Wednesday, January 31, 2007

Memanda Bendahara belum dapat ilham ...

Menurut sahibul hikayat, Memanda Bendahara Negara Gangga Sakti telah mengutus bicara kepada rakyat jelata bahawa beliau belum mendapat ilham untuk "membuka gelanggang" kepada rakyat memilih pendekar masing-masing mewakili mereka di Panca Persada Singgahsana Keadilan.

Memanda Bendahara meluahkan isi hatinya itu kepada para perutus dan pelaung yang bertanya kepada beliau tentang perkara itu. Mereka memberitahu Memanda Bendahara bahawa rakyat jelata tertanya-tanya bila pemilihan itu nak diadakan. Rakyat mula gelisah gundah gulana dan ingin benar tahu bila Memanda Bendahara nak berbuat demikian. Para perutus dan pelaung sedar bahawa rakyat jelata dah mula naik bosan dengan pemerintahan Memanda Bendahara!

Para perawi rasmi dan yang tidak rasmi, para pengamat dan para pengampu pun sedia maklum bahawa Memanda Bendahara sukar mendapat ilham kerana beliau sering menaiki Garuda hikmat ke merata ceruk dan rantau dunia yang fana ini. Mereka sedar bahawa Memanda Bendahara sanggup berada di negara Tikus Lompat untuk merasmikan teratak makanan ala-benua Sang Dewa Mahabrata yang juadahnya dikandar atas bahu si penjual.

Rakyat juga tertanya-tanya kenapa Memanda Bendahara terlalu asyik ke bumi lain sedangkan Memanda-Memanda Bendahara sebelum ini tidak lah sekerap itu. Bahkan, mereka percaya Memanda Bendahara yang bermastautin di Seri Buana Paradana Putarajiwa adalah yang paling banyak menghabiskan urusan di bumi-bumi lain.

Memanda Bendahara, nampaknya, memperlihatkan ketakprihatinannya terhadap resah gelisah rakyat. Dia berada di bumi asing semasa rakyat menderita dan hanya singgah selama lima penanak nasi untuk dirakam oleh para perawi sebelum mengembara semula ke bumi si Tikus Lompat.

Macam mana nak dapat ilham? Itulah yang diperawi oleh para munsyi dan penyair marhain.

Dalam pada itu, tersebar luas perutusan dari benua Benggali Putih bahawa Memanda Bendahara telah membeli Garuda Hikmat yang amat besar dan mahal. Garuda itu diterbangkan pula ke sebuah negeri lain untuk dihiasi dan diandami agar cukup empuk dan cukup nikmat untuk digunakan.

Memanda Bendahara memaklumkan kepada rakyat bahawa Garuda Hikmat bernama Ehbas Kencanawali itu tidak diperolehi oleh kera-jagaan tetapi oleh Serikat Kagarudaan. Kera-jagaan hanya membayar ufti kepada Serikat Kagarudaan untuk Garuda Hikmat Ehbas Kencanawali.

Rakyat semakin bingung. Bukankah Serikat Kagarudaan kepunyaan Khazanah Gangga Negara. Bukankah Khazanah Gangga Negara adalah hak milik kera-jagaan dan bukankah Memanda Bendahara sendiri yang memegang teraju pengikatnya. Kepelikan yang diperlihatkan oleh Memanda Bendahara amat tidak disenangi oleh rakyat.

Memanda Bendahara tidak perlu merenung bintang dan bulan di langit atau merujuk kepada pawang Kejukering di bumi Bertih Perputih atau meminta nasihat ahlilnujum Kalingakarut dari benua Mamakandar atau tukang telek Limaubadwi dari bumi Kwantung Lang untuk ilham! Para lubalang dan juak dah bersedia nak turun gelanggang... pada bila-bila masa yang diminta oleh Memanda Bendahara. Ayuh....sama-sama kita kandar!

7 comments:

A Voice said...

