Semasa di Pulau Pinang, saya berkesempatan menghadiri majlis rumah terbuka Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) sempena menyambut Ma'al Hijrah. Kehadiran saya dan isteri adalah atas jemputan Presiden PEMENANG yang juga sahabat lama kami, Datuk Seri Mohamad Yusuf Latif.
Majlis itu diadakan di Rumah PEMENANG di Jalan Pemenang yang terletak antara Jalan Kelawai dan Persiaran Gurney.
Tahun ini, PEMENANG akan genap berusia 80 tahun dan satu majlis besar-besaran akan diadakan untuk merayakan ulang tahun tersebut. Saya dimaklumkan oleh Datuk Seri Yusuf bahawa majlis itu akan disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Dr Rais Yatim.
Setahu saya, PEMENANG adalah sebuah persatuan Melayu yang berdaftar yang tertua di Malaysia. Ada persatuan lain yang mungkin lebih tua tetapi tidak berdaftar.
Pada majlis sambutan Ma'al Hijrah yang merupakan satu acara tahunan PEMENANG, beberapa orang termasuk dua orang sahabat saya dipilih menerima pingat dan sijil selaku Tokoh Ma'al Hijrah PEMENANG.
Saya dapati semua penerima, kecuali seorang, berumur antara 50 tahun dan 84 tahun. Seorang penerima berumur 40 tahun dan pada pendapat saya, pemilihannya agak kurang tepat. Orang yang saya maksudkan ialah seorang Prof-Madya dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang dipilih sebagai tokoh penulisan dan budaya. Sebagai seorang yang lama berkecimpung dalam bidang penulisan, saya tidak nampak sumbangan besar "tokoh" ini untuk membolehkannya diberi anugerah itu oleh PEMENANG. Saya tidak tahu kriteria yang digunakan oleh PEMENANG.
Di majlis itu juga saya berpeluang menemui rakan-rakan lama termasuk rakan sekolah Abdul Shukor Salleh, mantan naib ketua kepada Soh Chin Aun dalam pasukan bolasepak kebangsaan, Datuk Azmi Merican, timbalan presiden PEMENANG, Datuk Rafique, Sdr Sheikh Mohamad, Sdr Abdullah Sultan, Cik Gu Azmi, Cik Gu Mohamad Ali dan beberapa kenalan yang lain.
PEMENANG juga sedang merancang untuk mengadakan satu perhimpunan perpaduan Melayu tanpa mengira fahaman politik di Stadium Bandar Raya, Jalan Datuk Keramat pada satu tarikh yang akan ditetapkan. Perhimpunan itu bertujuan untuk merayakan ulang tahun ke-80 PEMENANG dan ulang tahun ke-50 Malaysia. Datuk Seri Yusuf berkata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad (Badawi) akan dijemput untuk merasmi dan memberi ucapan.
Jika tiada aral melintang dan dengan izin Allah, saya akan turut sama dalam perhimpunan itu.
No comments:
Post a Comment