Saturday, January 15, 2011

'Jual beli' anugerah 'datuk' amat mengaibkan

Pengakuan seorang perajurit bersara yang mengetaui sebuah persatuan yang tidak berdaftar bahawa dia membayar RM250 ribu untuk mendapat anugerah gelaran 'datuk' dari sebuah negeri di utara Semenanjung, bukan sahaja mengaibkan tetapi memperlihatkan kegelojohan manusia untuk mendapat gelaran dan anugerah.

Ia bukan perkara baru bahkan dikatakan berlaku sejak beberapa tahun lalu dan membabitkan beberapa buah negeri.

Isu 'pembelian' gelaran datuk hangat diperkatakan pada tahun 2003 semasa saya bertugas di pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rais Yatim. Pada waktu itu, hampir semua pentadbiran negeri menafikannya walaupun ianya berlaku. Pengakuan perajurit bersara itu membuktikan kebenaran dakwaan tersebut.

Saya masih ingat betapa pihak kami, iaitu Pejabat Menteri, menerima banyak maklumat dan maklum balas dari seluruh negara berkaitan isu 'jual beli' anugerah datuk yang dibangkitkan dalam akhbar. Hasil daripada maklumat dan maklum balas itulah yang mendedahkan sekurang-kurangnya 10 negeri terlibat.

Jumlah wang yang 'agak besar' dibayar kepada 'kaki' atau ejen untuk mendapatkan gelaran tersebut.

Keghairahan pihak-pihak tertentu, terutama orang politik dan ahli perniagaan,  untuk mendapat gelaran 'datuk' kononnya kerana menerusi gelaran tersebut, mereka berupaya membuka peluang perniagaan yang lebih besar selain daripada membolehkan mereka berada dalam 'kelas tertentu' di kalangan masyarakat 'terhormat'.

Majalah MASSA keluaran 27 Sept-3 Okt 2003 menyiarkan tulisan Ku Seman Ku Hussain mengenai isu penganugerahan gelaran datuk yang banyak. 

Ku Seman membuka tulisannya dengan kata-kata berikut; ''Secara yang sangat sinikal ada orang berkata, di negara ini kalau dilambungkan sebiji batu, batu itu pasti jatuh di atas seorang yang paling kurang bergelar datuk. Ini sebenarnya jenaka  kedai kopi. Walau pun ia bertaraf jenaka kedai kopi mengenai sekian banyak yang mendapat datuk, tetapi memang ada kebenarannya. ''

Mingguan Malaysia bertarikh 9 Nov 2003 pula memuatkan ulasan Awang Selamat yang antara lain menulis ''Menganugerahkan bintang kebesaran serta pingat kepada rakyat jelata yang telah berkhidmat dengan cemerlang kepada bangsa dan negara serta memberi sumbangan terpuji memang baik dan tidak boleh dipertikaikan. Yang dipersoalkan hanyalah tentang betapa mudahnya ia dianugerahkan dan betapa kadangkala ia tidak setimpal dengan sumbangan yang diberikan.''

Tokoh bahasa Dr Awang Sariyan pula dipetik oleh majalah MASSA sebagai berkata; ''Bayangkan apabila beratus ribu rakyat kita mudah mendapat gelaran Datuk, Datuk Seri dan Tan Sri secara bebas. Ini merupakan
satu perkara yang juga boleh dimasukkan ke dalam Malaysia Book of Records.''

Saya masih ingat akan satu kes di Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada tahun 2004 di mana seorang pengarah eksekutif memberitahu mahkamah bahawa dia membayar sejumlah RM150 ribu untuk mendapatkan gelaran 'datuk' bagi ibunya. 

Beliau berkata pembayaran tersebut yang dibuat secara berperingkat kepada seorang pegawai salah seorang pembesar Istana di Perak, adalah untuk gelaran Dato' Paduka Mahkota Perak.

Pengakuan bekas perajurit dan kes mahkamah di Teluk Intan jelas membuktikan wujudnya 'jual beli' gelaran dan penganugerahan darjah dan bintang kebesaran. Kenyataan itu tidak boleh dinafikan oleh mana-mana Menteri Besar atau Ketua Menteri seperti yang dibuat pada tahun 2003.

Dalam hubungan ini, saya menyanjung tinggi pendirian Almarhum Sultan Iskandar, Johor semasa menduduki takhta Kerajaan Malaysia selaku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong  ke-8, yang berpegang kepada dua perkara asas sebelum memperkenankan penganugerahan darjah kebesaran.

