Monday, March 16, 2009

Bukit Gantang - nama besar dalam sejarah UMNO

Kepada ramai orang, nama Bukit Gantang mungkin hanya sebuah kawasan atau daerah undi di Malaya dan ia tidak lebih daripada itu. Ia mungkin dilihat sebagai sebuah daerah yang menghasilkan buah durian yang dikatakan antara yang terbaik selain rambutan, cempedak dan manggis.

Kepada pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan sama ada melalui arah utara atau arah selatan, hentian R&R Bukit Gantang adalah antara hentian yang menjadi pilihan untuk membeli hasil pertanian seperti yang dinyatakan. Itulah kelebihan Bukit Gantang yang diketahui ramai terutama golongan muda.

Sebenarnya, nama Bukit Gantang cukup hebat bukan sahaja dalam sejarah perjuangan parti politik bernama UMNO tetapi dalam sejarah perjuangan bangsa Melayu itu sendiri.

Dalam arena politik, Bukit Gantang adalah salah sebuah kubu kuat UMNO. Orang UMNO begitu marah apabila kerusi itu diserahkan kepada parti lain tetapi kemarahan itu tidak mengubah sokongan kepada parti memerintah sehinggalah pilihan raya umum ke-12 yang lalu apabila sokongan diberikan kepada PAS.

Takdir menentukan satu pemilihan wakil rakyat baru bakal diadakan berikutan pulangnya ke Rahmatullah wakil rakyat PAS dan sekali lagi pengundi Bukit Gantang diminta membuat pilihan - sama ada mahu kembalikan amanah kepada UMNO atau PAS yang mewakili Pakatan Rakyat.

Calon UMNO/BN Ismail Safian memikul tugas yang amat berat untuk mengambil balik Bukit Gantang dan ia bukanlah sesuatu yang mudah. Kita belum tahu siapa yang bakal dihadapinya pada pilihan raya kecil itu.

(Allahyarham Dato' Panglima Bukit Gantang (kanan) adalah pejuang kemerdekaan negara yang setaraf dan sehebat Almarhum Tunku Abdul Rahman (kiri) sehingga Tunku melihatnya sebagai satu 'ancaman' terhadap kepimpinannya dalam UMNO)

Nama Bukit Gantang amat sinonim dengan perjuangan bangsa Melayu terutama UMNO kerana ia dikaitkan dengan ketokohan, kehebatan dan kewibawaan seorang pejuang kemerdekaan bernama Dato' Abdul Wahab bin Dato' Abdul Aziz yang lebih dikenali sebagai DATO' PANGLIMA BUKIT GANTANG.

Siapakah manusia hebat bergelar Dato' Panglima Bukit Gantang? Berapa ramaikah pemimpin dan ahli UMNO yang benar-benar mengetahui akan perjuangan dan pengorbanan beliau dalam perjuangan UMNO terutama dalam menentang gagasan Malayan Union, menyatu-padukan bangsa Melayu dan menuntut kemerdekaan negara?

Tidak ramai mereka yang bergelar pemimpin bukan sahaja dalam Pergerakan Pemuda UMNO bahkan dalam UMNO itu sendiri yang mengenali atau mengetahui akan sejarah tokoh besar Melayu yang setaraf dan berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan Allahyarham Dato' Onn Jaafar dan Almarhum Tunku.

Kehebatan dan pengaruh kuat di kalangan bangsa Melayu mengakibatkan Dato' Panglima Bukit Gantang dicurigai dan dilihat sebagai ancaman kepada kepimpinan Tunku sehingga dia dipecat daripada UMNO. Menurut ahli sejarah, Dr. Ramlah Adam, pemecatan Dato' Panglima Bukit Gantang mengakibatkan UMNO menghadapi krisis buat pertama kalinya pada tahun 1953.

Dato' Panglima Bukit Gantang bukan calang-calang orang, dia adalah salah seorang yang mengasaskan penubuhan UMNO, dia adalah SETIAUSAHA AGUNG UMNO YANG PERTAMA, dia pernah dipilih sebagai TIMBALAN PRESIDEN UMNO, NAIB PRESIDEN DAN AHLI MAJLIS TERTINGGI.

Dia merupakan anak Melayu Perak yang julung-julung kali lulus dalam jurusan undang-undang daripada University of London dan Inner Temple pada tahun 1930.

Semasa menjawat jawatan setiausaha agung UMNO, Dato' Panglima Bukit Gantang menggunakan pejabat guamannya untuk menjalankan tugas pentadbiran parti antara tahun 1946 dan 1949. Dia mengorbankan bukan sahaja tenaga dan buah fikiran untuk UMNO tetapi wang ringgit dan harta bendanya.

Dato' Panglima Bukit Gantang juga berperanan selaku Orang Besar Lapan Perak dan dia sangat rapat dan menjadi orang kepercayaan Sultan Perak ketika itu, Sultan Abdul Aziz Shah.

Beliau juga Ahli Majlis Mesyuarat Perak sebelum dilantik menjadi Menteri Besar daripada tahun 1948 hingga 1957.

