Sunday, September 21, 2008

Ku Li yakin dapat pencalonan mencukupi untuk bertanding




Tengku Razaleigh Hamzah yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden UMNO yakin akan mendapat sokongan mencukupi untuk berbuat demikian Disember depan.

Ku Li berkata beliau mendapat sokongan daripada akar umbi, iaitu di peringkat cawangan parti yang bakal menghadiri persidangan peringkat bahagian untuk dicalonkan.

Beliau berkata pucuk pimpinan yang ada sekarang tidak berupaya untuk menangani masalah-masalah yang dihadapi bukan sahaja oleh UMNO tetapi oleh negara pada keseluruhannya termasuk soal ekonomi.

Bercakap dalam majlis ramah mesra dengan penulis-penulis blog dan wartawan di kediamannya di Kuala Lumpur, Ku Li berkata beliau menawarkan diri untuk menyelamatkan keadaan kerana beliau mempunyai pengalaman untuk mengisi "kekosongan" itu.

"Saya mahu mendemokrasikan sistem yang wujud sekarang dalam UMNO. Sistem itu telah rosak akibat penyalahgunaan kuasa. UMNO terlalu dikongkong oleh pucuk pimpinan yang mengkibatkan kegagalannya," katanya.

Ku Li bimbang UMNO akan menuju kehancuran selagi ia tidak didemokrasikan.

Katanya golongan muda dan terpelajar kini menjauhkan diri daripada UMNO dan beliau akan membuka pintu kepada mereka untuk turut sama memperkasakan parti itu sekiranya dipilih untuk memimpin UMNO.

Ku Li menyambut baik sokongan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana ia adalah satu penghargaan dan pengiktirafan yang cukup bermakna kepadanya.

Mengenai peralihan kuasa daripada presiden (Pak Lah) kepada timbalan presiden (Najib Tun Razak), beliau berkata ia bertentangan dengan Perlembagan parti.

Sebarang perubahan dalam pucuk pimpinan hendaklah dilaksanakan pada perhimpunan agung parti atau mesyuarat agung khas dan bukan dibuat oleh mana-mana individu. Pemilihan pucuk pimpinan adalah kuasa dan hak ahli yang mesti dilakukan sama ada melalui mesyuarat agung khas (tergempar) atau perhimpunan agung.


Majlis ramah mesra disususli dengan iftar, solat maghrib, isya' dan tarawih yang disertai oleh kira-kira 100 orang tetamu.

19 comments:

Anonymous said...

Kalau Ku Li masuk, saya akan join UMNO. Biaq la Pak Mentua saya tak mau cakap pun dengan saya. Biaq la kalau AJK Masjid pandang saya semacam. Biaq la kalau kawan anak saya kutuk saya.

Biaq la depa nak kata apa, kalau Ku Li nak jadi PM, saya akan sokong dia.

Anonymous said...

bagi pihak kami,memang kami sokong penuh hasrat ku li untuk ke jawatan itu..tapi yang menetukan adalah ketua-ketua cawangan yang samdol niee,yang mana kebanyakanya boleh kekiri dan kekanan,kedepan dan kebelakang pun bolehhh...

Quantum Metal Consultant said...

Yang penting sesiapa yang mahu menjadi PM di Malaysia tidak 'berbadan' kurap. Jika sekadar mahu tukar baju dan seluar untuk kelihatan segak dan sihat.. pi mai pi mai tang tu jugak..

blacknight said...

Saya sokong , sapa aja nak jadi presiden UMNO , jangan yang ada ni pegang lagi , lingkuplah , pati UMNO, akan diperhambat orang je ....

Teruskan hasrat KU Li , kalau tak dapat pencalunan mencukupi juga , bawa ke USUL tergempar .... pertukaran pucuk pimpinan ... tukar tetap tukar ....

Anonymous said...

Sekiranya Ku Li memegang jawatan Pak Lah, adakah beliau dapat membuat yang terbaik? Sebenarnya jika Ku Li pegang jawatan Pak Lah, belum tentu UMNO akan kembali kuat. Setakat cakap masa orang lain tengah nazak memang mudah. Tapi bila dah pegang jawatan nanti, lain pulak jadinya.. Takut cakap tak serupa bikin saja...

Anonymous said...

Saya pikir eloklah diberi peluang pada orang pantai timur pulak yang menerajui Malaysia .

Unknown said...

Ku Li sekarang ini memanglah boleh katakan dia yakin.tapi keputusannya nanti terpulang pada semua bahagian UMNO nanti samada mahu mencalonkan dia atau tidak.

"Ku Li berkata beliau menawarkan diri untuk menyelamatkan keadaan kerana beliau mempunyai pengalaman untuk mengisi "kekosongan" itu."

sebelum ini pun dia pernah juga menawrkan diri tapi kalah.

Anonymous said...

