Wednesday, April 30, 2008

Tahniah kepada RTM dan Menteri Penerangan

Rakyat Malaysia sudah tentu menghargai usaha RTM menyiarkan secara langsung sesi soal-jawab di Dewan Rakyat selama satu jam yang memulakan persidangan sebenar Dewan Rakyat (Parlimen Ke-12) hari ini.

Tahniah dan syabas kepada RTM dan khususnya kepada Menpen (Menteri Penerangan) Saudara Ahmad Shabery Cheek. Perkara yang bersejarah ini tidak mungkin akan berlaku sekiranya RTM masih dibawah kawalan Zainuddin Maideen yang menyifatkan rakyat Malaysia sebagai belum matang untuk tujuan itu.


Sejak Ahmad Shabery Cheek menerajui Kementerian Penerangan, kita dapati banyak perubahan telah berlaku khususnya dalam RTM dan untuk itu kita mengucapkan terima kasih kepadanya dan berharap lebih banyak kebebasan diberikan kepada para karyawan RTM untuk membuktikan kebolehan dan kemampuan mereka yang sebenar.

Kita dapat melihat perubahan dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia dan kita juga berpeluang menonton dua orang tokoh akademik membincangkan sumbangan dan ketokohan serta keintelektualan alllahyarham Rustam Abdullah Sani dalam satu rancangan khas.

RTM tidak kurang dengan tenaga kerja yang mempunyai daya cipta dan cetusan fikiran yang dapat meningkatkan mutu siaran sekiranya mereka diberi lebih kebebasan dan peluang untuk berbuat demikian. Mereka tidak seharusnya terikat sangat dengan arahan-arahan perbendaharaan atau Perintah Am dan pekeliling kerajaan yang lazimnya menjadi halangan untuk mereka berkarya.

RTM sepatunya sudah lama diperbadankan dan dibebaskan daripada kawalan dan arahan Menteri Penerangan atau Ketua Setiausaha dan sebagainya. RTM sebagai sebuah perbadanan sudah pasti akan mempunyai garis panduan serta aturan dan peraturan yang akan dimaktubkan dalam akta berkenaan.



Berbalik kepada siaran langsung dari Dewan Rakyat yang bermula pukul 10 pagi dan dihentikan kira-kira 41 minit (dari dalam Dewan) kemudian semasa Perdana Menteri sedang menjawab soalan tambahan wakil Marang, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Haji Awang, penonton dapat melihat dan boleh menjangkakan suasana perdebatan yang panas.

Hampir separuh masa yang diperuntukkan bagi sesi soal-jawab telah dipenuhi dengan perdebatan berkaitan Standing Order atau aturan dan peraturan persidangan. Pertikaman lidah yang pada satu ketika menjadikan suasana dalam Dewan hingar-bingar, dapat dikawal dengan baik oleh Speaker yang baru dilantik, Pandikar Amin Haji Mulia dari Sabah.

Dua orang wakil rakyat yang sering bertikam lidah semasa persidangan Dewan Rakyat ke-11, iaitu Karpal Singah (Bukit Glugor) dan Bung Mokhtar (Kinabatangan) nampaknya masih mengekalkan kehebatan masing-masing. Pada satu ketika Karpal yang bercakap sambil duduk atas kerusi roda, menggelar Bung Mokhtar sebagai "Big Foot" dan Bung Mokhtar pula memanggil Karpal "Big Monkey".

Kita menunggu Mohamad Abdul Aziz (Sri Gading), Mahfuz Omar (Pokok Sena) dan Ibrahim Ali (Tanah Merah) menunjukkan bakat masing-masing.

Yang pasti, persidangan Dewan Rakyat kali ini tidak boleh dipandang ringan atau tidak penting oleh wakil-wakil rakyat kerajaan (BN) seperti masa-masa lalu sehingga kuorom tidak mencukupi. Kehadiran 82 orang wakil Pakatan Rakyat seharus dan semestinya memberi kesedaran kepada BN bahawa mereka tidak boleh alpa dan lalai.

Kepada semua wakil rakyat, kita ucapkan selamat bersidang dan berharap Ahli-Ahli Yang Berhormat akan menghormati tatasusila dan aturan persidangan.

10 comments:

Anonymous said...

