Monday, December 18, 2006

Pak Lah kata Nor Mohamed seorang profesional

Apabila beliau melantik Penasihat Khas (Kewangan) Tan Sri Nor Mohamed Yakcop sebagai menteri kewangan kedua pada Januari 2004, PM Abdullah Ahmad (Badawi) berkata ia dibuat berdasarkan kedudukan Nor Mohamed selaku seorang profesional yang arif dalam hal kewangan, perbankan dan ekonomi.

(Saya tidak ingin menyentuh soal kearifan yang dikatakan oleh Pak Lah kerana ia mungkin dikaitkan dengan kerugian RM30 bilion oleh Bank Negara semasa terlibat dalam spekulasi pasaran wang oleh Nor Mohamed semasa berkhidmat dengan bank pusat itu.)

Pak Lah berkata dia mahukan seorang profesional yang berada di kementerian kewangan sepanjang masa tanpa dibebankan dengan masalah politik.

Nor Mohamed, kata Pak Lah, boleh berada di kementerian kewangan dari pagi hingga petang dan malam pun beliau boleh berada di situ.

Sebagai seorang profesional yang tidak terbabit dengan politik, Nor Mohamed tidak perlu melawat kawasan, tidak perlu cari undi supaya dapat kedudukan dalam bahagian, majlis tertinggi atau berkempen untuk menjadi wakil rakyat.

Pak Lah berkata menteri kewangan kedua ialah seorang profesional yang dilantik untuk menjalankan tugas-tugas di kementerian kewangan sepenuh masa.

"Orang politik dalam kementerian kewangan adalah saya, timbalan-timbalan menteri dan setiausaha parlimen," tegas Pak Lah dalam satu laporan media bertarikh 9 Januari 2004.

Memang benar apa yang dikatakan oleh Pak Lah itu. Nor Mohamed bukan orang politik. Dia seorang yang bertaraf profesional dan bekerja sepenuh masa di kementerian kewangan.

Persoalannya, kenapa Nor Mohamed memerlukan seorang setiausaha politik sedangkan dia bukan orang politik? Adakah Nor Mohamed "dipaksa" mengambil ketua pemuda Umno WP KL Norzah Zakaria sebagai setiausaha politiknya? Ini yang menjadi tanda tanya.

Menurut kenyataan Pak Lah, sebagai seorang profesional, Nor Mohamed bebas daripada kancah politik. Dia tidak perlu melawat kawasan dan tidak perlu melobi atau merayau ke sana-sini untuk mendapatkan sokongan sama ada untuk bertapak di peringkat bahagian ataupun majlis tertinggi.

Jadi, apa perlunya seorang setiausaha politik untuk Nor Mohamed? Apakah kerja politik yang nak dijalankan oleh Norzah Zakaria untuk Nor Mohamed?

Menurut Perlembagaan Persekutuan, Perkara 43c. (1) Perdana Menteri boleh melantik beberapa orang yang difikirkan patut untuk menjadi Setiausaha-Setiausaha Politik.

Patutkah Norzah Zakaria dilantik sebagai setiausaha politik kepada seorang yang bukan ahli politik? Kita sedia maklum bahawa tugas dan bidang kerja setiausaha politik adalah hal ehwal politik.

Jika Pak Lah sendiri yang menyatakan bahawa Nor Mohamed bukan orang politik tetapi seorang profesional, maka apa perlu seorang setiausaha politik yang dilantik sendiri oleh Pak Lah (menurut Perkara 43c (1) Perlembagaan Persekutuan)....?

Saya masih tertanya-tanya apakah kerja yang dibuat oleh Norzah Zakaria selaku setiausaha politik menteri kewangan kedua? Bosnya bukan orang politik dan tidak pula bermain politik. Yang bermain politik ialah Norzah Zakaria.

(Saya mengenali Nor Mohamed sejak zaman sekolah. Dia adalah senior saya di St. Xavier's Institution, Pulau Pinang)

2 comments:

Anonymous said...

saya rasa supaya senang setiausaha politik itu untuk mempolitikkan seorang menteri yg bukan ahli politik...dan lagi kementerian itu merupakan lubuk wang....segala kepolitikan amat penting lebih2 lagi untuk orang yang berkuasa...

zaman abdullah badawi ni semua benda kita kena terima....dia kata terbuka..aku kata caca merba...

pereka islam hadhari boleh pegang bahu perempuan yg bukan muhrim...

Unknown said...

Benar kata saudara, Kementerian Kewangan adalah lubuk wang. Semuanya boleh belaka. Sama-samalah kita perati dan usyar...