Sudah menjadi lumrah manusia apabila sesuatu tindakan yang diambil memihak kepadanya maka ianya betul tetapi apabila tidak memihak kepadanya maka banyak perkara yang tak kena. Inilah juga yang diperkatakan oleh para penyokong Muhamad Ali Rustam, yang dilarang oleh Lembaga Disiplin UMNO daripada bertanding merebut jawatan timbalan presiden UMNO.
Para penyokong Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka yang juga naib presiden UMNO, bertindak mempertikaikan keputusan Lembaga Disiplin bukan semata-mata atas sifat sentimen kerana kecewa dan marah.
Saya tidak salahkan mereka kerana dalam kes Ali Rustam, pada pendapat saya, ada sesuatu yang boleh dipertikaikan.
Saya tidak salahkan mereka kerana dalam kes Ali Rustam, pada pendapat saya, ada sesuatu yang boleh dipertikaikan.
Soalnya, kenapa dua orang yang 'dibicarakan' sama ada dengan kehadiran atau tanpa kehadiran mereka, yang menghadapi pertuduhan di bawah perkara atau fasal yang sama dan yang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin, dikenakan hukuman yang boleh dikatakan bezanya antara langit dengan bumi.
Ali Rustam didapati bersalah dan dilarang bertanding manakala Khairy Jamaluddin, menantu Perdana Menteri yang bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO, yang turut didapati bersalah atas kesalahan yang sama hanya diberi amaran. Kenapa?
Pengerusi Lembaga Disiplin Tengku Ahmad Rithauddeen telah memberi alasan dengan mengumpamakannya dengan kes bunuh - sama ada membunuh dengan niat untuk membunuh atau menyebabkan kematian tanpa niat untuk membunuh. Hukuman yang dijatuhkan tentulah tidak sama, katanya.
Saya tidak setuju dengan alasan itu kerana pertuduhan membunuh dan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh adalah tidak sama, iaitu ia tidak terletak mengikut seksyen yang sama dalam Kanun Keseksaan. Dalam kes Ali Rustam dan Khairy Jamaluddin, mereka dituduh di bawah perkara yang sama, fasal yang sama, oleh itu hukumannyapun semestinya sama.
Kenapa seorang dihukum tidak boleh bertanding dan seorang lagi hanya diberi amaran? Inilah yang dipersoal dan dipertikaikan oleh bukan sahaja para penyokong Ali Rustam tetapi sebilangan besar ahli UMNO dan pengamat/pemerhati/pengulas politik.
LEMBAGA DISIPLIN
Ekoran kes Ali Rustam, ada pihak yang terlalu mengikut sentimen sehingga mempersoalkan kewujudan dan bidang kuasa Lembaga Disiplin. Dalam hubungan ini, mereka tidak boleh mempersalahkan Lembaga Disiplin.
Mereka perlu rujuk Fasal 20 Perlembagaan UMNO sebelum meluahkan sentimen masing-masing.
Fasal 20.1 berbunyi: Majlis Tertinggi berkuasa menubuhkan Lembaga Disiplin dan menentukann peraturan-peraturan, kuasa-kuasanya dan mengenakan hukuman kerana melanggar peruntukan Perlembagaan ini dan kesalahan lain yang disenaraikan di dalam Tataetika Ahli UMNO atau mana-mana peraturan lain.
Jelas, cukup jelas akan bidang kuasa yang diberikan oleh Majlis Tertinggi UMNO kepada Lembaga Disiplin dan apa yang dilakukan oleh Lembaga itu adalah menurut kuasa yang ada padanya. Oleh yang demikian, tidak seorangpun ahli UMNO yang harus mempertikaikan kewujudan mahupun bidang kuasa Lembaga Disiplin.
Perlembagaan UMNO juga menghuraikan dalam Fasal 20.2 bahawa "Ahli-ahli Lembaga Disiplin hendaklah dilantik oleh Majlis Tertinggi yang terdiri dari ahli-ahli yang tidak berjawatan dalam parti dan tidak mempunyai kepentingan dalam pemilihan".
Perkara ini jelas memperlihatkan ketegasan supaya tidak berlaku soal "ada kepentingan" apabila Lembaga Disiplin membuat sesuatu keputusan. Perkara ini tidak dipersoalkan.
Untuk bersifat adil, Perlembagaan UMNO turut memperuntukkan dalam Fasal 20.6 yang membolehkan rayuan dibuat terhadap sesuatu hukuman oleh Lembaga Disiplin. Perkara itu berbunyi: Seseorang ahli atau pihak yang tidak puas hati dengan tindakan disiplin yang dikenakan ke atasnya boleh merayu kepada Majlis Tertinggi.
