Sunday, July 03, 2011

Saya nak pakai baju bersih berwarna kuning, salahkah?

Tak habis-habis cerita berkaitan baju kuning dan bersih. Setiap stesen tv ada saja berita terkini, begitu juga dengan stesen-stesen radio dan tidak ketinggalan surat khabar arus perdana mahupun yang tiada arus.

Kepada mereka yang memihak kepada parti pemerintah, lain ceritanya dengan  mereka yang condong kepada parti-parti pembangkang. Begitu juga dengan media arus perdana dan yang tiada arus.

Seperti biasa, pihak polis segera bertindak menahan, menggari dan memohon perintah reman dari mahkamah semata-mata kerana ada orang, terutama sekali dari puak pembangkang, yang memakai baju berwarna kuning dengan tulisan tertentu, termasuk perkataan BERSIH.

Rampasan demi rampasan dibuat membabitkan kemeja 'T' yang dikatakan menyokong BERSIH, sepanduk, lencana dan macam-macam lagi. 

Saya tidak menyokong mana-mana pihak, tetapi mendapati apa yang sedang berlaku dan bakal dilakukan oleh kedua-dua pihak yang 'bertentangan' hanya akan menjejas imej negara dan mungkin mengakibat sesuatu tindakan ke atas negara yang dicintai.

Dunia sedang memerhati dan mengawasi apa yang sedang dan akan berlaku. Kita tidak boleh menutup mata dunia kerana kita hidup dalam era dunia tanpa sempadan, dunia siber yang membolehkan pihak luar melihat apa yang sedang berlaku di sini dalam sekelip mata sahaja. Sama seperti apa yang kita tontoni melalui kelir tv tentang apa yang berlaku di negara lain - di Mesir, di Libya, di Yaman, di Suria atau Syria, di Afghanistan, di Greece mahupun di Bangkok. Kita tidak boleh menyekatnya walaupun kita 'mengharamkan' kemeja 'T' berwarna kuning yang dikaitkan dengan BERSIH 2.0 dan apa saja 'sekatan' atau 'larangan'.

Hari ini hari Sabtu tanggal 3 Julai dan Sabtu depan adalah tarikh yang dikaitkan dengan protes jalanan BERSIH 2.0. Kita tidak pasti sama ada ia akan berlaku atau pihak pemerintah akan mengambil tindakan drastik dengan mengisytihar darurat untuk mencegah ia daripada berlaku.

Saya ke bandar memakai kemeja 'T' berwarn kuning, kemeja 'T' itu bersih, tidak kotor kerana hanya orang tertentu sahaja yang akan memakai baju atau kemeja 'T' kotor. Semasa di lobi sebuah bank, ada beberapa biji mata yang memerhati mungkin kerana saya memakai kemeja 'T' berwarn kuning. Mungkin mereka sangka ianya ada kaitan dengan BERSIH 2.0. Saya tidak hirau kerana ia bukan satu kesalahan.

Sabtu depan, iaitu pada 9 Julai, saya akan memakai kemeja 'T' berwarna kuning yang sudah tentunya bersih dan tidak kotor. Ia tiada kaitan dengan BERSIH 2.0 dan tiada undang-undang yang melarang saya daripada memakai baju atau apa saja pakaian berwarna kuning, warna yang pada orang Melayu melambangkan warna di-raja.  

Ia bukan satu kesalahan kecuali ada pihak yang melihat sebaliknya, iaitu melanggar undang-undang. Setahu saya, hanya orang yang tidak berpakaian atau yang telanjang bulat, iaitu berbogel, di khalayak ramai yang melakukan kesalahan, itupun kerana kurang siuman.

Bercakap mengenai soal siuman, adalah diharapkan agar semua pihak yang bakal terlibat pada 9 Julai ini akan berfikiran waras, sewaras-warasnya  sebelum melakukan sesuatu. Jauhi sebarang perbuatan atau tindakan yang boleh dikaitkan dengan perbuatan tidak siuman.

Plato pernah berkata - ''Berfikir ialah perbualan jiwa dengan diri sendiri. Orang yang tidak berdaya untuk berfikir ialah seorang yang bodoh.''

Jika kita tidak puas hati atau tidak setuju dengan parti yang memerintah, sama ada di peringkat persekutuan ataupun negeri termasuk yang ditadbir oleh parti lawan,  gunakan kuasa untuk mengubahnya melalui peti undi pada PRU ke-13. Kuasa ada di tangan kita, pengundi.

 


 

11 comments:

LAPAN GALLERY said...

Sebuah artikel yang hanya membuang masa pembaca. Lain kali nak komen sesuatu pastikan saudara telah maklum semaklum-maklumnya tentang perkara yang nak diulas tersebut. Kita tak menafikan bahawa kita akan gunakan saluran pilihanraya untuk menzahirkan sokongan dan pendirian kita tapi macam mana kita nak masuk gelanggang bila kita dah tahu pengadil berat sebelah? Justeru BERSIH 2.0 hanyalah bertujuan dan bermatlamatkan agar beberapa perkara di dalam amalan pilihanraya dilaksanakan dengan adil dan saksama! Tu saja! Susah sangat ker nak faham!!!!

mr edz said...

harap harap BN akan terlingkup PRU nanti

Anonymous said...

Kehadapan yang dohormati sahabat saya di Kuda Ranggi.
Tuan Syed memberi satu gambaran yang penuh erti bagi semua rakyat Malaysia termasuk saya.
Penulisan Tuan Syed juga diakhiri dengan sesuatu yang praktikal, iaitu kuasa rakyat melalui pengundian. Cuma yang saya harap dapat membaca satu penulisan mengenai perkembangan terkini mengenai jumalah pengundi pada senarai daftar pemilih yang terkini bersama pandangan saudara mengenai trend pilihan para pengundi berasaskan
senarai pendaftaran tersebut... Dahulu anak anak-anak muda yang layak liat nak mendaftar, bagaimana pula sikap mereka sekarang?

