Tuesday, September 30, 2008

Takbir Aidilfitri




Setiap tahun, umat Islam di Kampung Syed, Kelawai, George Town, Pulau Pinang tidak ketinggalan mengadakan acara takbir raya (Aidilfitri) dari rumah ke rumah pada malam raya. Upacara itu bukan sahaja menghidupkan suasana menyambut kedatangan Syawal keesokan harinya, tetapi mempertemukan sanak saudara dan jiran tetangga yang pulang ke kampung terutama dari Lembah Klang dan negeri-negeri lain di Semenanjung untuk bersama kaum keluarga.

Di setiap rumah yang dikunjungi, doa kesyukuran dilafazkan selepas tamat bertakbir. Tuan rumah lazimnya menyediakan jamuan ringan tanda kesyukuran atas kejayaan menyempurnakan ibadah puasa dan menyambut Aidilfitri.





Beberapa kawasan di Pulau Pinang hadapi banjir sempena Aidilfiri






Beberapa kawasan rendah di bahagian pulau Pulau Pinang kini menghadapi banjir berikutan hujan yang turun tanpa henti sejak petang Isnin. Kawasan sekitar perkampungan Caunterhall dan Jalan Perak sudahpun dinaiki air manakala sebahagian Jalan P Ramlee ditutup kepada kenderaan ringan.


Sejak memijak semula bumi Pulau Pinang dua hari lalu, saya khuatir sesetengah masyarakat Islam di bahagian pulau akan berhadapan dengan masalah banjir pada Hari Raya ini. Hujan masih membasahi bumi.

Penduduk di kawasan-kawasan yang sering dilanda banjir seperti Caunterhall, Kampung Rawana dan sekitar perkampungan Sungai Pinang berkemungkinan akan berhari raya dalam keadan banjir.
Sama-samalah kita berdoa agar banjir tidak akan bertambah buruk dan menjejaskan penghidupan seharian para penduduk di kawasan-kawasan brknaan.

Masyarakat Cina menyambut "Nine Emperor Gods"

Selain umat Islam menanti ketibaan Aidilfitri Rabu ini, masyarakat Cina Pulau Pinang sedang menyambut perayaan "Nine Emperor Gods". Beberapa batang jalan yang berdekatan tokong-tokong Cina agak sesak dipenuhi gerai-gerai yang menjual makanan berasaskan sayur-sayuran.

Seperti biasa, jalan-jalan utama di bahagian pulau agak sesak terutama pada sebelah petang. Pihak berkuasa tempatan, iaitu Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) perlu menyegerakan pengubahan beberapa laluan daripada dua hala kepada sehala untuk mengatasi masalah aliran lalulintas.

Jalan Burma, bermula dari simpang Jalan Pangkor hingga ke simpang Jalan Bagan Jermal-Jalan Gottlieb perlu dijadikan laluan sehala, begitu juga dengan Jalan Kelawai dari simpang Jalan Pangkor-Persiaran Gurney hingga ke Jalan bagan Jermal.

Jalan-jalan yang menghubung Jalan Burma dengan Jalan Kelawai juga perlu dijadikan laluan sehala seperti Jalan Edgecumbe, Jalan Jones, Lorong Bangkok, Lorong Leandros dan Lorong Maktab.



Monday, September 29, 2008

Favourite karaoke songs .....



Received the following from a friend via SMS (with slight changes).

2008 favourite Karaoke songs of:-

Tun Dr Mahathir Mohamad: "My Way" ;
Najib Tun Razak: "Your cheating heart." ;
IGP (Police Chief): "I'll be watching you" ;
Anwar Ibrahim: "Winds of change" ;
Saiful Buhari: "I swear"
and Syed Hamid Albar: "What kind of fool am I."
I pray that the authorities will not put me behind bars for the above "crime". My favourite song is "Jail House Rock".
Some one alerted me that Pak Lah's favourite song is "Dream, Dream, Dream."

Sokongan terbuka untuk gandingan Najib-Muhyiddin

Dua orang pemimpin UMNO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah memberi sokongan terbuka kepada Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin untuk merebut jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung parti Mac depan.

Pengumuman untuk mencalonkan Najib dan Muhyiddin dibuat oleh ketua UMNO Bahagian Cheras Dauk Wira Syed Ali Alhabshee dan ketua UMNO Bahagian Titiwangsa Datuk Dr Sulaiman Mohamad.

