Saturday, December 27, 2008

dok tak dok Shahidan Kassim hentam Sime Darby

Tun Musa Hitam, Pengerusi Sime Darby


"Sime Darby tidak menyerlah dalam NCER" begitulah tajuk utama yang terpampang dalam muka surat dua akhbar Utusan Malaysia hari ini (Sabtu 27 Disember).

Tajuk berita itu melaporkan rasa kurang senang mantan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (Pak Lah) berkaitan Wilayah Ekonomi Koridor Utara atau NCER.

Shahidan dilaporkan sebagai berkata bahawa beliau melihat penglibatan Sime Darby yang membabitkan NCER tidak begitu menyerlah berbanding syarikat-syarikat besar dalam koridor lain seperti Khazanah Nasional Berhad dan Petronas.

Itu kata atau dakwa Shahidan. Persoalannya adakah kebenaran dalam tuduhannya itu dan adakah ia melibatkan kepentingan politik membabitkan Shahidan sendiri?

Kenapa kita tidak dengar rungutan atau rasa kurang senang terbit daripada pihak-pihak berkuasa di Kedah, Pulau Pinang mahupun Perak dan juga pentadbiran negeri Perlis itu sendiri? Kenapa pula Shahidan yang melenting?

Peranan Shahidan, itupun jika ada, selaku Penasihat Khas kepada PM tidak lebih daripada satu simbolik politik kerana ia tanpa kuasa dan tanpa taring. Shahidan tidak dilantik menduduki agensi pelaksana projek NCER iaitu Northern Corridor Implimentation Agency (NCIA). Maka tiada peranan dalam pelaksanaan projek.

Jika Shahidan kata dia adalah perantara antara NCER dengan Perdana Menteri, dia jelas silap besar. Perdana Menteri tidak perlu sebarang perantara kerana PM adalah pengerusi NCIA, badan pelaksana projek. Apa perlu perantara jika PM sendiri terlibat secara langsung dalam pelaksanaan projek?

Sebenarnya, Shahidan ada kepentingan dalam satu-satunya projek NCER yang dirancang untuk Perlis, iaitu Pusat Benih Negara. Pembabitan Shahidan adalah melalui pelan asal untuk melaksanakan projek itu di Kampung Sentua, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Tambun Tulang yang diwakili oleh Shahidan.

Dengar kata, oleh kerana masalah membabitkan kelulusan tanah, maka NCIA memutuskan untuk memindah projek itu ke Bukit Tangga di Kedah. Kerajaan Negeri Kedah pimpinan PAS memberi kerjasama penuh dan baik kepada NCER.

Oleh itu, Perlis atau lebih tepat Shahidan atas sifatnya selaku Penasihat Khas PM kehilangan satu-satunya projek NCER. Kehilangan projek itu, jika benar, sudah tentu mengaibkan Shahidan dan Ahli Parlimen Arau yang turut merangkumi Tambun Tulang, iaitu adiknya Ismail Kassim. Rakyat Perlis sudah tentu akan bertanya bagaimana satu-satunya projek NCER di negeri yang dikenali sebagai Indera Kayangan itu boleh terlepas sedangkan dua orang kuat mereka, Shahidan dan adiknya Ismil, adalah wakil rakyat (Dewan Negeri dan Dewan Rakyat) kawasan itu.

Shahidan tidak seharusnya mempersalah atau mempersoalkan kewibawaan pihak lain semata-mata kerana gagal mempertahankan projek berkenaan dan Shahidan mesti akui bahawa dia tiada kuasa dalam NCER kerana dia tidak terlibat dalam NCIA.

Kedudukan Shahidan selaku Penasihat Khas PM juga akan berakhir Mac tahun depan jika dia mematuhi konvensyen dan pendirian politik sebenar. Ini kerana orang yang melantiknya akan bersara pada Mac 2009 dan mengikut konvensyen semua pelantikan yang dibuat berbentuk "khas" seperti Penasihat-Penasihat Khas Agama, Ehwal Luar, Wanita dan NCER mesti meletak jawatan serentak. Sekiranya mereka tidak berbuat demikian ia menandakan bahawa mereka mengutamakan kepentingan peribadi.

Shahidan mesti meletak jawatan selaku Penasihat Khas kepada PM berkaitan NCER apabila Pak Lah letak jawatan. Kita ingin lihat sama ada Shahidan seorang "gentleman" atau tidak apabila Pak Lah letak jawatan.

Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin tidak memerlukan penasihat atau dia mungkin ada calon lain untuk mengisi sebarang kekosongan yang difikirkan perlu.

Kepada Shahidan, ... tepuk dada tanya selera... hidung tak mancung pipi jangan tersorong-sorong.

No comments: