Sunday, April 06, 2008

Radio dan bahasa penyiaran (Bahasa Melayu)

Radio-Televisyen Malaysia (RTM) atau lebih tepat lagi Radio Malaysia telah merayakan ulang tahun penubuhannya yang ke-62 baru-baru ini. Pihak berwajib di Kementerian Penerangan, khasnya di Jabatan Penyiaran, memilih tahun 1946 sebagai tarikh bermulanya siaran radio di Malaya ketika itu. Itu sejarah Radio Malaya tetapi sebelum itu wujud stesen-stesen radio lain di Pulau Pinang dan Singapura.

Sempena ulang tahun itu, saya ingin memperkatakan mengenai penggunaan Bahasa Melayu di radio seperti yang saya ketahui sejak tahun 1950-an hingga sekarang.

Pada awal tahun 50-an, saya masih ingat betapa teliti dan indahnya para juruhebah radio menggunakan bahasa Melayu apabila ke udara. Oh ya, pada masa itu mereka dikenali sebagai juruhebah bukan Dee Jay (DJ) seperti sekarang. Para juruhebah ketika itu menggunakan apa yang disebut sebagai bahasa surat dan mereka tidak menggunakan loghat-loghat daerah atau bahasa rojak (campuran dengan bahasa Inggeris).

Warga emas tentu masih ingat nama para juruhebah yang hebat seperti Abu Bakar Ahmad, Hashim Amir Hamzah, Siti Hawa Zain (Mak Iti), Dom Mahdzi, Aziz Abu Hassan dan Zainal Alam. Selepas era mereka timbul pula juruhebah yang tidak kurang hebatnya seperti Jamsari Mohamad, Siti Hawa Majid, Karim Mohamad, Nor Azah Aziz dan Asiah Omar Idros.

Mereka bukan sahaja teliti dan cermat dalam penggunaan bahasa yang betul tetapi memiliki suara yang sedap di dengar.


Suatu ketika dahulu, pendengar radio hanya mengetahui dua jenis lagu iaitu langgam dan asli. Pertandingan Bintang Radio juga mengadakan dua jenis kejohanan iaitu johan langgam dan johan asli. Pendengar radio mahupun penonton tv masa kini mungkin tidak tahu apa itu irama atau lagu langgam. Ia adalah irama lagu yang digemari ramai dan istilah itu merujuk kepada semua irama yang bukan Melayu Asli.


Juruhebah masa lampau juga menggunakan istilah lagu tanpa gurindam, tanpa syair atau tanpa nyanyian kepada apa yang disebut sebagai lagu instrumental hari ini. Pendek kata, mereka menggunakan istilah bahasa Melayu selagi ada istilah berkaitan sesuatu benda atau perkara. Istilah pinjaman jarang digunakan kecuali tiada istilah dalam Bahasa Melayu.


Sekarang, RTM sendiri menggunakan istilah pinjaman sedangkan wujud istilah dalam Bahasa Melayu. Umpamanya, informasi menggantikan maklumat sehingga diwujudkan perkataan inforia dan sebelum itu infotainmen. Ke mana perginya jiwa dan semangat Bahasa Melayu?


Kita akui bahawa zaman beredar pusaka bergilir, tetapi dalam mengekori kemajuan era teknologi digital dan internet, kita tidak seharusnya menodai Bahasa Melayu sehingga menenggelamkan istilah atau perkataan yang ada.


Kita amat sedih melihat dan mendengar ada diantara DJ radio mahupun tv tidak dapat menggunakan Bahasa Melayu yang betul tetapi yang bercelaru, ada kala sekerat Melayu dan sekerat Inggeris. Bahasa Melayu tidak bahasa Inggeris pun bukan.

Penggunaan bahasa rojak amat ketara oleh DJ stesen-stesen swasta dan dalam usaha untuk menarik minat pendengar, beberapa orang yang bergelar artis diambil sebagai DJ. Tidak semua artis berkenaan mahir dalam penggunaan Bahasa Melayu mengikut nahu dan sebutan yang betul.


Mungkin pada masa lepas, para juruhebah menggunakan Bahasa Melayu sedangkan DJ yang ada sekarang menggunakan Bahasa Malaysia. Bahasa Melayu dan Bahasa Malaysia sebenarnya tidak sama walaupun berakar umbi kepada Bahasa Melayu. Bahasa Malaysia sebenarnya sedang membunuh Bahasa Melayu sedikit demi sedikit.




