kekalahan jelas terbayang pada hari pertama peperangan bermula.

Berbaloikah kemenangan ini? Perbelanjaan beratus juta ringgit yang dikeluarkan dan bakal dilunaskan kemudian sebenarnya tidak berbaloi dan lebih merupakan satu pembaziran semata-mata untuk memenangi konflik kecil ini.

Jumlah perbelanjaan turut meliputi elaun-elaun yang perlu dibayar kepada beratus-ratus kakitangan awam, sama ada yang tetap, sementara atau kontrak yang ditugaskan dalam ketumbukan sokongan logistik dan perang saraf. Mereka perlu dibayar elaun perjalanan (pengangkutan), elaun lojing dan elaun makan selama bertugas di Batu Talam.

Askar-askar upahan dan askar berjalan kaki dari semua negeri yang mewakili sektor siasah juga perlu ditanggung makan-minum mereka, tempat tidur dan wang untuk mengisi petrol dan sebagainya. Seperti biasanya, siapa yang nak kerja tanpa mendapat faedah tertentu atau semua perbelanjaan ditanggung beres? Inilah budaya siasah di Malaysia.

Panglima-panglima divisyen dan batalion yang ke Batu Talam atas "urusan rasmi" seperti merasmikan tadika, sekolah, ladang, atau kedai yang dah lama siap dan dihuni atau meninjau kawasan banjir, juga akan membuat tuntutan yang diperuntukkan kepada mereka. Percayalah, jumlahnya bukan kecil.

Jadi, hebatkah kemenangan BN di Batu Talam? Berbaloikah perbelanjaan besar yang dikeluarkan?

2 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum Warahmatullah,

Tuan,

Saya sangat menggemari hasil-hasil tulisan Tuan di dalam blog ini. Sekurang-kurangnya saya mendapat pandangan berbeza daripada masyarakat Malaysia berkaitan hal ehwal semasa yang berlaku di dalam negara. Maaf, kedudukan saya yang kini jauh dari tanah air membuatkan saya sentiasa dahagakan berita semasa yang benar daripada Malaysia.

Semoga tuan terus menulis di dalam blog tuan ini. Saya akan setia dengan tulisan-tulisan tuan.

Sekian.

Salam ziarah dari Nashville, TN.

Unknown said...

Walaikumsalam Warahmatullah,

Terima kasih atas penghargaan tuan. Sesungguhnya ia memberi semangat dan kekuatan kepada saya untuk terus menulis apabila mengetahui ianya dihargai. Saya dan rakan-rakan lain yang menulis secara tidak bersembunyi, iaitu tidak menggunakan nama samaran, cuba memberi satu pilihan lain kepada pelayar-pelayar dunia siber memperolehi maklumat. itu saja.
Sekali lagi, terima kasih dan salam sejahtera. Semoga tuan sentiasa berada dalam kandungan sihat dan dilindungi Allah.