Yang menariknya, pengumuman itu dibuat di hadapan Muhyiddin pada majlis berbuka puasa anjuran UMNO Cheras malam Ahad.

Pengumuman sokongan secara terbuka oleh dua orang pemimpin bahagian UMNO itu memberi isyarat yang cukup jelas tentang kehendak dan pendirian akar umbi UMNO yang menolak kepimpinan Datuk Seri Abdullah bin Ahmad (Pak Lah).

Selepas Mac tahun depan, Pak Lah akan mempunyai masa yang lebih daripada mencukupi untuk mencari apa yang sedang dicarinya termasuk Al-Ghazali dan As-Syafie dan memperjuangkan konsep "Hadhari", itupun sekiranya ia masih mendapat sokongan.

Sunday, September 28, 2008

SELAMAT HARI RAYA



SELAMAT HARI RAYA KEPADA SEMUA UMAT ISLAM YANG SUDI MENGUNJUNGI BLOG INI. SEMOGA SAUDARA-SAUDARI BERADA DALAM KANDUNGAN SIHAT DAN SEJAHTERA.

SEMPENA HARI DAN BULAN SYAWAL YANG MULIA INI, SAYA MENYUSUN JARI SEPULUH DAN MEMOHON AMPUN DAN MAAF ANDAI KATA TULISAN DAN ISI KANDUNGAN BLOG INI TELAH SEDIKIT SEBANYAK MENGGURIS PERASAAN ANDA.


SAYA AKAN MENYAMBUT AIDIL FITRI DI PULAU PINANG.



SALAM HORMAT DARI SYED IMRAN BIN SYED AHMAD,
PENGENDALI BLOG KUDA RANGGI.

Friday, September 26, 2008

Pak Lah terima tamparan hebat dpd MT





Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang mengadakan mesyuarat tergemparnya di Menara Dato Onn, PWTC hari ini memberi tamparan hebat kepada presiden parti yang juga Perdana Menteri apabila ia menangguhkan Perhimpunan Agung yang dijadualkan Disember ini ke Mac tahun depan.

Walau bagaimanapun, mesyuarat perwakilan peringkat bahagian tetap diadakn antara 9 Oktober hingga 9 November dimana pencalonan untuk jawatan tertinggi parti akan diadakan.

UMNO, yang kini jelas mempunyai dua puak bertentangan pendirian mengenai apa yang dikatakan sebagai rancangan peralihan kuasa daripada Abdullah bin Ahmad (Pak Lah) kepada Mohamad Najib bin Abdul Razak, tidak mampu berpecah seperti yang dialami pada 1987.

Pak Lah tiada jalan lain melainkan berundur kerana kehadirannya selaku pemimpin tertinggi UMNO tidak lagi disenangi dan sokongan kepada beliau semakin terhakis hari demi hari. Pengunduran Pak Lah dikatakan dapat memulih semangat dan kekuatan UMNO yang menjunam selepas pilihan raya umum ke-12.

Penangguhan Pehimpunan Agung yang bakal memilih barisan kepimpinan baru parti itu dilihat sebagai satu lagi isyarat kepada Pak Lah supaya berundur.


(Sepanduk yang dengan terang dan jelas meminta Pak Lah berundur yang dikutip daripada laman sesawang portal berita dalam talian Malaysiakini)


(Gandingan Pak Lah-Najib tidak tahan lama. Mampukah Najib memulih UMNO?)

Kebelakangan ini Pak Lah jelas gelabah dan gelisah untuk cuba mempertahankan kedudukannya dalam parti dan selaku ketua kerajaan. Yang paling pelik, Pak Lah melantik mantan MB Perlis Shahidan Kassim selaku penasihat khasnya mengenai Wilayah Ekonomi Koridor Utara sedangkan sebelum itu, iaitu pada 30 Ogos 2007, dia telah melantik Mohd Annuar Zaini dalam kapasiti yang sama.


Perlantikan Shahidan dikatakan ada kaitan dengan usaha Pak Lah untuk meraih sokongan politik.

Pak Lah juga telah melantik mantan timbalan menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah yang kalah atau gagal mempertahankan kerusi Dewan Rakyat Nibong Tebal, Zainal Abidin Osman, yang juga ahli keluarganya selaku penasihat di Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Perlantikan mantan menteri wanita yang tewas di Lembah Pantai, Shahrizat Abdul Jalil selaku penasihat khas hal ehwal pembangunan wanita dan keluarga juga dilihat sebagai tidak kena kerana seorang pemimpin wanita dari MCA telahpun dilantik selaku menteri berkaitan.

