Wednesday, September 05, 2007

Tun Haniff Omar terpanggil untuk mempertahankan kewibawaan

Mantan Ketua Polis Negara, YBhg Tun Mohamad Haniff Omar, seharusnya merasa kesal dan mungkin marah apabila kewibawaannya dipersoalkan oleh seseorang yang dikatakan "pegawai" PDRM di Bukit Aman. Luahan rasa pegawai berkenaan berpunca daripada satu makalah yang ditulis oleh Tun Haniff dalam akhbar The Star. Antara lain, Tun Haniff mendedahkan wujudanya dua "kuasa" dalam PDRM, satu diketuai oleh KPN Tan Sri Musa Hassan dan satu lagi oleh salah seorang pengarah di Bukit Aman yang disokong oleh seorang timbalan menteri.

Umum telahpun mengetahui tentang "pendedahan" oleh Tun Haniff dan tidak perlu diulangi lagi. Saya memihak kepada kebenaran dan kebenaran memihak kepada Tun Haniff.

Imej pasukan polis yang dipimpin oleh Tun Haniff jauh lebih baik daripada yang dipimpin oleh semua KPN selepasnya dan sudah tentu amat berbeza dengan yang wujud sekarang. Pemakaian lencana anti-rasuah oleh anggota polis sekarang dengan sendirinya memberi gambaran bahawa masalah itu adalah serius. Jika tidak, kenapa mesti paparkan lencana itu pada pakaian seragam?

Kita akui bukan semua anggota polis tidak baik, rasuah dan menyalahguna kuasa. Majoriti adalah anggota dan pegawai yang dedikasi, taat dan setia. Kita amat menghargai dan menyanjung tinggi anggota dan pegawai yang sedemikian. Malangnya, perbuatan segelintir anggota telah menjejas nama baik pasukan yang telahpun terpalit lumpur.

Kes terbaru membabitkan empat orang mata-mata gelap atau detektif yang membelasah seorang wasit karate dari Indonesia sehingga mewujudkan sedikit ketegangan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia, boleh dijadikan iktibar. Apakah tidak memadai bagi mata dunia menumpu ke Malaysia mengikuti perbicaraan kes pembunuhan kejam seorang wanita Mongolia yang menurut kes pertuduhan, dilakukan oleh dua orang anggota polis, walaupun belum terbukti yang mereka melakukan jenayah itu? Apakah perlu bagi anggota polis menambah satu lagi episod untuk membolehkan dunia membuat andaian atau tanggapan terhadap kewibawaan pasukan polis kita?

Saya masih menunggu komen timbalan menteri keselamatan dalam negeri, Datuk Johari Baharom yang sebelum ini sering "menghentam" PDRM termasuk KPN Musa Hassan. Apa dah jadi, Datuk?

1 comment:

Berita dari gunung said...

Tun Haniff and the police.

I am still trying hard to assimilate the whole issue.... it's like a warm-up to a big race!!