Tuesday, December 05, 2006

Penggabungan Utusan Melayu-NST

Saya masih tertanya-tanya apakah tujuan sebenar pihak tertentu untuk menggabungkan Kumpulan Utusan Melayu dengan Kumpulan New Straits Times dan kepada siapakah penggabungan itu akan memberi faedah?

Kita sedia maklum bahawa dari sudut sejarah penubuhan, tujuan dan peranan kedua-dua kumpulan akhbar itu, terlalu jauh perbezaannya. Utusan Melayu tidak boleh dipisahkan dengan semangat kebangsaan (nasionalisme) orang Melayu dan sebagai wadah penting dalam memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.

Utusan Melayu bukan dilahirkan untuk citarasa dan keperluan penjajah dan golongan elit berbahasa Inggeris seperti The Straits Times (sekarang New Straits Times) tetapi ia mempunyai matlamat dan perjuangan tertentu.

Utusan juga berperanan penting dalam memperdaulatkan bahasa Melayu, kesusasteraan Melayu, budaya Melayu dan kesenian Melayu selain daripada menjadi wadah dan sumber maklumat kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia amnya, sama ada di bandar ataupun di desa.

Nama-nama besar dalam dunia kewartawanan Melayu tidak dapat dipisahkan daripada Utusan Melayu seperti Yusuf Ishak dan adiknya Aziz Ishak, Rahim Kajai, Ishak Haji Muhammad, Mazlan Nordin dan Melan Abdullah.

Nama wartawan Utusan juga dijadikan sebagai nama hadiah kewartawan utama negara ini iaitu Hadiah Kajai. Ia menunjukkan betapa pentingnya peranan dan sumbangan Utusan kepada dunia kewartawanan Malaysia.

Selain menerbitkan akhbar harian dan mingguan, Kumpulan Utusan juga menerbitkan beberapa buah majalah khas berkaitan kewanitaan, agama, remaja dan hiburan selain bertindak selaku penerbiat buku dan bidang ekonomi lain.

Utusan Melayu mampu berdikari sebagai sebuah syarikat penerbitan Melayu yang unggul di Malaysia dan kejayaan ini mesti dipertahankan bukan sahaja sebagai lambang kejayaan tetapi sebagai simbol nasionalisme Melayu.

Oleh itu, kenapa Utusan Melayu perlu digabungkan dengan NST? Siapa disebalik cadangan itu dan apa tujuannya?

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi memberi jaminan bahawa kebebasan editorial Utusan Melayu akan dikekalkan tetapi untuk berapa lama? Jika sudah digabungkan dan ada pihak lain yang menguasai syarikat itu, adakah kebebasan itu akan dikekalkan? Tentu tidak.

Yang membimbangkan saya ialah jika penggabungan itu berjaya dilaksanakan, maka sebuah lagi media akan dikuasai oleh kumpulan 'heboh' Media Prima. Kita dapat lihat bagaimana akhbar dan stesen TV yang dikuasai Media Prima mengolah dan memutar-belitkan berita semata-mata untuk tujuan tertentu dan jika ia menguasai Utusan Melayu, maka Utusan juga akan diarah untuk berbuat demikian. Ini satu kebimbangan.

Penggabungan itu juga akan merampas hak pembaca daripada membuat pilihan akhbar yang ingin dibaca. Kita tidak mahu melihat Utusan Melayu muncul sama seperti Berita Harian.

Jika suntikan modal dijadikan alasan kenapa penggabungan itu mesti dilaksanakan, maka amat malang bagi Utusan Melayu kerana ia akan dianggap sebagai satu kegagalan pengurusan Kumpulan Utusan dan satu tamparan kepada kepimpinan Pengerusi Eksekutifnya Tan Sri Hashim Ahmad Makaruddin.

Penggabungan itu juga akan dilihat sebagai satu usaha untuk mengawal dengan lebih ketat kebebasan akhbar di Malaysia yang sebenarnya sudahpun dikawal oleh kepentingan politik.

Saya tidak tahu sama ada Kalimullah Masheerul Hassan terlibat dalam cadangan penggabungan itu. Saya juga kurang pasti sama ada Khairy Jamaluddin turut berperanan.

Mungkin, cadangan penggabungan Utusan dengan NST tidak ubah seperti abu di atas tunggul, datang angin terbanglah ia. Semoga ia tidak berlaku.

2 comments:

Anonymous said...

Tuan Syed,
Apabila saya mendengar ura-ura penggabungan NST-UM, saya tidak nampak apa perlunya penggabungan itu. UM adalah wadah orang Melayu milik UMNO. Sekurang-kurangnya orang Melayu boleh bergantung harap kepada UM jika mahu menyuarakan perasaan mereka. Jika benar penggabungan ini bakal berlaku, saya rasa peranan UM tidak lagi seperti sebelum ini. Fungsinya juga pasti jauh berbeza. Di manakah pemimpin UMNO? Katakanlah sesuatu, lakukanlah apa yang perlu wahai veteran UMNO... Ini semua tidak berlaku semasa zaman kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mengapa kita perlu menguntungkan sekumpulan kecil insan yang sekadar mengejar keuntungan dan kuasa ... apatah lagi apabila kini cakap-cakap mengatakan penggabungan itu berkaitan juga dengan Singapura? Ada udang di sebalik Tambak Johor ke?

Unknown said...

Saya juga percaya bahawa penggabungan ini tidak perlu. Ini bukan soal bank kecil bergabung dengan bank besar untuk mencapai kekuatan ekonomi dan memperluaskan asas pelanggan.

Benar kata saudara, identiti dan peranan kedua-dua akhbar tak sama. Masing-masing ada hala tuju tersendiri walaupun pokok pangkalnya adalah penyaluran maklumat.

Penggabungan ini juga akan menamatkan sejarah dan kekuatan jiwa Utusan Melayu kerana syarikat induknya akan berkubur.

Utusan Melayu telah mengharungi bermacam-macam halangan, rintangan dan tekanan sejak diwujudkan di Singapura dan ia dapat bertahan sehingga sekarang. Ia tidak memerlukan penggabungan dengan NST atau mana-mana syarikat penerbitan akhbar yang mempunyai sejarah berbeza dengannya.

Jika suntikan modal menjadi perkara pokok, UMNO cukup kaya dan memiliki aset yang beratus juta ringgit untuk melakukannya. Bukankah Utusan Melayu syarikat berkaitan UMNO atau UMNO-linked company?

Saya tetap percaya bahawa penggabungan dengan NST adalah satu kesilapan.