Yang pasti, Pak Lah dah tenggelam punca, gelabah dan "naik syeru" kata orang Pulau Pinang. Tindak tanduknya dipersoalkan bukan sahaja oleh orang UMNO tetapi parti-parti komponen Barisan Nasional sendiri. Ianya memperlihatkan kelemahan kepimpinan.

Ramai juga yang tertanya-tanya musibah apa yang akan dihadapi naib ketua Pemuda UMNO yang bercita-cita besar itu sekiranya Pak Lah berundur kerana Khairy Jamaluddin pernah mengakui bahawa Pak Lah adalah pelindung dan penyelamatnya.

Mampukah KJ meraih sokongan tanpa kehadiran Pak Lah? Saya kira tidak dan besar kemungkinan kerjaya politiknya akan turut berkubur tanpa nesan.

Sunday, September 21, 2008

Ku Li yakin dapat pencalonan mencukupi untuk bertanding




Tengku Razaleigh Hamzah yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden UMNO yakin akan mendapat sokongan mencukupi untuk berbuat demikian Disember depan.

Ku Li berkata beliau mendapat sokongan daripada akar umbi, iaitu di peringkat cawangan parti yang bakal menghadiri persidangan peringkat bahagian untuk dicalonkan.

Beliau berkata pucuk pimpinan yang ada sekarang tidak berupaya untuk menangani masalah-masalah yang dihadapi bukan sahaja oleh UMNO tetapi oleh negara pada keseluruhannya termasuk soal ekonomi.

Bercakap dalam majlis ramah mesra dengan penulis-penulis blog dan wartawan di kediamannya di Kuala Lumpur, Ku Li berkata beliau menawarkan diri untuk menyelamatkan keadaan kerana beliau mempunyai pengalaman untuk mengisi "kekosongan" itu.

"Saya mahu mendemokrasikan sistem yang wujud sekarang dalam UMNO. Sistem itu telah rosak akibat penyalahgunaan kuasa. UMNO terlalu dikongkong oleh pucuk pimpinan yang mengkibatkan kegagalannya," katanya.

Ku Li bimbang UMNO akan menuju kehancuran selagi ia tidak didemokrasikan.

Katanya golongan muda dan terpelajar kini menjauhkan diri daripada UMNO dan beliau akan membuka pintu kepada mereka untuk turut sama memperkasakan parti itu sekiranya dipilih untuk memimpin UMNO.

Ku Li menyambut baik sokongan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana ia adalah satu penghargaan dan pengiktirafan yang cukup bermakna kepadanya.

Mengenai peralihan kuasa daripada presiden (Pak Lah) kepada timbalan presiden (Najib Tun Razak), beliau berkata ia bertentangan dengan Perlembagan parti.

Sebarang perubahan dalam pucuk pimpinan hendaklah dilaksanakan pada perhimpunan agung parti atau mesyuarat agung khas dan bukan dibuat oleh mana-mana individu. Pemilihan pucuk pimpinan adalah kuasa dan hak ahli yang mesti dilakukan sama ada melalui mesyuarat agung khas (tergempar) atau perhimpunan agung.


Majlis ramah mesra disususli dengan iftar, solat maghrib, isya' dan tarawih yang disertai oleh kira-kira 100 orang tetamu.

Wednesday, September 17, 2008

Zaid Ibrahim ada prinsip bukan kepentingan

Saya tidak hairan atau kesal apabila ada pemimpin UMNO yang mengkritik tindakan Datuk Zaid Ibrhim meletak jawatan selaku Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertangungjawab ke atas hal ehwal undang-undang. Antara lain, mereka menyifatkan Zaid sebagai mementingkan diri dan membelakangkan parti dan Kerajaan.

Inilah budaya orang UMNO. Letak jawatan pun dikutuk tak letak jawatan lagi dikutuk. Mereka tidak hirau sama ada seseorang itu letak jawatan atas dasar prinsip perjuangan atau berpendirian tegas dan enggan menjadi pak turut semata-mata.

