Thursday, July 14, 2011

UMNO, PMO, MEDIA DAN BERSIH 2.0

Seorang pemimpin UMNO kurang senang kerana saya menyiarkan foto pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam blog ini yang berkaitan bantahan jalanan oleh Bersih 2.0 pada 9 Julai. Saya tidak hairan dan terperanjat dengan sikapnya itu kerana itulah pemikiran mereka yang selalunya berada dalam kotak.

Adalah menjadi hak mutlak saya sebagai seorang pengamat bebas yang menulis secara bebas tanpa menerima petunjuk ataupun arahan daripada mana-mana pihak jauh sekali menerima upah atau bayaran. Kepada saya, foto itu cukup berharga, tidak kiralah sama ada ia satu lakonan Anwar, seperti yang dikata oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, atau ia benar-benar berlaku.

Saya sedar bahawa foto itu tidak akan mendapat tempat dalam mana-mana akhbar arus perdana ataupun stesen-stesen tv yang sama ada dikuasai, dikawal atupun dimiliki oleh parti-parti politik pendokong pemerintah atau syarikat-syarikat yang dimiliki mereka.

Foto itu disebar ke seluruh dunia oleh agensi berita Reuters kerana ia mempunyai nilai berita.

Apabila saya menyiarkan foto itu bersama-sama foto lain yang dikutip daripada laman-laman sesawang akhbar The Star dan Malaysiakini, saya memberi peluang kepada pembaca blog untuk mengamati mengenai apa yang berlaku.

Seperti yang saya katakan awal lagi, saya adalah seorang penulis bebas, saya tidak bekerja untuk mana-mana pihak dan jauh sekali menerima arahan sama ada secara lisan atau bertulis daripada Pejabat Perdana Menteri atau PMO seperti yang berlaku ke atas akhbar dan media arus perdana. Oleh itu, apa yang saya tulis mungkin tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu, saya tidak kisah kerana itu hak mereka. 

Sebagai seorang yang pernah bertugas dengan agensi berita kebangsaan Bernama selama 27 tahun dan hampir lima tahun sebagai setiausaha akhbar kepada menteri di JPM, saya cukup masak dan sedar akan 'arahan' yang sering diterima oleh media daripada PMO, tetapi ia tidaklah sehebat apa yang berlaku sebelum bantahan jalanan oleh bersih 2.0.

Seperti yang disiar oleh media dalam talian Malaysia Today pada 11 Julai, media arus perdana dan hampir semua media pro-pemerintah menerima petunjuk dan pesanan daripada PMO berkaitan isu Bersih, untuk perhatian dan tindakan, di mana perlu.

Petunjuk dan pesanan itu, yang lebih merupakan 'arahan' berpunca daripada apa yang diputuskan oleh Biro Politik UMNO, iaitu  biro paling berpengauh dan 'berkuasa' dalam UMNO. Apa yang diputuskan oleh biro yang dipengerusi oleh Najib itu lazimnya menjadi 'dasar' atau 'hala tuju' pemerintah.

Petunjuk dan pesanan  bertulis itu yang disebut sebagai 'nota' diedarkan kepada media oleh ketua pasukan komunikasi kebangsaan di PMO, Abdul Jalil Hamid, mantan wartawan. Nota itu menggarisi panduan dasar dan apa yang harus dibuat dan dielak oleh media dalam menangani isu Bersih 2.0.

Antara 'nasihat' yang disampaikan kepada media termasuklah memberi gambaran buruk terhadap pertubuhan dan pemimpin-pemimpin penting Bersih, mengulang sebut bahawa ia adalah perhimpunan haram dan mereka yang mendokong Bersih adalah pengacau dan cuba mencabar Perlembagaan dan undang-undang untuk mendapat pulangan politik.

Media juga diminta membangkitkan kebimbangan di kalangan rakyat bahawa Bersih bekerja untuk kepentingan anasir-anasir luar negara yang cuba menggugat kestabilan negara. Bersih sebenarnya tidak bersih kerana ia adalah perkumpulan haram yang hanya ingin menimbulkan kacau bilau.

Kementerian Dalam Negeri perlu tegas dengan kuasanya ke atas media agar mereka tidak tersasar dari landasan manakala polis akan bertindak ke atas penganjur Bersih berlandaskan ratusan laporan yang dibuat di seluruh negara.

Media juga diminta mengutamakan berita yang berkisar kepada bagaimana perniagaan, peniaga-peniaga kecil, pelancongan dan orang ramai yang akan terjejas akibat rancangan Bersih dan mempersoalkan dari mana Bersih mendapat dana untuk mengadakan tunjuk perasaan itu.

Tiga tokoh utama akan dijadikan 'mangsa' sasaran iaitu Anwar, timbalan presiden PAS Mat Sabu yang dilabel sebagai budak suruhan Anwar dan tali barut DAP dan pengerusi Bersih S. Ambiga. Media diminta guna foto Ambiga bersama-sama pemimpin Pakatan Rakyat untuk menunjukkan keakrabannya dengan mereka.

Media juga diminta mengurangkan penggunaan 'muka-muka yang sama' iaitu Zulkifli Nordin, Zahrain Hashim dan Ibrahim Ali selaku 'alat serangan' tetapi cuba cari muka-muka baru di kalangan Pemuda BN dan NGO tertentu. Stesen-stesen tv akan terus menyiarkan imej demonstrasi-demonstrasi ganas yang berlaku di luar negara.

