Tuesday, May 17, 2011

Lagi-lagi kuota, bila nak dewasa?

Orang Melayu di Malaysia nampaknya tidak boleh dipisahkan dengan kuota. Apa saja mesti ada kuota seolah-olah Melayu tidak boleh hidup tanpa kuota.

Dengan bersandarkan kuota, kita memperlihatkan kelemahan, bukan kekuatan untuk berjuang, untuk bersaing dan untuk berjaya.

Orang Melayu di Singapura tidak bergantung kepada kuota untuk berjaya walaupun mereka menghadapi banyak tekanan, ketidak adilan dan mangsa pilih kasih. Mereka terus berjuang dalam bidang pelajaran, perniagaan dan kerjaya lain untuk berjaya dan ramai yang membuktikan bahawa mereka mampu berdikari dan berjaya tanpa kuota. Saya tahu kerana pernah tinggal di republik itu hampir lima tahun dan melihat sendiri kehebatan orang Melayu walaupun ramai di Malaysia yang tidak tahu akan kebenaran tersebut.

Begitu juga dengan orang Melayu yang berhijrah ke luar negara seperti Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Mereka berjaya tanpa kuota tetapi atas semangat bekerja kuat dan ingin berjaya.

Saya mengupas mengenai kuota memandangkan Wanita dan Pemuda Umno dah ulangi desakan meminta kuota untuk calon pilihan raya.  Wanita minta kuota 30 peratus calon manakala Pemuda pun mahu jumlah tertentu untuk dipilih sebagai calon. 

Kuota sekali lagi dijadikan alasan untuk mendapatkan sesuatu sedangkan yang lebih penting dan harus diutamakan bukan kuota tetapi kelayakan. Pemilihan calon berlandaskan kuota bukan pilihan terbaik yang boleh menjamin kemenangan dalam pilihan raya.

Jika berpandukan kuota, maka pemilihan calon akan disandarkan kepada jawatan dalam parti bukan sama ada calon itu benar-benar layak. Kita tahu dalam pemilihan parti, bukan semua yang menang itu benar-benar layak tetapi dipilih berdasarkan banyak faktor lain termasuk rasuah, pilih kasih dan puak dalam parti. Inilah hakikatnya.

Wanita dan Pemuda Umno harus sedar bahawa pemilihan calon melalui kuota merupakan satu pengunduran bukan satu langkah ke hadapan. 

Mereka sepatutnya mendesak kepimpinan parti melaksanakan sistem pemilihan calon berdasarkan kelayakan termasuk kelayakan akademik, bersih daripada amalan rasuah dan mampu menjalankan amanah dengan jujur dan ikhlas bukan untuk mencari kekayaan melalui politik.

Jika Umno mampu melaksanakan pemilihan tanpa kuota, adalah tidak mustahil lebih banyak calon wanita dan pemuda, iaitu mereka yang berumur 40 tahun ke bawah, akan dipilih bertanding. Ini kerana dalam Umno sekarang, wanita adalah majoriti dan ramai daripada mereka memiliki kelayakan akademik yang baik. Begitu juga dengan Pemuda Umno, ramai yang berkelayakan dan boleh dipilih sebagai calon. Oleh itu, Wanita dan Pemuda tidak memerlukan kuota untuk dipilih sebagai calon.

Yang terbaik bukan ketua bahagian, ketua wanita bahagian, ketua pemuda bahagian mahupun jawatankuasa bahagian. Yang terbaik mungkin ahli biasa yang menyertai parti bukan untuk berebut jawatan atau meminta itu dan ini daripada kerajaan.  Kita boleh lihat keadaan ini dalam hampir semua bahagian Umno di mana mereka berebut jawatan parti untuk dijadikan landasan untuk mendapatkan sesuatu atas kepentingan peribadi, keluarga dan kroni. Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor, kita lihat saja kemewahan hidup mereka dan kaji latar belakang pendidikan, kerjaya dan taraf hidup mereka sebelum menduduki atau memegang jawatan dalam bahagian. Di situ, kita akn dapat jawapannya.