Pak Tuan,
Adik perempuan saya mengelar RTM sebagai television kaunter sebab terlalu banyak rancangan tetamu duduk belakang meja macam kaunter bayaran di bank dan pejabat. Talk show ini pula bersifat terlalu propanganda kerajaan. Maka rumah kamipun tidak tengok RTM. Lebih baik tengok akademi fantasia. Saya tahu AF adalah rancangan hiburan dan tidak membuka minda langsung tapi lebih baik dari nonton "rancangan kaunter" RTM yang dok cakap benda yang sama berulang-ulang. Sakit hati. Tapi akhir-akhir ini ada baguilah. Malam tadi saya tengok Datuk Syed Hamid Albar ditemuramah oleh Zainon Ahmad (The Sun) dan K. Kakalan (maaf kalau nama tak betul, Malaysia Kini). Soalan Zainon dan Kakalan memang berapi tapi Pak Tuan Syed Hamid juga memang hebat. Yang berbincang macam inilah yang kita nak tonton bukan propaganda merapu tak tentu hala. Saya harap rancangan Forum perdana ehwal Islam juga akan kembali dengan ahli panel yang sudah lama digam seperti Datuk Ismail Kamus, Datuk Harun Din, Datuk Hassan Ali dan yang lain lagi. Harap Datuk Shabery sudah dapat formula untuk cairkan gam ini.

farzain said...

syukur, ini antara langkah2 pembetulan yang dilakukan kerajaan kita yang sudah sedar dengan kesilapan lama dan mendengar kata rakyat. Berilah kerajaan kita masa lagi, sedikit demi sedikit akan ada perubahan2 yang akan memanfaatkan rakyat malaysia sendiri. insyaallah.

Syed Imran said...

Sdr Farzain,

Amat malang sekali apabila Menpen Shabery Cheek nak kaji balik sama ada nak teruskan dengan siaran langsung itu.

Nampaknya Shabery tak konsisten dan mungkin menghampakan kita.

Kita harap dia tidak akan berbuat demikian kerana siaran langsung itu boleh memberi gambaran sebenar mengenai tindak-tanduk ahli parlimen.

Anonymous said...

Tuan,

Saya tertarik dengan komen seorang tokoh akademik mengenai suasana gamat di Parlimen semalam. Rakyat patut digalak menulis kepada Ahli Parlimen masing-masing jika beranggapan tingkah laku wakil rakyat mereka di Parlimen tidak menyenangkan. Mereka juga boleh menulis kepada media untuk menyatakan perasaan tidak senang mereka terhadap kelakuan Ahli Parlimen. Mereka dipilih oleh rakyat dan sewajarnyalah rakyat boleh menegur mereka melalui saluran tertentu. Dalam perkara ini, media seharusnya memainkan peranan, dan menyiarkan pendapat dan teguran rakyat. Bagi memastikan wakil rakyat dilihat menjalankan tugas mereka dengan baik di Parlimen, siaran langsung itu seharusnya diteruskan.

Hantu Cetak

phillix-starscreamer said...

if we're talking about changes from the govt, this is it. this is the beginning. i'm glad, and proud to see this change. let's hope to see more from the govt :)

farzain said...

buat masa ini, ianya hanyalah dalam cadangan untuk "mengkaji". Mungkin itu adalah langkah Shabery utk menyelamatkan ahli2 parlimen (apa jua parti) daripada menjatuhkan air muka masing2, memandangkan ramai yang menggelar parlimen sebgai sarkas? Aduhai, tak tahu lah saya.

Tapi pada pendapat saya, orang2 yang menjadikan parlimen sebagai sarkas datang dari pelbagai parti dan bukan hanya dari satu parti yang spesifik.

Jadi mungkin Shabery sedang menunjukkan belas kasiha kepada semua tanpa mengira parti. haha... (hari ni hari pekerja jadi rasa mau berjenaka)

Anonymous said...

Salam,

Tuan Syed,

Saya salah seorang yang pernah terlibat dalam pembikinan program tv, dan pernah bekerja di SPM beberapa tahun lalu.

Rancangan Bual Bicara terbitan RTM, pada saya selama ini adalah rancangan yang membosankan dan menutup minda masyarakat.

Pada saya sebuah bual bicara yang baik adalah wacana menghimpunkan pendapat panel mengenai sesuatu isu.

Sememangnya akan ada pelbagai pendapat tetapi kesimpulannya adalah terletak kepada audience sendiri.

Kepada DSC, sekiranya mahu melihat RTM menjadi wacana yang hebat, berikanlah kebebasan dlm media ini.


Kalau setakat memanggil menteri, orang dalam kerajaan BN sahaja, pada saya akan menjadikan RTM sebuah TV syok sendiri. Membazir duit rakyat, kerana tidak ditonton rakyat.

Kalau berita asyik melaporkan cerita Menteri, siapa yang nak tengok?

Yang banyak tengok TV , rakyat atau menteri?

Keutamaan untuk menjual produk adalah rakyat, Perkiraan mengenai rating pun bergantung kepada jumlah rakyatyang menonton. So saya mencadangkan pihak RTM lebih mengutamakan isu-isu yang berkaitan dgn masalah rakyat.

Dan RTM menjadi media sumber pengetahuan rakyat. Sekiranya attitude RTM masih dengan agenda 62 tahun dahulu, ia ibarat sebuah tv hitam putih yg masih elok tetapi tidak dibuka atau ditonton.

DSC harus ingat, generasi hari ini, lebih cerdik daripada generasi2 terdahulu. Akibat daripada memandang rendah kepandaian generasi hari ini, Datuk Zam terpaksa balik kampung jual cendol.

Malah mereka kadang2 lebih cepat mengetahui daripada orang RTM sendiri.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Saluran berita 24 jam BERNAMA, kerana berjaya melahirkan berita2 menarik dan balance dan tidak memihak kepada sesiapa. Walaupun belum lagi berjaya sepenuhnya, tetapi saya lihat kepakaran anak2 tempatan kita di BERNAMA berupaya menjadi satu organisasi BERITA TV yang berjaya seperti CNN dan AlJazeera.

Kepada Tuan Syed, sorry to say, saya tidak berminat melihat perdebatan ahli2 parlimen, kerana mereka hanya layak menjadi AHLI PARLIMEN di ZOO NEGARA sahaja. Saya lihat dari dulu sehingga sekarang tak ada suatu pun yang berbahas untuk rakyat.

Masing2 berbahas untuk kepentingan politik sahaja. Sedangkan elaun AP semua adalah dibayar kami pembayar cukai. Kalau AP dari Sabah atau dari Seri Gading berdebat dengan saya pun, saya rasa mereka kalah kerana mereka generasi yang tidak mahu menambah ilmu. Hanya tahu mencarut, mengherdik,boo dan menghentak hentak meja.

Kepada AP PR, terutamanya generasi baru membuka lembaran baru dalam perjuangan untuk rakyat.Janganlah terikut2 budaya AP lama2 yang tidak mempunyai satu teladan yang baik kepada rakyat.

Ahli Parlimen Malaysia tidak ada kualiti langsung. So DSC tak payah lah buang duit rakyat buat siaran langsung.

Kepada RTM belum terlambat mengucapkan selamat ulang tahun yang ke 62. Umur 62 sepatutnya menjadi cont0h terpuji kepada generasi muda.

Sekian terima kasih.

Anonymous said...

ASsalammualaikum wbt semua dan salam sejahtera,

Menonton RTM umpama melihat makcik2 dan pakcik2 tua yang selalu berasa angkuh dengan kehebatan,pengalaman dan kepandaian mereka.Walhal mereka tidak menyedari mereka sebenarnya sedang ditertawakan

DSC sendiri mahu pikirlah.

RTM - Rancangan TUA2 Memanjang.

K.Jamlus said...

Saudara Syed Imran,
Saya rasa ada rasionalnya tindakan Menteri Penerangan kita tuh. Ini kerana, berikutan adanya kamera siaran langsung di Parlimen, ahli Parlimen menjadi 'mengada-ngada'.

Malahan mereka tidak menghormati langsung arahan Yang diPertua Pandikar. Mereka tahu yang mereka ditonton secara langsung sebab itu masing-masing mula tunjuk perangai akhirnya sidang menjadi huru-hara.

Sedangkan pada sidang petang, dimana tiada kamera lintas langsung keudara, mereka lebih tenang dan berjalan lebih baik.

Oleh itu, adalah lebih baik tiada kamera kerana, sidang lebih banyak masa untuk tumpukan kepada isu-isu berbangkit dari membuang masa bergaduh dan bertekak.

Anonymous said...

Demi kepentingan umum, rancangan live tersebut wajar disambung semula.

Takkanlah disebabkan suasana tidak begitu harmonis di siaran pertama terus nak berhenti. Kalau macam tu banyak lagi program dan projek kerajaan sepatutnya diberhentikan kerana perjalan peringkat awal tidak begitu smooth.

Rakyat bimbang sikap main-main siaran langsung ini ada kaitan dgn PM flip-flop. Rakyat tak peduli MP mana, BN atau PR, yang tak perform atau buat sueh, rakyat jugalah yg akan menghakimi. Justeru itu, usah dikosmetikkan perubahan-perubahan yg disenangi rakyat walaupun tidak disenangi sesetengah pihak.