Sunday, April 13, 2008

Bersedia hadapi peningkatan kos hidup

Dunia kini menghadapi krisis makanan. Beberapa buah negara dah mula merasai tempiasnya dan rakyat yang berpendapatan rendah dan bekerja sendiri seperti petani dan nelayan di negara dunia ketiga paling ketara akan sengsara.

Harga beras dan gandum sudah melambung tinggi di pasaran dunia dan kesannya pasti akan dirasai di Malaysia dalam tempoh yang terdekat ini walaupun kerajaan menyatakan bekalan adalah mencukupi. Soal bekalan dan soal harga adalah dua perkara yang berlainan. Walaupun bekalan ada dan mencukupi, harganya pasti akan naik.

Negara paling kaya di dunia, Amerika Syarikat, sedang menghadapi kemelesetan ekonomi dan kejatuhan nilai dolar. Di bumi yang bangga dengan kebebasan itu mula menghadapi penurunan dalam harga hartanah (kediaman), beban hutang isi rumah berlipat ganda dan kerugian serta ketaktentuan dalam sistem perbankan memungkinkan ekonomi Amerika Syarikat melalui satu zaman kemalapan yang agak teruk.

Langkah-langkah yang diambil untuk menangani ancaman itu mengakibatkan peningkatan dalam bekalan dolar dan dalam masa yang sama, tekanan ke atas inflasi berlaku berikutan daripada kenaikan harga makanan, tenaga (kuasa) dan komoditi.

Saya memberi gambaran tentang apa yang sedang dan mungkin akan berlaku di Amerika Syarikat kerana seperti yang diketahui umum, jika Amerika bersin seluruh dunia akan dijangkiti selsema.

Spekulator pasaran wang terkemuka, George Soros menyatakan bahawa krisis kewangan semasa adalah yang paling buruk sejak 1930-an. Beliau membuat penganalisaan itu berdasarkan pengalamannya selama 50 tahun dalam pasaran dan teori filosofikal berkaitan corak pasaran yang dihalusinya dalam tempoh tersebut.

Dalam kita menghadapi kancah politik, sama ada yang berkaitan isu kepimpinan UMNO ataupun antara Barisan Nasional yang menguasai Kerajaan Persekutuan dengan lima buah kerajaan negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat, kita seharusnya bersiap sedia menghadapi krisis yang lebih besar, iaitu krisis makanan.

Perbelanjaan hidup seharian naik setiap hari dan kenaikan paling ketara akan berlaku apabila ia membabitkan harga beras. Ia tidak dapat dielakkan kerana harga dalam pasaran dunia sudah melambung dan keperitannya sudahpun dirasai di negara-negara jiran.

Kita bukan tidak mahu menjadi pengguna yang bijak kerana soal harga bukan bergantung kepada kebijaksanaan, ia berada di luar kawalan kita. Sejauh mana yang boleh, kita cubalah berjimat dalam perbelanjaan hidup. Beli apa yang perlu dan jauhkan daripada berbelanja untuk benda yang kita tidak begitu memerlukannya.


1 comment:

Anonymous said...

kalau kos hidup meningkat jual kereta pakai moto, kalau tak larat hidup di KL balik kampung tanam jagung, hanya yang korup cukup duit