Saya cukup hormat dan memandang tinggi tindakan tegas, berani dan tidak mementingkan diri yang diambil oleh Datuk Shahrir Abdul Samad untuk meletak jawatan kerana tidak terpilih menganggotai Majlis Tertinggi UMNO.
Shahrir adalah seorang ahli politik yang benar-benar berpegang kepada prinsip dan konvensyen yang mementingkan parti daripada diri sendiri. Orang seperti Shahrir yang berada dalam UMNO mahupun parti politik lain di negara ini amat sedikit bilangannya.
Ahli Parlimen dari Johor itu berpegang kepada prinsip bahawa pelantikannya sebagai menteri hendaklah mendapat sokongan ahli parti melalui pemilihan. Dia menawarkan diri bertanding untuk mengisi satu daripada 25 kekosongan dalam majlis tertinggi. Sekiranya dia terpilih, Shahrir berpendapat bahawa pelantikannya sebagai menteri mendapat sokongan dan restu ahli UMNO, jika tidak, ia adalah sebaliknya.
Prinsip yang dipegang oleh Shahrir seharusnya menjadi pegangan semua pemimpin politik terutama mereka yang berjawatan dalam kerajaan. Ia seharusnya menjadi teladan tetapi perkara sedemikian agak asing di Malaysia. Amat jarang seseorang menteri hendak melepaskan jawatannya seolah-olah ia menjadi hak milik kekal.
Jika mengikut konvensyen, apabila seorang Perdana Menteri meletak jawatan, maka semua menteri yang dilantiknya hendaklah turut meletak jawatan. Tindakan itu bertujuan membolehkan atau menjadikan lebih senang bagi seorang PM yang baru melantik Jemaah Menteri atau Kabinet baru kerana anggota Kabinet yang ada bukan dilantik olehnya tetapi oleh PM sebelumnya.
Tetapi, perkara sedemikian tidak berlaku di Malaysia kerana sikap mereka yang memegang jawatan itu tidak mahu melepaskan kedudukan mereka. Ini bermakna mereka mementingkan diri sendiri.
Mereka tidak seharusnya membebankan PM baru, iaitu Datuk Seri Mohamad Najib Tun Abdul Razak, dengan masalah memilih Jemaah Menteri baru. Dengan berbuat demikian, hanya mereka yang akan malu sekiranya digugur atau dipecat. Bukankah lebih elok dan manis jika mereka meletak jawatan?
Dalam pembentukan Jemaah Menteri yang baru, Najib mempunyai peluang untuk melantik mereka yang bersih, beramanah dan berwibawa menduduki kerusi menteri walaupun bilangan calon yang sedemikian rupa semakin berkurangan.
Rakyat sedang menunggu untuk melihat barisan Jemaah Menteri Datuk Seri Najib dan sesiapa yang didapati bersalah melanggar etika parti ataupun undang-undang tidak seharusnya diberi tempat.
4 comments:
Pak Tuan Syed,
Ramai Menteri, Timbalan Menteri dan Menteri Besar berfikiran bahawa jawatan-jawatan itu adalah tetap dan berpencen. Mereka juga take for granted mereka adalah kebal dan tidak siapa boleh menggugatkan mereka.Datuk Shahrir adalah benar-benar makluk yang mempunyai maruah dan prinsip yang perlu dicontohi.
Ahli UMNO 1969
Siapa yang akan terkeluar, siapa akan kekal, dan siapa akan masuk? Silap langkah, silap percaturan dan salah orang yang dilantik akan mengundang lebih banyak masalah kepada UMNO.
Tindakan Shahrir melepaskan jawatan kabinet akan memudahkan Najib menyusun kabinetnya. Adakah insan-insan hebat yang lain yang mahu mengikuti langkah Shahrir ini? Sepatutnya ada!
Semestinya semua anggota Kabinet, bukan dari UMNO saja, letak jawatan serentak dengan peletakan jawatan oleh Pak Lah. Mereka adalah anggota Kabinet Pak Lah dan apabila ketua berhenti, yang lainpun kena berhenti.
Tetapi, dalam politik Malaysia, masakan mereka mahu berbuat demikian. Mereka tidak berpegang kepada konvensyen apatah lagi prinsip.
Tuan Syed,
Saya memang bersetuju sangat dengan saranan Tuan Syed.
Tapi berapa ramai yang mahu korbankan pendapatan puluhan ribu ringgit yang mereka perolehi setiap bulan di samping lain-lain keuntungan yang mereka kecapi daripada memegang jawatan tersebut.
Post a Comment