Tuesday, December 05, 2006

Menteri Kabinet tidak seharusnya ponteng sidang Dewan Rakyat

Saya tidak faham dan jauh sekali daripada bersetuju dengan Menteri di JPM yang menjaga urusan Parlimen, Datuk Nazri "Rambo" Aziz bahawa Menteri Kabinet yang tidak menghadiri sidang dewan rakyat tidak ponteng tetapi mempunyai urusan lain yang telah ditetapkan terlebih dahulu.

Nak ketawa pun ada, nak lepas geram pun ada. Itu jawapan saya kepada kenyataan tersebut.

Saya pernah berkhidmat dengan seorang Menteri Kabinet dan selalu bertugas di Parlimen apabila Dewan Rakyat ataupun Dewan Negara bersidang. Jadi saya tidak termakan alasan Nazri Aziz.

Semua Menteri tahu akan jadual persidangan Parlimen. Semua pegawai menteri yang berkenaan tahu dan akan bermesyuarat terlebih dahulu untuk membincangkan jawapan kepada pertanyaan lisan atau bertulis untuk dijawab oleh Menteri. Ini bukan satu rahsia.

Menteri tidak boleh memberi alasan bahawa mereka tidak dapat menghadiri sidang Parlimen semata-mata kerana ada urusan lain yang telah ditetapkan lebih awal. Ia sebenarnya satu alasan sahaja. Satu alasan untuk tidak menghadiri sidang Parlimen. Itu saja.

Perlu diingatkan bahawa jika seseorang itu tidak dipilih menjadi Ahli Parlimen atau dilantik menjadi Ahli Dewan Negara, dia tidak boleh dilantik menjadi Menteri, Timbalan Menteri ataupun Setiausaha Parlimen.

Jadi, sebagai menghormati dan menghargai sokongan rakyat (bagi Ahli Parlimen) dan menghargai perlantikan (bagi Senator), mereka yang dilantik Menteri seharusnya menghadiri sidang Parlimen. Kerana adanya Parlimen maka mereka boleh berbangga dengan jawatan Menteri. Bak kata orang, kita kenalah jaga periuk nasi sendiri. Periuk nasi Menteri bermula di Parlimen, jagalah kewibawaan dan kemuliaan Parlimen.

Sikap kebanyakan Menteri yang tidak menghadiri sidang Parlimen walau dengan apa alasan sekalipun, melainkan soal kecemasan dan kematian, amat dikesali.

Menteri yang bersikap sedemikian seharusnya ditolak apabila dia turun bawah untuk menagih sokongan apabila pilihan raya diadakan. Rakyat mesti berani menggunakan kuasa undi untuk memilih wakil yang benar-benar ingin berkhidmat untuk mereka dan bukan seseorang yang mengejar cita-cita untuk menjadi menteri tetapi tidak menghormati Parlimen.

6 comments:

Anonymous said...

Inilah amalan Bapak Menteri kita selama ini. Nak pergi mesyuarat di Parlimen pun malas. Macam-macam alasan diberi. Mereka ingat semua orang tak tahu. Terima kasih atas penerangan saudara.

Syed Imran said...

Benar. Perkara seperti ini amat malang dalam sistem demokrasi berparlimen. Bagi saya, ahli parlimen kenalah hadir persidangan Dewan Rakyat ataupun Dewan Negara untuk Senator.

Anonymous said...

MP memang suka pandang ringan perkara seperti ini. buat kerja yang tak seberapa ini pun masih boleh diberikan kelayakan berpencen. belum lagi dikira gaji, elaun dan perks yang tidak rasmi diperolehi semasa menjawat jawatan menteri.

-te'a-

Syed Imran said...

Menteri kita sering membuat perbandingan pendapatan dengan menteri Singapura. Bagi saya, keadaan dan kedudukan atau taraf menteri Singapura dan menteri Malaysia amat jauh.

Barisan kabinet Singapura terdiri daripada golongan cerdik-pandai dalam erti kata yang sebenar. Mereka tidak bermain politik dan jauh sekali mengamalkan rasuah politik atau politik wang.

Jika menteri kita nak buat perbandingan, kenapa tidak dengan menteri Indonesia, Filipina atau Thailand? Atau dengan barisan kabinet Laos, Kemboja, Myanmar mahupun Vietnam?

Adakalanya kerja yang dijalankan tidak setimpal dengan habuan yang diterima. Itupun nak ponteng sidang Parlimen.

terompah kayu said...

Penerangan sdra amat jelas bahawa titik permulaan mereka bermula dari Dewan Rakyat. Masa proses penamaan calon gundah gulana takut nama tercicir. Semasa berkempen pilihanraya hinggakan pecah anak tekak masing2 bersyarah tak kira pagi malam. Lepas tu guna cable untuk dipilih sebagai anggota kerajaan. Dapat jawatan dalam poket, semua tu lupa belaka... Pengundi juga yang terhegeh-hegeh bagi sokongan kepada mereka. Mungkin sindrom 'ambil ringan' telah menular dalam jiwa mereka tu.

Syed Imran said...

Ya, sindrom ambil ringan bukan sahaja telah menular tetapi telahpun menjadi satu kelaziman. Ia seolah-olah menjadi satu budaya.

Saya harap rakyat, khususnya para pengundi akan sedar dan tidak mudah diperdayakan oleh janji-janji manis dan kepura-puraan orang politik yang ingin mendapat sokongan.

Moga-moga ia dapat diterjemahkan dalam pilihan raya akan datang.