Monday, March 23, 2009

TPM MUNGKIN DARI KALANGAN NAIB PRESIDEN

Melihat kepada senario politik UMNO semasa, saya tidak menolak kemungkinan calon Timbalan Perdana Menteri di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak adalah di kalangan naib presiden parti dan bukan timbalan presiden.

Perkara ini boleh berlaku sekiranya para perwakilan memilih mantan MB Selangor Tan Sri Mohammad bin Muhamad Taib sebagai Timbalan Presiden UMNO dan ketepikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jika ditakdirkan Mat Tyson menang ekoran daripada tindakan Lembaga Disiplin UMNO melarang Ketua Menteri Melaka Muhamad Ali Rustam bertanding jawatan timbalan presiden, dia tidak mungkin dilantik Timbalan Perdana Menteri. Begitu juga jika Ali Rustam tidak dilarang dan boleh bertanding serta menang, diapun tak mungkin dilantik TPM.

Ramai yang mungkin bertanya kenapa Mat Tyson mahupun Ali Rustam (jika dia boleh bertanding) tidak mungkin dilantik TPM kerana ia telah menjadi amalan (tradisi) UMNO melantik timbalan presiden sebagai TPM.

Kita mesti melihat apakah tujuan seseorang itu dilantik TPM walaupun jawatan itu tidakpun disebut dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 43 dalam Perlembagan hanya menyebut Jemaah Menteri (Kabinet) dan Perkara 43 (2) (a) pula menyebut pelantikan seorang Perdana Menteri untuk mengetuai Jemaah Menteri. Tidak ada di mana-manapun dalam Perlembagaan yang menyebut jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Jawatan TPM diwujudkan oleh PM untuk membantunya dalam pentadbiran negara dan mewakili PM semasa ketiadaannya dalam negeri mahupun jika dia bercuti. TPM dilihat sebagai seorang yang boleh dilantik menjadi PM. Faktor ini penting diambil kira oleh PM sebelum melantik TPM.

Seperti yang saya katakan, jawatan PM disebut dengan jelas dalam Perlembagaan seperti berikut:

"Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mengetuai Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada pendapatnya akan mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan itu;"

Perkara yang mesti ditegaskan ialah PM mesti dari kalangan ahli Dewan Rakyat, bukan Dewan Negara (Senator) ataupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Oleh itu, seseorang calon yang hendak dilantik sebagai TPM mestilah dari kalangan ahli Dewan Rakyat.

Ini penting kerana andai kata sesuatu yang tidak diingini berlaku atau menimpa PM mengakibatkan kekosongan jawatan, maka TPMlah yang akan mengambil alih jawatan itu sama ada secara sementara atau sebaliknya. Sekiranya TPM bukan dari kalangan ahli Dewan Rakyat, maka dia tidak boleh kerana tidak dibenarkan oleh Perlembagaan untuk menjadi PM.

Mat Tyson bukan ahli Dewan Rakyat, dia adalah ahli Dewan Negara (Senator) yang dilantik dan bukan dipilih oleh rakyat.

Selain soal undang-undang atau Perlembagaan Persekutuan, Mat Tyson juga mempunyai latar belakang moral yang boleh dipersoalkan untuk menjadi pemimpin. Kita masih ingat isu dia ditahan oleh pihak berkuasa di Australia kerana cuba membawa masuk wang tunai (kira-kira RM1.2 juta) dan alasan yang agak melucukan yang diberi olehnya, iaitu dia tidak faham bahasa Inggeris sedangkan dia adalah graduan Universiti Malaya. Kenyataannya itu juga dilihat sebagai memperkecilkan kemampuan berbahasa Inggeris oleh graduan UM.

Kita juga masih ingat isu pernikahan sulit Mat Tyson dengan puteri Almarhum Sultan Selangor dan perbuatan Mat Tyson yang menafi dan membohonginya sehingga Almarhum Sultan murka. Mat Tyson ketika itu adalah Menteri Besar. Kini Mat Tyson bercakap mengenai isu derhaka dan kedaulatan Raja-Raja Melayu apabila memperkatakan kemelut politik di Perak. Mat Tyson mudah lupa!

Dalam keadaan sekarang, hanya Tan Sri Muhyiddin Yassin layak, mengikut udang-undang atau Perlembagaan Persekutuan untuk dilantik sebagai TPM.

Muhyiddin pun bukanlah 100 peratus bersih dalam arena politik termasuk semasa menjadi MB Johor mahupun anggota Kabinet. Seperti anggota Kabinet yang lain, dia pun tidak sempurna dan mempunyai kelemahan dan kekurangan di sana sini.

Memandangkan pilihan adalah antara Muhyiddin dan Mat Tyson, maka yang lebih baik adalah Muhyiddin.

Tetapi, sekiranya Muhyiddin tumbang dan Mat Tyson menang, maka saya percaya Najib akan melihat calon TPM di kalangan naib presiden yang juga ahli Dewan Rakyat.

4 comments:

kluangman said...

Jawatan Timbalan Perdana Menteri boleh dikosongkan untuk beberpa tempoh sementara mencari calon yang sesuai atau perkembangan semasa yang lain, misalnya jika PAS bekerjsama dengan UMNO, maka Hadi Awang sebagai contoh boleh ditawarkan ke jawatan tersebut sebagai bentuk penghargaan kerjasama.

Syed Imran said...

kluangman,

semuanya mungkin asalkan orang berkenaan adalah Ahli Parlimen melalui Dewan Rakyat.

HeroHuruHara said...

ada baiknya jika Shahrir Samad di angkat sebagai TPM. Kredibiliti dan akauntabiliti yang tinggi

Abuarif said...

Kalau Najib ingin melihat keamanan politik dinegara ini,beliau melantik pemimpin dari parti pembangkang jadi TPM seperti kata kluangman.Mereka juga Ahli Dewan Rakyat.

Dlam Perlembagaan tak sebut tak boleh lantik dari parti lain.Kalau ini berlaku saya rasa rakyat akan respects habis kepada Najib.

Hilangkan prasangka buruk orang kepadanya dan UMNO yang dikatakan GILA KUASA.