Memanda Bendahara memang masih belum dapat ilham. Setiap kali dia mentara, dia hanya terlena.

Buat masa ini, Memanda Bendahara tidak sabar untuk untuk diketemukan Sang Isteri.

Banyak sekali yang ingin dipadukkan padanya. Satu calon adalah mata-air lama yang dikisahkan dalam Hikayat Menantu sebagai Mawarindu. Ada pula mengatakan seorang calon dari kaum keluarga Bendahari Kecil Wilayah Mongsong yang sedar belajar menjadi Tabib di Pulau Besar Benua Selatan. Akhir2 ini meniup kuat sekali angin bayu yang sudah hampir kepastian, calon dari cadngan bekas isteri yang merupakan seorang serrani yang pernah menjadi adil iparnya. Mungkin apabila bertakhta sehari, mudah dan tenteram ia berfikir.

Pasti yang menjadi kerisauan adalah Tengku HItam, Penasihat dan Menantu Bendahara yang sedang bersuka dan beseloka di Laso Vegaria, Negara Amlina Bersakat, dengan ramai sekali rakan dan seteru yh sudah jinak berkawan. Apa yang di atur disana? Dalam bersuka2, tentu ada kerja2 dan seronokkan yang mengguris hati Puteri Bendahara.

Bendahara Gangga Sakti sepaut sedia faham kerana dia memang sudah mendidik rakyat jelata supaya sentiasa ada had dan ada harinya. Memanda Bendahara tidak gemar suasana yang bebas dan ilmiah kerana biar Tengku Hitan sahaja yang jadi Hang Nadim.

Unknown said...

Menurut ceritera yang disampaikan oleh para pedagang dan perutusan dari negara di sebelah ufuk timur dan ufuk barat, tepat sekali sangkaan bahawa Memanda Bendahara sedang mencari atau dicari teman sekatil.

Ramai perutusan yang singgah di Gangga Sakti untuk menawarkan calon isteri. Dengar cerita Jula Juli Bintang Tiga, pilih yang mana suka. Mungkin selepas memperolehi teman sekatil, Memanda Bendahara didatangi ilham. Mungkin....

A Voice said...

Mengikut al Kisah cerita terbaru, Memanda Bendahara memang teramat gering dari sakit hidung yang menyusahkan kerja hariannya dan semasa menghadiri majlis negara.

Ahlil Nujum Negara merangkap Tabib Peribadi Memanda sudah lama menasihati Memanda Bendahara untuk kahwin.

Mengikut telikkan Ahlil Nujum, dengan berkahwin Memanda Bendahara akan mengeluarkan cecair yang sudah banyak terkumpul didalam dirinya. Tahap cecair dalam badan sudah teramat tinggi hingga menjadi lendir dan agar2 yang menutut saloran darah dan rongga dihidung, mata dan leher.

Ini mengikut Tabib Negara, ini menjadikan Memanda Bendahara selalu batuk2 semasa berucap, mudah mengantuk, dan hilang tumpuan. Keadaan sudah menjadi begitu tenat hingga Memanda Bendahara sudah sering lupa.

Semasa lawatan Memanda Bendahara menziarahi Raja Nagara Venzola di Benua Amlina Selatan, kegeringannya sudah tidak dapat ditutup dari pengetahuan rakyat.

Ketika titah Raja Nagara Venzola yang agak panjang, Memanda Bendahara teradu. Apabila ia sedar untuk menyampaikan titah, ia terlupa menyebut Nagara Venzola sebagai Negara Pulau Zea Baru. Dilain majlis, Memanda tersilap memanggil Venzola sebagai Bolviga dan Vetman.

Memanda Bendahara menyedari kegeringannya dan sering marah. Apabila pulang dan ditanya oleh para pengiring untuk merumus, ia murka. Ia memerintah para pengiring mendengar kembali titahnya untuk akhbar hebahan kepada rakyat jelata.

