Wednesday, September 14, 2011

Malaya sememangnya dijajah, kata tiga tokoh termasuk Tun Dr Mahathir

Tiga orang tokoh memberi pendapat yang dengan sendirinya menyanggah kenyataan Prof Zainal Kling bahawa Malaya ataupun Malaysia tidak permah dijajah sebagai koloni British.

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa dari sudut teknikal, Malaya tidak dijajah tetapi pada hakikatnya kita dijajah. Prof Chandra Muzaffar dan Prof Mohamed Ghouse Nasuruddin turut mempertikai kenyataan kononnya Malaya tidak dijajahi.
 
Tun berkata beliau melalui kehidupan semasa diperintah British, kemudian Jepun, kemudian Siam dan berbalik kepada Pentadbiran Tentera British [BMA] dan akhirnya pihak awam British sebelum di bawah pentadbiran Malaya yang merdeka.

Tun Mahathir menegaskan yang beliau melihat dan mengalami perjalanan sejarah dan beliau dapati orang yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan  yang pada hakikatnya tidak relevan atau berkaitan, sebenarnya tidak berasas. 

Saya ingin memetik tulisan Tun Mahathir dalam bukunya 'Doctor in the House' yang dengan sendirinya menunjukkan bahawa Malaya dijajahi British.

'' When the British colonised Malaya, the demography of the Malay Peninsula changed rapidly. In the Straits Settlements, the Chinese community dominated and, by the first quarter of the twentieth century, Singapore had become a de facto Chinese state.''

Saya ulangi kenyataan Tun Mahathir  ''When the British colonised Malaya'' yang bermaksud apabila British menjajahi Malaya. Bukankah ini satu kenyataan bahawa Malaya dijajah oleh pihak Inggeris? 

Dalam bahagian lain, Tun Mahathir menulis:

'' For a long time, the Malays of the Peninsula had hospitably acceded to the arrival and the claims of immigrant non-Malays. Now, after some 450 years of colonisation, the Malays stood their ground, but not selfishly.''

Ya, Tanah Melayu dijajah oleh kuasa asing selama 450 tahun, sama ada secara langsung atau secara halus seperti kononnya bersifat penasihat kepada Sultan atau pelindung [protectorate].

Saya ingin mengimbau kembali sedikit sejarah berkaitan penaklukan dan penjajahan ke atas Tanah Melayu termasuk disebalik pelantikan apa yang disebut sebagai 'British Resident' atau 'Residen' di beberapa buah negeri Melayu.

Sebelum kedatangan kuasa-kuasa Barat ke dunia sebelah timur, negeri-negeri Melayu telah pun ditakluki oleh kuasa-kuasa Timur itu sendiri seperti Kerajaan Palembang, iaitu Sri Wijaya, Kerajaan Aceh dan Kerajaan Jawa iaitu Majapahit. 

Beberapa bahagian sebelah utara tanah Melayu ditakluki pula oleh kerajaan Siam, iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu. 

Melaka jatuh ke tangan Portugis pada 1511 dan pada 1641 ia berpindah pula ke tangan Belanda sebelum diserah kepada Inggeris pada 1825. Pada 1786 Francis Light 'rampas' Pulau Pinang daripada Kedah manakala Stamford Raffles ambil Singapura pada 1819. 

British mengambil alih pentadbiran atau pemerintahan negeri-negeri Melayu melalui tipu muslihat dan janji-janji palsu. Umpamanya, Light berjanji kepada Sultan Kedah bahawa pihak Inggeris akan membantu jika diserang oleh Siam, tetapi apabila Siam menyerang Kedah, Inggeris tidak bantu. Apabila Sultan Kedah menyedari penipuan itu dan cuba menyerang kedudukan Inggeris di Pulau Pinang, dengan mudah dipatahkan oleh tentera Inggeris dan padahnya, Seberang Perai pula terpaksa diserah kepada Inggeris.

Kepada mereka yang mempercayai bahawa Inggeris hanya bertindak selaku penasihat Raja Melayu dan negeri berkenaan dilindungi British atau 'British Protectorate' dan bukan dijajahi, mereka silap dan tidak faham akan kedudukan sebenar.

Mula-mula kerajaan British masuk campur dalam hal ehwal negeri-negeri Melayu ialah di negeri Perak pada tahun 1874, iaitu sejurus selepas peperangan yang berlaku di negeri berkenaan.

Kerajaan Britain dengan sengaja dan penuh muslihat ingin menjaga atau memelihara negeri Perak sedangkan niat sebenar adalah sebaliknya.