Baginda akan bertanya berapa umur calon dan telah berapa lama berkhidmat, sekiranya calon tersebut pegawai kerajaan. Baginda hanya akan memperkenankan mereka yang berumur 45 tahun ke atas untuk menerima anugerah darjah kebesaran/bintang/pingat.

Almarhum berbuat demikian dengan alasan jika seseorang itu telah berumur 45 tahun, pastinya beliau telah 20 tahun atau lebih berkhidmat. Baginda amat teliti dengan perkara tersebut bagi memastikan mereka yang benar-benar layak sahaja diberi pertimbangan.

Jika dilihat keadaan sekarang, kita yakin kriteria yang dipegang oleh Almarhum Sultan Iskandar sudah tidak diamalkan. Ini dapat dilihat daripada mereka yang masih muda dan berumur 40 tahun ke bawah diberi anugerah yang membawa gelaran sama ada datuk, datuk seri, datuk wira, datuk paduka atau yang lain.

Bak kata orang ramai dalam bahasa percakapan seharian, ada di kalangan mereka yang menerima gelaran -gelaran tersebut masih 'berhingus' atau 'hingus belum kering'. Kita  tidak nampak apakah khidmat bakti, jasa mahupun sumbangan besar mereka sama ada kepada negeri atau negara yang membolehkan mereka dianugerahi gelaran tersebut.

Penetapan kuota untuk anugerah dan bintang kebesaran juga dilihat sebagai sesuatu yang tidak seharusnya berlaku. Pada zaman awal kemerdekaan kuota tersebut tidak wujud dan hanya mereka yang benar-benar telah menabur khidmat bakti dan jasa kepada negeri atau negara, secara sukarela dan bukan atas dasar perkhidmatan yang dibayar gaji, akan dipertimbangkan. Oleh itu, amat jarang untuk kita menemui orang yang bergelar datuk. Jika adapun, dia sudah berusia dan benar-benar telah menabur jasa dan bakti kepada negeri mahupun negara.

Sekarang, antara lain  wujud kuota politik dan kuota perkhidmatan awam. Bagi kuota politik, ia bergantung kepada ketua bahagian atau ketua parti memperakukan calon untuk dipertimbangkan. Lazimnya, kuota politik diberikan kepada penyokong atau pengikut setia ketua berkenaan dan bukan atas dasar khidmat bakti dan jasa kepada parti..  

Kuota perkhidmatan awam pun bergantung kepada ketua jabatan dan pegawai kanan peringkat kementerian. Orang yang menerima atau diperakukan untuk menerima bintang atau pingat tidak semesti yang terbaik dan yang paling layak. Ia adalah sama dengan penganugerahan perkhidmatan cemerlang sama ada melintang, menegak atau mendatar yang ketelusan dan kesaksamaannya sering dipertikaikan.

Oleh kerana orang melihat anugerah darjah kebesaran sebagai sesuatu yang 'ada kelas', maka orang sanggup 'berusaha' untuk mendapatkannya termasuk memberi sumbangan 'derma' untuk yayasan atau badan-badan tertentu.

Jika mereka gagal mendapat gelaran tersebut dari mana-mana negeri di Malaysia, mereka sanggup 'berbelanja' untuk mendapat gelaran tersebut dari sumber-sumber luar yang tidak diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia seperti dari 'beberapa kesultanan' di selatan Filipina. 

Untuk mengakhiri kalam, saya perturunkan kenyataan berikut. Pada satu ketika yang tidak berapa lama dahulu, saya menemui seorang tauke yang tidak tahu membaca dan menulis, beliau begitu terharu dan amat seronok kerana diberi anugerah yang membawa gelaran datuk. Dia,  yang kini sudah mendiang, sendiri tidak dapat menyebut perkataan datuk dengan betul, tetapi menyebutnya sebagai 'latuk'. Walau apapun, dia jauh lebih layak daripada ramai lagi manusia yang bergelar datuk kerana dia menggunakan kekayaannya untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik tanpa mengira bangsa. Atas jasanya itu kepada masyarakatlah dia dianugerahi gelaran datuk oleh negeri berkenaan.

Alahai datuk... sana datuk, sini datuk.




15 comments:

Anonymous said...

lama-lama taraf datuk sama dengan encik atau tuan!

kadang-kadang orang tahu seseorang tu dapat datuk dengan cara ( beli? ), tapi ia tetap di sanjung!

salah kita juga sebab terlalu mementingkan pangkat dan darjat.

Anonymous said...

