Monday, April 21, 2008

Khir Toyo dan isu pemberian tanah di Selangor



Saya amat tertarik dengan sikap mantan Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo yang nampaknya telah berputar hampir 360 darjah selepas kerajaan negeri pimpinannya di Selangor tumbang dan digantikan oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

Khir Toyo mengakui bahawa pentadbirannya bersih daripada salahguna kuasa dan rasuah dan beliau mencabar sesiapa, terutama pentabiran baru Pakatan Rakyat, atau mana-mana pihak yang berpandangan sebaliknya supaya membuktikan tuduhan mereka. Khir Toyo mendakwa bahawa pentadbirannya telus dan tiada ada apa-apa yang hendak disembunyikan.

Sebelum kerajaannya tumbang, Khir Toyo termasuk diantara pemimpin Barisan Nasional (BN) yang agak tidak gemar dengan penulisan blog yang mereka sifatkan sebagai alat pembangkang dan anti-kerajaan. Tetapi, sekarang Khir Toyo sendiri menulis blog dan menggunakan blog untuk menyuarakan pendapat dan sebagai wadah perjuangan politiknya. Melalui blognya itu, Khir Toyo turut mendesak Pak Lah berundur selaku perdana menteri. Itu hak Khir Toyo dan kita mesti menghormatinya. Sekurang-kurangnya Khir Toyo sedar akan betapa penting dan bergunanya blog.

Saya ingin menyahut cabaran Khir Toyo untuk mempersoal 'ketelusan dan kebersihan daripada rasuah' pentadbirannya selaku Menteri Besar Selangor. Saya juga ingin tahu apa dah jadi dengan laporan yang dibuat kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) termasuk oleh mantan timbalan Menteri Besar Selangor Dr Zainal Abidin Ahmad yang kini Ahli Parlimen Hulu Selangor mewakili Pakatan Rakyat.

Saya ingin kembalikan ingatan Khir Toyo kepada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor pada 29 April, 2003, dimana Khir Toyo berkata kerajaan negeri pimpinannya bercadang untuk mengurniakan tanah kepada kakitangan kerajaan negeri sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang berusaha untuk memajukan Selangor.

Beliau berkata niat untuk mengurniakan tanah tersebut adalah bagi melaksanakan pembahagian tanah secara adil dan bukan kepada sesetengah pihak sahaja.

Kerajaan Negeri Selangor, kata beliau, bukan hendak mengurniakan tanah kepada pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri sahaja tetapi juga kepada kakitangan peringkat bawahan seperti kerani, budak pejabat dan pemandu.

Khir Toyo berkata demikian apabila menjawab pertanyaan ADUN Bandar Klang dari DAP, Teng Chang Khim mengenai tindakan kerajaan negeri meluluskan pemberian tanah di Lot 557, Mukim Dengkil dan Kampung Labu Lanjut, Sepang kepada beberapa orang yang menurutnya mempunyai kepentingan.

(Teng kini ADUN Sungai Pinang dan bakal dilantik Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor yang pertama dari kalangan wakil rakyat bukan Melayu. Setinggi-tinggi tahniah saya hulurkan kepada beliau)

Teng berkata bagi pemberian tanah di Lot 557 untuk tujuan pertanian, seramai 107 orang pemohon telah berjaya dalam permohonan mereka. Menurut beliau antara yang berjaya ialah mereka yang ada kaitan dengan Khir Toyo; dengan ADUN Dengkil (ketika itu) Mohd Sharif Jajang dan beberapa kakitangan kerajaan negeri.

Teng turut mendakwa bahawa walaupun Khir Toyo dan beberapa orang yang berkepentingan telah mengisytiharkan kepentingan mereka tetapi mereka tidak meninggalkan mesyuarat semasa kertas dibentangkan. Tiada pengerusi dilantik bagi menggantikan Menteri Besar sebagai pengerusi dan oleh itu, dari segi tatacara dan undang-undang, mereka melakukan satu kesalahan kerana percanggahan kepentingan.