Unknown said...

mr edz,

Jika itu kehendak rakyat, iaitu pengundi,maka ia akan jadi kenyatan.

MAT JS,

Terima kasih. Setahu saya minat di kalangan golongan muda ada peningkatan. Jika nak tulis mengenainya, perlu kerjsama pihak berkenaan, itupun jika mereka mahu berbuat demikian.

Unknown said...

LAPAN GALLERY,

Terpulanglah kepada kebijaksanaan seseorang itu untuk menilainya. Jika anda fikir ia membuang masa, maka masa andalah yang terbuang, bukan masa orang lain.

Teringat saya akan kata-kata hikmat ...'Jangan mendekati seekor kambing dari depan, kuda dari belakang dan kebodohan dari segala arah.'

Anonymous said...

LAPAN GALERRY,
Jika benar gelanggang berat sebelah seperti yang saudara katakan, boleh saudara jelaskan bagaimana Pakatan Rakyat boleh menang banyak dan mengambil alih pentadbiran 4 negeri daripada Barisan selepas PRU12?

Sila jelaskan.

~ OnDaStreet

Syed Amat said...

Pak Habib,

Saya tak paham dgn mereka yang membangkang kerajaan secara membuta tuli. Pada pandangan saya penulisan Pak Habib amat jelas dan terbaik dan tidak menyebelahi mana-mana pihak. Amat tepat sekali, tulisan Pak Habib yang mengatakan kerajaan tidak sepatutnya menggunakan kuasa secara membuta tuli, seperti menangkap mereka-mereka yang berpakaian kuning. Ini amat jelas, jika kerajaan menyalah guna kuasa sedemikian, rakyat akan menggunakan kuasa mereka sepenuhnya untuk menjatuhkan kerajaan secara yang berhemah tanpa membawa kepada kemudaratan negara dan kesejahteraan rakyat.

Jika benar, pilihanraya di Malaysia tidak adil, mengapa parti-parti pembangkang masih mahu melibatkan diri dalam setiap pilihanraya yang diadakan. Mengapa 5 buah negeri termasuk negeri yang kaya seperti Selangor, Pulau Pinang dan Perak boleh terlepas kepada parti pembangkang. Mengapa benda-benda sebegini tidak dapat dilihat dengan hati yang jujur dan ikhlas.

Bagi saya, sesiapa yang menyatakan bahawa berdemonstrasi di jalanraya itu bagus, mereka adalah terdiri daripada 2 ketogeri manusia dalam masyarakat :-

Ketogeri 1 : Cerdik tetapi jahat. Puak2 ini mempunyai kepentingan peribadi dan mendapat keuntungan jika perhimpuanan itu berjaya.

Ketogeri 2 : Bodoh tetapi sombong. Puak2 ini adalah golongan yang dipergunakan oleh puak2 diatas tadi bagi mencapai hasrat mereka. Golongan kedua ini, tidak mendapat apa2 kecuali semburan air kumbuhan.

john brown said...

bro syed,
kita hendak tanya siapa yang mulakan dulu? kalau tak puas hati, daftar atas nama parti politik dan boleh bertanding dalam pilihanraya umum nanti. susah betul manusia ini kerana tidak tahu bezakan 'bodoh' dan 'berani'!

snow white said...

bro,
tak ada siapa yang melarang nak pakai baju colour apapun, jangan tak berpakaian sudahlah. satu sahaja, tak perlulah join perarakan haram tu.

Unknown said...

SPR sama seperti agensi-agensi kerajaan yang lain, iaitu tidak sempurna. Kerajaanpun tidak sempurna. Kenapa? Sebab manusia yang mengendalikannya.

Jika SPR sempurna, maka tidak akan berlaku himpunan sebegitu banyak nama pemilih dalam satu alamat. Tetapi, kita tidak boleh mempersalahkan SPR sepenuhnya. Dalam setahun SPR mengadakan tidak kurang dari sekali proses semakan daftar pemilih. Berapa ramai yang keluar untuk menyemak? Jawapannya tidak ramai. Oleh itu, jika terdapat nama pemilih 'luar' dalam senarai di alamat rumah kita dan kita pula tidak semak, sudah tentu SPR pun tak tahu. Kerjasama kita amat penting dalam mempastikan tiada nama orang 'luar' yang menggunakan alamat kita.

Soal sama ada SPR bertindak adil selaku pengadil, seperti yang ramai menyebutnya, jika SPR tidak adil mana mungkin parti politik yang 'bukan kawan kongsi' boleh menang. Di kawasan saya di Ampang umpamanya, wakil rakyat negeri adalah dari parti PAS manakala untuk Dewan Rakyat atau Parlimen dari PKR. Ia tidak mungkin berlaku sekiranya SPR bersikap tidak adil.

Saya akui ada pegawai SPR yang bersikap memihak kepada satu-satu parti politik, sama ada yang menyokong atau yang menentang kerajaan. Tetapi kita tidak boleh menyatakan bahawa SPR itu sendiri tidak adil.

Syed Amat said...

Pak Habib,

Bg saya bukan salah SPR kalau beratus sekali pun nama pengundi dalam satu alamat. Dan bukan suatu penyelewengan jika nama2 tersebut tidak membuang undi. Nak marah SPR pun tunjukkan bukti semua nama2 tersebut keluar membuang undi.