Saya tahu sedikit sebanyak siapa dia Zaid Ibrahim dan saya cukup menghormati pendirian tegasnya meletak jawatan. Zaid bukanlah orang yang mementingkan diri. Zaid bukan orang yang cakap lain di depan bos dan bersikap lain di belakang bos.

Saya tahu pendirian Zaid berhubung penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak berubah sama ada semasa berada di luar Kabinet atau selepas menganggotai Kabinet. Kata orang Zaid konsisten.

Ada orang yang begitu tegas menentang ISA semasa berada di luar Kabinet tetapi mengubah pendirian apabila dilantik menganggotai Kabinet. Zaid bukan orang seperti itu dan ketegasannya dihormati oleh mereka yang menceburi jurusan undang-undang dan yang menentang penggunaan ISA.

Ada pihak yang menuduh Zaid sebagai pentingkan diri sendiri. Saya ingin tahu penting diri sendiri dari sudut apa? Jawatan? Kedudukan? Pangkat? Kekayaan? Tidak sama sekali kerana Zaid memiliki semuanya itu.

Kejayaan Zaid Ibrahim dalam jurusan undang-undang seharusnya menjadi kebanggaan orang Melayu, khususnya orang UMNO kerana Zaid adalah ahli parti itu.

Zaid Ibrahim adalah pengasas dan rakan kongsi kanan Zaid Ibrahim & Co. (ZICO), iaitu firma undang-undang milik Malaysia yang terbesar di negara ini. Zaid adalah seorang yang kaya raya dan seorang dermawan. Dia menggunakan kekayaannya untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik dan fakir miskin. Berapa ramai pemimpin UMNO terutama yang mengutuk Zaid, berbuat demikian?

Zaid Ibrahim menganggotai UMNO bukan untuk mengejar pangkat, kedudukan mahupun jawatan seperti sebilangan besar pemimpin UMNO yang menghambat jawatan selaku pengerusi, ahli lembaga pengarah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan atau badan-badan berkanun atau ahli pihak berkuasa tempatan.

Zaid juga bukan pak turut yang bersikap sedemikian hanya untuk mengekalkan kedudukan dan jawatan yang diberikan oleh kerajaan. Zaid bukan orang yang bak kata orang Inggeris "you scratch my back, I scratch your back".

Tidak ramai pemimpin di Malaysia yan sanggup melepaskan jawatan penting atas dasar pegangan prinsip. Yang saya ingat hanya dua orang menteri yang pernah berbuat demikian - Tengku Razaleigh Hamzah dan Dr Rais Yatim. Ku Li dan Rais meletak jawatan Kabinet setelah kalah dalam pemilihan UMNO semasa Tim A (pasukan yang menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad) ditentang oleh Tim B yang diketui oleh Ku Li. Mereka berdua letak jawatan dan bukan dipecat oleh Tun Mahathir. Saya masih ingat PM Abdullah Ahmad yang memihak kepada Tim B, walaupun menang jawatan naib presiden, tidak meletak jawatan tetapi dipecat oleh Tun Mahathir.

Ada menteri lain yang meletak jawatan sebelum ini bukan atas dasar prinsip tetapi faktor lain termasuk soal akhlak (moral) atau menghadpi tuduhan rasuah di mahkamah, tidak termasuk Tun Daim Zainuddin dan Abdul Kader Sheikh Fadzir.


Tidak ramai pemimpin yang sama seperti Zaid Ibrahim dan kita seharusnya menghormati pendirian tegasnya. Zaid tidak perlu meletak jawatan selaku ahli Dewan Negara kerana tempoh perkhidmatannya hanyalah untuk tiga tahun (sepenggal) dan kerajaan (Perdana Menteri) boleh memilih untuk tidak menyambung sepenggal lagi.

Tuesday, September 16, 2008

Tun Mahathir bukukan hasil penulisan blognya





Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengumpul tulisan dan cetusan fikirannya yang dimuat dalam blognya chedet.com dalam sebuah buku bertajuk "chedet.com Blogging to unblock".

Majlis pengenalan dan pelancaran buku itu akan disempurnakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada Khamis, 18 September mulai pukul 6 petang.

Majlis itu akan disusuli dengan iftar, solat wajib dan solat taraweh.

Kita merakamkan ucapan tahniah kepada Tun. Semoga Allah merahmati Tun dan Tun Dr Siti Hasmah dengan nikmat kesihatan dan ketenangan jiwa dan memberi kekuatan untuk terus berjuang dalam apa jua bidang yang diceburi.


Saya mohon ma'af kerana tidak dapat hadir.

16 September - mungkinkah fakta ketiga berlaku?




Tanggal 16 September memberi pengertian besar kepada negara. Dua peristiwa penting dan bersejarah tercatat pada tarikh tersebut manakala satu lagi belum pasti.


16 September adalah tarikh terbentuknya sebuah negara baru bernama Persekutuan Malaysia. Pada awalnya, cadangan penubuhan Persekutuan Malaysia itu bermatlamat untuk menggabungkan Persekutuan Malaya dengan Singapura, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Brunei. Tetapi, pada saat-saat menghampiri gagasan itu, Brunei menarik diri.


Persekutuan Malaysia akhirnya dimasyurkan penubuhnnya pada 16 September, 1963 menggabungkan Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak. Bagaimanapun, penyertaan Singapura dalam Persekutuan tidak kekal lama apabila ia dikeluarkan atau dibebaskan pada tahun 1965.


Tanggal 16 September turut dijadikan tarikh merayakan ulang tahun Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Tahun ini, ATM meraykan ulang tahun penubuhannya yang ke-75.


Saya, bagi pihak rakyat Malaysia, merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada seluruh anggota ATM atas kesetiaan dan semangat yang amat kental mempertahan dan melindungi negara daripada ancaman musuh. Sejak penubuhannya, ramai anggota yang terkorban kerana mempertahankan negara termasuk semasa Perang Dunia II, zaman darurat, Konfrantasi Indonesia dan semasa bertugas di luar negara di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.


Kita tidak lupa dan tidak seharusnya lupa akan sumbangan dan pengorbanan tentera dari negara-negara sahabat yang turut membantu mempertahankan negara seperti dari United Kingdom, India, Nepal, Fiji, Australia dan New Zealand.


Apakah tanggal 16 September akan turut tercatat dalam sejarah negara membabitkan isu dan perkembangan politik tanah air? Inilah satu peristiwa yang belum pasti menjadi sejarah.

Monday, September 15, 2008

Pak Lah tolak perletakan jawatan Zaid Ibrahim



CETUSAN BERITA: Zaid Ibrahim tetap meletak jawatan kerana berpegang kepada prinsip dan pendiriannya mengenai ISA. Tahniah kita ucapkan kepada Zaid kerana belum pernah berlaku di negara ini dimana seorang menteri melepaskan jawatan kerana tidak setuju dengan penggunaan ISA yang tidak kena tempat dan tujuan asal undang-undang itu.



Perdana Menteri Abdullah bin Ahmad telah menolak tawaran perletakan jawatan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Zaid Ibrahim.


Zaid menyerahkan surat perletakan jawatan kepada PM hari ini berikutan kenyataan terbukanya semalam yang juga konsisten mengenai penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).


Zaid tidak bersetuju sama sekali tindakan kerajaan melalui Menteri Dalam Negeri Syed Hamid bin Jaafar Albar menahan Ahli Parlimen dan Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok, pengendali dan penulis blog Raja Petra Kamaruddin dan seorang pemberita akhbar Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng yang kemudian dibebaskan.


Zaid menegaskan bahawa ada undang-undang lain selain ISA yang sepatutnya digunapakai oleh kerajaan termasuk Akta Hasutan. Katanya ISA sepatutnya dikhususkan untuk kes-kes yang membabitkan ancaman serius terhadap keselamatan negara seperti menangani kegiatan pengganas.


Pak Lah dikatakan telah menasihati Zaid supaya bercuti sehingga selepas Aidil Fitri untuk mententeramkan keadaan dan kembali bertugas kerana khidmatnya masih diperlukan terutama dalam sudut reformasi sektor kehakiman dan perundangan negara.

Saturday, September 13, 2008

Why the ISA?




I am not entirely in favour of the ISA (Internal Security Act). Yes, the ISA was useful and effective when the then Malaya was under communist threats, when the emergeny was enforced. The ISA was relevant.

To use the powers under the ISA against a blogger, a member of parliament and a journalist, for what ever reasons in this era of globalisation, is wrong.

The government should charge them in open court under the relevant laws, such as the Sedition or the Defamation laws, let justice prevails.

Not the ISA.

The ISA, as stated by a government leader a couple of years ago, is Malaysia's anti-terrorist law that was enacted long before the Save America Act or the Anti-Terrorism Act of Britain. Since 1948 Malaysia and the then Malaya have been safeguarding her shores and her own internal public order and security needs.

The ISA has become part and parcel of our legal landscape and after September 11 its relevance has become more felt than ever, as far as terrorism is concerned.

Malaysia has been in the firm belief that preventive laws with the specific aims of thwarting acts of terrorism or acts which prejudice security ought to be the rule rather than the exception.

What is an act of terror? Generally, it is accepted that an act of terror implicitly involves and results in the use of force that destroys life and property.

In the case of Raja Petra, or YB Teresa Kok and Sin Chew daily reporter Tan Hoon Cheng, we can rule out acts of terror and threats to internal public order.

There are laws that the government can make use of to charge them in open court. Not the ISA.
Latest: Reporter Tan Hoon Cheng was released at 4 pm today.

Monday, September 08, 2008

Antara pendatang dan penumpang



Pada mulanya saya agak keberatan nak ulas kekecohan yang berpunca ekoran daripada kenyataan ketua UMNO bahagian Bukit Bendera, Pulau Pinang bernama Ahmad bin Ismail. Sama ada benar atau tidak apa yang didakwa dikatakan olehnya mengenai rakyat Malaysia keturunan Cina bukan persoalannya kerana isu tersebut sudahpun merebak dan mengapi-apikan keadaan.

Jika tidak ditangani dengan cermat, teliti dan bijak, isu itu boleh ditangguk dalam air yang keruh oleh anasir-anasir yang ingin melihat negara ini hancur serta mengundang campur tangan kuasa asing. Dalam zaman dunia tanpa sempadan dan liputan meluas dan segera oleh media elektronik antarabangsa, apa yang berlaku di sesebuah negara itu tidak dapat disembunyi atau dinafikan.

Isu pokok yang dibangkitkan oleh Ahmad Ismail membabitkan persoalan "menumpang" iaitu rakyat Malaysia keturunan Cina adalah penumpang di negara ini. Beliau menjelaskan bahawa ia merujuk kepada zaman pra-Merdeka. Bagaimanapun, sensitiviti rakyat Malaysia keturunan Cina telah terguris.

Saya tidak mengenali secara peribadi Ahmad Ismail, tetapi kenal agak rapat dengan Allahyarham abangnya, Abdul Rahim Ismail, pemilik Syarikat Pembinaan Rahim yang pada satu ketika dahulu agak terkenal sebagai sebuah firma pembinaan Bumiputera yang unggul di Pulau Pinang. Saya tidak tahu apa dah jadi dengan syarikat itu selepas Abdul Rahim meninggal dunia.

Secara peribadi, saya tidak setuju dengan apa yang didakwa dikata oleh Ahmad Ismail atas beberapa sebab.

Bagi saya, hampir 90 peratus rakyat Malaysia, khususnya di Semenanjung, adalah pendatang dan kita semua sebenarnya menumpang hidup di bumi Allah. Kita bukan pemilik kekal tetapi hanya menumpang.

Sebagai contoh, saya sendiri adalah keturunan pendatang yang menumpang hidup di bumi bertuah ini. Datuk nenek di sebelah bapa saya berhijrah dari Makkah dan dari Brunei ke sini manakala di sebelah ibu pula dari Hadhramut, Yaman. Kami adalah pendatang dan penumpang sama seperti hampir semua penduduk negara ini khususnya di Pulau Pinang.

Bagi Ahmad Ismail, dia juga datang dari keluarga pendatang dan menumpang hidup di negara ini. Ahmad Ismail tidak boleh menafikan hakikat bahawa datuk neneknya adalah pendatang dari India untuk menerokai penghidupan yang lebih baik dan selesa di bumi bertuah ini.

Perdana Menteri Abdullah bin Ahmad juga tergolong dalam kategori yang sama. Datuknya di sebelah ibu adalah pendatang dari wilayah Guandong, China. Pendek kata, datuk Pak Lah iaitu bapa Allahyarhamah Kailan bernama Hassan Salleh atau Hah Su Chiang adalah seorang pendatang. Beliau berhijrah ke Tanah Melayu dari wilayah Guandong (Kwantung) pada pertengahan abad ke-19 dan menetap di Bayan Lepas sebagai pekebun getah, pesawah padi dan kemudian saudagar intan berlian.

Najib Tun Razak, Timbalan PM juga berasal daripada keluarga pendatang iaitu dari Sulawesi, Indonesia atau lebih senang disebut orang Bugis manakala sepupunya Hishamudin Hussein tidak terlepas daripada darah keturunan Turki.

Datuk nenek mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad juga pendatang dari Kerala, India manakala ibu Almarhum Tunku Abul Rahman berasal dari negeri Siam (Thailand).

Kesultanan Melayu Melaka pun dibuka oleh orang pendatang dari Sumatra bernama Parameswara, seorang anak raja atau bangsawan beragama Hindu.

Dalam sejarah kesultanan Melayu, kita dapati ada yang ditubuh oleh pendatang dari Bugis dan ada pula dari Hadhramut selain dari Minangkabau.

Hampir semua orang Melayu di sini berasal dari luar Tanah Melayu tetapi diiktiraf sebagai "bangsa Melayu" oleh Perlembagaan Persekutuan. Kita adalah "Melayu mengikut takrifan Perlembagaan" iaitu beragama Islam, mengamalkan adat resam Melayu dan bertutur dalam bahasa Melayu. Malangnya, bahasa Melayu nampaknya dimatikan oleh orang Melayu (UMNO) sendiri apabila dinamakan sebagai bahasa Malaysia.

Oleh itu, orang Arab seperti Syed Hamid Albar dan saya, orang Aceh seperti Sanusi Junid, orang India seperti Kader Sheikh Fadzir dan Nor Mohamed Yakcop, orang Bugis seperti Najib, orang Minang seperti Rais Yatim, orang Jawa seperti Mohamad Rahmat dan yang lain seperti dari Madura, Pulau Boyan, Siam, Burma, Yunnan (China) dan selatan Filipina dengan mudah boleh diiktirf sebagai "Melayu".

Mereka diterima sebagai orang Melayu tidak kira sama ada mereka bertutur bahasa Melayu atau tidak di rumah umpamanya si Arab berbahasa Arab, si Jawa berbahasa Jawa dan si Minang berbahasa Minang atupun si Mamak berbahasa Tamil.

Bahasa-bahasa yang disebut itu bukan bahasa Melayu dan jika dilihat dari sudut Perlembagaan Persekutuan, tidak boleh diterima atau diiktiraf sebagai bangsa Melayu. Walau bagaimanapun, atas kepentingan dan faktor politik, semuanya diterima sebagai Melayu dan Bumiputera.

Oleh itu, adalah tidak adil untuk menuding jari kepada orang Cina yang juga kaum pendatang sama seperti orang Arab, India, Aceh, Minang, Batak, Mandailing, Jawa, Madura mahupun Bugis, sebagai menumpang di negeri ini. Kita tidak boleh menafikan bahawa sebilangan besar datuk nenek orang Cina telah berhijrah ke negeri ini semasa Kesultanan Melayu Melaka, bahkan kesultanan-kesultanan terdahulu di Kedah mahupun Terengganu dan Kelantan serta semasa Francis Light berjaya menipu Sultan Kedah untuk menduduki Pulau Pinang pada 1786.

Kita adalah kaum pendatang yang menumpang hidup di negeri ini. Golongan yang boleh diiktiraf sebagai orang asal atau anak bumi tulen adalah mereka yang kita kenali sebagai Negrito, Jakun, Semang, Jahut, Orang Laut, Orang Darat, Senoi dan suku kaum masyarakat Asli lain yang masih menjadi penghuni belantara.

Kita tidak harus lupa akan sumbangan dan pengorbanan semua kaum dan suku kaum untuk membangunkan Malaysia sama ada dari sudut ekonomi, kemasyarakatan, keselamatan dan yang paling penting kesepakatan dan perpaduan. Semua orang yang kena dan seharusnya membayar cukai, berbuat demikian tanpa mengira kaum atau asal keturunan, sama ada pendatang atau penumpang.

Kita semua adalah rakyat Malaysia.

Satu lagi pilihan raya kecil

Satu lagi pilihan raya kecil pasti diadakan untuk kerusi Dewan Rakyat (Parlimen) berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang mengisytiharkan kemenangan tanpa ditandingi oleh calon Barisan Nasional Tan Sri Joseph Kurup untuk kerusi Pensiangan pada pilihan raya umum 8 Mac lepas sebagai batal dan tidak sah.

