Kita masih ingat teguran sinis mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai taraf kebersihan Pulau Pinang yang disebut sebagai Mutiara Timur tidak berapa lama dahulu. Tun merujuk kepada Pulau Pinang sebagai "Darul Sampah" atau negeri sampah sarap.
Selepas teguran itu dibuat, maka bertindaklah pihak-pihak yang diamanahkan seperti Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk membersihkan segenap sudut pulau daripada sampah sarap. Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Khoon pun turut melenting.
Mungkin setahun dua selepas itu keadaan agak bersih. Ya mungkin. Itu sangkaan saya sebab saya tinggal di Ampang.
Tetapi, sejak pulang untuk berehat dan mententeramkan fikiran di kampung halaman di Kelawai, saya dapati Pulau Pinang masih kotor. Pulau Pinang masih Darul Sampah. Inilah satu kenyataan yang amat pedih untuk saya luahkan. Apa boleh buat, memang kotor.
Semasa berjalan pagi di sepanjang Persiaran Gurney (Padang Kota Baharu), saya dapat lihat betapa buruknya sikap manusia yang sesuka hati membuang sampah seperti puntung rokok, kotak rokok, bungkusan-bungkusan makanan, bekas kotak dan tin minuman dan sebagainya merata tempat. Apa yang lebih menyedihkan kebanyakan sampah itu dibuang atau dicampak tidak jauh dari tong sampah yang disediakan. Jika dialih pandangan ke arah laut, kita dapat lihat sampah sarap bertaburan atau terapung-apung dilambung ombak. Jika air surut, sampah sarap yang dibuang itu kelihatan lebih jijik bercampur selut.
Seorang pekerja MPPP yang ditugaskan mengutip sampah sarap itu memberitahu saya bahawa beginilah keadaan setiap hari. Katanya dalam loghat Utara: "Depa tak tau guna tong sampah. Apa punya manusia kamipun tak tau." Benar kata-katanya itu, manusia yang bertamadun dan mempunyai sikap sayangkan negeri dan negara, tak akan bersikap sedemikian. Mereka mungkin lupa akan kata-kata "negara bersih, rakyat sihat".
Keadaan yang sama dapat dilihat di Padang Kota Lama atau Esplanade. Semasa air pasang, kita dapat lihat berpuluh malah beratus-ratus sampah dan sisa buangan terapung-apung dalam laut.
Semasa saya ke situ awal hari ini, Ahad 21 Januari, terdapat dua buah kapal persiar yang membawa pelancong dari Eropah sedang berlabuh. Ramai pelancong turun ke darat dan menaiki beca roda tiga atau lancia untuk bersiar-siar di sekitar bandar raya Gerogetown. Mereka sudah tentu dapat melihat "kebersihan" yang disajikan di laut dan tidak kurang pula yang berada di darat.
Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan mestilah lebih tegas dan serius untuk membersihkan Pulau Pinang. Sungai Pinang masih kekal dengan baunya yang busuk dan airnya yang berwarna hitam pekat, Padang Kota Baru dan Padang Kota Lama masih belum bersih, pantai peranginan di Batu Feringgi dan Teluk Bahang pun tak seperti dahulu dan kadang kala kejernihan air laut kelihatan tercemar. Kehijauan bukit yang mengindahkan lagi pantai, mula ternoda apabila pihak berkuasa negeri meluluskan projek-projek pembangunan di lereng dan di atas bukit. Apakah tiada tempat lain untuk mendirikan rumah atau kediaman mewah?
Pulau Pinang nampaknya akan terus kekal sebagai Darul Sampah. Sedih... tetapi inilah hakikatnya jika manusia sendiri tidak mementingkan kebersihan.
Ia akan terus begini jika manusia masih pentingkan diri sendiri, masih bersikap tamak dan masih menganggu gugat keindahan dan kesempurnaan alam semula jadi seperti yang dianugerahkan kepada kita oleh Tuhan.... bencana yang menimpa adalah atas perbuatan manusia sendiri.
1 comment:
Masalahnya sikap orang Penang yang 'sampah". Orang penang khasnya masyarakat cina bermegah akan kelemahan orang Melayu dan orang yang tinggal di luar Penang sebagai tidak bertamadun. Hakikatnya orang Penang yang bersikap tidak bertamadun. Sebenarnya agar bodoh bagi pelancung melawat Penang dengan "heritage" yang memang tak ada (nak ditarik balik oleh Unesco) dan kekotoran yang meleluasa.
Post a Comment