Showing posts with label Asean. Show all posts
Showing posts with label Asean. Show all posts

Tuesday, November 22, 2011

Ke mana perginya semangat kesukanan?

Temasya sukan sekarang bukan seperti beberapa dekad lalu. Dulu semangat kesukanan begitu tinggi dan dihargai. Temasya sukan, sama ada peringkat serantau, benua atau dunia, dijadikan pelantar untuk menjalin hubungan bukan sahaja antara negara tetapi antara para peserta. Begitulah tingginya semangat kesukanan.

Sekarang, temasya sukan dijadikan sandaran untuk meraih nama dan imej. Lebih banyak pingat emas yang diperolehi, lebih megah dan sombongnya sedangkan semangat kesukanan tidak menjadi ukuran.

Negara yang begitu ghairah untuk menang sesuatu acara sukan akan melakukan apa saja yang dibolehkan, dan ada kalanya membabitkan penipuan dan muslihat tertentu, untuk mencapainya. Sukan tidak lagi dijadikan pelantar atau wadah untuk menjalin silatur-rahim dan setiakawan tetapi sebagai medan perang untuk menang.

Beberapa dekad lalu, dua buah negara di Amerika Selatan hampir berperang ekoran perbalahan membabitkan perlawanan bolasepak. Begitulah hebatnya sukan sehingga dua buah negara sanggup berperang. Walau bagaimanapun, kehebatan itu memperlihatkan kejanggalan dalam memahami apa itu semangat kesukanan dan kemenangan bukanlah segala-galanya.

Di kalangan negara Asia Tenggara,  Sukan SEA menjadi kayu pengukur sejauh mana sesebuah negara itu jaguh dalam arena sukan. Setiap negara yang dipilih bergilir-gilir menjadi tuan rumah, akan mengadakan acara sukan yang mampu membawa kemenangan walaupun ianya tidak popular di negara lain. Yang penting ialah untuk mengumpul sebanyak yang boleh pingat emas.

Pada temasya Sukan SEA semasa di Palembang dan Jakarta, kita dapat lihat ketandusan semangat kesukanan di kalangan penyokong malah pegawai tuan rumah. Bagi mereka, Malaysia adalah 'musuh' utama dan di mana saja atlet Malaysia muncul, akan bergemalah ejekan, sindiran, kata-kata cacian dan penghinaan. Mereka tidak langsung menghormati bendera dan lagu kebangsaan kita. Kebiadaban yang diperlihatkan itu amat memalukan dan jelas tidak menghormati tetamu kerana kita dan negara ASEAN yang lain adalah tetamu mereka.

Apa yang amat menyedihkan ialah cara mereka melayani pasukan bolasepak kita. Keperitan yang dilalui oleh pasukan Harimau Muda tidak pernah dilalui oleh mana-mana pasukan kebangsaan.  Mereka terpaksa berhimpit-himpit dalam kereta perisai milik polis republik itu, mereka dinafikan hak latihan di stadium, mereka di maki hamun dan diperlekehkan.

Namun demikian, segagah  gelaran Harimau Muda, pasukan bolasepak bawah umur 23 tahun Malaysia itu memperlihatkan semangat juang yang tinggi dan tidak gentar menghadapi ancaman dan serangan sang Garuda. Bukan sekali tetapi dua kali Harimau Muda menjinakkan Garuda di gelanggang lawan.  Bukan calang-calang pasukan yang mampu berbuat demikian.

Tahniah kepada Harimau Muda. Tahniah Ong Kim Swee atas kejayaan anda membawa kemenangan walaupun menghadapi 1001 macam dugaan, rintangan dan cemuhan.

Para atlet Malaysia memperlihatkan adab dan sopan santun yang tinggi walaupun tidak dilayan sewajarnya oleh tuan rumah.  Atlet Malaysia menunjukkan bahawa budi bahasa adalah budaya kita. Bukan sebaliknya seperti yang dipertonton oleh penyokong dan sebilangan pegawai penganjur Sukan SEA Jakarta dan Palembang.