Joseph Kurup adalah Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Thursday, September 04, 2008

Tan Sri Abdul Samad Ismail pulang ke Rahmatullah

ALFATIHAH.

Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Abdul Samad Ismail pulang ke Rahmatullah di Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur petang ini.

Kepada semua ahli keluarga Alllahyarham, terutama Puan Maria A Samad dan Puan Noraina A Samad, saya rakamkan ucapan takziah serta doa semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah. Amin.

Dari Ummu Salamah r.a. ia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Apabila seseorang dari kamu ditimpa musibah, maka hendaklah ia membaca:

(Sesungguhnya kita ini milik Allah dan kita akan kembali kepada-Nya. Ya Allah kepada-Mu aku mengharap balasan musibahku ini, maka berilah ganjaran pahala kepadaku padanya dan berilah gantinya yang lebih baik kepadaku)."
(Riwayat Abu Daud)

Tuesday, September 02, 2008

16 September - satu penantian




Tarikh 16 September kini menjadi sebutan atas beberapa sebab dan yang paling ketara ialah sama ada Malaysia akan menyaksikan perpindahan kuasa pentadbiran daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Rakyat (PR).

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga ketua pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudahpun mula berunding dengan ahli-ahli Dewan Rakyat BN termasuk UMNO. Tujuan rundingan tersebut bukan lagi rahsia tetapi pengetahuan umum, iaitu untuk beralih angin kepada PR. Kepada pemimpin BN, ia adalah perbuatan berpaling tadah.

Persoalannya, berjayakah Anwar dalam usaha yang disifat oleh PM Abdullah Ahmad sebagai satu bentuk rampasan kuasa, membentuk sebuah pentadbiran atau kerajaan baru menggantikan BN?

Saya tidak menolak kemungkinannya berlandaskan perkembangan-perkembangan yang sedang berlaku terutama di Sarawak dan Sabah. Adalah menjadi pengetahuan umum bahawa rakyat Bumiputera Sarawak terutama masyarakat majoriti Iban sudah lama kepingin untuk melihat seorang tokoh politik Iban menjadi Ketua Menteri. Begitu juga di Sabah, masyarakat Kadazandusun ingin seorang daripada mereka menjadi Ketua Menteri. Faktor ketua menteri di kedua-dua negeri itu menjadi titik tolak kepada sokongan yang bakal diterima oleh Anwar.

Mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad telah mencuba sistem giliran ketua menteri di Sabah tetapi jelas ia satu kegagalan. Kerajaan Persekutuan seharusnya lebih peka akan hasrat dan kehendak warga Sabah mahupun Sarawak. Faktor inilah yang menjadi daya tarikan kepada ahli-ahli politik di kedua-dua negeri untuk memihak kepada Anwar.

Kenapa 16 September?

Sebagai seorang ahli politik yang licik, Anwar bijak bermain dengan perasaan rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak. Kedua-dua negeri itu memperolehi kemerdekaan melalui Malaysia pada 16 September 1963, bukan 31 Ogos 1957. Yang merdeka pada 31 Ogos ialah Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya. Malaysia, sebuah persekutuan yang diperluaskan dengan kemasukan Singapura, Sabah dan Sarawak, terbentuk pada 16 September. Malaysia adalah sebuah negara baru dan tidak lagi bergelar Malaya, oleh itu tanggal 31 Ogos tidak boleh dijadikan sebagai tarikh kemerdekaan Persekutuan Malaysia.

Dengan memilih tarikh itu, Anwar sekurang-kurangnya cuba memberi persamaan dan hak sama rata antara Malaya, Sabah dan Sarawak. Anwar juga menunjukkan bahawa, jika terbentuk, kerajaan PR akan memberi layanan yang adil kepada Sabah dan Sarawak dan tidak memaksa kedua-dua negeri itu mengikut telunjuk Putrajaya. Faktor ini diterima dengan baik oleh rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak.

Saya juga tidak akan terperanjat sekiranya tiga parti komponen BN di Malaya akan turut bertukar angin sebelum hujung tahun ini. Suara-suara yang dengan jelas memperlihatkan arah haluan itu sudahpun kedengaran. Tiga buah parti yang saya maksudkan adalah Gerakan, MCA dan PPP. Sekiranya ia berlaku, maka terkuburlah BN dan berakhirlah penguasaan dan mungkin hayat UMNO.