Saturday, September 08, 2012

Istana Kampong Gelam kini Taman Warisan Melayu Singapura

Istana Kampong Gelam yang satu ketika dahulu menjadi singgahsana Sultan yang memerintah Singapura kini bertukar wajah dan peranan sebagai Taman Warisan Melayu Singapura.




Sebanyak 337 artifak yang ada kaitan dengan Kesultanan Melayu dan sejarah bangsa Melayu ditempatkan dalam Istana itu yang merupakan salah satu tarikan pelancongan di republik Singapura.

Saya berada di Singapura menghadiri majlis perkahwinan keluarga apabila Taman Warisan Melayu itu dirasmi semula oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada 2hb September.

Istana Kampong Gelam dijadikan taman berkenaan sejak 2005 tetapi setahun lalu ia ditutup untuk kerja-kerja mengubah suai dan mengubah elok oleh pemerintah Singapura dengan kos 3 juta dolar Singapura atau kira-kira RM7.5 juta.

Istana berusia 169 tahun itu merupakan tempat bersemayam Sultan yang memerintah Singapura sejak kurun ke-19 dan direka bentuk oleh George Coleman yang juga arkitek Bangunan Parlimen (lama) Singapura.  Ia menawarkan ruang peragaan dan pameran seluas 2,900 meter persegi.

Antara khazanah dan artifak yang dipamer ialah selaras senapang jenis Mark III yang diguna oleh Regimen Askar Melayu pimpinan Allahyarham Lt Adnan semasa mempertahan Singapura daripada serangan tentera Jepun. Senapang buatan British itu  ditemui tidak jauh dari kawasan Istana pada tahun 2003.

Turut dipamerkan ialah sebuah piano yang diguna oleh tokoh muzik terkenal Allahyarham Zubir Said yang dikatakan diguna oleh beliau untuk mengarang lagu kebangsaan Singapura "Majulah Singapura" dan bintang serta darjah kebesaran mantan presiden pertama Singapura, Allahyarham Yusof Ishak.

Apabila orang Melayu mengunjungi Taman Warisan Melayu di Kampong Gelam, mereka pasti akan merasa sayu dan hiba melihat kehebatan dan kedaulatan kesultanan Melayu hanya tinggal dalam bentuk sejarah ketara dan tidak ketara. 

Kita boleh meminjam dan mengubah sedikit  bait pantun lama Pulau Pinang untuk menggambarkan suasana yang serupa di Singapura, iaitu:-

Singapura bandar baharu,
Stamford Raffles menjadi raja,
Usah dikenang zaman dahulu,
Pasti menitis si air mata.

Saya yakin dan percaya orang Melayu Malaysia tidak ingin melihat istana raja-raja Melayu yang menjadi lambang kebesaran dan kedaulatan  nusa dan bangsa, bertukar wajah menjadi sama ada muzium atau premis untuk mengenang dan mengingat kembali peranan istana dan kesultanan Melayu. 

Kita tidak perlu menangisi apa yang berlaku di Singapura kerana ia sudahpun menjadi sejarah. Yang jauh lebih penting ialah bagi kita mempertahan kedaulatan dan kedudukan yang ada di tangan.  Kita mesti elak dan ketepikan perbalahan dan permusuhan sesama sendiri jika tidak mahu melihat sejarah hitam pulau Temasik berulang. 

Orang Melayu boleh berselisih faham dan  bertengkarah kerana itu adalah salah satu proses ketamadunan tetapi janganlah pula ia membawa kepada perpecahan dan permusuhan.  Orang Melayu semestinya berpegang kuat kepada kata-kata "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh". 

Orang Melayu mampu bersatu sekiranya mereka mengutamakan kesatuan bangsa daripada perkara-perkara lain termasuk perbezaan ketara dalam gelanggang politik.  Ia bukan seruan berpaksikan perkauman tetapi demi kelangsungan hidup bangsa itu sendiri. 
   





3 comments:

Anonymous said...