Teringat akan saya pepatah Cina yang bermaksud: "Sekeping emas terpelihara kemurniaannya walaupun dicairkan seratus kali. Seorang wira tidak boleh hilang pertimbangan walaupun menempuh bahaya dan kesukaran."

Itulah yang dilalui oleh para atlet Malaysia di Jakarta dan Palembang. Syabas.



  

Wednesday, October 07, 2009

Bangga sebagai rakyat Malaysia

Ketepikan soal politik mahupun ras, kita semestinya bangga sebagai rakyat Malaysia apabila melihat betapa waras dan bertangungjawabnya warga negara kita berdepan dengan tindakan sekumpulan bahlol (fools) dari negara jiran terhadap negara kita.

Perbuatan biadap kumpulan bahlol yang menuduh kita dan negara kita sebagai pencuri dan membakar bendera kebangsaan kita, Jalur Gemilang, serta melempar bermacam-macam tuduhan dan fitnah termasuk mahu berperang dengan kita.

Kumpulan bahlol itu mahu menyerang negara kita dengan menggunakan buluh runcing! Ini memperlihatkan sejauh mana bodohnya mereka dan betapa ceteknya pemikiran berkaitan isu hubungan antara negara dan hidup berjiran.

Jika benar mereka begitu bersemangat untuk berperang mempertahankan sesuatu, dalam hubungan ini kononnya nak membalas dendam atas "kezaliman" kita ke atas pembantu rumah warga negara mereka dan perbuatan kita "mencuri" budaya dan seni mereka termasuk tarian pendet yang majoriti rakyat kita tidak pernah lihat, kenapa mereka biarkan Timor Timur terlepas dengan begitu senang? Ke mana semangat juang mereka untuk mempertahankan hak dan wilayah mereka?

Kita tidak boleh pandang ringan ancaman kumpulan bahlol ini walaupun mereka adalah golongan kecil di kalangan rakyat negara mereka kerana orang bahlol begitu mudah melakukan sesuatu yang bodoh tanpa berfikir panjang. Kita yakin dan percaya pihak berkuasa negara mereka akan mengambil langkah dan tindakan sewajar sekiranya mereka melampaui batasan dalam hubungan dua hala antara dua negara yang merdeka dan berdaulat.

Kita bangga sebagai rakyat Malaysia kerana kita utamakan persahabatan dan keprihatinan terhadap musibah yang menimpa saudara kita di seberang Selat Melaka. Rakyat Malaysia memperlihat kewarasan dan belas kasihan terhadap saudara mereka di Sumatera Barat khususnya Padang yang ditimpa bencana gempa bumi.

Kita amat simpati dan mengambil berat terhadp kesengsaraan dan kesusahan yang dihadapi oleh saudara kita di bumi Minang. Kita tidak bermain politik atau sentimen kenegaraan tetapi bertindak sebagai insan yang insaf dan simpati atas musibah yang menimpa mereka.

Malaysia adalah antara negara yang awal menghulur bantuan dan kita terus membantu atas nama kemanusiaan. Bantuan bukan sahaja dihulurkan oleh pemerintah tetapi badan dan pertubuhan sukarela seperti Mercy Malaysia, Islamic Relief Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Merah.

Rakyat Malaysia yang ke sana tidak mengira bangsa mahupun keturunan - Melayu, Cina, India dan Bumiputera dari Sarawak dan Sabah - yang ke sana atas nama negara Malaysia.

Rakyat Malaysia mewakili semua kaum terus memberi sumbangan kepada beberapa tabung bantuan yang ditubuhkan oleh media dan badan sukarela. Inilah semangat Malaysia yang sebenar.

Sebagai rakyat Malaysia, kita semesinya bangga dengan apa yang kita lakukan walaupun kita dihina, dicerca dan dilempar bermacam tuduhan termasuk apabila kita menghulurkan bantuan. Kita ketepikan semuanya itu atas nama kemanusiaan dan keprihatinan sejagat.

Semoga kewarasan kembali bertapak di kalangan mereka yang kurang waras.


Thursday, October 04, 2007

Rasa Sayang Eh Rasa Sayang-sayang Eh!