Jika sistem kuota dilaksanakan, maka orang seperti inilah yang akan dipilih sebagai wakil rakyat. 

Saya mengulas mengenai permintaan kuota oleh Wanita Umno dan Pemuda Umno kerana tidak ingin melihat pemilihan calon yang tidak tepat jika dilandaskan kepada kepimpinan peringkat bahagian. Umno mesti berubah dan keluar daripada kepompong bahagian. Banyak butir mutiara yang ada di luar kepompong bahagian dan disitulah terdapat bakal-bakal calon.   

Saya bukan ahli Umno dan membuat ulasan sebagai seorang Melayu (keturunan Arab) yang mengikuti perkembangan politik parti-parti yang mewakili kepentingan Melayu terutama Umno dan PAS. Saya adalah pengundi kawasan Parlimen Ampang dan sedar kekalahan calon Umno pada pilihan raya lepas kerana parti itu meletak calon yang salah sedangkan ramai ahli Umno di kawasan itu yang jauh lebih layak dan lebih sesuai diletak sebagai calon walaupun mereka bukan menduduki jawatankuasa bahagian.

ADUN kawasan saya adalah dari parti PAS manakala Ahli Parlimen adalah dari PKR. Sejumlah besar pengundi adalah penghuni taman-taman perumahan termasuk Taman Tun Abdul Razak dan taman-taman lain dalam kawasan Ampang Jaya yang ditakrifkan sebagai kawasan kelas pertengahan hingga kelas atasan.  Umno dan BN mesti kaji kenapa mereka memilih calon PAS, seorang kontraktor berasal dari Baling, Kedah sebagai ADUN dan seorang wanita bertudung sebagai Ahli Parlimen.

Umno mesti keluar daripada kepompong kuota untuk terus relevan dalam arena politik tanah air.



11 comments:

Leman Lawak said...

Salam Tuan Syed,
Kami tak kesah ada kuota ker..buang kuota ker..yang mustahak..sape-sape nak jadi pemimpin atau dipilih jadi pemimpin..jangan ada AUTA..tu yang ahli-ahli bawahan macam kami ni boring dengan parti sendiri..brape ramai golongan muda yang swing..bosan pasal pucuk pimpinan masih dok ikut cara lama..nak simpan gak golongan tua bangka lagi nyanyuk dan sentiasa berprinsip "last call/last kopek"..bila kita sound..dah tentu kena slash..last-last kita buat derk jer la..parti nak tungging ke..nak terbalik ke..biarkan..biarkan..si Luncai terjun dengan labu-labunya..

Anonymous said...

Saudara Syed,

Alangkan PM sendiri keluarkan motto 1Malaysia pun ramai yang tak boleh terima, apatah lagi kalau orang biasa nak tegur.

Biarkan sahajalah, UMNO kalau tidak nak ubah akhirnya satu ketika nanti terpaksa berubah juga.

Orang putih kata "futile" kalau nak suruh ubah, lagi baik diam saja.

OrangKL

Anonymous said...

Senang cakap pak syed,

Mereka mereka ni bukan bila lagi mau dewasa, mereka ni dah tua sangat.
Bila tua, kena buat special undang2 untuk membantu golongan2 warga emas ni....antaranya kuota

Kesian.

Skuad peninjau

Unknown said...

Skuad Peninjau,

pendek kata, mereka memerlukan tongkat untuk cuba elak daripada rebah.

Leman Lawak said...

Salam Tuan Syed,
Tongkat murah je Tuan Syed..depa nak wilca letrik..kompem tak rebah! Yang rebah kita-kita jer!

ting tong guy said...

Dear Tuan Syed,

Ada baik dan buruknya sistem kuota ni. Jika terlalu lama dipergunakan, keburukannya akan mengatasi segala kebaikan yang hendak dicapai.

Satu contoh yang ketara, kuota menjadikan seseorang itu akan berasa rendah diri atau 'inferiority complex' kerana dia takkan dapat mengukur sebaik mana kemampuannya di dunia sebenar selagi dilindungi oleh kuota.

Mungkin ini yang dimahukan oleh Pemuda dan Wanita UMNO untuk selamanya supaya akan sentiasa ada generasi yang lemah dayausahanya, singkat mindanya dan lembik ketahanannya.

Supaya yang paling bijak diantara kumpulan yang lemah ini akan sentiasa dapat memanipulasi keadaan demi kesinanmbungan kuasa, pengaruh dan material puak dan kroni mereka.

Anonymous said...

Salam Tuan Syed,

Ada beberapa sektor ekonomi yang kita masih perlukan kuota jika kita mahu Melayu bangkit dengan mantap dalam sektor itu. Memang benar orang Melayu sepatutnya tidak wajar bergantung kepada kuota lagi, tetapi oleh sebab pelaksanaan banyak rancangan masa lepas yang digerakkan untuk membantu membangkitkan orang Melayu itu tidak disempurnakan dengan baik, misalnya - pelaksana bukan ahli dalam bidang tersebut.

Saya sendiri misalnya pernah ikuti kursus perniagaan anjuran MARA (16 tahun lepas semasa baru memulakan perniagaan), tetapi amat mengecewakan kerana apa yang dilaksana amat lemah - saya boleh katakan lemah sebab saya seorang siswa Marketing (UK) dan pernah bekerja di syarikat konglomerat - sudah semestinya saya lebih tahu realiti perniagaan, berbanding dengan apa yang diajar. They got the wrong people (bukan jauhari), at the wrong place (arts graduate teaching business), at the wrong time (continuous adoption of business theories practised 30 years ago). Itu belum lagi kita cerita pasal songlap peruntukan yang berlaku.

Kita perlu betulkan perkara asas ini dahulu Tuan Syed, sebelum kita tarik kuota. Saya masih ragu pelan tindakan yang sedang dilakukan itu cukup berkesan - mana taknya - sebuah kementerian yang menjaga keselamatan misalnya dikatakan mencapai NKREA cemerlang, tetapi kita masih baca dalam akhbar jenayah di sana sini - so apa kita nak kata - menteri benar atau akhbar tipu?

Itulah juga realiti badan-badan yang diamanahkan untuk jaga kepentingan Melayu hari ini.

Wassalam

Zaib

Unknown said...

Zaib dan Ting Tong Guy,

Selepas mengamati ulasan saudara berdua, saya boleh ringkaskan bahawa kita atau kerajaan tidak mengikut merit tetapi lebih mementingkan politik.

Saya ada satu cerita. Kisah benar yang saya lalui pada tahun 2002 semasa mengiringi bos saya, Menteri di JPM ke Pulau Pinang atas tugas rasmi.

Selepas majlis yang dihadiri tamat dan kami mempunyai tidak kurang daripada tiga jam sebelum ke LTAB Bayan Lepas untuk pulang ke Putrajaya, bos saya kata dia ingin melihat keadaan perkampungan Melayu di P Pinang. Kami menghuni sebuah hotel di Bukit Jambul dan perkampungan yang dekat adalah Bayan Lepas, Sungai Batu, Teluk Kumbar dan sekitar Sungai Ara. Saya meminta pemandu membawa kami ke kampung-kampung di kawasan yang saya sebutkan. Selepas satu setengah jam, bos ternampak sebuah kedai makan di persimpangan Jalan Besar dan Jalan Permatang Damar Laut dan ingin menikmati masakan asli Melayu Pulau Pinang. Kamipun singgah di kedai makan tersebut pengusahahnya seorang lelaki Melayu separuh umur. Mungkin itulah kali pertama seorang menteri singgah di kedainya kerana dia agak gelabah bercampur gembira. Saya pun pesan makanan yang dihajati oleh bos. Setelah menikmati makanan, tuan punya kedai tak senang duduk dan apabila saya bertanya kenapa, dia berkata ada masalah yang ingin disampaikan kepada menteri. Apa masalahnya? Kedainya tiada lesen walupun dah berulang kali memohon dan merayu. Dia minta menteri tolong. Menteri setuju nak tolong dan sayapun minta segala dokumen dan surat-menyurat berkaitan untuk dibawa ke Putrajaya. Dia memberinya dan saya memberi jaminan akan memulangkan kepadanya selepas selesai urusan yang perlu. Di LTAB Bayan Lpas, secara kebetulan kami menemui MP Balik Pulau dari UMNO. Kedai makan itu berada dalam kawasannya. Bos saya pun beritahu MP berkenaan mengenai masalah kedai makan yang tanpa lesen itu. Kami terdiam apabila di berkata tuan punya kedai itu bukan orang Umno tetapi penyokong PAS. Saya tidak nampak apa kaitannya seorang peniaga Melayu yang ingin mendapat lesen kedai makan tidak diberikan semata-mata kerana dia bukan orang Umno. Walau bagaimanapun, kami mengambil tindakan sewajarnya kerana berpegang kepada janji untuk menolongnya. Inilah satu contoh dimana Melayu tidak menolong Melayu semata-mata kerana perbezaan politik. Dalam kes ini, kuota tidak timbul sama sekali tetapi isu politik.

Leman Lawak said...

Salam Tuan Syed,

Betul la cakap Tuan..pasai tu dalam kejadian tanah runtuh yang meragut nyawa anak-anak yatim kat Hulu Langat..orang dok kecoh nak cari mangsa..ada la pemimpin kita dok kecoh nak cari sapa dia yang gatai buat rumah anak yatim kat lereng bukit dengan takdak permit..persoalannya..budak-budak mangsa tu ahli Pas ker?? Teringat dialog Zainuri dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah.."Bala-bala"..memang bala besaq dapat pemimpin camtu.

john silver said...

bro syed,
saya masih tertanya-tanya hingga sekarang mengenai peranan jawatankuasa pemandu yang kerjanya menasihat pm supaya menstruktur semula pelbagai subsidi agar negara tidak bankrap menjelang tahun 2019. istilah itu sebenarnya untuk menaikkan pelbagai barangan keperluan, termasuk petrol dan dijangka tarif elektrik tak lama lagi hinggakan membebankan rakyat seperti kita ni. saya juga difahamkan jk pemandu ini langsung tidak tahu keluh kesah dan kesulitan rakyat di peringkat bawahan. saya lihat nasihat mereka boleh menjejaskan kredibiliti kerajaan bn kerana memberi ruang kepada pembangkang untuk menghentam kerajaan pimpinan pm najib.

Unknown said...

Bro John Silver,

Namapun jawatankuasa pemandu dan kita sedia maklum sering kali berlaku rampasan atau 'hijack' di tengah jalan. Oleh yang demikian, tempat yang dituju tidak sampai kerana telah dipintas ke tempat lain.

Saya masih ingat era 70-an pabila KL menubuh JK Pemandu Penyertaan Bumiputra di P Pinang. Apa kesudahannya? Pi mai pi mai dok tang tu jugak. Yang benar-benar dapat faedah segelintir ketua bahagian sebuah parti politik yang hidup senang lenang. Semuanya kerana berlaku 'rampasan' di pertengahan jalan.

Pemandu tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana pemanduannya kerap diganggu-gugat dengan bermacam-macam arahan bertindih dek campur tangan politik.

Kerajaan boleh tubuh apa saja JKuasa untuk tujuan-tujuan tertentu tetapi ia tidak akan berhasil pbila pelaksanaannya dinodai campur tangan politik.