Ku Li dah beberapa kali cuba untuk menjadi perdana menteri dan presiden UMNO tapi tak pernah menjadi.kali ini dia mahu mencuba lagi.

dia sudah ditolak sebelum ini tapi dia berkeras untuk masih mencuba kerana "yakin" akan dapat sokongan.

kalau dia yakin untuk dapat sokongan,sudah lama dia yang berada di atas kerusi presiden sekarang.

dia berkata dia akan bawa perubahan sebab dia tengok UMNO tengah kucar kacir jadi dia ambil kesempatan untuk stand-out.cakap memang senang dari nak buat.

Anonymous said...

Nampaknya semenjak kebelakangan ni, Ku Li dah mula nak menonjolkan diri. Mentang-mentanglah dapat sokongan kuat daripada Mahathir. Makin glamour beliau. Bagi saya, jika beliau jadi PM pun belum tentu UMNO dapay dipulihkan sepenuhnya dalam masa yang singkat...

Anonymous said...

Pada pandangan saya hanya Datuk Seri Anwar Ibrahim sajalah yang dapat memulihkan keadaan UMNO yang semakin tenat ni. Itu pun sekiranya beliau ingin kembali dan diterima kembali kepangkuaan UMNO. Segala masalah akan selesai. Saya rasa ramai yang tak bersetuju dengan pendapat saya ini, tapi demi maruah bangsa dan parti UMNO itu sendiri, saya yakin segalanya tak mustahil.

Anonymous said...

Pak Tuan Syed,
Orang yang nak bertanding tentu yakin dia boleh menang, jika tidak mengapa masuk pertandingan.Masalahnya bahagian yang nak calonkan dia belum tentu lagi. Memandangkn lobi yang dibuat oleh Pak Lah dan juak-juaknya sehari dua ni nampak susah bagi Ku Li nak dapat jumlah percalonannya yang mengcukupi untuk membolehkan di bertanding. Penang dan Kelantan terang-terang beri 100 percent kepada Pak Lah. Perlis pun akan turut serta. Saya doa Ku li dapat percalonan yang mengcukupi baru kita lihat kekuatan Pak Lah sebenarnya. Bahagian saya sokong Pak Lah, tapi perwakilan kami 50-50 sahaja. harap bahagian-bahagian lain yang sokong Pak lah perwakilan masing-masing guna kuasa mengundi dengan baik an saksama demi bangsa, negara dan agama. Selamat Berjuang Ku Li.

Unknown said...

Waalaikumsalam,

jika dilihat dari sudut Perlembagaan UMNO, apa yang dilakukan oleh UMNO P Pinang dan Kelantan bertentangan dengan apa yang terkandung dalam Perlembagaan.

Badan Perhubungan UMNO Negeri tiada kuasa atau hak untuk menetapkan siapa yang harus dicalonkan untuk mana-mana jawatan majlis tertinggi termasuk presiden dan timbalan presiden.

Perlembagaan UMNO memberi hak dan kuasa itu kepada ahli menerusi mesyuarat bahagian. Pencalonan boleh dibuat oleh cawangan-cawangan ke bahagian dan keputusan muktamat terletak di tangan mesyuarat perwakilan bahagian.

Oleh itu, badan perhubungan negeri tiada hak sama sekali untuk memutuskan bahawa semua bahagian di negeri berkenaan akan mencalonkan Pak Lah dan Najib.

Demokrasi yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO telah, sedang dan akan terus dinodai. Hak Bahagian mahu dirampas semata-mata untuk mengekalkan kedudukan Pak Lah dan Najib oleh mereka yang berkepentingan dan yang tidak menghormati Perlembagaan UMNO.

Jika benar mereka berpegang kepada demokrasi, hapuskan sistem kuota dan serahkan kepada Bahagian untuk membuat pencalonan secara bebas dan tanpa sebarang sekatan atau ugutan.

Saya kurang yakin yang mereka berani berbuat demikian. Saya juga kurang yakin yang ketua-ketua bahagian berani menentang arus, jika ada pun jumlahnya boleh dihitung dengan jari.

UMNO sedang menghitung hari untuk ditalqinkan.

Awang Maya said...

Mana-mana bahagian yang cuba mencalonkan Pak Lah, mari kita semua umat Melayu mengisytiharkan bahawa UMNO bahagian berkenaan adalah terdiri daripada orang-orang yang mementingkan TEMOLOK sendiri, tamak dan tidak memikirkan kepentingan parti dan bangsa. Golongan yang disamakan segelintir golongan bangsawan yang menjadi punca kejatuhan Melaka di tangan Portugis. Mereka ini kita akan kenangkan sebagai petualang Melayu. Dan mereka ini sememangnya akan kaya raya disumbat duit oleh KJ and konconya namun mereka ini adalah golongan Melayu BODOH dan bangsat. Di antara mereka yang telah tergolong di dalam kumpulan petualang Melayu, bodoh dan bangsat ini ialah Ketua Perhubungan UMNO P.Pinang dan Kelantan. Well, you know Annuar Musa. Manusia yang tak sedar diri dan desperate. Awang berdoa bahagian UMNO yang lain-lain tidak tegolong di dalam kelompok tersebut. Amin..