Mungkin dah tak ada isu lain atau dah ketandusan modal, maka seorang wakil rakyat di negara jiran Indonesia, menimbulkan persoalan hak milik lagu klasik malar segar, Rasa Sayang.

Dia mahukan pemerintah Indonesia mengambil tindakan ke atas Malaysia kerana menggunakan lagu Rasa Sayang dalam kempen penggalakan Tahun Melawat Malaysia dengan alasan lagu itu hak milik Indonesia.

Dalam erti kata lain, Malaysia telah melanggar hak cipta milik Indonesia dan tindakan sewajarnya perlu diambil. Persoalannya, tidak ada orang yang tahu asal-usul lagu rakyat itu, siapa yang mengarangnya dan siapa yang memegang hak ciptanya.

Lagu Rasa Sayang sudahpun menjadi salah satu lagu wajib bagi ASEAN kerana ia didendangkan sebagai lagu rakyat di Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei. Ia sebenarnya hak milik manusia yang berbahasa Melayu.

Oleh itu, adalah tidak wajar, kurang bijak dan tidak boleh diterima oleh bukan sahaja Malaysia bahkan Singapura dan Brunei bahawa lagu itu adalah hak milik Indonesia.

Selain lagu Rasa Sayang, mereka juga mempersoalkan hak milik dan hak cipta Indonesia yang mereka dakwa kononnya ditiru oleh Malaysia seperti batik dan wayang kulit.

Apabila diminta mengulas, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Dr Rais Yatim, atas sifat profesionalnya selaku seorang peguam, meminta pihak yang menimbulkan perkara itu memberikan bukti. Menteri Pelancongan Teuku Adnan Teuku Mansor pula berkata lagu itu adalah milik Nusantara dan bukan mana-mana negara tertentu kerana ia adalah lagu rakyat Nusantara Melayu.

Mungkin selepas ini, ada pula wakil rakyat lain di Indonesia yang akan meminta pemerintah republik itu membuat tuntutan ganti rugi ke atas hak milik mi jawa, mi bandung, asam jawa, bahulu betawi, air bandung, Kampung Jawa dan keris Taming Sari atas alasan semuanya hak milik mereka.

Apa kesudahannya?

Monday, October 02, 2006

Kuan Yew masih tebal dengan sikap perkaumannya

Penantian saya untuk mendengar atau membaca komen Saudara Anwar Ibrahim mengenai hasutan bersifat perkauman yang dilemparkan oleh mantan perdana menteri Singapura Lee Kuan Yew terhadap masyarakat Cina di Malaysia dan Indonesia akhirnya tiba.

Sdr Anwar dengan tegas menyatakan bahawa Kuan Yew masih terperangkap dalam pemikiran perkauman lapuk. Bagi saya, ia bukan sahaja lapuk tetapi memperlihatkan kepada kita bahawa minda Kuan Yew sudah menjadi jijik dan dipenuhi najis. Sebab itulah dia tidak lagi berfikiran waras.

Sdr Anwar, selaku penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), meluahkan isi hatinya itu dalam satu kenyataan media hari ini. Anwar berkata tuduhan (lebih tepat hasutan) Kuan Yew yang menyentuh nasib orang Cina Malaysia dan Indonesia yang kononnya dipinggir secara sistematik oleh kerajaan/pemerintah masing-masing, mendedahkan susuk perkauman yang terpendam dalam diri Kuan Yew selama ini.

Kata Anwar, Kuan Yew atau Harry Lee hanya nampak masalah orang Cina di luar negaranya sedangkan kegelisahan masyarakat Melayu di Singapura tidak dipedulikan sama sekali.

Selain Anwar, pemimpin Malaysia yang telah menyuarakan pandangan secara tegas dan berani terhadap tuduhan Kuan Yew adalah mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad manakala para pemimpin kerajaan Malaysia seolah-olah hanya berani buka mulut selepas Tun berbuat demikian. Sebelum itu, timbalan perdana menteri Najib Tun Razak hanya bersuara apabila didesak oleh pihak media dan kenyataannya tidak setimpal atau setegas seperti yang diharapkan. Pak Lah pula memilih pendekatan mengutus surat meminta penjelasan tanpa meluahkan bantahan tegas atau rasa marahnya selaku pemimpin Malaysia.

