Wednesday, April 29, 2009

Yang terbaik untuk Perkhidmatan Awam

Saya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuka ruang dalam pengurusan tertinggi Perkhidmatan Awam kepada sektor swasta dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Langkah itu diyakini dapat memperbaiki dan mempertingkatkan mutu perkhidmatan dan kepimpinan dalam pelbagai sektor perkhidmatan awam yang selama ini diisi sepenuhnya oleh para pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD).

Jabatan Penyiaran telahpun menyaksikan pelantikan seorang pegawai yang bukan daripada perkhidmatan awam atau PTD selaku Ketua Pengarah. Pelantikan Ibrahim Yahya, walaupun mendapat bantahan, telah membuka jalan ke arah sesuatu yang positif.

Pengisian jawatan-jawatan tertinggi termasuk Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) seperti ketua-ketua setiausaha kementerian dan jabatan serta agensi utama oleh mereka yang benar-benar layak dan mampu daripada sektor swasta dan GLC adalah demi kebaikan negara.

Persatuan PTD tidak seharusnya cemburu dan merasa resah-gelisah kerana langkah yang bakal diambil itu adalah untuk kepentingan negara. Zaman dimana PTD menguasai jawatan-jawatan tertentu dan tertinggi sudahpun berakhir.

Walau bagaimanapun, saya berpendapat kerajaan perlu memberi penjelasan lanjut memandangkan belum ada takrif yang tepat mengenai perkhidmatan awam jika dilihat daripada sudut Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 132.

Perkhidmatan Awam ditakrifkan sebagai:
(a) angkatan tentera;
(b) perkhidmatan kehakiman dan undang-undang;
(c) perkhidmatan awam am persekutuan;
(d) pasukan polis;
(e) perkhidmatan awam bersama yang tersebut dalam Perkara 133;
(f) perkhidmatan awam tiap-tiap satu Negeri; dan
(g) perkhidmatan pelajaran.

Dari senarai di atas, kita percaya jawatan yang berkaitan angkatan tentera dan polis tidak mungkin dibuka kepada "orang luar" atas beberapa faktor terutama keselamatan.

Jawatan lain termasuk untuk perkhidmatan kehakiman dan undang-undang boleh dan telahpun dibuka kepada "orang luar" termasuk bagi jawatan Peguam Negara.

Antara perkhidmatan kerajaan yang seharusnya dibuka kepada "orang luar" selain pentadbiran adalah kesihatan, pelajaran, kejuruteraan (terutama kerja raya), pengangkutan, penerbangan awam, ekonomi dan kewangan, tenaga (elektrik, petrolium dan gas).

Yang perlu diingatkan ialah dalam melaksanakan langkah baru itu, kerajaan harus tidak mengabaikan empat faktor penting iaitu:-

(1) memelihara undang-undang dan keselamatan
(2) penggubalan dasar hasil
(3) pembangunan ekonomi dan
(4) pembangunan modal insan

Dalam pada itu, kerajaan perlu mengkaji semula beberapa aturan dan peraturan yang terkandung dalam Perintah-Perintah Am, Pekeliling Perkhidmatan dan Arahan Perbendaharaan yang dikeluarkan dari masa ke masa kepada perkhidmatan awam.

Ada antaranya yang ketinggalan zaman dan ada yang sudah tidak sesuai dengan kemajuan dan era kesejagatan sekarang.

Tidak dapat dinafikan ada antara perkara yang terkandung dalam Perintah-Perintah Am, pekeliling dan arahan-arahan pentadbiran itu sendiri yang menyekat para pegawai kerajaan untuk melakukan sesuatu demi kebaikan perkhidmatan.

Kenaikan pangkat dan pelantikan pegawai semestinya dilakukan secara adil dan saksama dengan mementingkan merit selain kelayakan dan pengalaman bekerja.

Tugas dan peranan yang diamanahkan kepada perkhidmatan awam selaku pelaksana dasar pemerintah adalah penting dan perkhidmatan awam yang bersih, cekap dan beramanah telah dan akan terus menyumbang kepada pembangunan dan kemakmuran negara.


3 comments:

jerry lim said...

This is something I would like to share with all friends.When I first went into Lim Kit Siang's blog (blog.limkitsiang.com), the first thing I read is him calling Mukhriz (Jerlun MP) and Tan Keng Liang (gerakan kedah youth chief) as people "lack of grey matters" and silly. That was about 2 weeks ago. Today, I read that he said "the IQ of the Health Minister, Datuk Seri Liow Tiong Lai, who is MCA Vice President and Penang MCA State chief, is highly suspect when he could not understand simple English". The problem is that the more Lim Kit Siang branding that he is smarter than the rest of the people in the world (which I don't belief), the more people will just see him as a person barking on the wrong tree. I support DAP but I wish that our party's chairman can be more polite when addressing other leaders (whether they are Barisan or Pakatan). Otherwise, this will set bad example to the new generation of Malaysians.

Blowdwhistle.blogspot.com said...

salam Tuan

saya tidak berapa bersetuju dengan pendekatan kerajaan melantik 'orang luar' sebagai ketua sesuatu jabatan.

ini adalah kerana 'orang luar' selalunya akan melanggar peraturan yang sememangnya ada untuk 'kebaikan urus tadbir' dan memastikan konsep 'separation of power/segregation of duties' berterusan

dikhuatiri amalan pengambilan 'orang luar' ini juga akan mengurangkan motivasi dikalangan penjawat awam itu sendiri

inovasi selalunya tidak tercapai kerana campurtangan 'politik' oleh 'orang politik lesu/jumud'

ramai penjawat awam yang kreatif dan boleh menterjemahkannya kepada inovasi sekiranya kurang campurtangan 'politik'

saya tahu sebab saya dah merasainya

sepatutnya JUSA ini cuma perlu dibuka kepada 'non-PTD' yang terbaik bagi memastikan arahtuju perkhidmatan awam maju seiring dengan kehendak 'SEMUA'

i rest my case

Syed Imran said...

Blowdwhistle,

Pengalaman selama 32 tahun dengan kerajaan membolehkan saya melihat betapa sesetengah penjawat awam berjawatan tinggi yang cukup selesa dengan jawatan dan tidak lebih daripada itu. Ini kerana mereka berada dalam zon selesa selaku pegawai PTD dengan budaya kerja seadanya.

Kemasukan pegawai dari luar PTD terutama untuk jawatan tinggi bagi sektor-sektor tertentu seharusnya disambut baik. Sudah tentu pegawai PTD tidak setuju atas alasan termasuk hilang peluang menjadi ketua dan hilang kenaikan pangkat.

Semasa bertugas di Singapura era Lee Kuan Yew-Goh Chok Tong, saya melihat pentadbiran republik itu turut mengambil pegawai tinggi dari kalangan sektor swasta untuk menerajui jabatan atau agensi penting. Bezanya, di Singapura mereka membayar gaji lumayan untuk menarik tenaga/pakar dari swasta.

Sudah tentu dalam isu ini ada baik dan ada buruknya.