Thursday, December 14, 2006

Apa kata Pak Lah (3)

Sistem tender terbuka:

Pak Lah berkata kerajaan akan menjadikan sistem pemberian tender terbuka sebagai amalan bagi mengurangkan rasuah dan mengekang peningkatan kos perniagaan di Malaysia.

Rundingan secara langsung pula akan dihadkan hanya kepada kes istimewa yang tertentu sahaja.

Kes-kes istimewa yang tertentu untuk rundingan terus bergantung kepada apa yang dicadangkan dan Pak Lah menyebutkannya sebagai kes khas dan menegaskan bahawa beliau tidak akan beritahu pihak media apa kes khas itu.

Beliau berkata sistem tender yang telus akan membantu menggalakkan kecekapan dan persaingan yang secara langsung mengurangkan kos menjalankan perniagaan. Ia akan mengurangkan ketidaktentuan dan juga mengurangkan peluang untuk berlaku rasuah.

Pak Lah berkata sistem tender terbuka akan diguna pakai secara sama rata termasuk kepada pelabur dari dalam dan luar negeri.

Pak Lah berkata demikian semasa berdialog dengan ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), tokoh korporat, profesional dan ahli akademik di Putrajaya pada 14 Januari 2004.

Ulasan saya: Kita ingin tahu sejauh mana pengamalan sistem tender terbuka telah dilaksanakan? Adakah projek-projek mega seperti jambatan kedua menghubungi tanah besar Semenanjung dengan Pulau Pinang dan projek istana negara baru di Jalan Duta ditawar melalui sistem ini?

Rasuah tidak menurun tetapi meningkat, projek-projek yang telah siap pula menghadapi masalah ekoran daripada kerja yang bermutu rendah dan tidak telus dari segi penyeliaan oleh pihak yang berwajib.

Banyak kontrak yang diberikan kepada syarikat-syarikat yang berkaitan orang politik yang kemudian menyerahkan kerja kepada kontraktor lain (sub-contract) yang mengakibatkan mutu kerja tidak mengikut piawaian.

Pak Lah boleh membuat janji dan ikrar tetapi ianya hendaklah disusuli dengan pengawasan dan penyeliaan yang tegas. Jangan hanya bercakap tetapi tiada tindakan susulan.

2 comments:

Anonymous said...

pegawai kerajaan yang bertugas mengendalikan kes khas seperti itu tiada upper hand untuk kawalan projek kerana sentiasa diberi arahan atasan daripada pihak yang memberi projek khas tersebut.

atas arahan menteri, pegawai kerajaan di MOF diminta mngeluarkan arahan kepada pegawai kerajaan di kementerian yang berkenaan agar anugerah projek secara terus kepada kontraktor. arahan menteri ini tidak pula dicatat di mana-mana sebagai yang memberi arahan tersebut. rundingan terus dibuat dengan harga yang telah ditetapkan kadar harganya. bila pemantauan tegas dibuat semasa pelaksanaannya, ada pula 'bapa angkat' yang akan beri amaran kepada pegawai.

pegawai kerajaan adalah saya yang menurut perintah.

senario yang sama sentiasa berulang semasa pemimpin dahulu atau sekarang tak kira peringkat paling atas PM, menteri kabinet atau ketua menteri dan exco di peringkat negeri. di mana-mana dan bila-bila pun sama sahaja.

apa kita hendak buat sebagai rakyat?

Syed Imran said...

Memang sukar untuk mendapatkan seorang pemimpin yang benar-benar jujur dan ikhlas. Imej yang dotonjolkan hanyalah untuk tontonan umum.

Saya sedar perkara sedemikian berlaku sejak zaman Tun Mahathir.
"The political boss is always right." Pegawai kerajaan, selaku pelaksana terpaksa mengikut perintah. Lihat saja projek MATRADE. Kontraktor yang dipilih secara betul atas nasihat JKR telah diketepikan atas arahan menteri kewangan. Begitu juga dengan tender pembinaan OPV untuk tentera laut, pembelian kapal selam dan pembelian kereta kepal tempur utama (MBT) untuk tentera darat. Semuanya dibuat bertentangan dengan nasihat pegawai yang merupakan pakar dalam bidang berkenaan.

Kuasa ada ditangan rakyat. Tepuk dada tanya selera.