Perlu diingatkan bahawa semasa memerintah Singapura, Kuan Yew melaksanakan dasar dan pemerintahannya secara kuku besi. Dia pernah berkata bahawa orang Melayu dan India mudah menjadi Pak Turut setelah dia mendisiplinkan orang Cina.

Semua perkampungan dan penempatan orang Melayu terutama di Paya Lebar, Geylang Serai, Kampung Ubi, Kebun Limau, Kampung Gelam, Changi, Siglap, Serangoon, Sembawang dan Bukit Timah dimusnahkan atas nama pembangunan dan orang Melayu dipisah-pisahkan untuk menjadi penghuni rumah pangsa HDB.

Kuan Yew mempastikan bilangan keluarga Melayu di satu-satu estet perumahan tidak mengatasi jumlah keluarga orang Cina supaya tidak ada satupun kawasan undi yang majoriti pemilih adalah orang Melayu. Tindakannya meminggirkan orang Melayu memberi kekuatan politik kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinannya dan menghakiskan pengaruh parti-parti lain termasuk Pertubuhan Kebangsaan Melayu Singapura (PKMS).

Jika nak diperkatakan mengenai tindak-tanduk Kuan Yew dan kroni-kroninya dalam PAP, termasuk beberapa kerat orang Melayu sendiri, memang banyak dan nyata. Kenyataan ini pastinya disangkal oleh pemimpin-pemimpin pertengahan PAP yang terdiri daripada orang Melayu kerana, seperti orang Umno di Malaysia, mereka perlu menjaga periuk nasi masing-masing.

Saturday, September 23, 2006

Mahathir bidas Kuan Yew sebagai sombong dan tak laku

Akhirnya, Lee Kuan Yew bertemu dengan ruasnya - Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tun dengan tegas membidas Kuan Yew sebagai seorang yang sombong kerana sengaja membangkitkan isu kaum Cina di Malaysia, yang kononnya dipinggirkan, lapor Bernama dari Kijal, Terengganu.

Kuan Yew tidak menghormati negara jiran, apabila dia mendakwa kaum Cina di Malaysia (dan di Indonesia) dipiggirkan secara sistematik, kerana ia adalah sesuatu yang sensitif.

" Kita juga boleh tanya apa kedudukan orang Melayu di Singapura, kenapa mereka tidak dibenarkan dalam tentera memikul senjata atau pun dilatih menggunakan senjata," tanya Tun.

(Di sini saya ingin memperbetulkan sedikit kenyataan Tun, sebenarnya orang Melayu dibolehkan memikul senjata dan dilatih menggunakan senjata semasa dalam kerahan tenaga. Tetapi, setahu saya, orang Melayu tidak dibenarkan memasuki atau berada dalam unit-unit sensitif dan canggih yang menggunakan teknologi terkini dalam angkatan tentera Singapura. Setakat ini, pangkat paling tinggi yang pernah disandang oleh orang Melayu/Islam dalam tentera Singapura adalah Kolonel.)

Mengenai menteri mentor Singapura, Tun Mahathir berkata; "Dia berasa dia kuat, dia dah jadi sombong, dia pun tak hairan dengan jiran-jiran. Itu sebab dia sengaja bangkitkan perkara itu sedangkan dia tahu ini adalah perkara yang sensitif di dalam negara kita."

Kepada Kuan Yew, Tun Mahathir memberi nasihat ini: "Awak jaga periuk nasi awak sudahlah. Awak tak laku, awak pun bukan bijak sangat. Dalam satu kumpulan yang kecil, mungkin awak nampak bijak."

Cuba bandingkan kenyataan tegas dan berani Tun Mahathir dengan kenyataan separuh berani yang dikeluarkan oleh Najib Tun Razak, itupun setelah didesak oleh media. Kenyataan Lim Keng Yaik, Tsu Khoon dan Ong Ka Ting lebih menyengat daripada Najib.

