Thursday, July 28, 2011

Mantan hakim mahkamah persekutuan sesuai sebagai pengerusi SPR

Saya setuju dengan cadangan mantan hakim Mahkamah Tinggi Malaya, Datuk Abdul Razak Abu Samah agar seorang mantan hakim Mahkamah Persekutuan dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya atau SPR dan bukan seorang pesara perkhidmatan awam seperti sekarang.

Hujah Datuk Abdul Razak bahawa mantan hakim Mahkamah Persekutuan yang ariff mengenai undang-undang mampu bertindak secara adil, bebas dan telus berbanding dengan seorang pesara kerajaan mungkin boleh dipertikai tetapi ia ada kebenarannya.

Seorang pesara kerajaan yang pernah memegang jawatan tinggi seperti ketua setiausaha sesebuah kementerian sudah pasti terus terikat dengan budaya kerja semasa berkhidmat dan selalunya dilihat sebagai penyokong kerajaan, iaitu pihak yang mencadang namanya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik sebagai pengerusi SPR.

Kita sedar bahawa menurut  Perkara 114 dalam kurungan 1,  Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, dan hendaklah mengandungi seorang pengerusi, seorang timbalan pengerusi dan lima orang ahli lain.

Kita juga sedia maklum bahawa nama mereka yang bakal dilantik itu diserah oleh kerajaan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan seperti yang dikehendaki oleh Perlembagaan. Oleh itu, mereka adalah orang yang dipilih oleh kerajaan.
 
Pada melantik ahli-ahli SPR, Yang di-Pertuan Agong hendaklah memandang kepada mustahaknya diadakan suatu Suruhanjaya Pilihan Raya yang mendapat  kepercayaan awam. Soal di sini adalah kepercayaan awam dan apa yang berlaku kebelakangan ini sedikit sebanyak mengaitkan kepercayaan awam terhadap kebebasan dan  kesaksamaan SPR.
 
Seseorang ahli SPR  adalah terhenti memegang jawatan apabila mencapai umur 65 tahun atau apabila hilang kelayakan oleh kerana, antara lainnya, akibat bankrap atau muflis yang belum dilepaskan; mengambil bahagian dalam apa-apa jawatan atau pekerjaan bergaji di luar tugas jawatannya; atau adalah seorang ahli mana-mana Majlis Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Sama ada kita setuju atau tidak, kewibawaan SPR menjadi tanda tanya ekoran daripada isu Bersih 2.0 yang mendapat liputan meluas seantero dunia. Pihak kerajaan sudah tentu mempertahankan kebebasan SPR  manakala pihak pembangkang dan beberapa NGO termasuk Majlis Peguam melihat sebaliknya walupun tidak secara menyeluruh.

Tugas SPR adalah untuk menjalankan pilihan raya bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negeri serta menyedia dan menyemak daftar-daftar pemilih untuk pilihan raya itu tertakluk kepada peruntukan undang-undang persekutuan. 

Soal sama ada berlaku kekosongan dalam sama ada Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri-Negeri bergantung kepada keputusan Speaker, bukan pihak lain termasuk Mahkamah dan SPR seharusnya akur dengan pemakluman oleh Speaker. Inilah antara perkara penting yang menjadi perbahasan kerana ada ketikanya, SPR bertindak atas pemakluman Speaker dan ada kalanya SPR sendiri membuat keputusan sama ada kekosongan itu berlaku atau sebaliknya.

Perkara sedemikian tidak berlaku semasa SPR dipimpin oleh almarhum Tan Sri Ahmad Perang dan tidak pula berbangkit masalah besar atau sebarang perasaan sangsi terhadap kebebasan SPR. Perkara yang sama boleh dikatakan wujud semasa Tan Sri Abdul Rashid menjadi pengerusi SPR. Tetapi, di bawah kepimpinan pengerusi yang ada sekarang, ketakpuasan hati mengenai kebebasan dan ketelusan SPR dibangkitkan termasuk oleh Bersih 2.0.

Mungkin benar apa yang dikatakan oleh Datuk Abdul Razak bahawa perlantikan pesara kerajaan untuk mengetuai SPR mungkin tidak akan dilihat sebagai mampu 'bebas sepenuhnya' kerana mereka begitu dekat dengan pihak pentadbiran dan dilantik pula atas cadangan pentadbiran.

Bagaimanapun, saya  yakin kerajaan tidak akan beralih daripada apa-apa amalan yang membawa kebaikan kepadanya. Oleh itu, kita akan terus melihat SPR diketuai oleh pesara kerajaan yang dipilih oleh  pihak pentadbiran.



 


2 comments:

d'enricher said...

Tuan,

Yang menghairankan saya ialah setiap yang baik untuk negara seperti Badan Kehakiman dan Agensi-Agensi Awam yang sepatutnya ADIL dan TELUS, tetapi masih dilihat sebagai sebaliknya perlu dinilai semula.

Ini akan menguntungkan semua pihak, selagi mana pihak tersebut hendakkan KEADILAN.

Sebaliknya, mereka yang kata semuanya ok, tapi tidak mahu mendengar komen yang tidak secocok dengan mereka, mungkin takut kepada kebenaran atau ingin menyorokkan sesuatu dari umum.

Bayangkan SPR yang bersih,

1. maka Pilihanraya jadi bersih, Wakil yang terpilih adalah mereka yang mendapat sokongan majoriti rakyat (tak kiralah dari pihak mana).

2. Kerajaan yang ditubuhkan pula akan dinilai bersih kerana Pilihanraya diakui bersih.

3. Kerajaan yang bersih memastikan setiap Agensi Awam Bersih maka dengan sendirinya semua Agensi (PDRM dan sebagainya) lebih dihormati kerana ADIL dan menjalankan tugas yang sepatutnya dan bukan kerana orang2 tertentu.

4. Apabila ada yang tidak berpuashati, MACC yang telus dan bersih pula diyakini oleh rakyat.

5. Kalau sekiranya ada yang masih tidak berpuashati, maka mereka boleh mendapatkan keadilan dari Badan kehakiman yang ADIL atau bila perlu RCI ditubuhkan agar perkara yang tergantung dapat dihadapi dengan yakin dan ADIL.

6. Kalau tak puashati juga, lima tahun nanti PRU, buat keputusan dan SPR yang ADIL akan memberi mereka peluang untuk membuat keputusan semula.

Maka circle ini berulang kembali.

Rasanya kat Malaysia atau pun didunia hari ini boleh ke kita jumpa keadilan semutlak ini???

A.Alshukor

snow white said...

bro syed,
saya menyokong penuh cadangan melantik pengerusi spr dari kalangan bekas hakim mahkamah tinggi yang begitu arif dengan proses perundangan negara. pengerusi yang ada sekarang masih merasakan beliau terikat sebagai pegawai tinggi kerajaan, terutama ptd. saya percaya pm akan memikirkan cadangan ini sebaik mungkin atas nama ketelusan dan keterbukaan. gerombolan bersih 2.0 atau 'ketua mereka yang sebenar di balik tabir' (anwar ibrahim)pasti gumbira sekiranya pm melantik bekas hakim sebagai pengerusi spr.