Monday, April 13, 2009

Shahidan Oh Shahidan

Agak melucukan apabila membaca kenyataan mantan MB Perlis Shahidan Kassim yang kecewa kerana tiada wakil dari negeri yang mempunyai tiga kawasan undi Parlimen itu dilantik menganggotai Kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak.

Shahidan melahirkan rasa kecewanya kerana, menurut beliau, Perlis menang besar pada pilihan raya umum lepas tetapi kemenangan itu tidak dihargai termasuk melantik salah seorang Ahli Dewan Rakyat dari Perlis sebagai timbalan menteri, sekurang-kurangnya.

Dalam Kabinet Tun Mahathir, Perlis mendapat penghormatan besar kerana dua daripaa tiga ahli Dewan Rakyatnya dilantik menteri penuh, iaitu Azmi Khalid dan Radzi Sheikh Ahmad.

Azmi dan Radzi masih mewakili kerusi Dewan Rakyat bagi kawasan Padang Besar dan Kangar manakala Arau mempunyai wakil rakyat baru.

Siapakah wakil rakyat (MP) Arau? Tidak lain adik Shahidan sendiri, Ismail Kassim.

Kita boleh membaca kekesalan Shahidan kerana adiknya tidak dilantik sekurang-kurangnya sebagai timbalan menteri kerana tidak masuk akal sekiranya Azmi atau Radzi dilantik kerana mereka pernah menjadi menteri penuh. Saya kata demikian kerana Shahidan sendiri berkata sekurang-kurang seorang wakil Perlis dilantik sebagai timbalan menteri, tentulah Ismail Kassim, masakan Azmi atau Radzi yang pernah jadi menteri nak turun pangkat sebagai timbalan menteri.

Apabila kenyataan Shahidan diulas oleh TPM Muhyiddin Yassin bahawa pelantikan Jemaah Menteri mahupun timbalan menteri bukan berdasarkan negeri, maka Shahidan mempunyai jawapan. Dia mahu Muhyiddin menjadi pengerusi UMNO Perlis.

Shahidan tidak setuju dengan saranan KM Melaka Ali Rustam bahawa MB atau KM seharusnya menjadi pengerusi UMNO Negeri. Di Perlis, MB Isa Sabu bukan pengerusi tetapi Shahidan. Oleh itu, Shahidan termakan cili padi kerana suka atau tidak, kenyataan Ali yang disokong pula oleh Isa Sabu, merujuk kepada keududukannya.

Shahidan memberi alasan bahawa jika Muhyiddin mengetuai UMNO Perlis, maka segala masalah (termasuk perebutan jawatan) dalam UMNO di negeri paling kecil di Malaysia itu akan selesai.

Rakyat perlis, terutama ahli UMNO, cukup matang dengan permainan politik Shahidan. Begitu juga dengan Azmi, Radzi dan YM Syed Radzlan ibni Syed Putra Jamalullail, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis dan mantan MP Arau.


8 comments:

mie said...

masalah-masalah..huhU~..~

Shahnon said...

Alahai Shahidan.. Kalau negeri tu memang tak ada calon yang layak macam mana?
Bila agaknya pemimpin2 UMNO nak keluar dari kepompong politik kenegerian?

Anonymous said...

Salam Pak Tuan,

Memang benarlah bila Shahidan berkata Perlis sekurang-kurangnya diberi kerusi timbalan menteri dalam kabnet, tentulah dia merujuk kepada adiknya. Bila dia minta TPM menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, memanglah supaya beliau akan puas hati. Sekurang-kurangnya dia dapat kata, padan muka Isa Sabu(MB Perlis)! Biar dua-dua melepas(beliau dan Isa).

Rakyat Perlis semua dah faham perangai dan hati budi insan yang bernama Shahidan ini. Keikhlasan beliau terhadap kenyataan yang dibuat masih boleh dipersoalkan. Nawaitu beliau juga menimbul banyak tanda tanya. Sehingga sekarang perasaan terkilannya kerana tidak dilantik menjadi MB Perlis masih wujud. Sudah-sudahlah tu Shahidan. Sama ada PM nak lantik MP Perlis menduduki kabinet atai tidak, itu adalah haknya sebagai PM. Tak payahlah Shahidan nak tunjuk 'champion'. Orang Perlis dah masak dengan perangai hang tu. Memadailah jaga KOAM dan Persatuan Bola Sepak Perlis. Toksahlah nak tongkat dunia ni kerana yang lebih kekal ialah alam baqa!

- Budak Panggung Empire

Mat Jerman said...

Sungguh keji budaya meminta-minta ahli-ahli BN sekarang.

Nepotisme!

Anonymous said...

Pak Tuan Syed,

Sebenarnya Shahidan nak dia dilantik sebagai Senator dan dilantik setidak-tidaknya Timbalan Menteri oleh DS Najib.

Saya amat kenal Shahidan, dia "gila" pangkat dan kuasa. Dia sangup buat apa saja untuk mendapat pangkat dan kuasa. Itu pasallah ia bertanding pelbagai jawatan dalam persatuan sukan untuk mempastikan namanya tidak hilang ditelan zaman.

Peminat nasi pokok sawa

Anonymous said...

Hidup PKR! Hidup PAS! Hidup BernamaTV....hehe...he...tersasul pulak....sayang sangat kat Bernama dan Bernama TV.

Anonymous said...

Salam,

Alamak Shahidan ooi. PM pilih menteri untuk membantu beliau dalam memacu negara yang bernama Malaysia ni. Macam mana pun, mesti beliau pilih orang yang beliau rasa terbaik untuk membantu beliau dalam menghadapi saat2 yang kusut macam sekarang ni.

Kalau nak pilih menteri berdasarkan negeri mana yang dapat undi banyak tapi synergi antara pemimpin negeri dengan beliau tak dak, buat apa nak pilih. Beliau mesti pilih menteri yang beliau rasa beliau selesa bekerja dengan menteri tu.

Tolong la fikir secara rasional dan bukan secara emosional. Macam budak-budak...

Sdr. Md Kota

fital said...

kalau DS Nagib lantik Azmi Khalid jadi Menteri apa pula komen Shahidan