Ali Rustam bertindak betul apabila dia mengemukakan rayuan terhadap hukuman yang dikenakan ke atasnya itu dan dia telah membuat perakuan yang dia akan mematuhi dan menghormati sebarang keputusan yang bakal dibuat oleh Jawatankuasa Rayuan.
Apa yang diharapkan ialah agar para penyokong Ali Rustam tidak akan bertindak mencabar undang-undang mahupun Perlembagaan UMNO dan tidak mengikut sentimen. Semuanya berlaku atas ketentuan takdir. Manusia hanya mampu merancang ...
SELAMAT BERSIDANG
Selamat Bersidang kepada semua Perwakilan UMNO dengan seruan Perangi Rasuah dalam UMNO. Jika ahli perwakilan tidak menerima sogokan, sudah tentu rasuah politik dalam UMNO dah lama berkubur. Tepuk dada, tanya selera!
5 comments:
Pak Tuan Syed,
Hukuman yang dikenakan oleh Lembaga Disiplin UMNO sama ada melarang bertanding, amaran atau tidak bersalah tidak penting lagi kerana ia sendiri terbukti bahawa jelas rasuah wujud dalam UMNO. Calon-calon yang dilaporkan mengamalkan politik wang sunguhpun didapati tidak bersalah atas kurang bukti nyata atau "kuasa dan pengaruh" pemimpin tertentu menghalalkan perbuatan terkutuk itu. Jika calon-calon ini terpilih usaha UMNO untuk membersihkan diri tidak berjaya. rakyat tahu, pengundi tahu, PU ke-13 UMNO pasti terkubur kerana rakyat benci dan jijik ke atas pemimpin yang korup.
Saya tidak dapat bayangkan seorang calon yang didapati bersalah dengan hanya diberi amaran dipilih menjadi Ketua Pemuda UMNO. Bagaimana pemimpin ini nak bersihkan amalan korup/politik wang dalam parti dan kerajaan? Bak kata perpatah "Anjing yang makan tahi jika tak makan pun akan menghidunya"
Ahli UMNO 1969
Salam
Umno sepatutnya sudah dikuburkan sewaktu PRU 12.TIADA HARAPAN lagi untuk org tua yg sedang nazak.
Mana pemimpin UMNO yang ada hari ini layak digelar pejuang bangsa?Jauh sekali pejuang agama?
Juak2 Umno... kena ingat dan sedar, kami generasi muda lebih terbuka, berpengetahuan, tidak makan rasuah.
Sekian, terima kasih
Anti UMNO ,dulu kini dan selamanya.
Saya bukan pakar undang-undang tetapi saya tafsirkan begini. Bersalah dengan diberi amaran, dan bersalah dengan dikenakan hukuman adalah di bawah kategori yang sama iaitu kategori "ORANG BERSALAH". Bagi orang yang tak didapati bersalah, yang ini termasuk dalam kategori yang lain. Saya ada buat ulasan ringkas dalam posting baru bahawa para perwakilan perlu sangat-sangat membuat pilihan yang bijaksana demi kebaikan parti itu sendiri. Rakyat jelata sedang mengikuti perkembangan kerana kalangan mereka yang terpilih kemungkinan besar akan memegang jawatan dalam kerajaan seandainya ada rombakan kabinet. Jika rakyat tak puashati, rakyat akan menterjemahkannya dalam PRU 13 nanti.
Ini semua penipuan UMNO kepada rakyat. Rasuah bukanlah perkara disiplin dan juga bukan sentimen. Rasuah adalah jenayah ( crime). Lembaga disiplin sekolah kita lagi tegas dr Lembaga UMNO ni. Sekurang2nya lembaga disiplin sekolah hanya menangani masalah disiplin seperti ponteng, merokok, meniru dsbnya. Pekara2 seperti mencuri, buli Dan peras ugut di rujuk kpd polis. Lembaga UMNO meletakkan dirinya lebih tinggi dari polis dan mahkamah berhubung dgn jenayah rasuah. UMNO ada undang2 berlainan dari undang2 negara.... MUSTAHIL....
Benar apa yang diperkatakan oleh semua pengulas di atas. UMNO dan rasuah politik bak aur dengan tebing.
Pada musim pemilihan sekarang, banyak wang dan habuan ditaburkan di sana sini dalam pelbagai cara dan bentuk.
Ramai perwakilan telah dan sedang menghubungi para calon termasuk melalui SMS bertanya "Tak nak jumpa perwakilan? yang ada maksud tersirat. Nak duit, apa lagi!
Seperti yang saya katakan, jika perwakilan tak minta dan tak terima sogokan, masakan boleh berlaku rasuah politik.
Tangan yang menerima lebih keji daripada tangan yang memberi rasuah.
Post a Comment