Begitu juga dengan isu pemberian tanah di projek pembesaran Kampung Labu Lanjut, Sepang apabila Khir Toyo sekali lagi tidak meninggalkan mesyuarat walaupun telah mengisytiharkan kepentingan berkaitan dengan kakitangan beliau, iaitu seorang pengawal peribadi dan seorang pemandu. MB terus mempengerusikan mesyuarat dan meluluskan permohonan yang melibatkan kakitangan beliau, tegas Teng.

Pada 30 April, 2003 (sehari selepas Teng membangkitkan perkara itu), Khir Toyo memberitahu pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri Selangor, Shah Alam bahawa semasa Exco (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) membuat keputusan itu (meluluskan permohonan tanah berkenaan), beliau telah meninggalkan bilik mesyuarat selepas mengisytiharkan kepentingannya.

Khir Toyo berkata tuduhan pembangkang (Teng) bahawa beliau tidak keluar mesyuarat adalah tidak betul, dan selalunya apabila beliau (Khir Toyo) tinggalkan mesyuarat Timbalan Menteri Besar (Dr Zainal Abidin Ahmad) atau Datuk Tang See Hang akan mempengerusikan mesyuarat kerana itu dah jadi prosedur.

Khir Toyo berkata beliau keluar daripada mesyuarat Exco itu kerana ada pegawai dan pemandunya memohon tanah tersebut dan demikian juga semua ahli Exco yang terbabit memohon tanah itu turut keluar mesyuarat kerana tidak mahu timbul masalah.

Tetapi, kenyataan Khir Toyo itu dinafikan oleh Dr Zainal Abidin dan ia dibuat melalui sepucuk surat kepada Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika itu, Zulkifli Mohd Noor bertarikh 1 Mei, 2003. Salinan surat itu dipanjangkan kepada Perdana Menteri (Dr Mahathir Mohamad), Timbalan Perdana Menteri (Pak Lah) dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Dr Rais Yatim) yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal undang-undang. Pada ketika itu, saya berkhidmat di Pejabat Menteri di JPM dan berpeluang membaca isi kandungan surat tersebut setelah diarah oleh Menteri untuk menyimpannya dalam satu fail khas.

Setahu saya, inilah kali pertama dalam sejarah pentadbiran moden Malaysia dimana seorang Timbalan Menteri Besar menafikan kenyataan bosnya, Menteri Besar yang membabitkan Akta Pencegahan Rasuah. Tetapi, tidak pula diketahui sama ada BPR mengambil tindakan dan jika diteliti laporan media, tiada tindakan yang diambil.

Dalam surat itu, Dr Zainal berkata bahawa beliau terpanggil untuk membuat kenyataan (menulis surat berkenaan) kepada KP BPR apabila dia mendapati namanya telah dibabitkan dalam kenyatan akhbar Khir Toyo secara tidak betul dan menepati fakta.

Dr Zainal mengaku bahawa Khir Toyo dan beberapa orang EXCO telah mengisytihar kepentingan masing-masing, semasa mesyuarat EXCO berkaitan kes pemberian tanah, tetapi tidak seorangpun telah keluar meninggalkan bilik mesyuarat. Mesyuarat terus berjalan dengan dipengerusikan oleh Khir Toyo sendiri.

Dr Zainal juga menyebut dalam suratnya itu bahawa selama pemerintahan (pentabiran) Khir Toyo selaku MB, mesyuarat EXCO tidak pernah sekali pun diarah untuk dipengerusikan oleh beliau selaku timbalan MB atau oleh mana-mana EXCO lain. Oleh itu, kenyataan Khir Toyo pada 30 April 2003 yang menyatakan bahawa mesyuarat yang meluluskan pemberian tanah iu dipengerusikan oleh Dr Zainal atau Datuk Tang adalah palsu dan bertentangan dengan kebenaran.

Penafian oleh Dr Zainal secara hitam putih yang dikemukakan kepada Ketua Pengarah BPR dan salinan kepada PM, TPM dan Menteri di JPM cukup jelas dan nyata bahawa ada yang tidak kena dalam pentadbiran Khir Toyo.

Mungkinkah Dr Mahathir, selaku PM ketika itu, melarang BPR daripada mengambil apa-apa tindakan ke atas Khir Toyo? Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, BPR sebenarnya tidak bebas dalam erti kata sebenar. Jikapun ia bebas menyiasat, tetapi ia tidak bebas untuk menangkap apatah pula mendakwa seseorang individu terutama orang kenamaan atau pemimpin politik kerajaan.

Oleh itu, langkah kerajaan pimpinan Pak Lah untuk memberi kebebasan kepada BPR dan meletakkan tanggungjawabnya kepada Parlimen dan bukan kepada Jabatan Perdana Menteri seperti sekarang, amat tepat dan disambut baik. Sekurang-kurangnya Pak Lah, atas kesedaran dan mungkin kejutan pilihan raya ke-12 baru-baru ini, ingin membetulkan apa yang kurang betul.

Masih belum terlambat bagi Pak Lah untuk mengarahkan BPR membuka semula kes membabitkan Khir Toyo, jika fail siasatan belum ditutup, kerana apa yang didakwa oleh Dr Zainal Abidin Ahmad adalah satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan Rasuah.

Seperti yang umum ketahui, Khir Toyo telah menggugurkan Dr Zainal dari senarai calon BN pada pilihan raya 2004 walaupun nama Dr Zainal adalah yang teratas seperti yang dikemukakan oleh Umno bahagian berkenaan. Selepas itu, Dr Zainal keluar daripada Umno dan menganggotai Parti KeAdilan Rakyat dan kini terpilih sebagai Ahli Parlimen Hulu Selangor menewaskan timbalan presiden MIC G. Palanivel yang juga mantan wakil rakyat kawasan itu.

10 comments:

sniper said...

nasihat saya ..kerajaan pakatan rakyat fokus kepada kerja masing-masing.. kalau jumpa hal ehwal melibatkan isu intergriti, arah saja peguam kerajaan negeri bertindak.. semua laksanakan kerja .. bahagian undang-undang buat dakwaan, bahagian media, canangkan sehebat-hebatnya, bahagianoperasi..buat kerja dengan jujur dan tekun.. InsyaALLah rakyat PASti terus menyokong.

JeyapalanT.S.Mahesan said...

Dengan Segala Hormatnya,YB Dr.Khir!
Jangan lah Sebagai KATAK DI DAWAH TEMPURUNG!
Dengan sokongan, Kerajaan S'gor{BN} & juga penuh " poket buka{open pokets}, selama 50 tahun, Penduduk Penduduk & Tuanpunya Tanah, di Petaling Jaya { Sek 1-25}, telah pun di beri Gran/Pajakan PALSU! Bukti - sedia ada. Saya berberapa kali telah pun datang ke Pejabat YB di Shah Alam, untuk jumpa YB atau membuat appointment! Tetapi olih kerana kesombogan YB & Adun Adun BN, tidak dapat jumpa!
So as the saying goes: Dont challenge if you live in glass houses!
Kepalsuan telahpun di ada di Kawasan Adun/Parliament YB sendiri
Cheers!
jeyapalan.t.s.mahesan{anak buah/bangsa malaysia}
jeyapalantsmahesan.blogspot.com
jeyapalanmahesan@netscape.net

Anonymous said...

Cukup cukuplah tu..biar Dr Khir berehat. Sekarang berilah peluang MB dan Exco yang sedia ada buat silap dan salah seperti Dr. Khir, mereka semua sama sahaja.

Rakyat seperti anda dan saya adalah mainan.

cheeeerrsss..

Anonymous said...

TO ANONYMUS 8.39PM..WE SHOULD NEVER EVER ALLOW THIS TOYO GUY TO REST! EVERYBODY SHOULD SEEK AND FIND ALL THE WRONGDOINGS THAT HE AND HIS CAHOOTS IN THE STATE GOVERNMENT HAS DONE WHILST IN POWER. ( INI BUKAN BALAS DENDAM TAPI SEBAGAI MENYAHUT CABARAN TOYO)WHY SHOULD WE LET HIM REST WHEN HE IS BEHAVING LIKE .."I'M HOLIER THAN THOU" WITH THE HELP OF ALLAH SWT THOSE WHO HAS DONE WRONGDOINGS / ZALIM TO THE RAKYAT WILL HAVE TO ANSWER TO ALL THE RAKYAT CONCERNED IN THE HEREAFTER..TO KHIR TOYO .. IF YOU ARE TRULY INNOCENT THEN ALLAH WILL PROTECT YOU.. BUT IF YOU ARE TRYING TO BE FUNNY AND LIE.. YOU WILL FACE THE CONSEQUENCES IN THE HEREAFTER. DURING THAT DAY YOU WILL BE ON YOUR OWN TO ANSWER THE CHARGES!! this jawa joker had the audacity to lie thru his teeth about his facelift! he said his face change is due to his diet!!! can we all believe him? khir toyo YOU ARE A LIAR!!! why did you instruct your people to shred all the important documents after you lost the elections? you may think that you can cheat and lie to all the people... BUT YOU CAN NEVER EVER LIE OR CHEAT ALLAH..

Anonymous said...

Saya teramat bersetuju dengan tulisan anda. Saya tinggal di Sepang dan tahu sangat memang semua sedara mara Shariff Jajang dapat tanah PERCUMA. Semua anak saudara Shariff Jajang dapat 7 ekar kurnia. Sekarang tanah-tanah tersebut jadi "Belukar Simpanan". Tidak dimajukan sebagi tanah pertanian sebagaimana sepatutnya.

Kaum kerabat Shariff Jajang juga dpat rumah murah PERCUMA di Bandar Baru Salak Tinggi.

Hotel Empress di Salak Tinggi, Sepang juga ada kepentingan Shariff Jajang.

Malahan dengar kabar Hotel Empress di Salak Tinggi hingga kina tiada CF. UMNO oh UMNO, celaru sungguh pentadbiran kamu.

Anonymous said...

"Khir Toyo dan isu pemberian tanah di Selangor" adalah tajuk biasa, kita boleh tukarkan Khir Toyo dengan Mahadhir Khalid atau Shahidan Kassim malah seribu nama lagi, hatta besok besok pun kita boleh " " dengan Anwar Ibrahim.

Fokuskan kepada kepala negara, tukarkan atau kekalkan, yang lain akan lebih beres.

JeyapalanT.S.Mahesan said...

Anonomus @ 8.39pm.

Kes saperti kes Anda ada berberpa ribu di Selangor.Tetapi adakah Kerajaan PR Rohani{The Spirit} untuk mengambil tindakan yang sewajarnya/yang munasabah!
blos saya:jeyapalantsmahesan.blogspot.com.
email saya: jeyapalanmahesan@netscape.net.
Pada janka masa ini, semua posts saya adalah dalam bahasa ingriss{untuk www antarabangsa}.Saya akan terjemah ke BM, bila I understand javascript!

Salaam! Anak Buah Malaysia

Anonymous said...

Pada semua bloggers, kalau nak publish cerita pasal khir toyol tolong jangan letak gambar Toyol Khir ni, menyampah tengok muka Toyol pakai Botox tu. Minta tolong yea....

Anonymous said...

Kesian la kat DS KT. Dia nak pulun nak cari balik nak bayarBotox.....

Anonymous said...

haha..wak khir ni bukan saja pembangkang tak suka,org umno pon tak suka..aku ni org umno,tapi aku tak suka khir toyo sbb dia ni org kuat mahathir..aku tak suka mahathir sbb mahathir ni zalim dan selfish dan bengap..anak2 dia kaya pon sebab mahathir padahal bukan pandai jadi businessman pon.

pada pendapat aku,aku masih still dgn uno sbb aku terkenang pembentukan negara kita dan kemerdekaan kita adalah berpunca dari umno.aku tak sokong pas sbb mereka sekongkol dengan dap yang anti islam dan anti melayu..pkr lagi teruk sebuah parti yang tak bermaruah..

apa pun mana2 pemimpin umno yang tak betul wajar disingkirkan..!! skrang wak khir dah tersingkir, next PRU pak lah akan gugurkan khir jadi calon YB..