Bagaimana pula dengan anugerah Datu Mindanoa, Datuk dari kesultanan Sulu dan Datuk dari Indonesia?

Datuk mindanoa boleh di beli dengan harga rm 6 ribu sahaja.

Unknown said...

Mindanao dan Sulu adalah dua daripada 'kesultanan' di selatan Filipina yang saya sebutkan. Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf anugerah-anugerah dari 'kesultanan' berkenaan kerana ia bukan negara berdaulat. Hanya anugerah yang diberi oleh pemerintah Republik Filipina sahaja yang diiktiraf. Begitu juga dengan Indonesia, hanya yang diberi oleh pemerintah Republik Indonesia yang diiktiraf.

Anonymous said...

Datuk dari negeri yg tak bersultan laa yg paling berlambak kat Msia , sbb tuu negeri tuu laa ni jadi tak bersultan , padahal susur galur sultan berasal dari negeri itu

Anonymous said...

kini sudah heboh diperkatakan.
apa kata pemberian pingat tu dimansuhkan saja.
kerana tujuan asal dah diselewengkan.
negara lain ada juga bagi pingat
tapi taklah sebanyak malaysia.

Anonymous said...

Saya ini puas hati dengan gelaran 'Dato' yang baru says trima apabila mendapat seorang cucu.Ini adalh 'Dato' yang asli.

otaklunyai said...

mana boleh mansuhkan bro... income tu... nanti nak shopping kat ober sea tak da duit plak... kalau senarai yang dapat datuk tu panjang boleh collect duit banyak, telepon je mintak duit... berbeg2 depa hantar...

Unknown said...

Betul kata pengulas yang sebuah negeri tak beraja walaupun asalnya ada sultan, banyak 'menganugerah' gelaran datuk, macam-macam jenis datuk terutama kepada pemimpin-pemimpin politik dari negeri lain yang menyokong ketua menteri berkenaan.

Mereka tak akan mansuhkan penganugerahan berkenaan kerana beberapa faktor. Antaranya sama seperti yang dinyata oleh otaklunyai.

Ada orang korporat, mungkin keparat lebih tepat, yang sanggup belanja orang tertentu ke luar negeri semata-mata untuk dapatkan gelaran pada pangkal nama. Ada yang tunduk begitu rendah untuk 'bodek' anak dan isteri orang besar dan sanggup buat apa saja.

Main badminton dengan anak orang besarpun boleh dapat gelaran datuk. Lepas itu kena belanja ke sana ke sini. Semuanya kerana gelaran datuk.

Kepada pengulas yang baru dapat cucu dan dapat gelaran datuk asli, tahniah diucapkan.

Anonymous said...

"saya menemui seorang tauke yang tidak tahu membaca dan menulis"

Saya rasa Tuan Syed maqsudkan Datuk Loh Boon Siew, agaknya?

Unknown said...

Benar mendianglah orangnya.

dato'A said...

Slm...
Ok la tu beli dato' sbb di malaysia ni yg patut atau layak sbb jasa tak dpt gelaran tapi yg dpt org2 yg rapat dgn kerabat atau vvip ( org dlm ),masalah bkn dato' saje kenaikan pangkat dlm kerajaaan pon sama hya kenalan atau saudara mara je ( keroni)

Unknown said...

UMUR TIDAK MENGUKUR KEPERIBADIAN SESEORANG, KALAU DIA LAYAK , TERUSKAN . Wakil atasan. Tq

Anonymous said...

Sepatutnya org yg da dpt gelaran ni perlu dipantau...gelaran mereka perlu dilucutkn klu mereka melakukan kesalahan besar yg boleh memalukan negara atau memberi kesan negatif kpd masyarakat sprti yg blku kpd anwar Ibrahim..ramai yg dpt gelaran datuk or dato' ni tidak layak pon sbnrnya..berlagak je lebih..

Anonymous said...

masyarakat kita sendiri pun sangat menyanjung pangkat, tak kira la gelaran dr atau dato. sebab tu kalau boleh dijual maka akan ada orang yang akan membelinya.

rakyatbiaseje said...

Yg kelakar nya negeri yg paling banyak menganugerahkan pingat ni adalah negeri yg tak maju walaupun besar, selalu banjir di pekannya, mb sama 20 yahun tapi takda kemajuan. Pantai yg dulu popular kini hutan rimba. Jalan raya penuh dgn warna merah akibat perlombongan xxx.....tapi memounyai paling ramai orang yg "berjasa" pada negeri. Hahahaha