Unknown said...

Sdr Awang Maya,

Terima kasih atas pandangan saudara tetapi saya tidak setuju yang mereka itu adalah bodoh dan bangsat. Mereka sebenarnya bijak. Dalam perjuangan politik (dan kehidupan), kelangsungan hidup amat penting. They voiced their stand, irrespective whether honestly or otherwise, for political reasons. It is the art of survival.

Anonymous said...

Tuan Syed

Ku Li ni pun ada kepentingan sendiri la, Tuan Syed...

Dia pun dikira "old guard" dalam UMNO....

Macam mana nak benar-benar mereformasikan UMNO?

Lagipun, seorang saja tak boleh mengubah sistem yang dah korup dengan sedalam-dalamnya seperti UMNO.

Saya rasa hanya ada satu cara untuk mendorong UMNO berubah, iaitu menolak mereka ke kerusi pembangkang. Barulah mereka akan berubah dengan sebenarnya kerana terpaksa 'compete'.

Anonymous said...

Tu sebab dia guk bising sana sini marah pasal plan peralihan kuasa tu. Dia dah tak sabar tu nak jawatan besar.

Anonymous said...

SALAM SAYA SEORANG PELAJAR SEBUAH IPTA. SAYA BARU SAJA MENYUDAHKAN KAJIAN JURNAL SAYA YANG BERTAJUK LEVELS OF CORRUPTION IN MALAYSIA : A COMMENT ON THE CASE OF BUMIPUTRA MALAYSIA FINANCE OLEH R.S. MILNE..

DIDALAMNYA ADA CERITA MENARIK TENTANG KULI...HARAP SEMUA DAPAT MEMBACANYA...

.....
-YANG TERBAIK SAHAJA MENJADI PILIHAN-

Anonymous said...

Minta maaf kerana mencelah.

Pada pandangan saya kalau di sebut AHLI POLITIK, mereka bukanlah dari golongan bodoh seperti yang dinyatakan oleh sesetengah pihak. Sebenarnya merekalah di antara orang-orang yang paling cerdik malangnya kepandaian mereka pada kebiasaannya hanya digunakan untuk kepenting diri sendiri. Dengan perkataan lain KAYAKAN diri sendiri dan kaum kerabat mereka.

Cuba saudara dan saudari sebut satu nama ahli politik yang benar-benar memperjuangkan nasib rakyat, hidup untuk rakyat dan mati untuk rakyat dewasa ini..... Saya rasa sukar untuk saudara dan saudari menyebutnya kerana RATA-RATA ahli politik kita semuanya ada agenda terselindung mereka dalam mengejar pangkat dan kuasa (pangkat + kuasa = $$$$) dan naikkan anak, naikkan "anak hantu" (menantu) dan sebagainya. Rakyat macam kita hanyalah seperti "TANGGA" kepada mereka untuk "PANJAT" ke kedudukan yang mereka mahukan (kuasa dan pangkat= $$$$$)

Agenda Terlindung mereka tak lain dan tak bukan semuanya berkisar dengan $$$$$$$ semata-mata. Seperti yang kita semua sedia maklum, password atau pun kata laluan atau pun modal politik untuk ahli-ahli politik ini mengecapi apa yang dihajati ialah rakyat, kaum, agama dan sebagainya. Hanya dengan password password ini sajalah mereka dapat memperbodohkan kita kerana sememangnya kita semua dari dulu lagi alah kepada password password tersebut. Kita adalah alat mereka, kita adalah senjata mereka. Itu sebabnya bila sesuatu ketegangan tercetus maka mereka akan mengapi-apikan kita supaya kita akan lakukan apa yang mereka hajatkan.

Sebagai penutup, izinkan saya berkata sesuatu... UMNO adalah seperti satu Lombong Emas, mereka berebut-rebut untuk menerajuinya adalah bertujuan untuk mendapatkan "kunci" untuk pintu "Lombang Emas" tersebut dan bukannya untuk membela nasib kita rakyat Malaysia seperti yang mereka sebutkan selalu. Yang lain-lain saya rasa saudara dan saudari sudah cukup matang untuk memikirkannya.

Sekian, terima kasih dan maafkan saya sekiranya apa yang saya tulis menyinggung perasaan sesetengah pihak.

Anonymous said...

Persoalan nya disini, kalau bertukar PM sekali pun, pasti ke UMNO akan pulih?
Satu perubahan dalaman yang besar perlu dilaksanakan dan diterima oleh ahli UMNO itu sendiri untuk memastikan UMNO terus berdiri sebagai satu parti yang gagah di mata masyarakat.
Kalau nak harap tukar ketua sahaja tapi degil, bodoh sombong, tak boleh nak tukar mentaliti, nampak gaya UMNO korek lubang kubur sendiri.