Saya turut bersimpati dengan dua orang rakan perawi maya, iaitu Ahiruddin Atan dan Jeff Ooi yang menerima notis saman daripada gergasi media tempatan NST. Semuanya kerana mereka mengamalkan hak dan kebebasan untuk menyuarakan pendapat dan meluahkan pandangan.
Episod ini mengimbaskan kepada saya erti "kebebasan" seperti yang diamalkan oleh pemerintah di Singapura. Saman adalah satu senjata yang diguna dengan berkesan oleh barisan pemimpin Singapura untuk "memufliskan" pihak yang menentang mereka sekaligus menamatkan kerjaya musuh poliitk.
Saya percaya Rocky dan Jeff tidak akan dimufliskan tetapi episod ini mencabar erti kebebasan bersuara, kebebasan untuk menyebar dan mensarwajagatkan maklumat melalui alam siber, alam maya seperti yang terkandung dalam piagam dan hak asasi manusia.
Saya tidak berani memberi ulasan berlebih-lebihan .... tidak mahu dituduh menghina mahkamah. Apa yang berani saya tegaskan hanyalah sokongan kepada Rocky dan Jeff.
3 comments:
Pak Tuan,
Mungkinkah masih ingat akan amaran awal yang saya berikan bahawa "depa dok perati orang2 tertentu dan akan bertindak...". La ni dah jadi, kan? Akan ada laagi kesan rentetan daripada tindakan ini, termasuklah menamatkan kontrak ketua pengarang yang mengendalikan majalah sebuah glc. Ketua pengarang ini yang baru memulakan blognya pun dilabelkan sebagai "penentang" akan tindakan pasti menyusul.
Pangalaman saya tidaklah macam Pak Tuan "orang lama" kewartawanan akan tetapi yang dok ada sikit2 ni dah cukup untuk habaq kat saya bahawa kadang-kadang kita mungkin keliru antara kebebasan, kebebasan terhad dan keistimewaan dalam kewartawanan. Tindakan ke atas dua rakan yang nama mereka disebutkan dalam original posting itu menunjukkan kadang-kadang kita kena lah berhati-hati dengan apa yang kita tulih, samada ianya bersifat profesional, emosional ataupun rasional. Kita hanyalah manusia dan seringkali kita mudah terkabur dek faktor-faktor lain yang mungkin ada, contohnya emosi negatif yang agak menebal terhadap seseorang ataupun sesebuah pertubuhan. Maka kita pun menulih la ikut hati sehinggakan kita kadangkala gagal untuk melihat kepada sempadan ketertiban, contohnya antara kritik dan bukan kritik. Akibatnya kita tertulis ulasan-ulasan yang kita sifatkan kritikal akan tetapi dilihat sebagai fitnah oleh pihak lain. Agaklah sukar untuk membezakan antara kedua-duanya. Saya pernah menulis dan pernah disiarkan oleh akhbar arus perdana mengenai ulasan-ulasan yang pedas mengenai politik dan Bolasepak Malaysia, dua perkara yang cukup dekat dengan hati saya. Dalam menghayati perasaan ketika menulisnya, saya sebenarnya amatlah berhati-hati dengan tulisan saya jangan sampai disifatkan sebagai fitnah, akan tetapi sebagai kritikal yang membina. Saya pernah mengkritik seorang menteri dan seorang menteri besar dalam tulisan politik saya akan tetapi disebabkan tiada unsur-unsur fitnah di dalam tulisan itu, pendapat saya diterima sebagai kritikal. Sekiranya bersifat fitnah, maka tindakan pastilah menyusul. Begitu jugalah dengan Bolasepak Malaysia. Rasanya sayalah yang paling kerap menulis dan mengkritik kepimpinan FAM dalam mengendalikan sukan kegemaran dunia itu sehinggakan perkataan-perkataan seperti "depa tak tau apa nak buat dan macam mana nak dibuat". Mengenai pendapat2 di blog, saya amat tertarik dengan gaya penulisan Pak Tuan dan Pak Kadiaq Jasin yang begitu bijak menulis sehinggakan tiada ruang untuk diterima sebagai fitnah dan pastinya tiadalah tindakan undang-undang yang menyusul. Ini mungkin dibezakan oleh pengalaman yang panjang dalam bidang kewartawanan.
