Thursday, January 13, 2011

Isu perlantikan SUK perlu ikut konvensyen

Isu perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang tidak disenangi oleh pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat, perlu dihalusi agar ianya tidak berulang di negeri-negeri lain. Masalah yang timbul bukan kerana soal politik atau tekanan mana-mana pihak tetapi sekadar ianya tidak mengikut konvensyen atau amalan yang lazim dilakukan selama ini.

Ketua Setiausaha Negara tidak boleh dipersalahkan kerana dia telah mengikuti saluran perkhidmatn awam yang betul, iaitu melalui Setiausaha Kerajaan Negeri. KSN, selaku ketua perkhidmatan awam negara, bertindak betul dengan tidak melalui Menteri Besar. Itu adalah tugas atau peranan Setiausaha Kerajaan Negeri. KSN juga tidak tahu sama ada SUK melaporkan perkembangan mengenai perlantikan SUK baru kepada MB dan apabila melalui saluran SUK, sudah tentu KSN anggap MB dimaklumi.

Jika benar laporan yang menyebut bahawa SUK yang bakal bersara itu tidak memaklumkan sebarang perkembangan mengenai perlantikan penggantinya kepada MB ataupun pentadbiran negeri, maka  disitulah letaknya punca kemelut  yang sedang melanda. SUK tidak mengikut konvensyen, iaitu memaklumkan MB mengenai calon yang bakal diperakukan sebagai SUK.

Kewujudan sektor awam dan urusan perlantikan, pertukaran dan kenaikan pangkat agak unik kerana terdapat lebih daripada satu badan atau pihak yang bertanggungjawab. Semuanya berpunca daripada apa yang negara warisi daripada penjajah.   
  
Tiap-tiap negeri ada perkhidmatan awamnya sendiri dan lantikan kepada perkhidmatan-perkhidmatan ini dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri kecuali bagi Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perlis. Inilah kedudukan selepas Merdeka.

Di Melaka dan Pulau Pinang, ada diperuntukkan dalam Perlembagaan bahawa lantikan ke jawatan-jawatan  Negeri hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan yang diberi kuasa oleh undang-undang negeri untuk membuat lantikan kepada Perkhidmatan Awam Negeri. 

Jawatan-jawatan dalam negeri-negeri adalah diisi oleh pegawai negeri, kecuali ada tempat-tempatnya jawatan itu diisi oleh pegawai Persekutuan yang dipinjamkan kepada negeri itu. 

Di Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dahulu, iaitu Kedah, Kelantan, Perlis, Johor dan Terengganu, semua jawatan Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah adalah disisi oleh pegawai negeri. 

Di Negeri-negeri Melayu Bersekutu dahulu, iaitu Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Selangor, semua jawatan Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah adalah diisi oleh pegawai Persekutuan yang dipinjamkan kepada negeri itu. Begitu juga dengan Negeri-negeri Selat iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Singapura.

Jawatan-jawatan ini adalah jawatan dalam Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik atau PTD. Ketua bagi Perkhidmatan Awam Negeri di tiap-tiap negeri ialah Setiausaha Kerajaan Negeri.


Isu perlantikan SUK bagi negeri Kedah, umpamanya, tidak menimbulkan masalah kerana ia dibuat dari kalangan KCS atau Perkhidmatan Awam Kedah, bukan oleh SPA atau pihak Persekutuan. Jika semua negeri mengamalkan sistem yang sama, maka tidak akan timbul masalah seperti yang berlaku di Selangor.

Setiap perkhidmatn awam negeri seharusnya memiliki kuasa atau autonomi dalam perlantikan pegawai-pegawai utama peringkat negeri. Sekiranya negeri berkenaan memerlukan pegawai yang bukan dari kalangan pegawai negeri, maka bolehlah memohon kepada SPA untuk meminjamkan pegawai PTD. 

Kerjasama antara Negeri dan Persekutuan

Kerjasama antara Persekutuan dengan Negeri-negeri dijamin dan telah berjalan tanpa banyak masalah. walaupun berlaku perbezaan fahaman politik. Yang membangkitkan masalah, itupun sesekali, apabila politik dicampur-aduk dengan pentadbiran. 

Contoh, wujudnya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung lantikan pentadbiran negeri dan JKKK Persekutuan lantikan kerajaan Perskutuan. Kewujudan dua JKKK dalam sesebuah kampung sebenarnya memecah-belahkan penuduk kepada yang menyokong kerajaan Negeri dan yang memihak kepada kerajaan Persekutuan. 

Jika mengikuti konvensyen, maka mana-mana parti politik yang memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan  negeri, parti itulah yang berhak melantik JKKK atau apa-apa institusi yang perlantikannya dibuat berdasarkan politik. JKKK dan KEMAS, sebagai contoh, adalah antara institusi berdasarkan politik. Oleh itu, perlantikan JKKK di negeri-negeri yang diperintah oleh parti lain selain Barisan Nasional, semestinya dilantik oleh kerajan negeri berkenaan.

Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya melantik satu lagi JKKK dengan menambah  perkataan Persekutuan semata-mata untuk membezakan antara kedua-duanya. Kerajaan Persekutuan mesti menghormati hak kerajaan Negeri yang bukan sekutunya. Jika ditakdirkan rakyat memilih BN pada pilihan raya akan datang, maka gunalah hak itu untuk melantik JKKK sendiri.   

Dari sudut pentadbiran awam, penyelarasan antara  Kerajaan-kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan diperbuat dalam beberapa peringkat. Pada peringkat Kementerian ada Majlis Tanah Negara, Majlis Kewangan Negara dan Majlis Kebangsaan bagi Kerajaan Tempatan. Sebarang masalah berbangkit dapat diselesaikan melalui kerjasama tersebut.

