Thursday, February 14, 2008

Persoalan selepas pembubaran Parlimen

Selepas Parlimen dibubarkan:-

1. bolehkah Kabinet atau Kerajaan berfungsi/berjalan seperti biasa?

Jawapan: Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan secara tersirat, saya ulangi secara tersirat, membenarkan seseorang Menteri memegang jawatan sehinggalah bermulanya penggal baru Parlimen.
Perkara 43(2) menyebut: Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti berikut, iaitu-
(a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mengetuai Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada pendapatnya akan mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan itu; dan
(b) atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Menteri-menteri lain dari antara ahli-ahli mana-mana Majlis Parlimen;
tetapi jika sesuatu perlantikan dibuat dalam masa Parlimen dibubarkan, seseorang yang menjadi ahli Dewan Rakyat yang terakhir itu boleh dilantik tetapi tidak boleh terus memegang jawatan selepas persidangan Parlimen yang kemudiannya dimulakan melainkan, jika ia telah dilantik menjadi Perdana Menteri, ia adalah seorang ahli Dewan Rakyat yang baharu itu, dan mengenai seorang Menteri lain, melainkan ia adalah seorang ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara.
Selain daripada itu, berdasarkan kepada konvensyen perlembagaan (constitutional convention) Jemaah Menteri akan terus wujud sebagai Kerajaan 'caretaker' dan seseorang Menteri yang menganggotainya boleh menjalankan tanggungjawab atau fungsinya selepas Parlimen terbubar.
2. bolehkah Menteri merasmikan mana-mana majlis, walaupun ia bukan di bawah tanggungjawabnya?
Jawapan: tidak salah jika Menteri nak rasmi apa-apa majlis termasuk majlis yang bukan di bawah tanggungjawabnya mengikut Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan 2000.
Tetapi jika seseorang Menteri itu merasmikan majlis yang bukan di bawah tanggungjawabnya, Menteri berkenaan tidak boleh dianggap sebagai menjalankan tugasnya sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan 2000, sebaliknya Menteri berkenaan hanya mewakili Menteri yang bertangungjawab bagi majlis tersebut.
Tetapi sekiranya sesuatu majlis itu melibatkan pemberian berupa sumbangan berbentuk kebendaan atau wang atau dalam apa jua bentuk, ia adalah satu sogokan atau perbuatan rasuah dan dicakupi oleh Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) khususnya seksyen 10 yang melarang apa-apa penyogokan dalam bentuk pemberian sedemikian jika ia bertujuan mendorong seseorang pengundi untuk mengundi atau tidak mengundi, atau untuk memancing undi.
Walaupun demikian, seseorang Menteri yang menganggotai Kerajaan 'caretaker' yang bersifat sementara, tidak seharusnya menggunakan kemudahan dan jentera Kerajaan untuk berkempen termasuk kemudahan penyiaran milik kerajaan seperti radio dan televisyen.
Bagi kakitangan awam, slogan kesetiaan kepada kerajaan yang dipilih rakyat atau 'loyaly to the government of the day' tidak timbul kerana Parlimen sudahpun dibubar dan kerajaan pilihan rakyat sudah luput tarikh. Kakitangan awam harus menunggu keputusan pilihan raya dan pembentukan sebuah kerajaan baharu yang mereka dikehendaki memberi sokongan dan taat setia, iaitu kepada 'government of the day'.

No comments: