Wednesday, December 27, 2006

Isu Melayu Pulau Pinang di RTM

Saya agak kecewa kerana gagal menembusi talian telefon untuk mengemukakan pendapat kepada perbincangan secara langsung mengenai Melayu Pulau Pinang di RTM1 malam ini. Rancangan itu dipancarkan melalui slot "Bersama Menteri" walaupun dua orang tetamu yang diundang bukanlah menteri. Kedua-duanya sahabat lama saya iaitu Datuk Seri Mohd Yusof Latif, Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) dan Datuk Jamelah Bakar, mantan wartawan Utusan Melayu yang kini bergelar usahawan dan penulis.

Tajuk perbincangan yang dipengerusikan oleh seorang lagi sahabat, Sabaruddin Ahmad Sabri, amat menarik dan agak terbuka. Banyak perkara dan persoalan telah dibangkit dan diulas oleh kedua-dua orang tokoh berkenaan.

Bagi saya, apa yang dikatakan sebagai masalah Melayu Pulau Pinang merupakan sesuatu yang begitu subjektif dan boleh diperdebatkan. Ianya bukan sesuatu yang baru tetapi sudah berlanjutan sejak zaman mendiang Tan Sri Wong Pow Nee menjadi ketua menteri. Setiausaha politik beliau ketika itu tidak lain Datuk Seri Yusof Latif sendiri. Oleh itu, beliau memang berpengalaman dan berpengetahuan untuk bercakap mengenai Melayu Pulau Pinang.

Saya tetap mempersalahkan kepimpinan politik Melayu Pulau Pinang bermula dari zaman almarhum Tan Sri Syed Hassan Aidid, almarhum Datuk Ahmad bin Abdullah Badawi, Datuk Seri Abdullah Badawi, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kembali kepada Datuk Seri Abdullah Badawi. Semuanya memimpin UMNO Pulau Pinang dan semua telah gagal dalam usaha membangunkan Melayu Pulau Pinang dari segi ekonomi dan sosial. Inilah satu hakikat yang walaupun pahit mesti ditelan.

Zaman kepimpinan Tan Sri Syed Hassan dan Datuk Ahmad Badawi, tidak banyak masalah politik kepartian seperti perebutan jawatan di peringkat bahagian dan perebutan projek-projek pembangunan berlaku kerana tiada banyak projek dan tidak berlaku rasuah politik secara berleluasa. Ini mengakibatkan kealpaan dan kewujudan satu sikap yang boleh dikatakan "tidak apa" terhadap isu orang Melayu.

Apabila Pak Lah mengambil alih kepimpinan UMNO Pulau Pinang, beberapa agensi yang kononnya untuk membantu orang Melayu telah diwujudkan tetapi masalahnya ia telah dipolitikkan oleh orang UMNO. Pada masa itu juga timbul tuduhan mengenai "orang Pak Lah" yang diberi keutamaan termasuk dalam pemilihan calon pilihan raya. Antara mereka yang mempunyai hubungan keluarga dengan Pak Lah dan diberi tempat adalah Mohd Subki Raof dan Mohamad Zain Haji Omar, kedua-duanya di kawasan Parlimen Balik Pulau.

Pemimpin politik lain yang dikatakan berada dalam kem Pak Lah juga mendapat tempat di beberapa bahagian UMNO seperti Abdul Rashid Ismail, Abdul Rahman Abbas, Mohd Nor Abu Bakar, Syed Mohamad Aidid, Shamsuri Haji Salleh, Ismail Hashim dan Mohd Shariff Omar serta kemudian Dr Hilmi Yahya.

Apabila jawatan Pak Lah diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah Pak Lah tersingkir dari Kabinet, maka mereka yang berada dalam kem Anwar pula mendapat tempat. Nama-nama seperti Dr Ibrahim Saad, Zaharin Mohd Hashim, Ahmad Ismail, Ahmad Ibni Hajar, Ahmad Saad, Ishak Ahmad, Latiff Mirasa dan Farid Ariffin mula gah dalam politik Melayu Pulau Pinang.

Sebenarnya, kem Pak Lah mempunyai agenda tersendiri dan begitu juga dengan kem Anwar Ibrahim. Maka bermulalah, sama ada secara langsung atau sebaliknya, perebutan untuk mengumpul kekayaan dan bermulalah pengagihan projek kepada kroni.

Dalam melaksanakan agenda masing-masing atas kepentingan politik, isu Melayu Pulau Pinang dijadikan sebagai modal politik dan modal perjuangan peribadi. Orang Melayu pada amnya masih di takok lama, masih hidup dalam keadaan yang serupa seperti pada zaman Syed Hassan Aidid dan Ahmad Badawi.

Iltizam politik yang dikatakan atas kepentingan Melayu Pulau Pinang sebenarnya iltizam untuk kepentingan peribadi atau puak dan untuk mereka yang menyokong atau memihak kepada kem tertentu.

Oleh itu, masalah Melayu Pulau Pinang akan terus diperkatakan, diperbahaskan dan diseminarkan serta dikonvensyenkan tanpa membuahkan hasil seperti yang diharapkan.

Sekarang, Pak Lah begitu beriya-iya dan bersemangat untuk mengubah nasib Melayu Pulau Pinang menerusi Rancangan Malaysia Ke-9 dan kononnya peruntukan sebanyak RM800 juta sedang menanti untuk direbut oleh orang Melayu Pulau Pinang. Pak Lah melantik panglima perangnya, Tan Sri Nor Mohamad Yakcop untuk memimpin dan mempastikan kejayaan dalam memerangi isu masalah Melayu Pulau Pinang.

Sebagai anak Pulau Pinang, saya begitu mengharapkan segala yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jujur, ikhlas dan telus. Agihan projek dan kontrak hendaklah dibuat secara betul, iaitu kepada kontraktor tulen dan bukan kepada kontraktor berkaitan politik atau kontraktor Ali Baba atau membiarkan Kalimullah Masheerul Hassan dan Khairy Jamaluddin melakarkan strategi dan formula untuk mencapai kejayaan.

Jika ini dapat dibuat, saya percaya kejayaan boleh dicapai dan orang Melayu akhirnya akan dapat menikmati apa yang dijanjikan selama ini.

1 comment:

Anonymous said...

Saya tak menyalahkan kepimpinan orang melayu di Pulau Pinang,tapi saya menyalahkan sikap orang melayu yang tidak berdaya saing.Sampai bila orang melayu di Malaysia hendak mengharapkan suapan dari kerajaan?Malahan orang Melayu di Singapura mampu bersaing dengan kaum lain di negara mereka, Kenapa? Kerana mereka tiada bantuan dari kerajaan mereka yang didominasi oleh orang cina.