(Datuk Zainal Alam, tokoh penyiar, penyanyi dan pengacara hebat, ketika mengikuti kursus di Australia)


Berbalik kepada sejarah radio di Malaysia, mengikut Radio Heritage Foundation, siaran radio bermula pada tahun 1937, iaitu tahun dimana British Broadcasting Corporation (BBC) mula memberi pertimbangan terhadap penubuhan sebuah stesen penyalur di Asia. Pada ketika itu, terdapat sebuah stesen radio yang dikendalikan secara komersil di Singapura iaitu, BMBC atau "the British Malaya Broadcasting Corporation".

BBC berhasrat untuk 'membeli' stesen tersebut dan kemudian menaikkan taraf sebagai sebuah stesen radio gelombang pendek antarabangsa untuk menyalur rancangan-rancangan terbitan BBC ke seluruh Asia.

Pada tahun 1939, perancangan dibuat untuk memasang satu unit gelombang pendek berkuasa 100 kW di stesen pemancar baru yang sedang dibina di Jurong, berdekatan dengan Taman Burung Jurong yang ada hari ini. Pada tahun 1940 sebuah unit pemancar Marconi yang dipesan dari kilang Chelmsford, England dihantar dengan kapal, tetapi kapal itu tidak sampai ke Singapura apabila ia ditenggelamkan oleh serangan torpedo musuh.

Selepas itu, sebuah pemancar RCA berkuasa 50 kW dihantar dari Amerika Syarikat tetapi apabila tiba di Singapura, ia didapati tidak sesuai kerana transformer kuasanya tidak selari dengan sistem tenaga kuasa voltan tempatan.

Pada bulan Ogos 1942, sebuah alat pemancar ZHJ, Marconi 7 1/5 kW yang beroperasi di Pulau Pinang dipindahkan ke Jurong dan ia mula ke udara sebagai "Radio Shonan". Siaran terakhir yang disiarkan oleh stesen itu ialah pada 3 Februari, 1945. Ini bermakna siaran radio telahpun wujud di Pulau Pinang sebelum tahun 1940.


Selepas tamat Perang Dunia II, petugas radio dari stesen-stesen radio British di India dan Sri Lanka ditukar ke Singapura untuk membantu memulihkan siaran radio dibawah BMA atau British Military Administration.


Pada peringkat itu, tiga entiti telah ke udara dengan rancangan masing-masing tetapi menggunakan kemudahan yang sama. Entiti-entiti itu ialah BMA, SEAC (South East Asia Command) dan BFEBS (British Far Eastern Broadcasting Station).


Siaran radio SEAC berakhir pada bulan Jun 1946 dan dalam masa yang sama Radio BMA dengan rasminya ditukar namanya kepada Radio Malaya.


Kepada semua juruhebah atau DJ yang bertugas di stesen yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa siaran, tolong jangan nodai keindahan Bahasa Melayu kerana Bahasa adalah Jiwa Bangsa.

14 comments:

Anonymous said...

Kalau dibiayai sepenuhnya oleh orang melayu, bebas untuk gunakan Bahasa melayu yang 'tulen' sepertimana kau sebutkan.

Kalau dibiayai seluruh masyarakat Malaysia, hanya boleh gunakan Bahasa Malaysia. Tak ada tempat untuk 'pejuang satu-satu bangsa' di negara yang berbilang bangsa.

Anonymous said...

Pak, saya rasa ini hal ini berpunca daripada alur fikir mereka yang jelas dan diburukkan lagi oleh lidah yang kurang galir untuk mengungkapkan sesuatu gagasan atau komentar dalam bahasa Melayu yang baik dan benar. Misalnya ayat yang begini " kemalangan itu belum dialihkan lagi" sering kita dengar ketika para DJ ingin melaporkan keadaan lalu lintas. Bagaimanalah kemalangan boleh dialihkan kerana kemalangan itu ialah satu peristiwa atau kejadian. Yang sepatutnya dialihkan itu ialah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu. Bagi saya logika makna menentukan salah betulnya bentuk bahasa yang kita gunakan. Wujudnya bahasa carca marba hari ini, khususnya para juruhebah radio berbahasa Melayu di kebanyakan stesen radio di negara ini jelas menunjukkan kurangnya penguasaan dan pengetahuan bahasa mereka. Yang peliknya, siaran dalam bahasa lain, khususnya bahasa Inggeris (yang biasa saya amati)jarang sekali para penyiar di saluran itu yang mencampuradukkan bahasa Inggeris dengan bahasa lain dalam siaran mereka (Baik si penyiar itu seorang Melayu, atau Cina, mahupun India bersungguh-sungguh mereka menjaga kemurniaan bahasa Inggerisnya - khususnya daripada segi tidak melacurkan bahasa penghantar siaran tadi, iaitu bahasa Inggeris). Juruhebah seharusnya sedar bahawa dua keperluan asas dan yang amat penting dalam mereka melaksanakan tugas ialah suara dan bahasa. Tanpa kedua-dua "alat" ini, sudah tentu hasil kerja tidak sempurna.

Unknown said...

Anon 4:02

Kalau tidak faham usah beri ulasan. Saya memperkatakan mengenai penggunaan Bahasa Melayu yang betul oleh radio dan tv yang menggunakan bahasa itu sebagai bahasa siarannya. Tulisan saya tidak kena mengena dengan penggunaan bahasa-bahasa lain seperti Inggeris, Tamil dan Mandarin oleh stesen-stesen yang menjadikan bahasa berkenaan sebagai bahasa penyiaran.

Ini bukan soal siapa yang membiayai sesebuah stesen itu. Ini soal penggunaan bahasa yang betul oleh mana-mana stesen yang mengunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa siaran.

Anda perlu diingatkan bahawa Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan negara Malaysia.

Anonymous said...

Salaam Pak Tuan,Anon 4:02 pm tersasar daripada memahami maksud penulisan Pak Tuan.Tidak timbul soal siapa yang membiayai sesebuah stesen itu,baik stesen kerajaan mahupun swasta.Jika seseorang juruhebah itu bertugas di stesen yang bahasa pengantarnya Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia(istilah sekarang),adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk menggunakan Bahasa Malaysia yang betul dan baik. Anon 4:02 pm tidak perlu menjadi sensitif di sini. Sama ada Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia,ia adalah bahasa ibuda orang Melayu dan orang Melayu berhak menjadi pejuang bahasanya sendiri...

dokmat said...

Salam Pak Syed,

Apalah yang nak dihairankan jika puak-puak itu tidak mendaulatkan BAHASA MELAYU jika WADAH perjuangan mereka yang kononnya membela MELAYU itu sendiri mendaulatkan bahasa INGGERIS/PENJAJAH; 'United Malays National Organization'(UMNO).Jika benar slogan 'BAHASA JIWA BANGSA' yang mereka laung2kan itu,maka UMNO sendiri telah meminggirkan JIWA BANGSAnya sejak awal penubuhannya lagi.Mungkin ada yang akan menganggap remeh isu bahasa Inggeris pada sebuah PARTI BANGSA MELAYU.Namun remehkah BAHASA itu di mata bangsa melayu sekiranya satu bangsa itu JIWANYA adalah BAHASA?
Atau hanya sekadar JIWA bagi satu perjuangan yang MUNAFIK?

Anonymous said...

ASSALAMUALAIKUM..

tumpang mencelah..

saya nak berikan pendapat dari sudut pendidikan..

bahasa melayu sekarang seolah-olah menjadi bahasa kedua dalam pelajaran di sekolah-sekolah

penggunaan bahasa inggeris dalam subjek-subjek tertentu sedikit sebanyak menghapuskan 'kuasa' bahasa melayu

sebenarnya kita nie mangsa keadaan.. disuruh belajar bahasa inggeris dan dalam masa yang sama memartabatkan bahasa melayu... mana satu nak buat nie???

berbalik kita kepada topik.. bahasa yang diguna pakai oleh abang-abang & kakak-kakak DJ kita memang dengan sengaja menunjukkan sikap ketidak-cintaan terhadap bahasa melayu... bahasa rojak yang dipakai sebenarnya menyulitkan saya dalam mencari identiti sebenar bahasa tersebut... atau adakah sekarang semua bahasa inggeris telah diterima pakai sebagai bahasa melayu..

p/s- tidakkah bahasa rojak melambangkan kecelaruan identiti sesuatu bangsa??

rastom said...

Pak Tuan, mohon izin mengangkat tulisan Tuan yang ini ke blog majalah saya. Saya suka topik ini, evergreen!

Revolusi

Unknown said...

Sdr Rastom,

terima kasih dan teruskan perjuangan.

Anonymous said...

Tuan Syed,
Saya amat bersetuju dengan ulasan tuan.
DJ-DJ radio sepatutnya menjadi pakar rujuk tentang Bahasa dan kebudayaan Melayu kepada semua pendengar.
Sayangnya banyak terdapat kesilapan yang tak sepatutnya berlaku. Sebagai contoh:
i. gantinama kepada Raja dan Sultan. Saya pernah mendengar mereka menggunakan perkataan 'beliau' bukan 'baginda'atau "tuanku'.
ii. lapuran kajicuaca..:'hujan lebat sedang berlaku di pantai timur'. Saya rasa lebih sedap kalau dilapurkan begini: 'hujan lebat sedang turun di pantai timur'.

muteaudio said...

