Wednesday, December 06, 2006

Wajarkah ZAM dipilih Tokoh Wartawan?

Seorang teman bertanyakan tentang pemilihan Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin yang juga mantan wartawan/Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu sebagai Tokoh Wartawan oleh Institut Akhbar Malaysia. Mahu tidak mahu saya kenalah memberi ulasan.

Pada pendapat saya, Zainuddin atau ZAM belum sesuai diberi gelaran itu. Apatah pula dia seorang menteri yang bertanggungjawab ke atas tugas-tugas penerangan dan industri maklumat (saya tidak gemar menggunakan perkataan informasi kerana perkataan Melayu sudah ada). Antara agensi yang terletak di bawah pengawasan dan tanggungjawab ZAM adalah BERNAMA.

Sahabat baik saya, Datuk Azman Ujang adalah Ketua Pengarang BERNAMA. Azman juga pengerusi Institut Akhbar Malaysia (IAM), iaitu badan yang memilih dan menganugerahkan gelaran Tokoh Wartawan. Persoalannya... timbul perbalahan kepentingan atau sesuatu yang boleh dianggap sebagai tidak kena.

Pengerusi IAM adalah seorang pegawai sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Penerangan. IAM memilih Menteri Penerangan untuk menerima anugerah atau gelaran Tokoh Wartawan. Ini yang menimbulkan rasa ada yang tidak kena.

Saya terpaksa berterus terang memperkatakan persoalan ini walaupun ia membabitkan dua orang sahabat yang saya kenal sejak tahun 1970-an. Azman adalah rakan semasa saya bertugas di Bernama selama hampir 27 tahun manakala ZAM dan saya pernah bertugas di Pulau Pinang, saya di Biro Bernama dan ZAM di Biro Utusan Melayu.

ZAM bukan tidak layak untuk diberi anugerah Tokoh Wartawan tetapi, pada pendapat saya, masanya tidak kena dan keadaannya juga tidak kena. Itu saja.

3 comments:

Anonymous said...

hanya apabila Tuan Syed mengutarakan perkara ini barulah kami tahu letak duduk perkara sebenarnya. Terima kasih.

Anonymous said...

Sudah barang tentu AIM mempunyai kerangka lengkongan (criteria?) di dalam proses pemilihan tersebut. Namun, saya amat bersetuju dgn pandangan sdra tuan syed bahawa ada sesuatu yg tidak kena di dalam criteria tersebut. Tidak dinafikan beliau pernah berjasa di dalam dunia kewartawanan sebelum beliau beralih arah profession ke dunia politik. Persoalannya apakah beliau akan dinobatkan sebagai tokoh wartawan sekiranya tiada title menteri? Apakah beliau yg terulung di kalangan wartawan2 yg sezaman dgn beliau? Apakah selepas ini menteri yg memegang portfolio yg sama akan dinobat sebagai tokoh juga? Precedent has been set. Ibaratnya umpama kapten pasukan bolasepak sahaja dinamakan sebagai pemain terbaik sedangkan penjaga gol berhempas pulas menyelamatkan puluhan kali percubaan yg sure goal!!! Wallahu'alam bissawab

Unknown said...

Saya setuju dengan apa yang diperkatakan oleh terompah kayu.

Ketokohan ZAM, kalau dia boleh dianggap sebagai tokoh, tidaklah sehebat mana. Ramai lagi wartawan veteran, sama ada yang masih hidup ataupun yang sudah tiada di dunia yang fana ini, yang jauh lebih banyak berjasa kepada nusa dan bangsa.

Satu nama besar yang selalu dilupakan oleh bangsa dan negara adalah Allahyarham Ibrahim Mahmud.
Saya ada menulis mengenai tokoh ini dalam blog ini.

Salahkah jika kita menghargai tokoh ini walaupun dia sudah pulang ke Rahmatullah? Anak cucunya masih bernyawa dan mereka sudah tentu berbangga yang datuk atau bapa mereka dihargai oleh negara. Sama seperti negara menghargai Allahyarham P Ramlee yang tidak tahu menahu bahawa dia bergelar Tan Sri tetapi anak cucu dan rakan seperjuangannya amat berbangga atas penghargaan itu.

Jika ingin dibandingkan sumbangan ZAM dengan sumbangan Allahyarham Ibrahim Mahmud, bak langit dengan bumi.

Malangnya, kita hidup di zaman dan era di mana manusia membuat pemilihan berdasarkan kriteria yang kurang bijak.

Manusia dan haiwan sememangnya suka bernaung di bawah pokok yang banyak buah untuk dimakan.