Tuesday, December 19, 2006

Apa Kata Pak Lah (4)

Masalah kemiskinan rakyat:

Pak Lah berkata kerajaan pimpinannya bertekad menghapuskan kemiskinan daif (hard-core poor) yang masih wujud di kalangan rakyat, sama ada dalam kawasan bandar apatah lagi di desa.

Kerajaan mempunyai kemampuan dan keupayaan untuk membasmi kemiskinan menerusi pelbagai usaha pembangunan negara dan pendidikan yang dilaksanakan sejak dahulu lagi.

Oleh itu, Pak Lah berhasrat membantu golongan daif yang masih wujud bagi merealisasikan (menjadikan kenyataan) wawasan negara untuk muncul maju menjelang 2020.

Pak Lah berkata sebagai perdana menteri yang mewarisi negara yang berjaya, aman, makmur dan stabil, beliau perlu menguruskan negara dengan baik bagi memastikan kejayaan yang dinikmati sekarang dapat diteruskan.

"Saya perlu pastikan golongan miskin keluar dari kemelut kemiskinan mereka demi memastikan kejayaan negara yang ditinggalkan Tun Dr Mahathir Mohamad dapat diteruskan serta menjadikan negara lebih maju dan berjaya pada masa depan," kata Pak Lah ketika berucap merasmikan Islam Hadhari peringkat negeri Pulau Pinang di Kepala Batas pada 28 Februari 2004.

Ulasan saya: Kata-kata Pak Lah memang sedap didengar dan mudah diterima oleh rakyat. Siapa yang mahu hidup dalam kemiskinan? Siapa yang tidak mahu mengecapi keselesaan hidup dan ketenangan jiwa dalam membina keluarga yang bahagia? Oleh itu, kata-kata seperti yang dilafazkan oleh Pak Lah amat dialu-alukan.

Malangnya, saban hari kita dihidangkan oleh pihak media dengan cerita penderitaan rakyat, cerita kehidupan yang amat daif di kampung-kampung dan di dalam kota-kota besar. Pada zaman serba maju ini, masih ada rakyat yang menerangi kehidupan sebelah malam dengan sebatang lilin, masih ada rakyat yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, masih wujud rakyat yang menumpang teduh dalam satu struktur yang tak ubah seperti kandang haiwan atau reban ayam dan masih ada manusia yang menumpang tidur di kaki-kaki lima.

Kita terima hakikat bahawa untuk membasmi kemiskinan bukanlah suatu kerja yang mudah. Kita juga mengakui bahawa kemiskinan akan tetap wujud walaupun di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah.

Malaysia mempunyai pelbagai agensi untuk mengatasi isu kemiskinan tegar tetapi yang menjadi persoalan ialah kesungguhan dan kejujuran pihak yang dipertanggungjawabkan untuk melaksana tugas. Bantuan dan pertolongan dihulurkan atas kepentingan politik dan bukan atas sifat kemanusiaan. Para pegawai jarang turun padang untuk melihat sendiri kedaifan hidup rakyat. Inilah masalah utama yang dihadapi rakyat - kejujuran dalam soal pelaksanaan dasar. Bantuan dan pertolongan diberi kepada mereka yang dikatakan "orang kita" dari sudut kepartian politik.

Kepada Pak Lah, saya ingin bertanya, wajarkah Pak Lah menempah sebuah kapal pesiar mewah (yacht) berharga RM30 juta dari sebuah limbungan di Turki?

Wang sebanyak itu cukup besar dan mampu menyumbang kepada usaha untuk memperbaiki taraf hidup rakyat miskin yang dilaung-laungkan oleh Pak Lah.

Jika benarlah laporan berkenaan, saya juga ingin tahu dari mana Pak Lah memperolehi wang sebanyak itu?

Macam mana nak bekerja bersama-sama Pak Lah kalau cakap tak serupa bikin?

5 comments:

Anonymous said...

cakap pm dollah ni sampai bila2 pun saya tak akan percaya...sebab dia jenis lidah bercabang...

apa yg dia cakap kita kena fikir terbalik....kata nak benteras rasuah..habis yg 600 juta nak di allocate ke bahagian umno tu apa benda ? hadiah ka...kalau hadiah kenapa tidak bagi kepada semua kawasan parlimen....mereka pun rakyat jugak...rakyat sarawak lagilah...meleleh air liur saya dengar bwerita ini...sebab itu mereka bagi signal awal...7 kerusi DAP menang...

dia seorang yg tidak menepati janji...contoh gentleman agreement dia dgn tun sebagai contoh...

mempelopori islam hadhari...tapi dgn muka tak malu pegang bahu perempuan masa monsoon cup..satu dunia sudah melihat gambar itu...

orang macam ni aku nak percaya ??? bagi aku..tahap kredibiliti dia sudah berada di paras negatif...

Anonymous said...

Saudara yang dihormati,

Kata-kata sebegini adalah ayat-ayat lazim yang digunakan untuk menyedapkan hati sendiri dan untuk mendapatkan sokongan. Kadang2 kita sendiri pun gunakan juga dalam keadaan tertentu. Cuma dalam kes ini, ia digunakan terlalu banyak kali. Sampai berdesing telinga kita.

Mungkin Pak Lah berpendapat dia perlu lakukan kedua2nya.....membantu rakyat yang miskin dan dalam masa yang sama menghadiahkan diri sendiri dengan kemewahan hidup....apa lah salahnya...(mungkin itu yg diniatkan dalam hati dia)

Cuma saya berpendapat kalaulah ya pun nakkan kapal layar, kan ke elok ditempah orang kita sendiri yang buat. Di pulau Duyong umpamanya.....pembuat kapal2 layar kita bertaraf dunia......dalam masa yang sama boleh jugak membantu orang kita sendiri, mengelakkan aliran keluar ringgit malaysia, mewujudkan perluang perniagaan, menimbulakan minat rakyat tempatan dalam industri pembuatan kapal layar, membantu mempromosikan produk negara, meningkatkan rasa bangga pada negara dan lain2.

Kalau ada 10 jutawan menempah kapal layar berharga 30juta sebiji di Pulau Duyong, dah RM300 juta.

Dalam setahun dua, Terenganu boleh menjadi terkenal dan masyhur. Nama Malaysia terheret sama masahurnya.

Ia boleh jadi begini kalau diniatkan dari awal. Niat yang tak lain tak bukan, untuk maruah bangsa. (dan dalam hati kita niat kerana Allah SWT-kalau diniatkan terang2 takut nanti terbit pulak riak, lain pulak jadinya)

Satu hal lagi yang timbulkan tandatanya saya, kan ke lagi ekonomikal kalau kita sewa saja mana2 kapal layar dalam dunia ni yang lagi besar dari tu. Bukannya kita nak naik kapal tu sebulan sekali. Setahun sekali pun tak tentu lagi.

Susah jugak nak 'mewaraskan' suatu tindakan yang 'tak waras' ni sebenarnya. Mati akal kita dibuatnya.

Unknown said...

Sdr Mat Jenin,
Memang kurang waras, orang luar datang ke Pulau Duyung tempah kapal layar. Orang luar mengakui mutu kapal layar yang dibuat oleh orang Melayu di Pulau Duyung amat tinggi. Nama Pulau Duyung cukup terkenal di kalangan industri kapal pesiar mewah. Malangnya, pemimpin Malaysia sendiri tidak yakin dan memberi kepercayaan kepada pembina kapal di Pulau Duyung. Sebab itu saya kata cakap tak serupa bikin.

Kpd dukperati, benar kata saudara, wang 600 juta ringgit itu akhirnya akan hangus di kalangan kaum-puak mereka sahaja. Beberapa projek kecil akan dilaksanakan tetapi selebihnya dijadikan habuan politik. Sebab itu, bukan saja Sarawak akan hanyut tetapi P Pinang, Selangor, Perak dan mungkin N Sembilan pada pilihan raya akan datang.

Anonymous said...

duit tu datang dari hasil jual minayk Iraq laa, bro..corrupt habis so called Pak Imam pegang bahu perempuan ni..

Unknown said...

Dia dah nafi, kita terima sajalah kenyataannya itu... kita baik sangka walaupun masih ragu-ragu.