Tuan Syed,

Saya pernah ke Istana Kampung Gelam semasa kecil, sekitar 25 tahun yang lepas.

Terdapat perbezaan sangat ketara ketika itu. Struktur bangunan dalam keadaan sangat daif. Ada orang yang sidai baju di depan istana, dinding dan atap yang sudah rosak dan lapuk tidak terjaga. Banyak ayam berkeliaran di Istana. Ada orang tidak siapa yang tinggal di bangunan lama.

Sekarang ini nampaknya ada 180 darjah perbedaan. Tempat ini dicantikkan dan dijadikan tempat bersejarah. Ramai yang datang ziarah.

Begitu juga Bangunan KTM akan dicantikkan dan dijadikan bangunan sejarah, walaupun nilai tanah yang sangat tinggi.

Nampaknya kerajaan kecil di selatan negara kita ini menilai tinggi sejarah lama.

Berdekatan dengan Istana Kampong Gelam ada Sekolah Arab Alsagoff yang sangat lama tetapi masih aktif sampai sekarang.

Kalau diteliti sejarah, bukanlah Singapura yang minta untuk dipisahkan tetapi kita yang mengeluarkan Singapura kerana sebab sebab politik.

Mungkin ada hikmah baiknya, namun pada pandangan saya adalah tidak adil untuk kita mengambil satu contoh dan teladan kerana keadaan di disana sudah berbeza. Orang Melayu sudah menjadi golongan minoriti.

Saya selalu juga pergi ke Singapura. Yang cap pasport di Imegresen Malaysia, orang melayu. Tiba di Singapura, yang cap passport pun orang Melayu juga.

Ada juga kebenaran yang orang melayu dipinggirkan tetapi ada juga cerita yang tidak benar yang disebarkan dengan maksud politik.

Maaf sekiranya saya menyinggung Tuan. Bukan niat saya.

Orang Johor

Unknown said...

Orang Johor,

Saya tidak walau sedikitpun rasa tersinggung kerana kenyataan saudara satu kebenaran.

Apa yang cuba saya ketengahkan ialah Melayu di Malaysia mesti mempertahankan apa yang ada dengan mengenepikan perbezaan dan perbalahan politik. Melayu boleh bebas berpolitik tetapi ia tidak seharusnya membawa kepada perpecahan. Ini yang sedang berlaku.

Saya pernah tinggal hampir lima tahun semasa bertugas di Singapura semasa pentadbiran Lee Kuan Yew dan Goh Chok Tong dan cukup memahami akan kedudukan Melayu pulau itu. Walaupun menghadapi cabaran dan dugaan hidup yang jauh lebih hebat daripada saudara mereka di seberang tambak Johor, mereka cukup cekal dan tabah menghadapinya tanpa mendapat apa-apa keistimewaan. Itu yang saya hormati dan kagumi.

Anonymous said...

Tuan Syed,

Saya setuju sekiranya kita berpecah belah, maka kita akan menjadi lemah.

Pada pandangan saya, mungkin saya salah, sebenarnya bukan perbezaan politik yang memecah belahkan kita tetapi sifat tamak kepada habuan dunia dan juga mementingkan diri sendiri.

Ramai yang boleh menukar pandangan politik disebabkan kepentingan sendiri macam tukar baju.

Sejak berzaman lagi, sifat tamak kepada harta dan kuasa telah memecah belahkan manusia.

Dalam kes Istana Tanjong Gelam. Mungkin saya silap, tolong perbetulkan. Kerajaan Johor tidak iktiraf Sultan yang ditabalkan di Singapura dan terdapat persengkataan kuasa.

Stanford Raffles yang berhajat untuk menguasai Singapura menyokong pertabalan Sultan ketika itu dan dengan itu terbinalah Istana Tanjong Gelam dan bermula era penguasaan British di Malaya.

Pendekkan cerita, sifat tamak bukan sifat cinta kepada sebangsa yang sebenarnya merosakkan bangsa.

Orang Johor