Saturday, December 09, 2006

Apa kata Pak Lah (1)

Mulai hari ini, saya akan perturunkan petikan kata-kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad (Badawi) untuk renungan. Pelayar dan pembaca budiman boleh menilai sendiri sejauh mana kebenaran kata-katanya itu dan adakah tindakan telah diambil untuk menanganinya atau sama ada ia telah dijadikan kenyataan atau sebaliknya.

RASUAH BELUM SERIUS:

Masalah rasuah di negara ini belum serius tetapi gejala itu perlu dibendung dari awal supaya tidak merebak menjadi parah.

Pak Lah mahu semua pegawai dan kakitangan awam menolak rasuah dengan mengamalkan budaya kerja telus dan bertanggungjawab. (Ulasan saya: Pak Lah tidak pula menyebut tentang orang politik yang mengamalkan rasuah. Inilah masalah rasuah yang paling besar di Malaysia)

"Sebenarnya rasuah di negara kita tidak teruk sangat, kalau tidak, bagaimana negara kita boleh menjadi sebuah negara maju. Tetapi walaupun sikit, masalah rasuah ini mesti dibendung, kalau biarkan lama kelamaan menjadi kudis, kemudian menjadi tokak (sejenis penyakit kulit yang sukar diubati) dan bahagian yang sakit itu beracun kena pula potong kaki atau tangan. Bila keadaan sebegitu, ia boleh membawa maut."

Pak Lah berkata demikian ketika berucap pada majlis makan tengah hari bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen serta ketua jabatan kerajaan di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada 16 Februari, 2004.

2 comments:

mdnor said...

Saudara,
Elok rasanya kalau kita kumpul dan jadikan koleksi kata2, komen2 dan janji2 Pak Lah, rasanya cukup untuk dijadikan buku. Cuma buku ni diterbitkan bertujuan untuk dijadikan sempadan, bukannya tauladan.

Syed Imran said...

Terima kasih Sdr Mdnor, saya akan cuba kumpulkan apa yang pernah dikata dan dijanjikan oleh Pak Lah dalam tahun pertama beliau menjadi PM. Saya dan ramai orang berminat untuk mengetahui sama ada apa yang dikatakan atau dijanjikan oleh Pak Lah telah dikotakan atau ditunaikan.