Rakyat jelata yang memahami amat sedih dan sentiasa berdoa Memanda Bendahara untuk berkahwin bagi mententeramkan sakitnya. Malah ramai rakyat berharap agar Pembesar lain menggantikan tempat Memanda Bendahara supaya ia dapat kekal damai abadi.

Unknown said...

Segenap lapisan rakyat sebenarnya bersimpati dengan musibah yang menimpa Memanda Bendahara. Kegeringan Memanda Bendahara telah cuba diatasi dengan bermacam penawar termasuk dari negara Tikus Lompat. Penyakit itu disebut oleh yang bijak pandai sebagai Resdung, pendek kata rasa amat resah di hidung. Penyakit ini mudah diubati di negara sendiri tetapi Memanda Bendahara masih menaiki Garuda sakti ke negara Tikus Lompat. Malangnya tiada juga menjumpai penawar.

Mungkin juga penawarnya seorang bidadari, tak kiralah bidadari sunti atau separuh umur atau yang nak pencen, janji bidadari.

Susah sangat, Memanda Bendahara boleh meminta pertolongan dari kaum kerabat Pak Hassan Kwantung yang bertaburan di Bayan Terlepas untuk mendapatkan teman sekatil.

Anonymous said...

Alkisah tersebutlah cerita mantan Bendahara yang tersangat sedih kerana kehilangan kuasa dan titahnya yang tidak dipedulikan lagi oleh rakyat jelata.Maka berdendamlah ia dengan bendahara baru dan dengan bantuan-bantuan mantan pelaung -pelaung yang telah hilang kerja maka dicanangnya ke seluruh alam bahawa beliau telah tersilap di dalam memilih bendahara. Maka tiadalah lain kerja mantan bendahara dan pelaungnya asyik sahaja mencari kesalahan bendahara dan menantu bendahara iaiatu Hang Hitam. Maka difitnah oleh mereka yang Hang Hitam telah membuat perhubungan sulit dengan seekor pontianak.Hang Hitam juga telah dituduh untuk mengambilalih jawatan bendahara kelak dan juga merompak khazanah negara sewenang-wenangnya. Oleh kerana tidak berjaya mengugat Bendahara yang gagah perkasa maka Mantan Bendahara cuba mengaburi mata rakyat dengan menghimpunkan ribuan pelaung untuk membicarakan Yang Amat Mulia Maharaja Benua Barat di atas kesalahan jenayah perang. Walaubagaimanapun rakyat yang sudah bijak hanya mengetawakan usaha Mantan Bendahara yang dianggap gila dan tidak berfaedah itu malah difahamkan Maharaja Laut barat tergelak sambil berguling-guling apabila mendapat berita itu. Sekian adanya.

Unknown said...

Kemunculan Hang Hitam dari Negara Siamang Gagap sudahpun dirasai dan beliau dah pun memiliki harta kekayaan. Yang dinanti-nantikan ialah kuasa. Apa pula bicara cucu panglima Bugis dari Pekan? Bagaimana pula tindakan Panglima Hitam untuk menentang Hang Hitam? Apa pula peranan mantan Memanda Bendahara? Sama-samalah kita nantikan babak sambungan purbawara ini.

Fakir yang hina. said...

Dan yang menjadi dalangnya, aku ... rakyat jelata yang penuh ranjau duri, bukan aku tak tahu pinangan ilhamnya terguris dipintu tangga aku. Namun aku ni siapa? Diri sendiri bak ketam .......

Lagi katanya keramat sekam, takan tak tahu ...... dah tergolek dan tercantum kat sini. Bengang lagi! Macamana? Tanya aku! Nantikan suara dia! Bagaimana tak tersambut?

Datuk Sakti Putih bawah jembalang pasung puaka Datuk Panglima Matang, sembah hamba fakir yang hina .....

Nanti akan aku ukirkan nukilan ini ke tempat aku ....... siapa aku?
panjihitam.blogspot.com (under construction)