Timbalan presiden UMNO Najib Abdul Razak berkata parti DAP sedang menghadapi krisis dalaman yang serius berikutan mantan wakil rakyatnya Fong Po Kuan (Batu Gajah) enggan dicalonkan semula ataupun bertanding di mana-mana kerusi yang ditawarkan oleh parti itu.
Media yang dikawal ataupun dikuasai parti pemerintah segera melaporkan di muka hadapan atau muka utama berita tersebut. Biasalah tu.
Tetapi parti pemerintah (utama) iaitu UMNOpun menghadapi perbalahan dan krisis dalaman tetapi tidak diheboh-hebohkan sebegitu meluas oleh media berkenaan.
Apakah UMNO di Perlis tidak bermasalah? Semua orang tahu sandiwara yang sedang dilakonkan oleh Shahidan Kassim sehingga membuatkan Radzi Sheikh Ahmad melenting dan Azmi Khalid berkecil hati.
Bagaimana pula pendirian UMNO Shah Alam dan Langkawi yang akan menolak 'orang luar" sebagai calon parti? Bukankah 'orang luar' itu adalah ahli UMNO juga? Apakah ini bukan satu masalah dan boleh dikatakan satu krisis?
Dalam menghadapi pilihan raya, pemimpin dan ahli UMNO seharusnya mementingkan parti daripada kepentingan sendiri. Dengan menolak pencalonan ahli UMNO yang bukan dari bahagian mereka, ia sebenarnya memperlihatkan betapa cetek dan berkepentingannya pemimpin dan ahli UMNO di bahagian berkenaan.
Sebaliknya, PAS, DAP dan PKR tidak memperlihatkan 'budaya kepentingan setempat' dan mereka menerima siapa saja yang dipilih oleh parti sebagai calon walaupun ia digembar-gemburkan oleh media sebagai calon 'payung terjun'.
Jika keutamaan parti dipentingkan, soal sama ada calon itu anak tempatan, atau dari bahagian atau cawangan setempat seharusnya tidak timbul. Inilah budaya politik sihat dan matang yang seharusnya diamalkan setelah negara merdeka selama 50 tahun. Malangnya, masih ada pemimpin UMNO yang belum matang dan terus mementingkan faktor orang tempatan atau ahli setempat daripada ahli parti, tanpa mengira dari mana asal-usulnya.
1 comment:
Assalamualaikum.. Setiap kali menjelang pilihan raya, kita pasti nampak ketidakadilan laporan di media massa dan media cetak utama negara. Pihak pembangkang selalunya dihentam dan diungkit setiap kesilapan yang masih belum pasti ada kebenarannya.Tapi bagi sebelah pihak lagi,semuanya betul..semuanya indah-indah belaka. lni kah yang dinamakan keseimbangan dalam politik? Memang ramai yang tak berpuas hati dengan keadaan ini.Tapi apa boleh buat? Cakap lebih sikit, nanti kena ISA. Buat demonstrasi cara aman, nanti disalah ertikan sebagai keganasan. Jadi,kita semua tiada pilihan.Cuma dengan memilih calon yang benar-benar ingin berhidmat untuk masyarakat (bukan untuk kepentingan sendiri)sajalah yang dapat keluarkan kita dari belenggu politik yang penuh dengan rasuah dan tiada ketulusan..Wasalam.
Post a Comment