Sekarang pembaca sudah pasti tahu kenapa stesen-stesen tv selalunya mewawancara Zulkifli dan Zahrain, dua orang mantan wakil rakyat PR yang kini bersifat wakil rakyat bebas mesra BN, apabila pihak media ingin menghentam pemimpin pembangkang tertentu. Saya yakin Zulkifli dan Zahrain akan mendapati amat sukar untuk mempertahan kerusi masing-masing pada PRU akan datang, itupun jika mereka dipilih oleh BN untuk bertanding atau bertanding atas tiket bebas.  

Saya tidak mahu mempersalahkan sepenuhnya ketua-ketua pengarang, pengarang bersekutu, pengarang kumpulan mahupun pengarang media arus perdana yang hampir semuanya bergelar datuk dan datuk seri   semata-mata kerana mematuhi apa yang diminta oleh PMO. Mereka semestinya dan seharusnya ingin pertahan kedudukan, jawatan dan habuan bulanan kerana bukan mudah untuk menduduki kerusi masing-masing apatah pula keselesaan dan kemewahan.

Yang perlu diingati ialah kuasa yang ada pada rakyat, bukan kuasa yang ada pada PMO, KDN, PDRM ataupun SPR. Jika rakyat puas hati dengan pencapaian BN, maka mereka akan mengekalkan kuasa pemerintah kepada gabungan itu dan jika mereka memilih PR, maka akan berubahlah segala-galanya termasuk kedudukan para pengarang media arus perdana.


 

8 comments:

Anonymous said...

tuan,

sayangnya sesiapa yang menjadi penyokong BN akan mendapat penyakit buta bisu dan tuli, tak dapat diubati lagi oleh sesiapa hatta doktor paling pakar di dunia


pakya.

Unknown said...

pakya,

Mereka masih dengan sindrom penafian sedangkan dunia memerhati apa yang berlaku.

Ellese said...

Ya ke? Sama aje. Anwar Akan main cara sama. Lihat saja pilihan dalaman mereka. Itu menggambarkan nilai dan pegangan Anwar dan penyokongnya.

asmah said...

tuan,

saya selalu mengikuti blog tuan dan amat meminati tulisan yg bersifat terbuka dan bebas, namun inilah pertama kali saya terpanggil untuk membuat sedikit komen setelah apa yg terjadi pada 9jul yg lalu.

Pada saya tindakan yg telah dilakukan pada bersih membuat lebih ramai lagi rakyat membuka mata tentang bagaimana takutnya sang penguasa akan kehilangan kuasa dan bagaimana cara sang penguasa mempertahankankan kuasa
dengan mempergunakan segala cara dan memperalatkan seluruh jentera kerajaan demi kuasa mereka.

Tapi rakyat bukan bodoh, puluhan ribu rakyat turun, walaupun terpaksa menghadapi seribu rintangan. Syabas kepada mera-mereka yg berani dan berjiwa besar

Unknown said...

Ellese,

Mungkin begitu, tapi cuba bayangkan keadaan tanpa Anwar kerana tidak semestinya dia yang menjadi ketua.

Asmah,

Terima kasih atas kata-kata yang memberi semangat itu. Banyak perkara yang berlaku tetapi tidak dilapor oleh media atas 'arahan'.

Bekas Wartawan Bernama TV 2008-2010 said...

tuan syed,

saya antara ribuan yg mengikuti perkembangan blog tuan dan saya akui 'pendedahan' tuan kali ini antara yang terbaik.

Meskipun kerajaan menafikan akan 'kebenaran' yang berlaku pada 9 julai lalu namun kerajaan harus akui rakyat kini 'cerdik'.

Paparan2 menerusi laman web youtube, agensi berita luar negara seperti al-jazeera, bbc, cnn sudah cukup menyangkal dakwaan PM akan tindakan kekerasan polis terhadap perhimpun bersih.

Dan saya cukup yakin, jika perhimpunan seumpama ini diadakan sekali lagi menjelang PRU ke-13 PASTI akan berlaku peralihan kuasa kepada PR.. insyaAllah.

Teringat saya akan hujah Imam Muda Nazrul ketika menjawab soalan hadis Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady mengenai 'PEMIMPIN"..

sama2 kita renungkan..

link:

http://www.youtube.com/watch?v=qApe29dtPEQ

Anonymous said...

Tuan Syed,

Kebetulan ada siaran television saya tengok beberapa hari lepas berkenaan dengan kewartawanan "journalism", dalam bahasa inggeris bertajuk "spin" yang sekarang digunakan di dalam media oleh wartawan berita mahupun oleh pengiklan(marketing).

Mengikut takrif "spin" bermaksud mengambil kesempatan terhadap kekurangan maklumat pembaca/penerima berita dengan menyampaikan maklumat atau keadah penyampaian yang memberikan kepentingan kepada pemberi berita.

Persoalannya disini, di zaman IT ini, tidak lagi timbul soal kekurangan maklumat. Sekarang ada blog, facebook, tweeter dan juga sumber maklumat dari luar seperti cnn, dan lain-lain.

Bukan senang kalau hendak "control" maklumat yang sampai kepada orang ramai. Kalau zaman dulu 20 tahun boleh lah.

Anonymous said...

Kelemahan, kepincangan dan keburukan Najib dan barisan kepimpinan UMNO/BN tidak dapat dikurangkan dengan menuding jari kpd Anwar. Ini kecenderungan penyokong Najib/BN apabila berhadapan dgn tulisan bebas orang media veteran spt Tuan Syed. Tanpa Anwar, jauh lebih teruk Najib dan UMNO/BN akan bermaharajalela. Menyamakan Anwar dgn kalangan pemimpin semasa adalah lawak paling bodoh.

sri hartamas