Masalah rasuah:
Bercakap mengenai usaha membanteras rasuah, Pak Lah berkata faktor jati diri manusia penting kerana ia akan menentukan perjalanan sesuatu sistem sama ada lancar atau tidak dalam menangani rasuah.
" Kalau sistem dan undang-undang itu baik tetapi manusia itu jenis yang tidak ambil endah, ataupun dia ada agenda sendiri dan mempunyai niat tidak baik, undang-undang itu tidak akan membawa kesan yang baik."
Pak Lah seterusnya berkata kalau sistem itu kurang baik tetapi manusia itu baik, mereka masih boleh membuat penyesuaian bagi menjayakan sesuatu yang hendak dilakukan, sebaliknya jika manusia itu tidak baik, apa juga sistem yang baik tidak akan membawa apa-apa kesan.
Jika tidak dibendung, Pak Lah berkata rasuah akan membawa banyak masalah kepada negara, pentadbiran dan pihak swasta. Beliau berkata demikian dalam rancangan khas "Cabaran Pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi" yang disiarkan oleh TV3 pada 9 Februari 2004.
Ulasan saya: Malaysia mempunyai undang-undang yang cukup dan sistem yang baik untuk memerangi dan membanteras rasuah. Malangnya, Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak bebas sepenuhnya untuk mendakwa mana-mana individu, terutama golongan atasan, anggota pentadbiran dan orang politik tanpa mendapat restu pihak tertinggi. BPR hanya bebas untuk menyiasat, tetapi tidak bebas untuk mendakwa di mahkamah.
Rasuah dan penyalahgunaan kuasa telahpun membawa banyak masalah kepada negara, terutama dalam sektor eknomi yang membabitkan pelaburan asing. Kedudukan Malaysia dalam senarai amalan rasuah sedunia membuktikan kegagalan pentadbiran membanteras rasuah.
No comments:
Post a Comment