Satu budaya, jika ia boleh dianggap sebagai budaya, ialah perangai burung kakatua yang sering menjadi amalan dan ikutan ramai pihak termasuk golongan wartawan dan orang politik.
Budaya kakatua akan terserlah sehari dua selepas pemimpin besar seperti Perdana Menteri membuka mulut dan mengulas mengenai sesuatu perkara atau perkembangan yang boleh dikatakan menarik dan cukup bernilai dari sudut berita.
Burung kakatua akan mengulangi apa yang disebut oleh tuannya walaupun selalunya, dia sendiri tidak faham atau tidak arif tentang perkara yang diperkatakan termasuk yang berkaitan hal ehwal undang-undang. Semua nak komen, semua dengan tiba-tiba menjadi arif malah lebih arif daripada Yang Ariff Tuan Hakim.
Komen PM Pak Lah di London seperti yang dilaporkan oleh media tempatan berkaitan satu kes saman ke atas dua orang perawi maya, turut menjadi satu bahan kupasan oleh si kakatua.
Sebelum PM buka mulut, tiada pula ulasan khusus seperti yang disiarkan oleh akhbar The Star hari ini, Ahad 28 Januari. Kakatua di The Star yang terbang dari Bukit Mertajam itupun memberi ulasannya yang panjang lebar mengenai kebebasan dan tanggungjawab. Saya kurang pasti sama ada si kakatua Bukit Mertajam ini sendiri faham apa yang dimaksudkan sebagai kebebasan dan apa pula tanggungjawab?
Kakatua lazimnya akan mengulangi apa yang disebut oleh tuannya tanpa mengira sama ada ia tepat, betul atau merupakan satu bahan propaganda yang ada kepentingan tertentu. Jika hitam dikatakan kelabu, maka si kakatua akan menyatakan kelabu tanpa mengusul periksa sama ada ia benar-benar kelabu.
Itulah sifat si kakatua, ikut saja apa yang disebut oleh tuannya sedangkan ia tidak memahaminya sama sekali apa yang diperkatakannya.
Di Malaysia, bilangan kakatua seperti ini agak ramai dan bertaburan seantero negara. Banyak yang menumpang hidup dalam arena politik tuan besarnya dan tidak kurang pula jumlahnya yang mengisi kerusi-kerusi empuk di syarikat-syarikat dan pertubuhan media cetak dan elektronik.
Sesungguhnya kakatua tidak mampu untuk berfikir dan menurut Plato, orang yang tidak berdaya untuk berfikir ialah seorang yang bodoh!
No comments:
Post a Comment