Walaupun setiap Kerajaan Negeri mempunyai sumber kewangannya sendiri, ianya  tidak mencukupi untuk perbelanjaan sesebuah negeri itu. Dalam hubungan ini, Kerajaan Persekutuan memberi pemberian kepada negeri tanpa mengira sama ada ianya diperintah oleh parti lawan atau tidak.  Ia bukan ihsan.

Perlembagaan Persekutuan juga memberi tanggungjawab kepada Kerajaan Persekutuan untuk  memberi kepada tiap-tiap Kerajaan Negeri pemberian bilangan orang atau 'capitation grant'. Kerajaan Persekutuan juga mesti memberi Kerajaan Negeri suatu pemberian untuk menyelenggara jalan raya dalam negeri.

Semuanya akan berjalan lancar jika aturan, peraturan, Perlembagaan dan konvensyen dipatuhi.


5 comments:

d'enricher said...

Tuan,

Saya setuju benar dengan istilah bahawa perlantikan SUK Selangor yang tidak ikut Konvensyen.

Secara mudahnya, apa yang susah sangat nak jumpa MB dan beritahu bahawa kita nak cadangkan orang ini sebagai SUK. Apa yang susah sangat ???

Kalau ikut kronologi yang kita dapat baca, SUK lama sengaja tidak mahu memberi tahu MB dan EXCO bahawa nama SUK baru telah dikenalpasti, dan telah dikemukakan kepada Sultan dan Sultan dah 'endorse'.

Yang sedih tu, agaknya lah kenapa Sultan Selangor tidak bertanya sekiranya MB telah bersetuju dengan cadangan SUK baru ini.

Kalau rakyat merasakan ada 'MACAM ADA KOMPLOT' dari berberapa pihak yang cuba MEMPORAKPERANDAKAN pentadbiran negeri, dan antara Sultan sebagai Ketua Negeri dengan Menteri Besar sebagai Ketua Kerajaan Negeri, SALAH KE ???

Kita setuju bahawa sistem demokrasi yang kita pegang hari ini membolehkan parti yang boleh mendapat majoriti mentadbir negeri dan negara. Maka kalau kita gagal mendapat majoriti, 'respect' lah rakyat yang membuat pilihan.

Lagi pun, PRU13 bukannya lama sangat, kalau lah si pentadbir tu terok, baik di Negeri mahupun di Persekutuan, bersedia aje lah.

BN pimpinan PM Najib dah ada Pelan Transformasinya, PR pimpinan DSAI dah beri cadangan program 100 hari apabila berjaya ambil alih "Putrajaya".

Kita yang ada 1 undi ni, kena lah pilih. Siapa dapat majoriti memerintah, yang kalah sediakan "check and balance"

A.Alshukor

d'enricher said...

Tuan,

Keluar topic sikit, apa pandangan tentang pemimpin yang seronok nak tumpang tui bila 'Harimau Malaya' menang.

Negeri sana sini bagi anugerah, satu budak ni sedih tak dapat anugerah, lepas tu negeri dia kata ada dalam perancangan. Hari ini PM Najib bagi hadiah lagi (jumlah RM65000), seronok sakan diaorang ni. Lepas tu ada yang sibuk nak main kat kelab lain, tapi kelab tu kata belum ada kekosongan.

Bagus lah kalau ada yang berminat, tapi kan ke bagus kalau offer tu dilaku secara professional, ini macam hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.

Apa pun, kita memang nak tengok personaliti dan pasukan sukan kita kita menang di arena antarabangsa, tapi kena lah konsisten baru lah kita boleh bangga.

Lee Chong Wei tu kira bagus, World No 1, tapi masih belum menang berberapa pertandingan tersohor lagi. Nicole tak payah cerita la.

Maaf jauh keluar tajuk.

A.Alshukor

Orang Kampung said...

Saya setuju dengan pandangan tuan bahawa perlantikan SUK perlu mengikut konvensyen. Barulah tiada isu.

Pegawai kerajaan di peringkat tinggi seperti SUK tidak wajar diheret ke dalam gelanggang politik yang bersifat kepartian. Mereka seharusnya dibiarkan menjalankan tugas secara profesional.

Lagi pun perlantikan mereka berasaskan prosedur tertentu perkhidmatan awam yang amat berbeza dengan perlantikan politik. Mereka juga bukan pegawai `lantikan politik' .

Mewujudkan dua badan pentadbir kampung pun satu hal lagi yang patut diberi perhatian. Rakyat tidak perlu dipecahkan semata-mata kepentingan peribadi atau politik.

Ramli Mohd Yunus said...

Saudara,

Saya setuju perlantikan SUK mesti ikut konvensyen. Buatlah perkara yang selalunya dibuat. Kalau ada yang tersirat kena ingatlah Allah.

Khusrin kata tidak ada agenda..Allah tahu..KSN kata pun tidak ada agenda..Allah juga tahu.

Semua pemimpin PR atau BN boleh dakwa dan pertahan macam macam...Allah yang maha tahu...melainkan kalau kesemua manusia manusia yang terlibat dalam proses perlantikan ini sudah lupa bahawa Allah tahu segala galanya.

Unknown said...

A.Alshukor,

Soal pasukan bolasepak Harimau Malaya, memang menjadi kebiasaan bagi para pemimpin nak ambil kesempatan kerana ia adalah berita panas dan masih menjadi bualan rakyat. Tetapi, nampaknya keadaan telah melampaui batas dan kita bimbang ia akan memberi kesan negatif. Saya setuju dengan pendapat saudara.