Inggeris membuat surat perjanjian yang dikenali sebagai 'The Treaty of Pangkor'' yang didalamnya, iaitu perkara ke-16 menyebut bahawa Sultan Perak mengaku menerima seorang pegawai British yang akan digelar 'Resident' yang nasihatnya mesti diminta dan diikuti di dalam semua perkara selain daripada hal ehwal yang bersangkut dengan agama dan adat resam orang-orang Melayu.

Cuba kita hayati ayat tersebut...mesti diminta dan dikuti....apakah maksudnya jika bukan kedudukan raja selaku pak turut dan yang berkuasa dan memerintah adalah Residen British. Jika British bukan penjajah, kenapa perlu diadakan syarat tersebut yang memberi kuasa penuh, kecuali yang berkaitan Islam dan adat resam Melayu, kepada Inggeris?


Inilah yang dimaksudkan dengan perkataan British Protectorate dan hujah ini juga diketengahkan oleh mereka yang mendakwa bahawa Malaya atau Tanah Melayu tidak dijajahi oleh Inggeris.


Kita tidak harus lupa bahawa pihak Inggeris juga yang membuang negeri Sultan Abdullah [Sultan Perak] ke Seychelles. Jika Inggeris bukan penjajah dan yang berkuasa, mana mungkin mereka membuang negeri seorang Raja Melayu?


Selepas berjaya 'berkuasa' di Perak, Inggeris memperluaskan penguasaan atau penjajahan ke Selangor pada tahun 1875 iaitu dimana 'Residen membantu Sultan Selangor memerintah negeri' dan pada tahun 1895 mereka menguasai Negeri Sembilan kononnya atas permintaan kerajaan negeri untuk mendapatkan seorang Residen British bagi mentadbir kerajaan negeri.

Pada tahun 1887, Pahang pula membuat perjanjian dengan Kerajaan British dan setahun kemudian, 1888, seorang pegawai British 'membantu' Sultan Pahang mentadbir negeri.

Dalam tahun 1895, empat buah negeri Melayu iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang berada di bawah naungan kerajaan British dan dikenali sebagai 'Negeri-negeri Melayu Bersekutu' atau 'The Federated Malay States'.

Apa yang berlaku selepas itu menjadi sejarah dimana pegawai-pegawai Inggeris berkuasa dalam hampir semua bidang dan kepentingan ekonomi. Mereka adalah pentadbir di peringkat negeri, mereka juga pegawai daerah, pegawai pertanian, pegawai perikanan, pegawai pelajaran, ketua polis dan pegawai yang bertangungjawab ke atas urusan perlombongan bijih timah dan bijih besi. Pendek kata Inggeris menguasai hampir segala-galanya.

Ia adalah satu bentuk penjajahan yang berselindung disebalik ungkapan British Protectorate di negeri-negeri Melayu Bersekutu yang kemudian diperluaskan ke seluruh Tanah Melayu sama ada secara langsung atau secara tidak langsung.

Bagi negeri-negeri Melayu yang tidak bersekutu, Kerajaan British membuat perjanjian dengan Johor pada 1885 dimana Johor menyerahkan kepada kerajan British segala urusan politik luar negeri. Namun begitu, Gabnor Negeri-Negeri Selat adalah penaung bagi negeri Johor.

Johor akhirnya menerima penasihat British pada tahun 1914 walaupun Sultan Johor sudahpun mempunyai penasihat-penasihat British sebelum itu.

Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis berada dibawah perintah Siam atau tunduk di bawah perintah Siam, iaitu sebelum kedatangan Inggeris ke negeri masing-masing.

Pada tahun 1909, kerajaan British dan kerajaan Siam menandatangani perjanjian dimana Siam menyerah kepada Britain semua hak milik bagi memerintah dan menaung ke atas negeri-negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis. Ini bermakna keempat-empat negeri berkenaan adalah negeri takluk British, iaitu berpindah tangan daripada Siam kepada British.

Beberapa perjanjian berasingan kemudian dibuat antara negeri-negeri berkenaan dengan kerajaan Great Britain.

Perjanjian dengan Terengganu pada 1910 membolehkan Terengganu mempunyai seorang Penasihat British atau British Adviser yang mana nasihatnya hendaklah dipinta dan dituruti di dalam semua perkara yang lain daripada yang menyentuh agama Islam.

Perjanjian yang serupa dibuat dengan Kelantan juga pada 1910.

Apa yang berlaku selepas semua perjanjian dibuat menunjukkan bahawa pihak British telah memungkiri janji dan bertindak bukan selaku penasihat tetapi pemerintah dan penjajah.

