Pilihan raya adalah satu amalan atau proses demokrasi yang serius dan tidak seharusnya dijadikan ia sesuatu yang remeh dan tidak penting.
Pilihan raya diadakan untuk memilih wakil rakyat sama ada untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Dewan Rakyat (Parlimen). Ia bukan satu perbuatan untuk memilih ketua darjah atau ketua kumpulan. Ia adalah proses yang termaktub dalam Perlembagaan dan membabitkan soal undang-undang.
Oleh itu, parti-parti politik dan wakil rakyat yang dipilih melalui proses pilihan raya tidak seharusnya dengan sesuka hati meletak jawatan atas alasan yang lemah.
Peletakan jawatan dua orang mantan wakil rakyat Parti KeADILan Rakyat (PKR) sebelum ini, iaitu di Permatang Pauh dan di Bukit Selambau adalah dua contoh dimana alasannya tidak begitu kukuh dan berkepentingan tertentu.
Kini ADUN Penanti dari PKR yang juga mantan Timbalan Ketua Menteri (1) Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin pula meletak jawatan atas alasan yang lemah dan rapuh. Saya harap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bertindak tegas berhubung peletakan jawatan Fairus dan mengkaji secara teliti sebab-musebab dia berbuat demikian. Jika ada keraguan, pilihan raya kecil tidak seharusnya diadakan.
Kita terima hakikat bahawa seseorang wakil rakyat boleh berhenti daripada menjadi ahli sama ada DUN atau Parlimen dengan mengutus surat yang ditandatangani olehnya kepada Speaker yang kemudian akan memaklumkan secara rasmi kepada SPR.
Yang perlu dihalusi oleh SPR ialah sama ada tanda tangan itu dibuat dengan rela hati atau dipaksa melalui tekanan atau yang dibuat tanpa meletakkan tarikh terlebih dahulu.
SPR tidak boleh membiarkan mana-mana wakil rakyat dengan sebegitu mudah meletak jawatan kerana proses pilihan raya bukan sesuatu yang seharusnya dipandang rendah dan boleh dipermain-mainkan. Ia adalah proses yang melibatkan rakyat, memerlukan perancangan dan logistik, mengambil kira aspek keselamatan dan memerlukan perbelanjaan yang bukan sedikit.
Antara sebab seseorang wakil rakyat itu boleh hilang kelayakan - dia disahkan tidak sempurna akal atau dalam kata-kata yang lebih tepat, gila; - dia muflis (bangkrap); dan dia disabitkan kesalahan oleh mahkamah dan dihukum penjara tidak kurang daripada setahun atau didenda tidak kurang daripada RM2 ribu.
ADUN Penanti yang terletak dalam kawasan Permatang Pauh, tidak gila, bukan seorang muflis dan belum atau tidak disabitkan kesalahan oleh mana-mana mahkamah, jadi kenapa dia perlu meletak jawatan?
Fairus, yang memiliki dua ijazah sarjana (masters) baru berusia 32 tahun dan boleh dikatakan mempunyai masa depan dalam arena politik, baru setahun jagung menjadi wakil rakyat dan diberi kepercayaan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang. Tiada sebab munasabah untuk dia meletak jawatan dalam pentadbiran negeri dan juga selaku wakil rakyat.
Mungkinkah apa yang sedang berlaku di Pulau Pinang, khasnya, dan dalam PKR, amnya, adalah satu permainan wayang kulit yang digerakkan oleh seorang tok dalang? Siapakah tok dalang PKR?
Saya kira percaturan yang diatur di Penanti mungkin akan memeranjatkan ramai pihak terutama tok dalang itu sendiri. Tidak semua gerak dan geri yang didalangi itu pasti mengikut rentak dan lagu yang dimainkan. Ada kalanya ia tersimpang dan terjatuh.
Mungkin di Penanti nanti, orang yang menanti, orang yang menunggu dan orang yang menyambut tetamu akan berpindah ke majlis yang lain kerana mereka sudah hilang kepercayaan terhadap majlis yang sengaja diaturkan untuk kepentingan pihak dan golongan tertentu.
Sesungguhnya, penantian di Penanti akan menjadi penantian yang menyiksakan.
6 comments:
perletakan jawatan sebagai wakil rakyat jadi permainan politik pembangkang..haih...huhU~
Rakyat tak sudah-sudah dipersembahkan dengan pilihanraya kecil (PRK). Asyik berpolitik la kita. PRK atas sebab kematian tak mengapa. Tetapi ini kerana YB-YB letak jawatan. Sebelum ini, yang baru selesai, di Bukit Selambau. Di Permatang Pauh pun atas sebab yang sama. Yang akan berlaku tak lama lagi ialah di Penanti. Kalau begini berterusan, banyaklah duit rakyat dibelanjakan untuk PRK. Walhal duit ini boleh digunakan untuk membantu menangani isu ekonomi global. Lain kali fikir habis-habis sebelum nak bertanding jadi YB. Sekrang ini baru nak timbulkan soal pelajaran, soal keluarga dan bermacam-macam lagi sebagai alasan nak letak jawatan. SPR kena fikir cara-cara nka menangani isu YB letak jawatan dengan mudah.
Wakil Rakyat adalah kerja sepenuh masa. Sesiapa yang menawarkan diri untuk menjadi calon mestilah serius dan bukan bersikap sambil lewa. Wakil rakyat yang dipilih melalui proses pilihan raya mesti memikul tanggungjawab sepenuhnya atau mencukupi penggal yang dia dipilih. Jika tidak, jangan bertanding dan setahun setelah menang, letak jawatan. SPR mesti bertindak tegas dengan menolak peletakan jawatan sedemikian rupa.
Trend menunjukkan pembangkang akan mudah menang di pilihanraya kecil kerana popular dan bukannya kualiti.
Menunding jari, mencari kesalahan adalah suatu kerja yang mudah dan sekaligus sebagai escapism dari masalah dalaman sendiri.
Pembangkang hanya hidup atas isu dan emosi perkauman dan ia akan reda apabila ada tsunami keecelakaan yang melanda rakyat ini sehingga semuanya sudah menjadi bubur, sesal kemudian tiada gunanya.
Inilah trend yang menyedihkan hati rakyat di kala terhimpit dengan ekonomi yang semakin melarat dan suasana harmoni negara yang semakin terjejas.
POLITIKUS semakin hari semakin DARING ! Rakyat perlu sedar kuasa masih ditangan rakyat dan tunjukkan suatu hari dimana POLITIKUS hanyalah sekadar simbol kuasa rakyat !
hehhe...harap najib monggolia bubarkan semua parti2 politik di malaysia....biar agung yg memerintah. Tapi, x leh jgk.nnt org2 umeno nk mentedarah rasuah susah lak.
Post a Comment