Janganlah salah sangka bahawa saya tidak bersama-sama dengan para pemblog, ketahuilah bahawa saya amat percaya akan keistimewaan (kerana tidak ada kebebasan mutlak seperti yang disangka walaupun di Amerika, antara demokrasi yang paling tua di dunia) kita semua untuk memberi pendapat walaupun kadangkala ianya kritikal. Namun setiap tindakan kita ada sempadan dan hadnya. Apabila kita meminta orang orang menghormati keistimewaan kita untuk memberi pendapat, dalam masa yang sama juga kita hendaklah menghormati keistimewaan orang lain. Seperti kata seorang guru politik saya Sanusi Junid "aku tak suka apa yang hang cakap, tapi aku akan pertahankan (keistimewaan) hang bercakap". Beliau jugalah yang memetik kata-kata Victor Hugo yang berbunyi "tidak ada bala tentara di dunia ini yang mampu menghalang kemaraan sesuatu idea (atau pendapat) apabila masanya sudah tiba". Dan Pak Sanusi juga yang berkata "mengikut Sun Tzu, seorang panglima yang arif (maknanya cukup masak dengan pengalaman) akan tahu bila masanya untuk mara dan menyerang dan bila masanya untuk mengambil setapak ke belakang".
Justeru, saya amat berharap akan terus bersikap dan bersifat yang sama seperti yang Pak Tuan pamirkan di sini dalam memberikan pendapat. Akan, tetapi rasa2nya tak perlu diingatkanlah lantaran Pak Tuan lebih lama dalam alam kewartawanan ini berbanding dengan saya yang kanyiaq ni...Saya sentiasa ingin membaca pendapat2 Pak Tuan di sini dan akan kehilanganlah satu santapan rohani pada setiap pagi sekiranya Pak Tuan tidak menulis lagi, yang saya harapkan tidak akan berlaku biar apa sekalipun.
Zaki Tok Tam, Anakbukit, Alor Setar, Kedah.
Kita seharusnya sedar tentang hakikat bahawa kebebasan mutlak tidak wujud. Kebebasan yang dimaksudkan ada had dan ada sempadannya. Ada yang menyebutnya sebagai kebebasan terbatas dan ada pula yang kata kebebasan terkawal.
Jika kita tahu dan boleh agak di mana batasannya dan setakat mana kawalannya, maka besar kemungkinan, kita boleh selamat. Tetapi kita mungkin tersalah kira dan terlanjur menyeberangi batas sempadan dan terpaksa menerima padahnya.
Kebebasan yang dimaksudkan dalam piagam hak asasi manusia juga ada had dan sempadannya.
Sebagai seorang rakan penulis alam maya, saya turut bersimpati dengan kedua-dua mereka yang menghadapi tindakan saman. Kita kurang pasti sama ada tindakan yang diambil ke atas mereka itu patut atau sebaliknya. Lain padang, lainlah belalangnya. Mungkin apa yang mereka tulis dianggap adil oleh sesetengah orang tetapi bagi yang lain, ceritanya tidak sama.
Saya berterima kasih dan amat menghargai pandangan saudara yang positif terhadap penulisan dalam blog ini. Saya juga cuba menyelami sedalam mana kebebasan dan sejauh mana batas sempadan yang boleh diterokai. Berkat sedikit pengalaman yang mengisi ruang dada, saya boleh membuat agakan dan berharap ia adalah agakan yang betul.
Ini adalah pendapat saya sendiri dan bukan fakta:
Kita negara yang mempunyai undang-undang malah Rukunegara kita menekankan Keluhuran Undang-undang. Malaysia bukanlah negara koboi.
Jadi, saya tidak sabar menantikan keputusan mahkamah dengan kes ini. Saya percaya, ini adalah satu rahmat bagi media malaysia, rahmat untuk "sikap keterbukaan" yang diamalkan oleh pemimpin negara kita dan rahmat untuk rakyat yang dahagakan kisah-kisah benar tanpa.
Bakal kita lihat, siapa yang benar, walaupun mungkin bukan dalam bentuk yang kita mahukan.
Saya percaya, Rocky BRU dan Jeff Ooi berani kerana benar dan jelas juga keberanian mereka menulis walaupun setelah menerima saman.
Walaupun mungkin NST adalah satu gergasi media di Malaysia, walaupun Jeff Ooi dan Rocky adalah blogger ternama di Malaysia, kebenaran akan tetap kedengaran dan saya pasti ia akan menjadi pemangkin untuk blogger blogger di Malaysia menyuarakan kebenaran!
Post a Comment