Benarlah apa yang dikata oleh Tun Mahathir, secara teknikal Malaya tidak dijajah, ya secara teknikal tetapi pada realitinya kita dijajah dan benarlah apa yang dikata oleh Prof Cahndra iaitu Malaya dijajah secara de-facto atau dalam perkataan yang mudah difahami pada hakikatnya kita dijajah dan benarlah apa yang dikata oleh Prof Ghouse bahawa pihak British menguasai segala-galanya dan oleh itu menjajahi Malaya.

Malaysia sebenarnya ketandusan tokoh-tokoh akademik bergelar profesor yang dihormati dan dikenali di peringkat antarabangsa yang pendapat mereka disanjung tinggi. Walaupun Malaysia kini mempunyai sebegitu banyak IPTA dan IPTS, tetapi bilangan profesor yang dikenali di peringkat antarabangsa boleh dikira dengan sepuluh jari.

Zaman kegemilangan profesor-profesor seperti Ungku Abdul Aziz, Wang Gang-wu, Syed Hussein Al-Attas dan adiknya Syed Mohamad Naquib Al-Attas, Ahmad Ibrahim, Chin Fung Kee, CP Ramachandran, Hamzah Sendut dan Augustine Ong sudah berlalu. Kebanyakan yang ada sekarang tidak dikenali diperingkat antarabangsa bahkan ramai rakyat Malaysia yang tidak pun mengenali mereka walupun pada namanya sahaja.

Ada beberapa orang profesor yang popular selaku pengulas politik dan isu-isu semasa melalui stesen-stesen tv arus perdana, itupun ulasan dan komen mereka tidak memberi kesan atau meninggalkan sesuatu yang dapat dijadikan bahan rujukan. Itu sahaja tahap kepakaran segelintir manusia yang bergelar profesor yang sering menjadi 'pakar rujuk' stesen-stesen tv arus perdana.

Mungkin inilah sebabnya ada yang mendakwa bahawa Malaya tidak pernah dijajah.....




5 comments:

mr edz said...

merdeka yang tidak merdeka....

Anonymous said...

Kalau tak di jajah macamana boleh dapat Merdeka?
Pergi London desak British bagi Kemerdekaan apa ka hal pulak?
Lepas balik dpd London buat pengumuman Tanah Melayu dah Merdeka dpd British....apa ke hal pulak?

Phuhhhhh...hairan betul aku???

Anonymous said...

SAYA LAHIR SETAHUN SETELAH MALSYSIA MENCAPAI KEMERDEKAAN. MAKNANYA SAYA NI DAH WARGA EMAS KINI. TETAPI, KINI SAYA BERHADAPAN DENGAN FAKTA BAHARU BAHAWA NEGARA KITA TIDAK PERNAH DIJAJAH. HAIRAN SAYA, KELIRU SAYA. LOGIK SAYA KALAU NEGARA KITA TIDAK DIJAJAH MAKA MENGAPA TUNKU AB RAHMAN PERLU MELAUNGKAN "MERDEKA" SEBANYAK 7X, SEMASA MENANDAKAN BERAKHIRNYA PEMERINTAHAN BRITISH DI NEGERA KITA?

SAYA BOLEH TERIMA KALAU DIKATAKAN SECARA TEKNIKAL TIDAK DIJAJAH TETAPI HAKIKATNYA KITA DIJAJAH.

NAMUN, KEGILAAN MAT SABONG MENGAGUNGKAN MAT INDERA YG TERPENGARUH DENGAN PERJUANGAN KOMUNIS TETAP SAYA TENTANG, KERANA KOMUNIS ATAS APA ALASAN SEKALIPUN TELAH BANYAK MEROSAKKAN NEGARA INI SATU MASA DAHULU.

PERGI MAMPUS MATA SABONG, KOMUNIS DAN MAT INDERA.

wmwi

Leman Lawak said...

Salam Tuan Syed,

Saya tak heran sangat dengan kenyataan profesor kangkung macam Zainal Kling tu..berlambak-lambak orang macam tu dalam Umno dan dalam kerajaan. Bahkan semua pemimpin Umno macam tu sejak dari zaman Tun lagi. Memang orang macam tu lah yang Tun berkenan. Ikut saja demi menjaga perut. Ingat tak lagu Pak Pandir.."ada mata tengok ada telinga dengar ada mulut diaaam"..sampai la lagu tu kena gam. Untuk makluman Profesor kangkung dan pemimpin Umno sekelian..kami generasi pasca merdeka ada mengaji sejarah sat dari sekolah rendah sampai kat universiti. Jangan nak gelembong kami tentang sejarah negara. Budak- budak generasi sekarang
bulehlah hangpa torak. Makin hangpa torak makin kami meluat..toksah harap la nak jadi pemimpin kami lagi.

Anonymous said...

Pak Tuan..komen sikit pasai LGE kutuk johor...terima kasih..