Pak Tuan,
Saya menggunakan bahasa rojak di dalam blog dan juga pertuturan seharian saya. Tetapi saya sedaya upaya menggunakan Bahasa Malaysia sepenuhnya di dalam kerja penerbitan saya.

Apa yang memusykilkan saya ialah, di mana peranan RTM dalam memartabatkan Bahasa Malaysia? Jika tidak silap saya, penggunaan sebutan baku telah dimansuhkan tetapi ianya masih lagi digunakan secara berleluasa di RTM. Situasi ini membuatkan saya keliru. Adakah penggunaan sebutan baku masih lagi dikuatkuasakan?

Apa yang memelikkan lagi keadaan, adakalanya ayat-ayat tertentu tidak dibakukan. Dan bagi saya, penggunaan perkataan Bahasa Inggeris hanya digunakan jika tidak ada pilihan (perlu saya guna 'alternatif'?) dalam Bahasa Malaysia. Pada masa sekarang perkataan 'venue' sudah diterima pakai dalam Berita Perdana.

Selain daripada itu, ada ketikanya kami ditegur oleh pihak RTM mengenai penggunaan bahasa didalam penerbitan yang dihasilkan untuk mereka. Secara keseluruhannya, penghasilan program untuk RTM adalah satu proses yang menyeksakan!

Anonymous said...

Assalamualaikum,

Pak Tuan,

Apa leh buat. Bahasa Melayu pemimpin2 kita pun serupa tu jugak.
Guru kencin berdiri murid kencin berlari. Menteri penerangan kita yang dulu tu, nak kata kejar bahasa inggeris, 'speaking' pun tak berapa nak reti.

Betul cakap Pak Tuan, saya ingat cakap mak saya, dia suka sangat dengar Radio zaman dulu, juruhebah2masa tu memang bahasa melayu diorang.....masyaallah. Dia ingat lagi nama-nama juruhebah radio masa tu, lebih kurang macam Pak Tuan sebut. Dia rindukan zaman tu.

Keluar topik, nampaknya Sang Kelembai dah rujuk ngan Pak Lah. Setelah membakar jambatan, akhirnya kasih bertaut kembali.
Tak palah, kalau itu yang terbaik untuk abang zaharin.

Saya teringat pepatah arab, sayangkan seseorang, tinggalkan sayang itu sikit, takut nanti jadi musuh pula. Marahkan seseorang, marahlah, tapi tinggalkan sedikit, takut nanti jadi kekasih pulak.
Betul tak Pak Tuan?

Skuad Peninjau

Unknown said...

Salam Pak Tuan,

Maaf lari tajuk sikit. Mohon Pak Tuan ulas sikit gelagat blogger Zaharin yang berpeluk dan mencium tangan Abdullah.

Saya rasa macam ada yang tidak berapa yang nak kena.

Apa pun, tolong Pak Tuan beri komen

Anonymous said...

tonet comel :

tahniah pak tuan kerana mengemukakan isu ini. isu ini sebenarnya memerlukan perhatian serius daripada pelbagai pihak. tidak perlu dikaji kerana sudah jelas bahasa melayu merupakan bahasa rasmi Malaysia dan ia termaktub di dalam perlembagaan negara.

soal penggunaan bahasa melayu di media siaran bukan soal picisan kerana jika terus bersiaran dengan menggunakan bahasa `rojak' ini, selagi itulah kita tidak akan dapat mengangkat martabat bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan.

sia-sia sahaja slogan `bahasa jiwa bangsa' yang diputarkan di media, jika pengamal media (tidak semuanya) sendiri tidak tahu menghormatinya.

tampak jelas bukan sahaja di drama malah rancangan bual bicara pun masih lagi tidak tahu menggunakan bahasa melayu yang standard.

kadang-kadang saya malu dengan ahli panel bangsa lain yang agak fasih penggunaan (pertuturannya) dalam menggunakan bahasa melayu sedangkan bangsa kita sendiri terkial-kial untuk menyebut perkataan-perkataan melayu. andai begini sifat kita, siapa lagi yang mampu kita harapkan?

Anonymous said...

Tuan Syed, tulisan tuan ini telah lama tapi baru hari ini, 3hb Jun, 2016, saya membacanya.Saya amat tertarik dengan tulisan tuan, dan sebagai seorang pencinta dan pejuang bahasa Melayu, saya minta izin dari tuan untuk mengambil isi tulisan tuan sebagai bahan tulisan saya.