Dalam perjuangan menuntut kemerdekaan, Dato' Panglima Bukit Gantang dilantik oleh Raja-Raja Melayu selaku ketua perwakilan untuk berunding dengan pihak British bersama-sama wakil Perikatan yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman pada tahun 1956-57. Raja-Raja Melayu menaruh kepercayaan penuh kepada peguam muda ini untuk berunding bagi pihak mereka.

Semasa dalam UMNO, Dato' Panglima Bukit Gantang adalah orang kedua terpenting selepas Dato' Onn.

Melihat akan ketokohan dan pengaruhnya yang begitu kuat bukan sahaja di kalangan orang Melayu tetapi Raja-Raja Melayu, kenapa dia dipecat daripada UMNO oleh Tunku?

Menurut Dr Ramlah Adam, beliau dipecat kerana dikatakan telah melanggar disiplin parti. Beliau dikatakan cuba menubuhkan sebuah pakatan parti-parti politik 'berbilang kaum' yang dinamakan NATIONAL CONVENTION pada awal tahun 1953.

Ia membimbangkan Tunku kerana Dato' Panglima Bukit Gantang dilihat oleh British sebagai tokoh yang boleh membawa semua parti dan bangsa berunding bagi melahirkan konsep satu negara-bangsa Malaya. British mahu dasar itu dijalankan sebagai persediaan untuk memberi kerajaan sendiri di Tanah Melayu sebelum kemerdekaan diberikan. British juga menyokong kerjasama UMNO-MCA dan Independant Malaya Party (IMP) pimpinan Dato' Onn.

Tindakan Dato' Panglima Bukit Gantang dengan sokongan enam orang Menteri Besar menubuhkan National Convention telah mengguris perasaan Tunku selaku presiden UMNO. Ini kerana penubuhan itu telah membelakangi Tunku dan UMNO kerana Dato' Panglima Bukit Gantang adalah ketua UMNO Perak sedangkan Tunku mengetuai parti itu diperingkat pusat. Tunku juga bimbang sekiranya tindakan Dato' Panglima Bukit Gantang mendapat sokongan, maka kedudukan Tunku selaku pemimpin akan tercabar dan diatasi oleh tokoh dari Perak itu.

Jalan keluar terbaik bagi Tunku - pecat Dato' Panglima Bukit Gantang. Pemecatan itu dibuat pada 2 April 1953 pada mesyuarat agung UMNO di Melaka walaupun dibantah oleh perwakilan UMNO Perak.

Dato' Panglima Bukit Gantang mengetuai UMNO Perak sejak 1946 hinggalah dia dipecat pada 1953.

Selain Dato' Onn, Dato' Panglima Bukit Gantang merupakan seorang pemimpin Melayu yang bijaksana dan berpengalaman dalam politik dan pentadbiran dan satu aset yang cukup penting dalam perjuangan menuntut kemerdekaan apabila dia mewakili Raja-Raja Melayu semasa berunding dengan pihak British.

Beliau adalah penyatu orang Melayu Perak semasa menentang Malayan Union, beliau memimpin Pakatan Melayu Perak (PMP) untuk mendokong UMNO dan kemudiannya menjadi Bahagian UMNO Perak. Beliau cukup berpengaruh di kalangan pengkhidmat awam, guru-guru, ketua kampung dan masyarakat Melayu keseluruhannya.

Takdir menentukan yang Dato' Panglima Bukit Gantang, Dato' Abdul Wahab bin Dato' Abdul Aziz daripada menjadi pemimpin negara apabila Tanah Melayu mendapat kemerdekaan pada 1957.

Nama Dato' Abdul Wahab yang sinonim dengan Bukit Gantang semestinyalah satu nama yang cukup besar dalam sejarah perjuangan politik orang Melayu. Bukit Gantang bukan satu nama kecil dalam sejarah perjuangan politik Melayu.


7 comments:

Anak Perelih said...

selepas kena pecat dari UMNO, parti apa yang dia sokong?

Unknown said...

Dia bersama-sama Dato' Onn - Parti Negara.

tajudin said...

Terimakasih atas cerita sejarah ini. Tuan tak berkampung di Bukit Gantang?

Unknown said...

Tidak.

Anonymous said...

Terima kasih Pak tuan ...kerana mengeluarkan sejarah ini..apa berlaku selepas itu ..bagaimana reaksi penyokong2 beliau ketika itu..adakah beliau masih hidup..kalau dah meninggal dunia ..nyatakan bila?.
Sekian.

Semetot.

Anonymous said...

Salam Tuan

Bukankah Nasaruddin Abd Rais Presiden UMNO Perak dari 1951 hingga 1953?

Anonymous said...

It is National Association of Perak, and not National Convention. The term of National Convention itself means an official meeting. He formed National Association of Perak together with Dato'Seri Lau Pak Khuan. And Dato Panglima Bukit Gantang Wahab was never part of Parti Negara. He was supportive of Parti Negara.