Wednesday, September 20, 2006

Hubungan Singapura dengan Malaysia dan Indonesia

Kenyataan mantan perdana menteri Singapura yang kini bergelar menteri mentor, Lee Kuan Yew, yang lebih merupakan satu usaha membakar semangat penduduk majoriti keturunan Cina di republik kecil itu, tidak boleh dipandang ringan oleh penduduk majoriti di Malaysia dan Indonesia.

Kuan Yew cuba memberi satu gambaran dimana rakyat Singapura mesti berani dan tegas menyatakan "tidak" kepada Malaysia dan Indonesia, dua buah negara jiran yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Kuan Yew juga mengingatkan rakyat pulau singa keturunan Cina tentang nasib saudara seketurunan mereka di Malaysia dan Indonesia yang menghadapi bermacam tekanan dan penindasan berbanding dengan orang Cina di republik sekangkang kera itu.

Hubungan Singapura dengan Malaysia dan Indonesia akan menghadapi dinamika dan pertimbangan baru yang memerlukan penanganan bijak dan matang, bukan dijuruskan kepada sudut perkauman atau keagamaan.

Pada pendapat saya, pendekatan ini penting kerana politik kerantauan sentiasa berubah hasil dari bermacam keadaan termasuk ekonomi, politik dan agama. Saya menyebut agama kerana "keganasan" telahpun dijadikan salah satu ancaman terhadap keselamatan serantau dan yang menjadi sasaran adalah penganut Islam, tak kiralah sama ada dinamakan Jemaah Islamiah (JI) atau Kumpulan Militan Malaysia (KMM) ataupun Abu Sayaf dan pejuang pemisah di selatan Thailand.

Oleh itu, Singapura terasa terancam oleh dua jiran terdekatnya walaupun selama ini Malaysia mahupun Indonesia tidak memperlihatkan permusuhan terhadap pulau Sang Nila Utama itu.

Memandangkan Kuan Yew dan anak buahnya yang memerintah Singapura begitu takutkan bayang-bayang, mereka melihat hubungan Singapura dengan Malaysia dan Indonesia sebagai telah memasuki era baru yang memerlukan penanganan tegas dan berani.

Kita akui bahawa hubungan Malaysia-Singapura telah lama dan akan terus menghadapi pasang surutnya memandangkan faktor hubungan kaum Melayu-Cina dan pertalian persaudaraan di kedua-dua belah Selat Johor.

Ia bukan perkara baru, tetapi apabila Kuan Yew menimbulkan secara terbuka isu perkauman yang mengaitkan kaum Cina di republik itu dengan kaum Cina di Malaysia dan Indonesia, suhu kepanasan sudah pasti melonjak.

Kuan Yew seharusnya mengenepikan bayang bebanan sejarah dan sebarang prasangka terhadap Malaysia dan Indonesia. Beliau harus sedar bahawa kedua-dua jirannya itu, walaupun kadang kala sakit hati akibat tindak tanduk pemimpin Singapura, tidak ingin bermusuh dengan negara bandar raya itu tetapi ia bukan bermakna kita mengalah apabila dicabar.

Bukankah selama ini semua masalah dan tengkarah yang berlaku di antara ketiga-tiga jiran itu telah dihuraikan dalam suasana persahabatan? Kenapa Kuan Yew membangkitkan satu isu lain yang seolah-olah ingin mewujudkan satu keadaan tegang di rantau ini?

Sebagai jiran yang dekat, Singapura seharusnya lebih prihatin dalam mengendalikan isu berbentuk perkauman seperti yang dibangkitkan oleh Kuan Yew. Mungkinkah Kuan Yew berani berbuat demikian kerana dia tidak akan berdepan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad?

Kita tahu bahawa Singapura melihat dirinya sebagai Israel Asia Tenggara dan republik itu memiliki kekuatan ketenteraan yang paling canggih dengan dibantu oleh Amerika Syarikat. Tetapi, kita perlu ingatkan Singapura bahawa kedudukan dan keadaan di Asia Tenggara tidak sama dengan di Asia Barat. Malaysia dan Indonesia bukan negara Arab dan Singapura bukan rejim Zionis Yahudi.