Wednesday, August 29, 2012

MERDEKA 55: Lahirnya satu bangsa dan negara berdaulat

"Pada 31 haribulan Ogos, tahun 1957, Persekutuan Tanah Melayu menjadi sebuah Negara Merdeka di dalam lingkungan Negara-negara Commonwealth. Pada hari itu tercapailah cita-cita kita dan daripada hari itu ke hadapan tiap-tiap seorang penduduk Tanah Melayu yang ta'at setia bolehlah berasa bangga dan berbesar hati serta syukur kepada Tuhan."  Inilah kata-kata Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra  dalam perutusan kepada seluruh rakyat menerusi buku Cenderamata Rancangan Perayaan Kemerdekaan Ibu Kota Persekutuan.

Tahun 1957 menandakan lahirnya satu bangsa "baru" dengan sebuah negara "baru" yang Merdeka dan Berdaulat iaitu Persekutuan Tanah Melayu atau "Federation of Malaya" atau ringkasnya Malaya.

Kemerdekaan Tanah Melayu tidak datang melayang ataupun bergolek tetapi dicapai menerusi perjuangan rakyat berjiwa Merdeka diketuai oleh seorang putera raja dari Kedah Darul Aman yang mengorbankan bukan sahaja masa tetapi harta-benda untuk negara. Itulah Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid.

Tunku dan rakan-rakan seperjuangannya melalui beberapa peringkat perjuangan untuk menuju ke arah kemerdekaan melalui kaedah rundingan. Perpaduan dan sokonngan tiga kaum utama di Tanah Melayu - Melayu, Cina dan India - membuahkan hasil yang dinanti-nantikan oleh rakyat.

Dalam perutusannya, Tunku menulis "Kemerdekaan ini telah diperolehi dengan menerusi usaha bersama penduduk-penduduk Tanah Melayu yang telah mengangkat Parti Perikatan memegang kuasa sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Parti itu di dalam Pilihan Raya dahulu, maka ia telah mengambil langkah dengan serta merta untuk mendapatkan Kemerdekaan dan ini telah membawa kepada termeterinya Perjanjian pada 8 haribulan Februari tahun 1956 yang dengannya Kerajaan United Kingdom bersetuju memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada 31 haribulan Ogos. Dengan itu batu asas telah diletakkan dan kerja pun dimulakanlah dengan bersungguh-sungguh untuk menyusun suatu Perlembagaan bagi Negara baharu itu."  

Parti Perikatan atau "The Alliance Party" terdiri daripada gabungan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO, "Malayan Chinese Association" atau MCA dan "Malayan Indian Congress" atau MIC. 

Kejayaan Parti Perikatan dibolehkan berkat ketiga-tiga bangsa - Melayu, Cina dan India - telah mengenepikan perselisihan di antara mereka dan melihat Tanah Melayu sebagai negara mereka. Perpaduan dan kata sepakat antara mereka menyumbang kepada kejayaan mendapatkan kemerdekaan dalam satu tempoh masa yang singkat.

Sebagai sebuah negara yang "baru" maka kerjasma di kalangan kaum untuk menjaga dan memelihara kebebasan yang diperolehi itu amat penting. Semua orang perlu melupakan negara asal mereka dan memandang kepada Tanah Melayu sebagai satu-satunya negara bagi mereka menumpukan taat setia. Itulah antara pesanan Almarhum Tunku yang seharusnya menjadi pegangan semua rakyat Malaysia hingga ke akhir hayat.

Kepada Almarhum Tunku, Hari Kemerdekaan adalah satu hari yang megah dan ia turut dikongsi bersama oleh  rakan-rakan sejawatnya di dalam Kerajaan Perikatan, dan sudah pasti oleh  setiap orang penduduk Tanah Melayu.

Namun begitu, ia bukanlah satu penyudahan bahkan ia satu permulaan untuk mengisi kemerdekaan dan ini telah dilaksana dengan jayanya oleh Allahyarham Tun Abdul Razak dan disusuli oleh Allahyarham Tun Hussein Onn, diperkasa dan ditingkatkan lagi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad disambung seketika oleh Tun Abdullah Haji Ahmad dan kini diwarisi oleh Datuk Seri Mohamad Najib Tun Razak. 

Kata-kata Almarhum Tunku menjelang ambang 31 Ogos 1957 seharusnya dijadikan azimat oleh rakyat keseluruhannya, iaitu:-

"Kita telah berjuang untuk mencapai hari bahagia dan kita insaf bahawa kita mencapai Kemerdekaan ini bukan dengan kekerasan tetapi dengan jalan Perlembagaan dan damai, dengan rasa muhibbah, bersefahaman dan mempercayai antara satu sama lain. Janganlah kita meringankan kepercayaan ini tetapi hendaklah kita hormatinya supaya orang lain pun hormatkan kita. Satu bangsa yang lahir di dalam dunia ini dengan kemuliaan dan kehormatan Insyaallah akan bertemu dengan kemakmuran, kesenangan dan kebahagian yang besar."

SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN KEMERDEKAAN.



  

No comments: