Wednesday, December 28, 2011

Hak semua rakyat dijamin oleh Perlembagaan

Mereka yang mempersoal Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebenarnya tidak faham dan tidak peka akan maksud yang tersirat. Oleh itu, mereka berani mempersoal dan membuat andaian yang boleh menimbulkan tindak balas negatif daripada pihak lain.

Apabila orang politik mengungkit-ungkit Perkara 153 maka berlakulah perdebatan dan tuduh-menuduh antara orang politik dan mereka yang mewakili badan-badan bukan kerajaan, tetapi apabila pemimpin agama  membangkitkannya, ia agak keterlaluan dan melampaui batas.  

Isu berkaitan agama,  iaitu semua agama,  cukup sensitif dan mesti ditangani dengan hemat dan cermat.

Oleh itu, pemimpin-pemimpin agama harus sedar dan berhati-hati sebelum membuka mulut mempersoal atau melempar tuduhan yang boleh menyentuh perasaan dan sensitiviti pihak lain. 

Perkara 153 sebenarnya melindungi dan memelihara bukan sahaja orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak, tetapi semua rakyat Malaysia. Inilah yang mesti difahami oleh ketua paderi yang membangkitkan kontroversi mengenainya. Jika dia tak faham dan tak erti maksud yang terkandung dalam perkara itu, duduk diam sajalah. Jangan usik sarang tebuan. Buruk padahnya! 

Perkara 153 (1) cukup jelas dan tidak seharusnya dipertikai oleh mana-mana pihak, politik mahupun agama. Iaitu:-

"Adalah menjadi tangungjawab Yang diPertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana Negeri Borneo dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini."

Yang diPertuan Agong sendiri diberi kuasa oleh Perlembagaan untuk bukan sahaja memelihara dan melindungi   kepentingan orang Melayu/Bumiputera tetapi semua kaum yang merupakan rakyat Baginda di bumi Malaysia.

Kenapa perlu mempersoalkan Perkara 153 jika ia sudah jelas dan mudah difahami?

Kepada ketua paderi berkenaaan dan semua pemimpin agama, hati-hatilah sebelum membuka mulut. Mereka sepatutnya menumpu perhatian sepenuhnya kepada masalah sosial di kalangan pengikut atau penganut agama masing-masing. Banyak masalah yang dihadapi dan sedang meresapi masyarakat. Adalah menjadi tanggungjawab  mereka untuk menanganinya.

Setiap bidang  profesional termasuk kerohanian, ada tugas dan tanggungjawab masing-masing. Tumpukan kepada bidang yang diceburi atau yang menjadi kepakaran diri. Usah cerobohi bidang dan tugasan lain yang anda bukan pakar atau ahli. 

Ingat, hak semua rakyat dijamin oleh Perlembagaan. Usah persoalkannya.



  

Wednesday, December 21, 2011

Adakah Malaysia mengamal 'pemujaan' pemimpin?

Kejadian sekumpulan anak muda yang dilaporkan sebagai mahasiswa yang berarak secara aman ke PWTC dan dikatakan telah menurun 'bendera' berwajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, menarik perhatian saya.

Apa yang menjadi tanda tanya ialah 'bendera' tersebut. Adakah ia  benar-benar 'bendera' dan jika ya, kenapa pula ada wajah Najib mahupun pemimpin-pemimpin lain?

Jika ianya 'bendera' saya ingin tahu 'bendera' itu mewakili atau melambangi apa?  Adakah ia didaftarkan dengan mana-mana pihak berwajib seperti Pendaftar Pertubuhan? Jika tidak adakah ia 'bendera' mana-mana kumpulan tidak berdaftar?

Sejak kurang sedekad ini, rakyat Malaysia disajikan dengan bermacam bentuk pemidang, sepanduk, lencana dan kini bendera yang memaparkan wajah pemimpin negara, negeri dan parti-parti politik. Ia seolah-olah satu kemestian atau 'wajib' diadakan.

Saya bimbang kita sedang atau akan menuju ke arah pemujaan pemimpin atau pendewaan pemimpin sama seperti yang berlaku di negara-negara komunis dan sosialis. Kita tidak mahu melihat Malaysia menjadi seperti Korea Utara yang begitu taksub mendewa-dewakan pemimpin mereka dengan memasang sepanduk, lambang dan pemidang besar gambar pemimpin mereka.

Inilah yang sedang berlaku di Malaysia. Di mana-mana sahaja kita boleh lihat potret atau gambar pemimpin-pemimpin tertentu seolah-olah mereka adalah 'dewa' yang dipuja dan dijulang tinggi. 

Apa kata para ulama dan cerdik pandai Islam mengenainya? Kenapa mereka tidak bersuara atau adakah mereka bersetuju dan menjadi 'pak turut' yang tidak berani menegur atau menasihati pihak berkenaan?   

"Pendewaan" dan "pemujaan" manusia dilarang oleh Islam.

 

Tuesday, December 20, 2011

Shahrizat atau Zuraida yang lebih mirip Mak Lampir?

Isu panas membabitkan keluarga Menteri Pembngunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil semakin panas bahkan mula mendidih. Semuanya kerana sikap ketua Wanita Umno itu sendiri yang telah dan masih  mengalihkan isu itu termasuk kepada Wanita Umno, wal hal ia tiada kaitan sama sekali dengan Wanita Umno.

Shahrizat menggunakan pentas Wanita Umno untuk membidas dan menghentam ketua wanita Parti KeAdilan Rakyat (PKR) yang juga Ahli Parlimen Ampang,  Zuraida Kamaruddin. Perbuatan Shahrizat tidak disenangi oleh sebilangan tokoh veteran Wanita Umno kerana ia tiada kaitan sama sekali dengan pergerakan itu.

Tepukan dan jeritan sebilangan ahli Wanita Umno yang sesekali kedengaran semasa ketua mereka berucap pada mesyuarat agung pergerakan itu tidak ubah dan boleh disamakan dengan sorakan muda-mudi yang menghadiri konsert rock. Selepas konsert, semuanya pulang kerana terhibur dan tidak lebih daripada itu.

Sekurang-kurangnya muda-mudi yang menghadiri konsert rock rasa berbaloi dengan hiburan itu sedangkan perwakilan wanita Umno pulang dengan beberapa tanda tanya mengenai kedudukan ketua mereka. Perlu diingatkan bukan semua ahli yang menyokong dan setuju dengan tindakan Shahrizat mengaitkan masalah 'peribadi' dengan pergerakan itu.

Shahrizat mengaitkan pembangkang kononnya sebagai 'anasir' yang menyerang beliau dan Wanita Umno berkaitan isu ladang ternakan lembu  (NFC)  yang mendapat peruntukan atau pinjaman  RM250 juta daripada Kerajaan Persekutuan dimana suami  dan anaknya merupakan 'orang kuat' dalam perbadanan itu.

Shahrizat lupa atau sengaja buat-buat lupa bahawa isu NFC tidak dibangkitkan oleh pembangkang tetapi oleh Ketua Audit Negara melalui laporan tahunannya. Isu itu turut  dibangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat oleh salah seorang "hulubalang"  dari parti Shahrizat sendiri, iaitu Bung Mokhtar Radin yang mendesaknya meletak jawatan.

Sudah tentu pembangkang turut membangkitkan isu NFC kerana ia membabitkan wang rakyat, soal kewibawaan, integriti, ketelusan dan kesaksamaan dalam melaksanakan projek yang berkaitan dasar kerajaan. Bodohlah wakil-wakil rakyat pembangkang sekiranya mereka membisu seribu bahasa.

Selain Bung Mokhtar, beberapa orang pemimpin pertengahan Umno turut mendesak Shahrizat melepaskan jawatan Kabinet yang disandangnya demi kepentingan parti. Mereka menyifatkan ia sebagai satu beban kepada parti yang bakal menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi.

Saya juga mendapat tahu bahawa ada ahli perwakilan ke perhimpunan agung Umno yang ingin membangkitkan isu NFC tetapi telah dilarang oleh pucuk pimpinan. Benarlah apa yang dinyatakan sebelum ini oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah, iaitu tiada kebebasan bersuara 'sepenuhnya' dalam Umno.

Mungkin kerana tidak tahan melihat Umno menjadi bahan serangan bertubi-tubi oleh lawan, maka seorang ketua bahagian yang lantang bersuara melalui media arus perdana khususnya Utusan Malaysia, iaitu Datuk Wira Syed Ali Alhabshee meluahkan isi hatinya dengan menasihati Shahrizat supaya meletakkan kepentingan parti di atas kepentingan-kepentingan lain. Beliau merujuk kepada isu NFC yang menurutnya seperti kata-kata kiasan "memikul biawak hidup".

Dalam erti kata yang mudah difahami, Syed Ali mendesak Shahrizat letak jawatan kerana isu NFC pasti akan menjejas  Umno yanag sememangnya sudah "tenat" apabila menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Desakan Syed Ali nampaknya tidak disenangi oleh "penyokong" Shahrizat yang pada 15 Disember lalu, atas nama NGO yang tidak pernah dengar "menyerang" pejabat Umno Bahagian Cheras kononnya untuk menyerah memorandum berkaitan isu "biawak hidup" kepada ketua Umno berkenaan.

Turut sama dalam "pasukan"  ke Pusat Rekreasi Cheras yang menempatkan pejabat Umno itu ialah dua orang pegawai dari pejabat Shahrizat. Nah, sudah terang dan tidak perlu disuluh lagi, bahawa siapa yang turut terlibat.

Saya difahamkan bahawa mereka dilayan dengan baik oleh ketua dan kakitangan pejabat Umno Bahagian Cheras tetapi apa yang berlaku agak mendukacitakan kerana ada percubaan untuk mencederakan Syed Ali sehingga pegawainya terpaksa memanggil polis untuk mengawal keadaan. 

Hujung minggu lepas, Shahrizat turun ke Ampang, kubu kuat Zuraida Kamaruddin, ketua wanita PKR yang dijadikan sasaran serangannya. Marah betul Shahrizat kepada Zuraida yang berulang kali mendesaknya meletak jawatan berhubung isu NFC.

Zuraida Kamaruddin turut digelar sebagai "Mak Lampir" iaitu satu watak dalam filem seram Indonesia dan dia dijadikan bahan serangan semasa Shahrizat turun ke Ampang.

Nampaknya Shahrizat masih tidak sedar atau sengaja buat-buat tidak sedar akan kenyataan bahawa isu NFC yang membabitkan suami dan anaknya menjadi "barah" kepada Umno yang sedikit demi sedikit merebak ke seluruh anggota yang akhirnya membunuh.

Shahrizat tidak perlu "hemoi" atau tebal muka untuk menerima kenyataan. Beliau tidak seharusnya "menyerah" kepada pucuk pimpinan untuk menentukan kedudukannya. Jika dia sayangkan parti yang begitu baik dan berbudi kepadanya walaupun dia tumbang kepada seorang yang boleh diibaratkan sebagai "anak" pada pilihan raya umum lepas,  dia mesti letak jawatan parti dan kerajaan. Itulah tindakan yang betul yang mesti diambil olehnya.

Siapa yang lebih layak digelar "Mak Lampir", Shahrizat atau Zuraida?

Wednesday, December 14, 2011

PENGISYTIHARAN SPB AGONG V DAN XIV

Selesai sudah majlis bersejarah iaitu istiadat melafaz sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah jawatan dan istiadat menandatangani surat pengisytiharan memegang jawatan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XIV dan Timbalan YDP Agong. 

Media elektronik dan media cetak saban hari, sebelum dan selepas peristiwa bersejarah itu, mengulangi akan betapa bermaknanya istiadat itu kerana Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, 84, buat kali kedua dipilih oleh Majlis Raja-Raja untuk menjadi ketua negara.  Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah adalah SPB YDP Agong V yang bersemayam atas takhta Kerajaan Malaysia bermula 21 September 1970 hingga 20 September 1975.

Media juga mengulangi kenyataan bahawa semasa Tuanku Abdul Halim menjadi ketua negara, Perdana Menteri yang menerajui pentadbiran negara adalah almarhum Tun Abdul Razak dan kini, apabila Tuanku Abdul Halim menaiki takhta negara buat kali kedua, anak almarhum Tun Razak, Datuk Seri Najib pula menerajui pentadbiran negara.  

Ia adalah sesuatu yang ditakdirkan dan kita tidak seharusnya membuat apa-apa andaian atau  tafsiran dan jauh sekali daripada membuat sebarang perbandingan kerana kedua-dua peristiwa itu berlaku pada dua era yang berlainan dari sudut politik, ekonomi dan kemasyarakatan.

Walau bagaimanapun, saya tertarik dengan ulasan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia [UKM] Tan Sri Prof. Dr Sharifah Hapsah Shahabuddin dalam entri Face Booknya yang menyebut dua persamaan, iaitu pembacaan pengisytiharan oleh Perdana Menteri.

Prof Dr Sharifah Hapsah menulis ''PM Najib reading pengisytiharan SPB YDP Agong baru. His father did d same 4 d same Agong 41 years ago.''

Menurutnya, PM Najib membaca pengiystiharan itu sama seperti yang dibuat oleh almarhum bapanya 41 tahun lalu untuk SPB Agong yang sama. Saya agak ragu-ragu sama ada kenyataan Naib Canselor itu tepat atau sebaliknya.

Saya ragu-ragu kerana semasa Tuanku Abdul Halim menaiki takhta Kerajaan Malaysia buat kali pertama, Perdana Menteri ketika itu bukan Tun Razak tetapi almarhum Tunku Abdul Rahman. Oleh kerana Perdana Menteri orang yang membaca pengisytiharan, sudah tentu bukan Tun Razak tetapi Tunku. Almarhum Tunku berkhidmat sebagai PM di bawah SPB Tuanku Abdul Halim sehari sebelum meletak jawatan.

Untuk mendapat kepastian, saya merujuk kepada tulisan almarhum Tunku dalam bukunya ''Viewpoints'' dan mendapati bahawa Tunku adalah Perdana Menteri semasa Tuanku Abdul Halim dipilih sebagai SPB Agong dan bukan Tun Razak. Selepas Tunku letak jawatan, barulah Tun Razak menyambung khidmat di bawah Tuanku Abdul Halim sebagai Perdana Menteri.

Tunku menulis di bawah tajuk ''The Yang Dipertuan Agong'' seperti berikut - '' I had the pleasure and the honour of serving as Prime Minister under five Agungs; [1] HRH Tuanku Abdul Rahman of Negeri Sembilan, [2] HRH Tuanku Hishamuddin Alam Shah of Selangor, [3] HRH Tuanku Syed Putra of Perlis, [4] HRH Tuanku Ismail of Trengganu and [5] HRH Tuanku Halim Shah of Kedah, for one day.''

Sebagai Perdana Menteri, sudah tentulah Tunku yang membaca pengisytiharan tersebut dan bukan orang lain dan oleh kerana ia adalah catatan sejarah, maka kepastian  perlu dicari.

Saya tetap ragu-ragu kecuali ada pihak yang tampil dengan fakta. 




Tuesday, December 13, 2011

DAULAT TUANKU - DAULAT TUANKU - DAULAT TUANKU

Merafak Sembah Setinggi-Tinggi Tahniah Kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah Sempena Istiadat Melafaz Sumpah Jawatan Dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Dan Istiadat Menandatangani Surat Pengisytiharan Memegang Jawatan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XIV. 

SEMOGA ALLAH LANJUTKAN USIA TUANKU

Salutations And Heartiest Congratulations And May Allah The Almighty Bless to Al-Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah.


Tuesday, December 06, 2011

Mana lebih penting - calon atau parti boleh menang?

Setelah berakhirnya perhimpunan agung UMNO, orang kebanyakan  terutama 'orang UMNO' masih memperkatakan mengenai pilihan raya umum ke-13 dan soal 'calon boleh menang' yang seharusnya diutamakan oleh parti.

Soal sama ada bila PRU-13 akan didakan bukan menjadi tajuk perbincangan utama tetapi soal calon parti yang boleh menang atau berdaya menang.

Bermacam andaian dan pendapat dibuat oleh sama ada pemerhati politik dari dunia akademik yang tidak semestinya pakar dan pengamat tidak profesional di warung-warung kopi dan gerai rakyat bawahan yang tidak pernah atau amat jarang menjejak kaki ke "Coffee House" hotel berbintang-bintang yang sering dijadikan tempat  melepak 'orang UMNO' bergelar, berjawatan  dan berpangkat.

Apa yang menarik perhatian saya ialah kenyataan pengerusi badan perhubungan UMNO Kelantan yang juga mantan menteri kabinet, Tan Sri Anuar Musa yang saya dapati jauh lebih tepat dan kena dengan keberadaan politik semasa.

Anuar berpendapat bahawa soal calon boleh menang tidak dapat menjamin atau gerenti boleh menang sekiranya parti, iaitu UMNO, tidak diterima dan tidak boleh menang. Oleh itu, yang lebih penting ialah soal parti boleh menang, bukan calon boleh menang.

UMNO sepatutnya meninjau suasana dan penerimaan rakyat akar umbi sama ada mereka menerima kehadiran parti itu atau tidak, UMNO harus sedar bahawa bukan semua orang Melayu adalah 'orang UMNO" dan bukan semua 'orang UMNO' akan mengundi calon UMNO atas sebab-sebab tertentu termasuk soal calon.

UMNO juga harus sedar bahawa rakan-rakan kongsinya dalam Baisan Nasional,  MCA, MIC dan Gerakan, belum tentu dapat menarik sokongan pengundi Cina dan India untuk menyokong calon BN dari UMNO. UMNO mesti sedar bahawa ia amat memerlukan sokongan pengundi bukan Melayu untuk menang dan inilah salah satu fakta yang perlu ditangani segera jika parti itu ingin menang.

Jika dilihat pada senarai wakil rakyat UMNO yang berkhidmat sekarang, saya berani menyatakan bahawa lebih separuh daripada mereka bukan calon yang berdaya menang termasuk sebilangan besar anggota Kabinet.

Oleh itu, UMNO mesti serius mencari calon-calon 'muka baru' yang tidak semestinya dari kalangan 'orang muda' dari sama ada Pemuda atau Putri UMNO. Calon 'muka baru' berada di mana-mana sahaja termasuk di kalangan pengkhidmat awam, sektor korporat dan golongan profesional yang tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti. Beranikah UMNO memilih mereka untuk bertanding pada PRU-13 dan mahukah 'orang UMNO' yang menerajui bahagian-bahagian parti menerimanya?

Budaya UMNO selama ini yang mengutamakan calon dari kalangan pemimpin peringkat bahagian - sama ada ketua, timbalan ketua, naib ketua, setiausaha, ketua penerangan, bendahari dan AJK - mesti diubah dan pemilihan calon seharusnya dibuat secara menyeluruh. Calon tidak semestinya menjadi ahli di bahagian berkenaan tetapi anak tempatan yang bermastautin di tempat lain. Sebagai contoh, calon yang dipilih untuk bertanding di Titiwangsa mungkin anak Kampung Baru yang menetap di Johor.  Yang penting calon itu diterima dan boleh menang, asalkan UMNO boleh menang.

Masalah yang lazim menghantui UMNO ialah kepimpinan bahagian berkenaan yang terlalu mengidam untuk menjadi calon tetapi apabila tidak dipilih, dia enggan bekerjasama atau memberi sokongan sepenuhnya kepada calon yang dipilih.

Dalam hubungan ini, kenyataan Anuar Musa bahawa yang penting ialah  parti boleh menang, bukan calon boleh menang mesti diutamakan.  Jika parti boleh menang, soal calon tidak menjadi masalah tetapi jika calon dikatakan boleh menang tetapi parti ditolak rakyat, maka ia adalah satu masalah besar.

Seperti yang disebut oleh mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad, mereka yang sudah lama menjadi wakil rakyat mesti undur untuk memberi peluang kepada muka baru yang boleh menang dan saya ingin menambah mereka yang  menjadi 'beban' kepada parti seharusnya sedar dan undur.

Contoh yang dapat saya berikan ialah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Dia kini lebih merupakan 'beban' kepada UMNO dan dia harus sedar akan keadaan itu dan tidak semata-mata 'menyerah' kedudukannya kepada presiden parti untuk membuat keputusan. Mentimun dan pisau berada di tangan Shahrizat, bukan di tangan orang lain.

Kepada 'orang UMNO' yang berada dalam kedudukan sedemikian, mereka harus sedar bahawa hari sudah terang dan mereka tidak perlu lagi bersuluh.


  

 

Wednesday, November 30, 2011

UMNO dan masa depannya

Perhimpunan Agung UMNO yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur sekarang dikatakan yang terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13 yang diramal diadakan sebelum sambutan tahun baru Cina.

Perwakilan dan pemerhati parti dari seluruh negara kecuali Sarawak, seperti lazimnya, menyambut baik saranan dan nasihat presiden parti terutama yang bersangkut paut dengan pemilihan calon pilihan raya akan datang.

Semuanya berjanji akan patuh menyokong sesiapa sahaja calon yang dipilih oleh kepimpinan parti. Itulah gambaran yang dilakarkan oleh media terutama media yang dikawal atau dikuasai  Umno.

Namun demikian, kita percaya bukan semua ahli yang secara jujur dan ikhlas menyokong apa yang dinyatakan oleh presiden parti, terutamanya mereka yang bercita-cita dan mengharapkan untuk dipilih sebagai calon.

Presiden dan timbalan presiden UMNO mengakui bahawa pilihan raya umum ke-13 bukanlah sesuatu yang mudah dan disifatkan oleh orang nombor dua dalam parti itu sebagai 'ibu segala pilihan raya'. Ini bermakna UMNO sedar bahawa bukan senang bagi parti itu dan rakan-rakan kongsinya dalam Barisan Nasional (BN) untuk menang. 

UMNO sendiri sedar bahawa parti itu mesti meletakkan calon yang boleh menang, iaitu calon yang boleh diterima oleh rakyat dan ia tidak semestinya calon yang dipilih dari kalngan pemimpin peringkat bahagian. Calon yang boleh menang mungkin berada di luar bahagian berkenaan atau ahli biasa yang tidak menetap di kawasan yang ditandinginya.  

Persoalannya, mahukah kepimpinan peringkat bahagian menerima calon berkenaan kerana selama ini, UMNO mengamalkan cara pemilihan calon yang bersandarkan kepada kepimpinan peringkat bahagian. Inilah cabaran yang mesti dilalui oleh parti kerana ia bukan sesuatu yang mudah.

UMNO sedar bahawa parti itu menghadapi berbagai masalah,  kesulitan dan dugaan di kalangan ahlinya sendiri selain menghadapi cabran hebat parti lawan terutama PAS. UMNO telah melalui penyusunan dan perubahan sejak parti itu diharamkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk terus kekal relevan dalam arena politik Melayu.

Perubahan yang dilakukan didorong oleh keperluan semasa tetapi ia belum mencukupi untuk menjamin kelangsungan hidup parti terutama di kalangan generasi muda yang mepunyai selera dan naluri kehidupan yang jauh berbeza dengan golongan dewasa. Di sinilah letakn ya kelemahan utama UMNO berbanding dengan parti-parti lawan.

Banyak isu dan kejadian yang membabitkan tokoh-tokoh UMNO sama ada secara langsung atau tidak dilihat sebagai barah yang sedikit demi sedikit memusnahkan kepercayaan. Isu rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, kehidupan mewah, kedudukan dan pangkat tidak terlepas daripada perhatian rakyat.

Perkara ini berlaku kerana di kalangan kepimpinan UMNO semua peringkat, ada diantaranya yang tidak menyedari akan tangungjawab, tidak mengutamakan kepentingan parti dan ahli-ahlinya kecuali kepentingan diri sendiri. 

Seperti yang ditegaskan oleh presiden UMNO,  pemimpin dan ahli parti kena berubah, jika tidak mereka akan diubah. Perubahan pasti akan berlaku pada pilihan raya umum ke-13 sekiranya UMNO salah pilih calon dan apa yang dapat dikatakan ialah hampir separuh daripada wakil rakyatnya yang ada mesti diubah untuk mengelak parti itu rebah.

           

Wednesday, November 23, 2011

Tiada penganugerahan darjah kebesaran oleh Sultan Johor

Saya menjunjung kasih atas kebijaksanaan Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Negeri Johor Darul Ta'zim kerana tidak mengurniakan sebarang darjah dan bintang kebesaran sempena ulang tahun keputeraan baginda pada 26 Zulhijjah 1432 Hijrah bersamaan 22 November 2011.

Inilah kali kedua baginda berbuat demikian dan rakyat Johor khasnya dan warga Malaysia amnya, sudah tentu gembira dan menyambut baik keputusan baginda itu.

Mungkin orang politik, ahli-ahli perniagaan dan pegawai perkhidmatan awam yang ternanti-nantikan gelaran 'datuk' dan sebagainya,   kecewa kerana tidak berpeluang mengumpul gelaran dan anugerah. Saya kata mengumpul kerana itulah yang berlaku walaupun bukan di kalangan majoriti tetapi memang berlaku.

Malaysia adalah satu-satunya negara yang menganugerah terlalu banyak gelaran dan pingat serta bintang kebesaran di dunia. Manakan tidak, setiap negeri berbuat demikian selain Kerajaan Persekutuan dan Wilayah Persekutuan. Macam-macam gelaran diwujudkan sehingga ada yang melucukan.

Tindakan Sultan Ibrahim untuk tidak menganugerahi darjah dan bintang kebesaran serta pingat mengingatkan saya kepada tindakan Almarhum ayahanda baginda, Sultan Iskandar semasa menjadi SPB Agong ke-8.

Menurut pegawai yang pernah bekhidmat di Istana Negara ketika itu, setiap kali senarai pencalonan dikemukakan untuk pertimbangan atau perkenan baginda, Almarhum Sultan Iskandar  akan bertanya dua perkara - berapa umur calon dan telah berapa lama berkhidmat (sekiranya calon tersebut pegawai kerajaan).

Baginda hanya akan perkenan penganugerahan kepada pegawai berumur 45 tahun ke atas kerana, menurut baginda, jika seseorang itu telah berumur 45 tahun pastinya beliau telah berkhidmat selama 20 tahun atau lebih.

Almarhum Sultan Iskandar cukup teliti dengan soal penganugerahan darjah atau bintang kebesaran semata-mata untuk memastikan mereka yang benar-benar layak sahaja diberi pertimbangan. Ya, mereka yang benar-benar layak.  

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penerima darjah kebesaran yang membawa gelaran datuk begitu ramai. Sesetengahnya dua atau tiga kali menerima, cuma grednya berbeza. Ada yang dapat  dua  darjah kebesaran  dalam satu tahun, dari dua  negeri berlainan.

Selain itu, tidak kurang juga yang berumur bawah 40 tahun dan ada yang tidak sampai 30 tahun menerima anugerah tersebut sedangkan khidmat bakti mereka terlalu kecil malahan tiada sama sekali kepada negeri mahupun negara. Yang mereka miliki kekayaan dan wang ringgit. Ada juga yang mendapat atau diberi anugerah  kerana sering bermain badminton dengan anak 'orang besar'  dan ada pula yang menerimanya kerana tidak lokek mengeluar perbelanjaan untuk keluarga pihak berkenaan.

Ada negeri yang setiap  tahun  memberi anugerah yang membawa gelaran datuk kepada mereka yang tidak berjasa kepada negeri berkenaan tetapi atas pertimbangan dan kepentingan politik atau kepentingan media (nak dapat publisiti).

 Mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad pernah berkata bahawa penganugerahan pingat dan darjah kebesaran perlu dibuat dengan lebih teliti dan itulah yang diputuskan oleh Kabinet pada mesyuarat mingguannya November 2003. Kabinet meminta PM menyampaikan kepada Majlis Raja-Raja butiran, maklumat, pandangan atau panduan supaya penganugerahan darjah kebesaran lebih tersusun, profesional dan lebih dihormati.

Nampaknya saranan Kabinet pada November 2003 itu tidak lagi dihormati oleh pihak negeri jika dilihat dari sudut bilangan orang yang diberi anugerah yang membawa gelaran datuk. Bak kata orang tua-tua, apa yang diberlaku pada tahun 2003 tidak ubah seperti hangat-hangat tahi ayam.

Oleh itu, apa yang diputuskan oleh Sultan Ibrahim, Sultan Johor,  adalah sesuatu yang bijak dan seharusnya disanjung tinggi oleh rakyat yang semakin muak dengan sikap dan tindakan negeri-negeri yang seolah-olah berlumba-lumba memberi anugerah datuk.

Adalah sesuatu yang tidak menghairankan apabila rakyat sering berjenaka mengenai gelaran datuk, iaitu mengenai balingan sebutir batu yang pasti  menimpa kepala seorang datuk,  dan ada pua kumpulan rock yang mengarang lagu mengenainya.....ala, ala, latuk, ala, ala latuk, tuk, tuk, tuk.



  
  

Tuesday, November 22, 2011

Ke mana perginya semangat kesukanan?

Temasya sukan sekarang bukan seperti beberapa dekad lalu. Dulu semangat kesukanan begitu tinggi dan dihargai. Temasya sukan, sama ada peringkat serantau, benua atau dunia, dijadikan pelantar untuk menjalin hubungan bukan sahaja antara negara tetapi antara para peserta. Begitulah tingginya semangat kesukanan.

Sekarang, temasya sukan dijadikan sandaran untuk meraih nama dan imej. Lebih banyak pingat emas yang diperolehi, lebih megah dan sombongnya sedangkan semangat kesukanan tidak menjadi ukuran.

Negara yang begitu ghairah untuk menang sesuatu acara sukan akan melakukan apa saja yang dibolehkan, dan ada kalanya membabitkan penipuan dan muslihat tertentu, untuk mencapainya. Sukan tidak lagi dijadikan pelantar atau wadah untuk menjalin silatur-rahim dan setiakawan tetapi sebagai medan perang untuk menang.

Beberapa dekad lalu, dua buah negara di Amerika Selatan hampir berperang ekoran perbalahan membabitkan perlawanan bolasepak. Begitulah hebatnya sukan sehingga dua buah negara sanggup berperang. Walau bagaimanapun, kehebatan itu memperlihatkan kejanggalan dalam memahami apa itu semangat kesukanan dan kemenangan bukanlah segala-galanya.

Di kalangan negara Asia Tenggara,  Sukan SEA menjadi kayu pengukur sejauh mana sesebuah negara itu jaguh dalam arena sukan. Setiap negara yang dipilih bergilir-gilir menjadi tuan rumah, akan mengadakan acara sukan yang mampu membawa kemenangan walaupun ianya tidak popular di negara lain. Yang penting ialah untuk mengumpul sebanyak yang boleh pingat emas.

Pada temasya Sukan SEA semasa di Palembang dan Jakarta, kita dapat lihat ketandusan semangat kesukanan di kalangan penyokong malah pegawai tuan rumah. Bagi mereka, Malaysia adalah 'musuh' utama dan di mana saja atlet Malaysia muncul, akan bergemalah ejekan, sindiran, kata-kata cacian dan penghinaan. Mereka tidak langsung menghormati bendera dan lagu kebangsaan kita. Kebiadaban yang diperlihatkan itu amat memalukan dan jelas tidak menghormati tetamu kerana kita dan negara ASEAN yang lain adalah tetamu mereka.

Apa yang amat menyedihkan ialah cara mereka melayani pasukan bolasepak kita. Keperitan yang dilalui oleh pasukan Harimau Muda tidak pernah dilalui oleh mana-mana pasukan kebangsaan.  Mereka terpaksa berhimpit-himpit dalam kereta perisai milik polis republik itu, mereka dinafikan hak latihan di stadium, mereka di maki hamun dan diperlekehkan.

Namun demikian, segagah  gelaran Harimau Muda, pasukan bolasepak bawah umur 23 tahun Malaysia itu memperlihatkan semangat juang yang tinggi dan tidak gentar menghadapi ancaman dan serangan sang Garuda. Bukan sekali tetapi dua kali Harimau Muda menjinakkan Garuda di gelanggang lawan.  Bukan calang-calang pasukan yang mampu berbuat demikian.

Tahniah kepada Harimau Muda. Tahniah Ong Kim Swee atas kejayaan anda membawa kemenangan walaupun menghadapi 1001 macam dugaan, rintangan dan cemuhan.

Para atlet Malaysia memperlihatkan adab dan sopan santun yang tinggi walaupun tidak dilayan sewajarnya oleh tuan rumah.  Atlet Malaysia menunjukkan bahawa budi bahasa adalah budaya kita. Bukan sebaliknya seperti yang dipertonton oleh penyokong dan sebilangan pegawai penganjur Sukan SEA Jakarta dan Palembang.

Teringat akan saya pepatah Cina yang bermaksud: "Sekeping emas terpelihara kemurniaannya walaupun dicairkan seratus kali. Seorang wira tidak boleh hilang pertimbangan walaupun menempuh bahaya dan kesukaran."

Itulah yang dilalui oleh para atlet Malaysia di Jakarta dan Palembang. Syabas.



  

Saturday, November 19, 2011

NFC dan kondo mewah, antara lembu dan manusia

Isu ladang ternakan negara yang dikatakan bakal memberi sumbangan besar kepada industri makanan, National Feedlot Corporation [NFC] yang diketuai oleh suami Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, memasuki fasa siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan [CCID].

Isu NFC bangkit ekoran laporan Ketua Audit Negara yang kurang berpuas hati dengan perjalanan dan pencapaiannya yang disifatkan oleh Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail sebagai kurang tepat.

Yang menarik perhatian seperti yang dibangkitkan oleh Parti Keadilan Rakyat dan PAS ialah pembelian dua buah unit kondo lampau mewah di Bangsar, yang diberi nama One Menerung, pada harga RM6.9 juta seunit [PKR kata RM9.8 juta].

NFC yang diberi pinjaman mudah RM250 juta oleh Kerajaan Persekutuan semasa ditadbir oleh Tun Abdullah Ahmad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pertanian, untuk membangun dan memajukan industri ladang ternakan lembu, sebenarnya tiada kepakaran untuk mengusahakannya.

Dr Salleh mungkin berjaya dalam membangun dan memajukan Taman Teknologi Malaysia atau TPM yang diterajuinya selama 18 tahun, tetapi tiada kepakaran dalam industri ternakan atau perladangan ternakan. Itu yang jelas. Oleh itu, banyak yang hairan bagaimana seorang yang tiada kepakaran atau pengalaman boleh diberi kepercayaan untuk mengusahakan sebuah ladang ternakan seluas 607 hektar di Gemas, Negeri Sembilan.

Tetapi, apa yang menarik perhatian umum ialah pembelian dua buah kondo lampau mewah di Bangsar yang disifat oleh Dr Salleh sebagai satu pelaburan yang baik untuk NFC walaupun ia melibatkan pelaburan RM13.8 juta daripada wang pinjaman RM250 juta yang diamanahkan oleh kerajaan.

Dr Salleh berkata pembelian dua buah kondo itu akan memberi pulangan lebih baik berbanding dengan jika wang tersebut disimpan dalam akaun simpanan tetap.

Beliau berhujah andai kata RM13.8 juta dimasuk dalam deposit tetap atau simpanan tetap bank pada kadar faedah 2.7 peratus setahun, NFC akan mendapat pulangan RM379,000 manakala pulangan daripada sewaan dua unit kondo mewah itu  sebanyak RM360,000 setahun. Media melaporkan Dr Salleh sebagai berkata sewaan bulanan yang diperolehi adalah  RM30,000 sebulan. 

Tetapi, apabila penilai/pentaksir harta profesional menolak nilai sewaan yang disebut itu kerana menurut mereka, nilai paling tinggi yang boleh dicapai tidak melebihi RM24,000 dan mustahil untuk mencapai RM30,000 sebulan, Dr Salleh lantas menyatakan yang dia disalah petik oleh sesetengah media. Katanya, sewaan yang diterima ialah RM18,000 dan RM17,000 sebulan untuk dua unit kondo berkenaan.

Beliau juga menjelaskan bahawa kondo berkenaan dibeli dengan mendapat diskaun 20 peratus dan pembelian tersebut adalah satu urus niaga yang baik untuk NFC.

Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang meneliti isu NFC mendapati ia tiada kaitan dengan undang-undang di bawah SPRM tetapi ada kaitan dengan Kanun Keseksaan dan oleh itu menyerah kes tersebut kepada PDRM. Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan PDRM sedang menyiasat dan kita tunggu apa keputusannya.

Dalam pada itu, Muhyiddin dan Pak Lah, menolak desakan pembangkang dan beberapa NGO supaya Shahrizat, suami Dr Salleh melepaskan jawatan Kabinetnya. Mereka berkata Shahrizat tiada kaitan dengan pemberian pinjaman RM250 juta kepada NFC yang dikuasai oleh suami dan keluarganya.  

Itu kata mereka.


 

Tuesday, November 15, 2011

Ketua Menteri Pulau Pinang 'anti-Melayu', sejak zaman Chong Eu?

Kecuali  mendiang Tan Sri Wong Pow Nee, setiap seorang ketua menteri Pulau Pinang tidak terlepas daripada dituduh 'anti-Melayu'.

Mendiang Pow Nee yang menerajui pentadbiran Negeri Pulau Pinang sejak Merdeka sehingga pilihan raya umum 1969, terlepas daripada tuduhan itu mungkin kerana sentimen orang Melayu tidak dipengaruhi politik perkauman yang tebal. Rakyat Pulau Pinang memilih Perikatan, iaitu kerjasama tiga buah parti politik yang mewakili kaum Melayu (UMNO), Cina (MCA) dan India (MIC) demi mengekal perpaduan dan kerjasama antara kaum.

Kehidupan orang Melayu ketika itu bukanlah senang dan mereka menghuni kampung-kampung tradisional bukan sahaja di Seberang Perai tetapi di bahagian pulau termasuk dalam kawasan bandar raya George Town. Kemiskinan bukan sahaja menimpa orang Melayu tetapi Cina dan India terutama dalam kawasan bandar dan pinggir kota.  

Walaupun Perikatan menguasai pentadbiran negeri, pihak  yang menguasai Majlis Bandar Raya George Town, iaitu pihak berkuasa tempatan tertua dan pertama di negara ini selepas pilihan raya tempatan diadakan, ialah gabungan dua buah parti politik berhaluan kiri,  Partai Sosialis dan Partai Buruh yang membentuk Barisan Sosialis atau "Socialist Front".

Tiada banyak masalah yang timbul walaupun pentadbiran negeri dan pentadbiran kerajaan tempatan dipegang oleh dua buah gabungan parti politik yang berlainan ideologi. Pentadbiran negeri pimpinan Pow Nee menerajui negeri tanpa membawa banyak perubahan dalam bentuk pembangunan fizikal mahupun sumber manusia yang sekarang disebut sebagai pembangunan insan atau modal insan.

Pulau Pinang mula melihat dan merasai perubahan dalam pembangunan apabila pentadbiran Gerakan pimpinan mendiang Tun Dr Lim Chong Eu mengambil alih pada 1969.  Atas daya usaha allahyarham Tun Abdul Razak, Gerakan membentuk kerajaan campuran dengan UMNO yang kemudiannya berkembang membentuk Barisan Nasional.

Chong Eu membawa perubahan besar kepada ekonomi Pulau Pinang apabila beliau berjaya membawa masuk industri elektronik terutama dari Amerika Syarikat dan Jerman. Zon Perdagangan Bebas dan Zon Industri Bebas wujud membuka beratus ribu peluang pekerjaan dan membawa rahmat bukan sahaja kepada rakyat Pulau Pinang tetapi negeri-negeri di utara Semananjung dan Pantai Timur. 

Berpuluh  ribu anak Melayu dari kampung dan desa di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terenggu dan Pahang berhijrah ke Pulau Pinang untuk bekerja di kilang-kilang elektronik selain anak watan Pulau Pinang.

Berkat usaha  Chong Eu membawa masuk industri elektronik, ramai keluarga Melayu dapat dikeluarkan daripada takrif kemiskinan.

Selain industri elektronik, Chong Eu turut membangun semula industri pelancongan ekoran tindakan kerajaan persekutuan menarik balik taraf pelabuhan bebas Pulau Pinang untuk diberi kepada Langkawi.  Penarikan taraf pelabuhan bebas itu dilihat sebagai satu tindakan yang bermotifkan politik dan Chong Eu terpaksa bekerja keras untuk memulih industri pelancongan pulau peranginan yang digelar "Mutiara Timur" itu.

Pembangunan pusat-pusat peranginan dan hotel tepi pantai bertaraf antarabangsa berjaya memulih industri pelancongan walaupun Pulau Pinang bukan lagi 'syurga membeli belah' seperti yang wujud semasa bertaraf pelabuhan bebas.

Walaupun Chong Eu berjaya membawa keluar Pulau Pinang daripada kemurungan akibat penarikan balik taraf pelabuhan bebas dan secara tidak langsung membantu beratus ribu anak Melayu yang menganggur bekerja di kilang-kilang elektronik, beliau tidak terlepas daripada tuduhan 'anti-Melayu'. 

Pengganti beliau, Tan Sri Dr Koh Tsu Khoon juga tidak terlepas daripada tuduhan sedemikian walaupun beliau tidak sehebat Chong Eu tetapi sekadar meneruskan dasar pembangunan yang diletak asasnya oleh Chong Eu.

Sekarang, ketua menteri DAP yang mewakili Pakatan Rakyat, Lim Guan Eng pula menghadapi tuduhan 'anti-Melayu'. Tuduhan yang dihadapinya agak unik dan lebih teratur dan dirancang dengan teliti.

Guan Eng  kurang bernasib baik berbanding Chong Eu dan Tsu Khoon kerana dia menghadapi 'bantahan' termasuk secara demonstrasi jalanan oleh kumpulan-kumpulan yang kononnya mewakili badan-badan bukan kerajaan (NGO).  

Penunggang motosikal yang kebanyakannya mewakili penunggang 'kapcai' turut berdemonstrasi menghentam pentadbiran Guan Eng dan mendesak diadakan trek lumba motosikal untuk mereka. Demonstrasi mat-mat motor itu sudah tentu diatur dan dirancang oleh pihak tertentu yang disokong oleh kepentingan politik. Bukan mudah untuk mengumpul sebegitu ramai penunggang motosikal berkumpul di satu tempat untuk bermotosikal ke satu tempat lain secara serentak jika tidak dirancang terlebih awal.

Kita ingin tanya penganjur demonstrasi mat motor itu sama ada mereka sedar atau tidak, negeri-negeri lain juga tiada trek lumba motosikal khusus untuk mat-mat motor atau yang disebut polis sebagai samseng jalan raya. 

Selain penunggang motosikal, pengayuh beca pun dijadikan alat untuk golongan tertentu untuk membantah  pentadbiran Guan Eng dengan bermacam tuduhan. Sekali lagi, kita lihat ada perancangan terlebih dahulu untuk mengumpul pengayuh beca berkenaan.   

Sama seperti Chong Eu dan Tsu Khoon, Guan Eng juga dituduh 'anti-Melayu' dan tuduhan yang dihadapinya jauh lebih berat  kerana ia membabitkan dalang yang mewakili parti politik yang ditolak oleh rakyat Pulau Pinang.

Orang Melayu Pulau Pinang harus sedar bahawa mereka akan terus ditadbir oleh seorang ketua menteri bukan Melayu kerana UMNO, melalui presidennya Datuk Seri Najib Tun Razak, telah memberi jaminan bahawa UMNO tidak akan tuntut jawatan itu walaupun menang besar. Adakah orang Melayu Pulau Pinang akan mengulangi tuduhan 'anti-Melayu' kepada ketua-ketua menteri berikutnya? 

Orang Melayu Pulau Pinang juga harus lihat kehidupan para pemimpin mereka yang sering memperalatkan golongan Melayu bawahan untuk membantah itu dan ini sedangkan mereka menghuni kediaman  mewah, berkereta mewah dan saban tahun bercuti ke luar negara. 

Penunggang motosikal dan pengayuh beca harus bertanya kepada kepimpinan Melayu Pulau Pinang apa yang mereka buat atau usahakan untuk membantu orang Melayu miskin, yang menganggur dan tiada kediaman tetap? 

Jangan terlalu mudah menuduh orang lain sebagai 'anti-Melayu' sedangkan di kalangan orang Melayu sendiri wujud mereka yang tidak memperdulikan untung nasib bangsanya sendiri.

  





   

Thursday, November 10, 2011

Zionis dan Amerika nak serang Iran?

Sudah gah berita yang menyebut bahawa rejim Zionis Yahudi dan Amerika Syarikat sedang merancang untuk menyerang Iran dengan alasan untuk menghalang republik Islam itu daripada memiliki senjata nukliar.

Rejim Zionis secara terang-terangan memberi amaran bahawa ia akan melancar serangan unilateral ke atas kemudahan loji nukliar Iran sebelum negara Islam itu berjaya memuktamadkan penghasilan senjata  nukliar atau peledak atom. 

Kita tahu bahawa Zionis Yahudi dan Amerika Syarikat serta pelesit mereka di Eropah bimbang sekirnya Iran berjaya menghasilkan senjata nukliar sedangkan negara sekutu mereka tidak dihalang atau dicegah daripada memiliki senjata pemusnah besar-besaran itu.

Walaupun Iran telah beberapa kali menyatakan bahawa program nukliarnya adalah untuk tujuan   keamanan  dan bukan ketenteraan tetapi ia terus ditentang oleh musuh-musuh Iran.

Jika benarpun Iran cuba membangun senjata nukliar untuk mempertahan kedaulatan negaranya, itu adalah hak mereka sama seperti negara-negara lain yang memiliki senjata nukliar. Kenapa Iran disekat dan dinafikan hak tersebut?

Kenapa Amerika dan dunia Barat membisu seribu bahasa apabila rejim Zionis Yahudi menghasil dan memiliki peledak nukliar? Jika Zionis Yahudi boleh kenapa Iran atau negara-negara lain di Asia Barat tidak boleh?

Zionis Yahudi atau Israel adalah satu-satunya negara di Asia Barat yang memilik senjata nukliar, bahkan dikatakan jauh lebih maju daripada yang dimiliki oleh Britain dan Perancis.

Program senjata nukliar Israel dimula oleh David Ben Gurion, perdana menteri pertama negara Yahudi itu pada lewat tahun 1950-an. Program itu bertapak  di Pusat Penyelidikan Nukliar Negev, di pinggir kota Dimona dan berasaskan keupayaan reaktor nukliar Dimona, Israel dikatakan memiliki tidak kurang daripada 200 peledak nukliar. Progam itu disokong dan dibantu terutamanya oleh Perancis.

Selain senjata nukliar, Israel turut memiliki senjata kimia dan biologi.

Jelas sekali Israel adalah satu-satunya negara di Asia Barat yang mengancam keselamatan bukan sahaja serantau tetapi dunia dan bukan Iran atau mana-mana negara Arab/Islam.

Barat tidak mengambil sebarang tindakan ke atas Israel kerana mereka membantu dan menyokong pemilikan senjata nukliar, senjata kimia dan senjata biologi Israel.

Barat berbuat demikian kerena mereka tahu bahawa ekonomi di negara mereka dikuasai oleh Yahudi dan tanpa sokongan Yahudi, negara mereka boleh muflis.

Tindakan serta campur tangan dan pencerobohan ke atas beberapa negara Arab/Islam oleh kuasa-kuasa Barat yang diketuai Amerika Syarikat jelas memperlihat satu muslihat jahat untuk menghancur dan memusnahkan Islam itu sendiri. Mereka bertindak kononnya atas nama keadilan dan demokrasi. Mereka menghasut rakyat di negara-negara berkenaan untuk bangkit menentang pemerintah dan apabila pemberontakan atau kebangkitan rakyat itu berjaya, maka mereka, iaitu kuasa-kuasa Barat, akan menguasai semua hasil bumi negara berkenaan, terutama minyak dan gas.

Negara berkenaan akan menjadi negara boneka Barat dan pemimpinnya pula akan dicucuk hidung untuk mengikuti apa sahaja yang diarah dan diperintah oleh Barat. Lihat saja keadaan di Iraq dan Afghanistan dan selepas ini di Tunisia dan Libya. Mesir mungkin terlepas daripada kongkongan Barat kerana apa yang berlaku di negara itu bukan dihasut oleh Barat atau CIA Amerika Syarikat.

Amerika kini menguasai minyak Iraq sepenuhnya manakala Britain, Perancis dan Itali akan menguasai pengeluaran minyak Libya. 

Dalam kes Iran, pengganas Zionis Yahudi  akan berdepan dengan cabaran paling hebat jika mereka cuba menyerang Iran. Negara majoriti Syiah itu bukan mudah ditakut-takutkan kerana Iran juga memiliki kekuatan yang setanding walaupun tiada senjata nukliar.

Sekiranya Zionis Yahudi dan Amerika menyerang Iran, mereka  melakukan satu kesilapan besar yang  akan mengaitkan negara-negara lain termasuk yang memiliki senjata nukliar. Sudah tentu Israel dan Amerika serta pelesit mereka di Eropah akan berfikir panjang sebelum melakukan sebarang tindakan bodoh.

Adalah sesuatu yang bukan mustahil peperangan nukliar akan tercetus sekiranya Iran di serang.

 

Saturday, November 05, 2011

"Seksualiti Merdeka" is against the basic tenets of human rights

If one is to refer to the Universal Declaration of Human Rights (UDHR), which was adopted by the United Nations General Assembly (UNGA) in 1948, one might argue that  same-sex marriage is part and parcel of human rights. I beg to differ.

While agreeing that the 1948 UDHR serves as a benchmark, there can never be an absolute consensus on the meaning of human rights.

Human  values have undergone rigorous and wide spread changes although the basic tenets of universality does remain intact. The practices of some of these rights have to take religious and cultural practices of a nation into consideration.

Owing to religious beliefs, same-sex marriage is not permissible in Malaysia and in the majority of countries in the world.

As stated earlier, the UDHR is the backbone of the International Bill of Human Rights, which states that:

"All human beings are born free and equal in dignity and rights. They are endowed with reason and conscience and should act towards one another in a spirit of brotherhood. Everyone is entitled to all the rights and freedoms set forth in this Declaration without distinction of any kind, such as race, color, sex, language, religion, political or other opinion, national or social origin, property, birth or other status."

However,  there can never be absolute freedom for, such liberty will only lead to anarchy, unless the government places limited restrictions to certain rights, individuals can abuse these rights and create moral degradation.

The Western concept of rights differs from that of Asian countries. Asian culture places society above self while the West places the rights of the individual before the interests of society.

Some rights are certainly not right whilst some human rights are certainly not humanely just especially so when seen in actual context and practice.

Rights must always be seen in the larger context of the equality of life for the community and not just pegged on the ideals of UDHR.

"Seksualiti Merdeka" is certainly against  efforts to develop a caring, moral and persevering personality. It is an abuse of the basic  tenets of human rights.

 

Tuesday, November 01, 2011

Politik Melayu terus bercaca-marba

Yang pasti Melayu akan terus berbalah lantaran perbezaan fahaman politik tetapi sukar untuk bersatu atas kepentingan agama. Cina Malaysia pula sukar digoda apatah pula dipecahkan walaupun berlainan amalan politik.

Melayu terbahagi kepada dua golongan besar dari sudut politik, iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO dan Partai Islam Se-Malaysia atau PAS. Tetapi, Melayu menubuhkan terlalu banyak badan-badan bukan kerajaan atau NGO yang sebenarnya berkiblatkan kedua-dua pertubuhan politik berkenaan.

Dalam pada itu, terdapat serpihan sama ada UMNO ataupun PAS yang membentuk pertubuhan politik masing-masing termasuk PKR dan KITA serta NGO seperti PERKASA.

Masing-masing ada agenda tertentu yang pada akhirnya bermatlamat politik, sama ada menyokong UMNO atau PAS. Di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, NGO berkenaan bergerak bagi pihak UMNO dan parti-parti komponen BN manakala di negeri-negeri pentadbiran BN, mereka mewakili kepentingan PKR, DAP ataupun PAS.  Yang nyata, majoriti adalah NGO Melayu.

Jika dilihat dari sudut nisbah Melayu-Bumiputera, kedudukan tidak melebihi 56 peratus daripada keseluruhan penduduk dan jika dibahagikan pula kepada dua golongan besar, iaitu UMNO dan PAS, maka nisbah tersebut turun kepada antara 25 dan 35 peratus.

Kedudukan itu melemahkan politik Melayu-Bumiputera dan sebab itulah kita dapati timbul tuntutan demi tuntutan yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu termasuk berani mempersoalkan kedudukan istimewa orang Melayu dan memurtadkan umat Islam.

Kita bersyukur kerana kuasa politik pada masa ini masih berada dalam tangan Melayu tetapi setakat manakah ia mampu bertahan? Apakah Melayu akan terus berkuasa dan mencorakkan politik serta  pentadbiran negara?

Jawapannya ialah tiada jaminan sama sekali selagi Melayu tidak bersatu dalam satu wadah perjuangan   yang benar-benar berjati dirikan Melayu dan Islam yang mampu berdepan dengan nilai-nilai dan kesan-kesan sarwajagat yang cukup hebat melalui kemajuan teknologi dan produk teknologi.

Tetapi, kedudukan dan keberadaan politik Melayu hari ini yang terus bercaca-marba ditambah pula dengan kewujudan bermacam jenis NGO yang kononnya memperjuangkan kepentingan Melayu, tidak memperlihatkan sesuatu yang positif. Perjuangan politik Melayu menjelang 2020 dan abad seterusnya tetap menjadi tanda tanya... kerana  ia bergantung kepada azam politik Melayu itu sendiri.

Bersatu teguh, bercerai roboh!



 

 

Tuesday, October 25, 2011

Hear out the rakyat's complaints, civil servants told

Malaysians are no longer passive and they monitor and judge every move made by civil servants, said Deputy Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin.

He told senior civil servants attending the 16th Civil Servants' Conference  at the National Institute of Public Administration or INTAN last Thursday (Oct 20) that "people want a better quality of life. They want the government to provide them with better infrastructure, education, health and to guarantee them long-term peace."

Muhyiddin's advice should also be directed to the executive and the wakil rakyat or members of Parliament and State Legislative Assemblies. 

When talking about the rakyat or citizens, you are referring at the root, that is the electorate.  They select or elect the legislature and charging it with the duty of making laws in accordance with their wishes, at least that should be the case.

The Cabinet, that is the Executive, draw up policies for the government. Administering the policies, the actual work of putting them into effect, is the task of the Civil Service. Ideally, the Civil Service must be   responsible to Parliament.   

Under the British system  adopted by Malaysia, the role of the Civil Service is to be a non-party element in party government; to give loyal service and support to the Government of the day, irrespective of that Government's political colour. The higher Civil Servant is free from political interference and unlike his Minister, he cannot be removed from office at the will of the electorate and must refrain from political interference himself. He must, in fact, take no part in political activity.

Civil Servants are the servants of the public, not its masters. The Civil Servant is expected, in his dealings with the people, whether personally or by letter, to show friendliness and strive for understanding. 

As Muhyiddin stressed, the government wanted civil servants to be the message of hope to the people. He advised them to hear out people's complaints and find ways to solve them immediately. 

The Civil Servant must refrain from personal political activity. He must faithfully carry out the policies of his political chief, whether he agrees with them or not. He must never use his official position to further his own interests. However high he may rise in the Service, his attitude to the public must always be that of a servant, never that of a master.

  

Friday, October 21, 2011

Muammar Gaddafi - di sebalik propaganda Barat

Allahyarham Muammar Gaddafi yang menerajui Libya selama 42 tahun akhirnya menemui ajal ekoran pemberontakan yang disokong Barat selama lapan bulan. Walau apapun yang dikatakan oleh Barat melalui media yang dikuasai mereka, sebagai seorang Muslim, saya mendoakan semoga Allah merahmati ruhnya, mengampuni  dosa-dosanya dan menerima semua amal ibadahnya.

Kematian, atau lebih tepat mati syahidnya, menjadi tanda tanya sama ada ditangan pemberontak atau akibat serangan jet pejuang NATO. Pihak pemberontak mendakwa Muammar mati setelah cedera akibat serangan pasukan mereka tetapi yang jelas pemimpin Libya itu mati akibat serangan NATO.

Kematian Muammar Gaddafi menambah bilangan pemimpin dan pejuang beragama Islam di tangan kuasa Barat yang dikepalai  Amerika Syarikat dan disokong oleh Zionis Yahudi.  Satu demi satu negara Islam, terutama yang kaya dengan hasil maksul bumi seperti minyak dan gas, dikuasai oleh golongan yang dicucuk hidung oleh Barat.

Kita hairan kenapa kebangkitan rakyat di Bahrain tidak disokong oleh Barat sedangkan mereka (Barat)  begitu cepat mencampuri dan memberi sokongan kepada kebangkitan di Mesir, Tunisia, Libya, Yaman dan  Suria atau Syria?

Pemimpin Bahrain yang benar-benar zalim sehingga sanggup memenjara dan menghukum para doktor dan petugas hospital semata-mata kerana memberi rawatan kepada rakyat yang bangkit menentang kezaliman itu terus di sokong Barat dan tali barut utamanya, Arab Saudi.

Apa yang berlaku di Bahrain dilihat oleh Barat sebagai satu peperangan proksi antara pengaruh Iran (Syiah) dengan Arab Saudi (Suni/Wahabi) dan memandangkan Iran menjadi musuh utama Amerika Syarikat dan Barat, maka Bahrain tidak diganggu gugat walaupun ia menzalimi rakyatnya sendiri.

Lain pula ceritanya dengan Libya atau Muammar Gaddafi.  Barat, terutama Itali, Perancis dan United Kingdom dengan bantuan logistik Amerika Syarikat, melancar serangan bom dan peluru berpandu ke atas negara tersebut sedangkan ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu hanyalah menguatkuasa zon larangan terbang, bukan menyerang bertubi-tubi. 

Dunia saban hari dihidangkan berita yang memberi gambaran bahawa Muammar Gaddafi adalah seorang pemimpin atau diktator yang zalim. Dia mesti diguling atau dihapuskan atas nama 'demokrasi' yang diterima Barat. Yang peliknya, kenapa 'demokrasi' yang sama tidak dikenakan ke atas Bahrain? 

Oleh kerana begitu hebatnya propaganda media Barat mengenai 'keburukan' Muammar Gaddafi, maka dunia mempercayainya, termasuk kita di Malaysia. Media Malaysia menerima bulat-bulat apa yang disaji oleh media Barat.

Kita tidak menafikan bahawa sebagai seorang manusia biasa, Muammar Gaddafi tidak sempurna dan tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Tetapi,  kita tidak boleh lupa jasa dan sumbangannya kepada rakyat dan negara Libya yang tidak dilaporkan oleh media Barat. 

Ramai daripada kita yang tidak tahu bahawa di bawah pemerintahan Muammar Gaddafi, rakyat Libya mendapat bekalan letrik secara percuma, bank-bank milik kerajaan tidak mengenakan faedah atas pinjaman (sifar riba), pelajaran/pendidikan dan rawatan perubatan adalah percuma, kerajaan memberi subsidi 50 peratus untuk pembelian kereta, dan kadar celik huruf mencapai 83 peratus.

Libya juga tidak menanggung beban hutang luar negeri dan jumlah rizabnya mencecah 150 bilion dolar Amerika atau RM470 bilion.

Muammar Gaddafi juga membina projek pengairan terbesar di dunia bukan untuk bermegah tetapi  memastikan rakyatnya mendapat bekalan air untuk keperluan hidup. Kebajikan rakyat menjadi keutamaannya termasuk memberi 'gaji setara' kepada para graduan yang menganggur sehinggalah mereka mendapat pekerjaan.

Jika benar Muammar Gaddafi seorang diktator yang zalim seperti yang disebar fitnah oleh Barat,  sudah tentu dia tidak akan melaksanakan semuanya itu. 

Adalah sesuatu yang amat menyedihkan untuk melihat musibah yang menimpa Iraq akan turut dirasai oleh Libya.  Hasil maksul bumi Iraq kini dikuasai oleh Amerika Syarikat dan perkara yang sama akan berlaku ke atas Libya.  Barat melakukannya atas nama 'demokrasi' dan hak asasi manusia mengikut acuan mereka sendiri. 

Dunia Arab dan dunia Islam hanya mampu melihat.       

      

Thursday, October 20, 2011

Sampai bila nak kempen bulan bahasa?

Sejak Malaya atau Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957, kita dihidangkan kempen demi kempen dan salah satu daripadanya ialah kempen Bulan Bahasa Kebangsaan. Kita masih ingat kata-kata semangat yang terkandung dalam lagu berkenaan... Gunakanlah bahasa kebangsaan kita, marilah amalkan ramai-ramai...

Setelah Tanah Melayu, khususnya, merdeka 54 tahun, kita masih mengadakan kempen tersebut. Kenapa? Adakah kita gagal dalam pelaksanaan dan penggunaan bahasa kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu, dalam bukan sahaja urusan pentadbiran tetapi dalam pengucapan dan penggunaan harian?

Kita harus sedar bahawa dalam rangka pembinaan sesebuah negara, bahasa kebangsaan menjadi perkara penting selain ekonomi, undang-undang, kebudayaan dan politik. Oleh itu, dari sudut politik, negara telah mewujudkan Dasar Bahasa Kebangsaan (DBK).

Dalam kerangka DBK, amat jelas cakupannya iaitu dari sudut perancangan bahasa, pelajaran atau pendidikan, undang-undang dan ekonomi. Dasar itu ditetapkan melalui proses undang-undang dan kita ada Akta Bahasa Kebangsaan selain termaktub dalam Perlembagaan.

Dalam Akta Bahasa Kebangsaan, amat jelas ditegaskan iaitu bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu, bukan bahasa Malaysia,  hendaklah digunakan bagi maksud-maksud rasmi. Di sinilah letaknya kelemahan kerana sering kali diabaikan termasuk oleh barisan kepimpinan negara yang lebih selesa berbahasa Inggeris. Jika pemimpin tidak menggunakan bahasa kebangsaan semasa berucap pada majlis rasmi,  termasuk merasmi persidangan atau mesyuarat agung parti-parti politik,  jangan salahkan rakyat jika mereka pun keberatan mengguna bahasa kebangsaan. Bak kata orang tua-tua, guru kencing berdiri, murid kencing berlari.

Ada pihak yang menuding jari kepada Dewan bahasa dan Pustaka (DBP) atas apa yang berlaku kerana DBP adalah agensi perancangan bahasa yang utama dan bertangungjawab melaksanakan matlamat tertentu dalam Akta Bahasa Kebangsaan. 

Beranikah ketua pengarah DBP, umpamanya, menegur Perdana Menteri kerana tidak menggunakan bahasa kebangsaan semasa berucap pada sesuatu majlis rasmi?  Sudah tentu tidak. Inilah masalahnya.

Mari kita lihat tugas dan tanggungjawab DBP:-

* untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi;

* untuk memperkembang bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan;

* untuk mencetak atau menerbit atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku, majalah, risalah dan lain-lain bentuk kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan dalam bahasa-bahasa lain;

*untuk membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan;

*untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul, dan;

*untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya bahasa itu akan digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuatkuasa.

Kita harus akui bahawa DBP telah menjalankan tanggungjawab dan amanah yang dipikul dengan baik dan  ia tidak boleh dipersalahkan atas apa yang berlaku. DBP telah melakukan segala-gala yang mampu untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan tetapi ia tidak boleh berbuat apa-apa jika pemimpin atau pentadbir negara sendiri memilih untuk tidak mengguna bahasa kebangsaan.

Selain pemimpin, media penyiaran turut berperanan penting dalam penggunaan bahasa kebangsaan yang betul. Media penyiaran seharusnya menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama. Penggunaan bahasa Melayu yang betul yang tidak dicampur aduk dengan bahasa Inggeris seperti yang berlaku hampir setiap hari sekarang,  mesti diutamakan bukan sahaja oleh stesen penyiaran milik kerajaan dan agensinya seperti Bernama TV,  tetapi oleh semua stesen yang dikendalikan oleh Astro, Media Prima dan Al-Hijrah.

Bahasa adalah alat perhubungan utama dalam dunia penyiaran dan jika ia tidak diguna dengan betul, maka ia akan menjadi ikutan terutama oleh golongan muda. 

Petugas-petugas media elektronik mesti sedar betapa pentingnya peranan mereka untuk menyebar penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan oleh itu, jauhilah daripada mengguna perkataan-perkataan asing seperti 'happening',  'syiok gila', 'live'  dan sebagainya.

BAHASA JIWA BANGSA


   

Wednesday, October 19, 2011

Malaysia condemns plot to kill Saudi envoy...?

Malaysia on Monday condemned the alleged assassination attempt on the Saudi Arabian ambassador to the United States. It was reported that Foreign Affairs minister Anifah Aman said Malaysia was deeply concerned with the alleged plot.

Malaysia's national news agency, Bernama,  reported that Anifah also called on the international community to strongly denounce the act, if proven, as it could further trigger serious confrontation and conflict in the Middle East.

Malaysia's late reaction to the allegations by the United States administration that linked Tehran to the alleged plot is questionable. Did Putrajaya or Wisma Putra pressured to issue the statement? 

It was only an allegation that was strongly denied by Iran and based on previous lies by Washington to justify their military  actions against certain countries, Afghanistan and Iraq in particular, Malaysia should not have dance to Uncle Sam's tune.

Remember the WMDs allegations against Iraq just to justify military actions by American and NATO that finally destroyed Iraq?  It was the biggest lies to the world by Washington and London and now Washington is  targeting Iran with another lie.

And Malaysia, once again, came out with the statement  to support the American allegation against Iran.

 

Friday, October 14, 2011

Rakyat belum dapat nikmat Belanjawan, harga barang dah melambung

Kenaikan belanja hidup sudah mula mencengkam rakyat Malaysia walaupun PM Datuk Seri Najib Tun Razak membawa berita baik melalui pembentangan Belanjawan 2012.

Kegembiraan rakyat Malaysia selepas pembentangan Belanjawan telah tersentak apabila harga barang-barang keperluan asas, terutama bahan makanan, melambung tinggi. Di sesetengah tempat, harga sekilo cili naik sehingga RM20 manakala harga ayam naik sehingga 20 peratus dan harga ikan serta sayur-sayuran juga melambung.

Kakitangan perkhidmatan awam belumpun menerima dan menikmati kenaikan gaji ataupun bonus setengah bulan manakala golongan petani, nalayan dan mereka yang bekerja sendiri terus dihimpit kesulitan kewangan.

Kita amat menghargai keprihatinan  kerajaan pimpinan Najib tetapi ada pihak lain yang mengambil kesempatan.  Dalam hubungan ini, kerajaan mesti bertindak tegas untuk menangani kenaikan harga barang keperluan asas sebelum keadaan menjadi bertambah buruk.

Bah besar yang sedang melanda negara-negara pengeksport beras di Asia Tenggara mungkin mengakibatkan harga beras melambung walaupun kerajaan memberi jaminan stok penimbal negara mencukupi untuk menampung keperluan. Tetapi lama mana?

Menteri Pertanian Datuk Noh Omar menasihati rakyat agar jangan panik atau gempar berkaitan bekalan beras. Ia bukan soal panik atau gempar tetapi sesuatu yang berkemungkinan menjadi kenyataan akibat banjir buruk yang menenggelamkan ratusan ribu hektar bendang di Thailand dan mengancam tanaman padi di Kemboja dan Vietnam.

Rakyat sudah tentu bimbang akan kedudukan bekalan beras dan kerajaan perlu mencari sumber lain untuk mendapatkan bekalan bagi memenuhi keperluan negara dalam jangka masa panjang.

Kenaikan harga barang-barang keperluan asas yang berlaku sekarang dan belum boleh diatasi mesti dijadikan iktibar oleh kerajaan untuk mengelak kenaikan harga beras, sumber makanan asas rakyat Malaysia. Kita yakin dan percaya kerajaan mampu menanganinya.

Thursday, October 13, 2011

ALFATIHA - Kharis Idris @ Tuan Senang Besar

Alfatiha: Rakan blogger Tuan Senang Besar atau Kharis Idris telah pulang ke Rahmatullah pagi ini. Allahyarham rebah ketika berjoging.

Allahyarham berusia 35 tahun.

Jenazah masih di UMMC dan akan dibawa ke kediaman keluarganya di nombor 92, Jalan SS3/80 Petaling Jaya dan akan dikebumikan selepas solat Asar.

Semoga Allah mencucuri Rahmat dan  menempatkan ruh allahyarham di kalangan hamba-hamba-NYA yang soleh.  Amin

Anda boleh melungsuri blog allahyarham di sini:

http://tuansenangbesar.com

Sunday, October 02, 2011

Hudud adalah Syariat Islam, iaitu Syariat Allah

Isu hukum Hudud terus menjadi perdebatan dan perbincangan bukan sahaja di kalangan umat Islam tetapi yang bukan Islam. Orang politik yang berada dalam pertubuhan siasah bermajoriti bukan Islam seperti  DAP,  MCA, MIC dan Gerakan kelihatan begitu takut dengan Hudud sedangkan mereka tidak faham sepenuhnya apa itu Hudud dan hukum tersebut hanya akan dikenakan ke atas umat Islam.

Hudud adalah Syariat Islam dan oleh itu ia adalah Syariat Allah. Harus diingat bahawa orang Islam yang menentang atau enggan menerima hukum Hudud dengan sendirinya menolak Syariat Allah. Inilah hakikat yang mesti disedari oleh umat Islam. 

Manusia, terutamanya mereka yang bukan beragama Islam, selalunya ditakut-takutkan dengan hukum Hudud seperti memotong tangan kerana mencuri, direjam sampai mati atau disebat 100 kali kerana berzina, atau potong tangan dan kaki secara bersilang kerana merompak. Itu yang sering ditekankan untuk menakut-nakutkan orang terhadap Hudud.

Penentang hukum Hudud tidak pula menyebut bahawa Islam menuntut supaya berhati-hati dalam menjatuhkan hukuman jenayah. Ia seharusnya dibuat menerusi pencegahan dengan menyatakan hukuman yang berat terhadap sesuatu kesalahan jenayah dan berusaha sedaya upaya untuk mengelak dalam mensabitkan sesuatu kes.

Perkara ini jelas diterangkan dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Aishah dan dikeluarkan oleh Termidzi yang bermaksud:-

"Elakkan Hudud dijatuhkan ke atas orang-orang Islam sekadar yang kamu upaya. Dan sekiranya seseorang itu mempunyai jalan keluar maka biarkanlah ia pergi mengikut jalannya kerana pemerintah itu, sekiranya tersalah dalam mengampunkan sesuatu perkara, masih perbuatan itu lebih baik daripada menghukum dengan salah".

Ada beberapa contoh yang menunjukkan pentingnya diusahakan supaya dapat dielak daripada dikenakan hukum Hudud disebabkan oleh beberapa keadaan. Antara contoh-contohnya:-

Sayidina Umar bin Al-Khattab pernah menyatakan bahawa beliau telah didatangi oleh seorang perempuan yang melakukan zina dan diakuinya, lalu dibenarkan supaya dikenakan hukum Hudud ke atasnya.

Sayidina Umar kemudian menyatakan mungkin perempuan itu mempunyai sebab-sebab yang tertentu yang menyebabkan perbuatan zina. Beliau bertanya perempuan tersebut mengenainya dan diberitahu bahawa dia [perempuan itu] mempunyai seorang tanggungan yang memerlukan makanan. Pada masa itu, seorang lelaki yang melakukan zina dengannya, mempunyai seekor unta dan air serta susu, sedangkan unta perempuan itu tidak mempunyai air dan susu.

Ketika itu perempuan berkenaan teramat dahaga dan memerlukan seteguk air daripada lelaki tersebut. Lelaki itu enggan memberi air kecuali jika perempuan itu menyerah diri  kepadanya. Permintaan itu dibuat berulang kali sehingga akhirnya perempuan itu terpaksa beralah dan menyerahkan dirinya kepada lelaki itu.

Sayidina Ali r.a. yang ada bersama ketika itu berkata, yang bermaksud:- "Allah berfirman, maksudnya: Barangsiapa yang terpaksa sedang ia tidak bertujuan sedemikian maka tidaklah ia menanggung dosa". Dalam peristiwa ini, perempuan tersebut dilepaskan.

Hukum mencuri dalam Syariat Islam ialah hukuman yang telah ditetapkan, iaitu dipotong tangan. Perkara ini selalu dijadikan alasan dan hujah mereka yang menentang hukum Hudud termasuk oleh segelintir umat Islam. Mereka harus sedar akan hakikat bahawa ia bukan semudah itu kerana Syariat Islam amat adil dan saksama.

Ini dapat dibuktikan oleh tindakan Sayidina Umar Al-Khattab yang menggugurkan hukuman itu daripada dijatuhkan ke atas pencuri pada tahun kesukaran mendapat makanan. Disebabkan oleh keadaan tersebut, hukuman yang dikenakan oleh Sayidina Umar dipersetujui oleh Ulama Fekah secara ijmak. 

Ini membuktikan bahawa Islam tidak sewenang-wenangnya menjatuhkan hukum Hudud tanpa memberi pertimbangan terhadap keadaan semasa, perubahan-perubahan cara pelaksanaannya berdasarkan suasana, tempat dan masa.    

Hudud adalah hukuman pembalasan kerana kesalahan jenayah. Jenis-jenis kesalahan yang boleh dikenakan hukuman Hudud hanya tujuh, iaitu:- 1. Mencuri, 2. Berzina, 3. Qazaf, iaitu membuat tuduhan terhadap seseorang melakukan zina tanpa saksi bagaimana yang disyaratkan, 4. Minum arak, 5. Merompak, 6. Bughaat atau menderhaka kepada negara, dan 7. Murtad.

Dalam sejarah Islam peristiwa-peristiwa hukum Hudud boleh dikatakan semuanya berasaskan kepada pengakuan bukan kerana penyiasatan atau paksaan untuk membuat pengakuan. (Perkara ini  pernah berlaku dalam penyiasatan sistem sivil dimana orang yang dituduh dipaksa membuat pengakuan).

Kita harus sedar bahawa sebarang pelaksanaan hukum yang berbeza dengan sesuatu pelaksanaan yang dibuat pada masa lain di tempat lain bukan bermakna ia telah mengubah Nas hukuman. Sesuatu Nas yang terdapat dalam Al-Quran atau sunnah tetap suci dan tidak boleh diubah sama sekali. Tetapi apa yang berlaku semasa zaman Sayidina Umar adalah perubahan tentang pelaksanaan hukum berdasarkan kepada suasana yang memerlukan ia diubah. Ia menjamin kedudukan Islam sebagai agama yang sesuai dengan perubahan masa, tempat dan zaman.

Oleh yang demikian, persoalan Hudud memerlukan maklumat yang mendalam mengenai sistem pelaksanaannya kerana ia melibat 'hakim' yang hendak menjatuhkan hukuman. Pengetahun 'hakim' berkenaan amat penting untuk menentukan kesahihan keputusan yang dibuat. Selain itu, suasana masyarakat yang menjalankan pelaksanaannya, sistem pemerintahan negara dan keutamaan dalam menghayati Syariat Islam.

Tanpa perkara-perkara tersebut, sudah tentu persoalan Hudud akan terus menjadi bahan kajian akademik serta perbalahan masyarakat dan politik yang pada akhirnya boleh merosak imej Islam dan seterusnya melemahkan masyarakat Islam itu sendiri.

Persoalan Hudud akan terus timbul dan tenggelam sebagai bahan atau alat dalam kumpulan tertentu untuk meraih simpati rakyat termasuk mereka yang menentangnya dengan harapan untuk mendapat sokongan pengundi bukan Islam.

Di Malaysia, yang paling utama ialah Perlembagaan dan dalam Perlembagaan, Islam disebut sebagai agama Persekutuan, bukan agama rasmi negara. Mahkamah Persekutuan juga menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular, bukan negara Islam.

Perlembagaan juga menetapkan bahawa hukuman berkaitan kesalahan jenayah terletak dalam undang-undang sivil iaitu Kanun Keseksaan dan Kanun Acara Jenayah, bukan diletak di bawah Mahkamah Syariah.  Inilah hakikat yang mesti difahami.

''Negara Islam [Darul Islam] ialah negara yang berada di bawah kuasa pemerintahan Islam, dalam makna kekuatan dan pertahanannya berada di tangan Islam''. [Sheikh Muhammad Abu Zuhrah]

''Negara Islam adalah negara yang hukum pemerintah Islam berkuatkuasa ke atasnya''. [Imam al-Fahastani, seorang ulama mazhab Hanafi]

Hukum Hudud adalah Syariat Islam dan jika sesebuah negara itu mengaku sebagai negara Islam, maka negara tersebut seharusnya mematuhi dan mengamalkan Syariat Islam.

 




Thursday, September 29, 2011

Guan Eng seharusnya utamakan kepentingan negara, bukan negeri

Saya diminta mengupas mengenai dua perkara yang sedang hangat diperbahaskan, iaitu isu hudud dan ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengenai isu 'keselamatan' di Johor. Kedua-dua perkara cukup menarik dan menjadi bahan kupasan, ulasan dan kritikan dalam semua bentuk media, termasuk media lisan di warung-warung kopi mahupun 'Coffee House' di hotel-hotel berbintang-bintang.

Setelah 'berehat' agak lama akibat masalah kesihatan, saya kembali menulis dan akan menyentuh mengenai kedua-dua isu berkenaan. Kepada pengikut dan pembaca blog ini, saya mohon maaf kerana tidak dapat mengemas kini atau 'up-date' sedangkan banyak isu yang timbul dan dibangkitkan dalam semua media.

Saya ingin menyentuh isu Guan Eng yang dikatakan telah mengeluarkan kata-kata yang memberi gambaran bahawa negeri Johor tidak selamat dikunjungi terutama oleh orang Singapura. Isu hudud akan diperkatakan selepas ini.

Mula-mula dia dikatakan telah berkata demikian apabila diwawancara oleh sebuah stesen radio Australia dan kemudian didedahkan oleh TV3 yang menyebut bahawa Guan Eng berkata demikian pada satu majlis anjuran Kelab Pewarta Asing di Singapura.

Saya tidak tahu yang mana satu betul tetapi jika benar Guan Eng mengeluarkan kata-kata tersebut, maka ia amat dikesali dan seharusnya dikutuk.

Soal sama ada seseorang itu menghadapi kemungkinan diculik boleh berlaku dimana-mana sahaja kerana jenayah tidak ada batas sempadan, melampaui fahaman politik dan soal kenegerian. Ia boleh berlaku di Johor ataupun di Pulau Pinang.

Sebagai seorang ketua menteri, Guan Eng tidak terlepas daripada berusaha untuk menarik pelaburan asing sama seperti ketua-ketua menteri atau menteri-menteri besar. Itu adalah tanggungjawab masing-masing  kepada negeri yang ditadbir. Tetapi, dalam usaha menarik pelaburan asing, ketua-ketua kerajaan harus sedar bahawa yang mesti diutamakan adalah negara, bukan negeri.

Pelaburan yang masuk ke negara ataupun ke negeri-negeri yang berada dalam Persekutuan Malaysia, memberi faedah dan keuntungan kepada negara selain kepada negeri berkenaan. Oleh itu, mana-mana negeri tidak sepatutnya memperkecil atau menafikan hak negeri lain untuk menerima pelaburan asing. 

Jika pelabur memilih untuk melabur di Johor, maka negarapun akan dapat faedah. Begitu juga jika pelabur memilih untuk melabur di Pulau Pinang, negara dapat faedah. Oleh itu, tiada masalah dari sudut kemasukan pelaburan asing ke mana-mana negeri dalam Malaysia.

Jika benar apa yang dilaporkan mengenai tuduhan Guan Eng itu, maka ia adalah sesuatu yang bukan sahaja mengaibkan tetapi satu pengkhianatan bukan sahaja terhadap Johor tetapi pada keseluruhannya negara.

Saya berkata demikian kerana Guan Eng ke luar negeri, sama ada ke Australia ataupun Singapura, bukan sahaja sebagai ketua menteri Pulau Pinang tetapi sebagai seorang warga negara Malaysia. Dia memegang paspot yang dikeluarkan oleh Kerajaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, bukan paspot negeri Melaka atapun Pulau Pinang.

Apabila di luar negeri, dia adalah rakyat Malaysia dan dia tidak boleh sama sekali memburuk-burukkan negara ataupun mana-mana negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia. Jika dia berbuat demikian, maka dia telah mengkhianati negara.

Taat setia adalah kepada negara dan ia mesti dihayati oleh semua orang apabila berada di luar negara.

  

Wednesday, September 14, 2011

Malaya sememangnya dijajah, kata tiga tokoh termasuk Tun Dr Mahathir

Tiga orang tokoh memberi pendapat yang dengan sendirinya menyanggah kenyataan Prof Zainal Kling bahawa Malaya ataupun Malaysia tidak permah dijajah sebagai koloni British.

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa dari sudut teknikal, Malaya tidak dijajah tetapi pada hakikatnya kita dijajah. Prof Chandra Muzaffar dan Prof Mohamed Ghouse Nasuruddin turut mempertikai kenyataan kononnya Malaya tidak dijajahi.
 
Tun berkata beliau melalui kehidupan semasa diperintah British, kemudian Jepun, kemudian Siam dan berbalik kepada Pentadbiran Tentera British [BMA] dan akhirnya pihak awam British sebelum di bawah pentadbiran Malaya yang merdeka.

Tun Mahathir menegaskan yang beliau melihat dan mengalami perjalanan sejarah dan beliau dapati orang yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan  yang pada hakikatnya tidak relevan atau berkaitan, sebenarnya tidak berasas. 

Saya ingin memetik tulisan Tun Mahathir dalam bukunya 'Doctor in the House' yang dengan sendirinya menunjukkan bahawa Malaya dijajahi British.

'' When the British colonised Malaya, the demography of the Malay Peninsula changed rapidly. In the Straits Settlements, the Chinese community dominated and, by the first quarter of the twentieth century, Singapore had become a de facto Chinese state.''

Saya ulangi kenyataan Tun Mahathir  ''When the British colonised Malaya'' yang bermaksud apabila British menjajahi Malaya. Bukankah ini satu kenyataan bahawa Malaya dijajah oleh pihak Inggeris? 

Dalam bahagian lain, Tun Mahathir menulis:

'' For a long time, the Malays of the Peninsula had hospitably acceded to the arrival and the claims of immigrant non-Malays. Now, after some 450 years of colonisation, the Malays stood their ground, but not selfishly.''

Ya, Tanah Melayu dijajah oleh kuasa asing selama 450 tahun, sama ada secara langsung atau secara halus seperti kononnya bersifat penasihat kepada Sultan atau pelindung [protectorate].

Saya ingin mengimbau kembali sedikit sejarah berkaitan penaklukan dan penjajahan ke atas Tanah Melayu termasuk disebalik pelantikan apa yang disebut sebagai 'British Resident' atau 'Residen' di beberapa buah negeri Melayu.

Sebelum kedatangan kuasa-kuasa Barat ke dunia sebelah timur, negeri-negeri Melayu telah pun ditakluki oleh kuasa-kuasa Timur itu sendiri seperti Kerajaan Palembang, iaitu Sri Wijaya, Kerajaan Aceh dan Kerajaan Jawa iaitu Majapahit. 

Beberapa bahagian sebelah utara tanah Melayu ditakluki pula oleh kerajaan Siam, iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu. 

Melaka jatuh ke tangan Portugis pada 1511 dan pada 1641 ia berpindah pula ke tangan Belanda sebelum diserah kepada Inggeris pada 1825. Pada 1786 Francis Light 'rampas' Pulau Pinang daripada Kedah manakala Stamford Raffles ambil Singapura pada 1819. 

British mengambil alih pentadbiran atau pemerintahan negeri-negeri Melayu melalui tipu muslihat dan janji-janji palsu. Umpamanya, Light berjanji kepada Sultan Kedah bahawa pihak Inggeris akan membantu jika diserang oleh Siam, tetapi apabila Siam menyerang Kedah, Inggeris tidak bantu. Apabila Sultan Kedah menyedari penipuan itu dan cuba menyerang kedudukan Inggeris di Pulau Pinang, dengan mudah dipatahkan oleh tentera Inggeris dan padahnya, Seberang Perai pula terpaksa diserah kepada Inggeris.

Kepada mereka yang mempercayai bahawa Inggeris hanya bertindak selaku penasihat Raja Melayu dan negeri berkenaan dilindungi British atau 'British Protectorate' dan bukan dijajahi, mereka silap dan tidak faham akan kedudukan sebenar.

Mula-mula kerajaan British masuk campur dalam hal ehwal negeri-negeri Melayu ialah di negeri Perak pada tahun 1874, iaitu sejurus selepas peperangan yang berlaku di negeri berkenaan.

Kerajaan Britain dengan sengaja dan penuh muslihat ingin menjaga atau memelihara negeri Perak sedangkan niat sebenar adalah sebaliknya.

Inggeris membuat surat perjanjian yang dikenali sebagai 'The Treaty of Pangkor'' yang didalamnya, iaitu perkara ke-16 menyebut bahawa Sultan Perak mengaku menerima seorang pegawai British yang akan digelar 'Resident' yang nasihatnya mesti diminta dan diikuti di dalam semua perkara selain daripada hal ehwal yang bersangkut dengan agama dan adat resam orang-orang Melayu.

Cuba kita hayati ayat tersebut...mesti diminta dan dikuti....apakah maksudnya jika bukan kedudukan raja selaku pak turut dan yang berkuasa dan memerintah adalah Residen British. Jika British bukan penjajah, kenapa perlu diadakan syarat tersebut yang memberi kuasa penuh, kecuali yang berkaitan Islam dan adat resam Melayu, kepada Inggeris?


Inilah yang dimaksudkan dengan perkataan British Protectorate dan hujah ini juga diketengahkan oleh mereka yang mendakwa bahawa Malaya atau Tanah Melayu tidak dijajahi oleh Inggeris.


Kita tidak harus lupa bahawa pihak Inggeris juga yang membuang negeri Sultan Abdullah [Sultan Perak] ke Seychelles. Jika Inggeris bukan penjajah dan yang berkuasa, mana mungkin mereka membuang negeri seorang Raja Melayu?


Selepas berjaya 'berkuasa' di Perak, Inggeris memperluaskan penguasaan atau penjajahan ke Selangor pada tahun 1875 iaitu dimana 'Residen membantu Sultan Selangor memerintah negeri' dan pada tahun 1895 mereka menguasai Negeri Sembilan kononnya atas permintaan kerajaan negeri untuk mendapatkan seorang Residen British bagi mentadbir kerajaan negeri.

Pada tahun 1887, Pahang pula membuat perjanjian dengan Kerajaan British dan setahun kemudian, 1888, seorang pegawai British 'membantu' Sultan Pahang mentadbir negeri.

Dalam tahun 1895, empat buah negeri Melayu iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang berada di bawah naungan kerajaan British dan dikenali sebagai 'Negeri-negeri Melayu Bersekutu' atau 'The Federated Malay States'.

Apa yang berlaku selepas itu menjadi sejarah dimana pegawai-pegawai Inggeris berkuasa dalam hampir semua bidang dan kepentingan ekonomi. Mereka adalah pentadbir di peringkat negeri, mereka juga pegawai daerah, pegawai pertanian, pegawai perikanan, pegawai pelajaran, ketua polis dan pegawai yang bertangungjawab ke atas urusan perlombongan bijih timah dan bijih besi. Pendek kata Inggeris menguasai hampir segala-galanya.

Ia adalah satu bentuk penjajahan yang berselindung disebalik ungkapan British Protectorate di negeri-negeri Melayu Bersekutu yang kemudian diperluaskan ke seluruh Tanah Melayu sama ada secara langsung atau secara tidak langsung.

Bagi negeri-negeri Melayu yang tidak bersekutu, Kerajaan British membuat perjanjian dengan Johor pada 1885 dimana Johor menyerahkan kepada kerajan British segala urusan politik luar negeri. Namun begitu, Gabnor Negeri-Negeri Selat adalah penaung bagi negeri Johor.

Johor akhirnya menerima penasihat British pada tahun 1914 walaupun Sultan Johor sudahpun mempunyai penasihat-penasihat British sebelum itu.

Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis berada dibawah perintah Siam atau tunduk di bawah perintah Siam, iaitu sebelum kedatangan Inggeris ke negeri masing-masing.

Pada tahun 1909, kerajaan British dan kerajaan Siam menandatangani perjanjian dimana Siam menyerah kepada Britain semua hak milik bagi memerintah dan menaung ke atas negeri-negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis. Ini bermakna keempat-empat negeri berkenaan adalah negeri takluk British, iaitu berpindah tangan daripada Siam kepada British.

Beberapa perjanjian berasingan kemudian dibuat antara negeri-negeri berkenaan dengan kerajaan Great Britain.

Perjanjian dengan Terengganu pada 1910 membolehkan Terengganu mempunyai seorang Penasihat British atau British Adviser yang mana nasihatnya hendaklah dipinta dan dituruti di dalam semua perkara yang lain daripada yang menyentuh agama Islam.

Perjanjian yang serupa dibuat dengan Kelantan juga pada 1910.

Apa yang berlaku selepas semua perjanjian dibuat menunjukkan bahawa pihak British telah memungkiri janji dan bertindak bukan selaku penasihat tetapi pemerintah dan penjajah.

Benarlah apa yang dikata oleh Tun Mahathir, secara teknikal Malaya tidak dijajah, ya secara teknikal tetapi pada realitinya kita dijajah dan benarlah apa yang dikata oleh Prof Cahndra iaitu Malaya dijajah secara de-facto atau dalam perkataan yang mudah difahami pada hakikatnya kita dijajah dan benarlah apa yang dikata oleh Prof Ghouse bahawa pihak British menguasai segala-galanya dan oleh itu menjajahi Malaya.

Malaysia sebenarnya ketandusan tokoh-tokoh akademik bergelar profesor yang dihormati dan dikenali di peringkat antarabangsa yang pendapat mereka disanjung tinggi. Walaupun Malaysia kini mempunyai sebegitu banyak IPTA dan IPTS, tetapi bilangan profesor yang dikenali di peringkat antarabangsa boleh dikira dengan sepuluh jari.

Zaman kegemilangan profesor-profesor seperti Ungku Abdul Aziz, Wang Gang-wu, Syed Hussein Al-Attas dan adiknya Syed Mohamad Naquib Al-Attas, Ahmad Ibrahim, Chin Fung Kee, CP Ramachandran, Hamzah Sendut dan Augustine Ong sudah berlalu. Kebanyakan yang ada sekarang tidak dikenali diperingkat antarabangsa bahkan ramai rakyat Malaysia yang tidak pun mengenali mereka walupun pada namanya sahaja.

Ada beberapa orang profesor yang popular selaku pengulas politik dan isu-isu semasa melalui stesen-stesen tv arus perdana, itupun ulasan dan komen mereka tidak memberi kesan atau meninggalkan sesuatu yang dapat dijadikan bahan rujukan. Itu sahaja tahap kepakaran segelintir manusia yang bergelar profesor yang sering menjadi 'pakar rujuk' stesen-stesen tv arus perdana.

Mungkin inilah sebabnya ada yang mendakwa bahawa Malaya tidak pernah dijajah.....