Wednesday, April 16, 2008

Antara Benggali, Punjabi dan Sikh



Nada marah segelintir kaum Sikh (Punjabi) yang diapi-apikan oleh sebuah akhbar tempatan nampaknya tak ubah seperti ada udang di sebalik batu. Kita ingin tahu apa tujuan dan niat sebenar akhbar berkenaan (NST) terhadap YAB Menteri Besar Perak, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin?

Betulkah kaum Sikh marahkan MB Perak itu kerana menggunakan perkataan Benggali apabila merujuk kepada kaum Sikh sempena perayaan Vasakhi di Ipoh?


Kita menyanjung tinggi pendirian tokoh politik DAP Karpal Singh yang menyifatkan isu tersebut sebagai remeh dan Mohammad Nizar tidak sekali-kali berbuat demikian untuk menghina kaum Sikh.


Kita akui bahawa Benggali tidak merujuk kepada kaum Sikh tetapi kepada kaum pribumi sebuah negeri bernama Benggala (Bengal dalam bahasa Inggeris) di India. Kaum Sikh berasal dari negeri Punjab yang sebahagiannya berada dalam wilayah India dan sebahagian lagi dalam wilayah Pakistan.

Kita juga tahu bukan semua orang Punjab yang disebut Punjabi dalam bahasa Inggeris itu beragama Sikh. Apa yang beragama Islam, ada yang menganuti ajaran Hindu dan ada juga yang berfahaman Nasrani atau Kristian.

Tetapi, entah kenapa dan sejak zaman-berzaman, orang Melayu merujuk kepada orang Sikh sebagai Benggali. Saya sendiri tidak tahu asal usul rujukan tersebut tetapi dalam hikayat dan sejarah lama, orang Melayu turut merujuk kepada orang Portugis atau Feringgi sebagai Benggali Puteh. Kita semua tahu orang Portugis bukan dari India tetapi kenapa orang Melayu ketika itu merujuk kepada mereka sebagai Benggali Puteh? Salah satu sebabnya ialah orang Portugis yang ke Melaka ketika itu menyimpan janggut sama seperti orang Sikh dan mereka ke semenanjung Melayu melalui India (Goa).

Di Pulau Pinang terdapat sejenis roti yang diberi nama roti Benggali sedangkan yang membuat roti itu bukan orang dari Benggal ataupun orang Sikh. Ada juga masjid yang digelar Masjid Benggali dan ia berkemungkinan dibina atau dikuasai oleh orang yang berasal dari Benggal yang beragama Islam. Tidak pula timbul masalah atau polemik berkaitan perkataan itu walaupun ia tiada kaitan dengan orang Sikh.

Perkataan Benggali tidak seharusnya dijadikan satu isu atau polemik politik oleh pihak media kerana ia adalah satu perkataan yang sudah sebati di kalangan majoriti orang Melayu. Benar, ia tidak seharusnya dirujuk kepada orang Sikh dari Punjab, tetapi sejak dahulu lagi, orang Melayu merujuk kepada mereka sebagai Benggali. Ia adalah satu kesilapan dan kita akui akan kesilapan itu.

Ia bukan sesuatu yang amat serius atau yang menghinakan mana-mana pihak. Ia adalah kesilapan yang tidak disengajakan dan seperti yang saya katakan, ia sudah sebati di kalangan orang Melayu. Ia seharusnya dimaafkan dan bukan dijadikan satu isu perkauman atau sengaja diperbesar-besarkan untuk menjatuh air muka seseorang pemimpin seperti MB Perak oleh pihak media.

Selain perkataan Benggali, kita juga sering melakukan kesilapan apabila merujuk kepada orang dari selatan India sebagai orang Hindu. Hindu adalah agama (kepercayaan) dan bukan bangsa. Bukan semua orang dari selatan India beragama Hindu. Ada yang beragama Islam dan ada yang beragama Nasrani. Tetapi, kita masih melakukan kesilapan dengan merujuk kepada mereka sebagai Hindu.

Kita juga merujuk kepada orang Eropah sebagai Orang Putih atau Mat Salleh. Ia bukan satu kesilapan tetapi satu rujukan yang khusus ditujukan kepada orang Eropah tanpa mengira sama ada mereka orang Inggeris, Jerman, Perancis, Sepanyol, Portugis ataupun Itali. Ia sudah menjadi sebati di kalangan orang Melayu untuk merujuk kepada mereka sebagai Orang Putih atau Mat Salleh. Begitu juga dengan perkataan Benggali walupun ia tidak betul tetapi sudah menjadi sebati.

15 comments:

Anonymous said...

Pak Syed,

Soal sebutan ini kalau nak diikutkan semua bangsa dan kaum ada gelaran masing-masing atau dalam perkataan lain yang merujuk kepada satu-satu kaum itu.
Orang-orang india akan marah apabila di sebut perkataan "keling" tetapi itu adalah bahasa sebutan dari zaman saya kecil-kecil dahulu hinggalah umur sudah setengah abad tetapi panggilan itu masih digunakan untuk merujuk kepada kaum India.
Begitu juga Bengali atai "Bai" digunakan untuk memanggil kaum sikh ini. saya pun baru sahaja tau kaum sikh marah apabila dipanggil Bengali.
Sedikit masa dahulu orang-orang Indonesia membuat bantahan kepada kerajaan Malaysia kerana rakyat negara ini memanggil mereka "Indon" tetapi rakyat Jepun juga seharusnya membuat bantahan kepada kerajaan Indonesia kerana mereka (Indonesia) memanggil Jepun itu "Jepang"

Ini masalah pemahaman sahaja banyak lagi perkara besar yang harus kita fikirkan bukan perkara remeh seperti ini,jika tidak bersetuju suarakan "Talk first before you shout" jangan biarkan diri anda diheret ke kancang perkauman yang nampaknya di rancang oleh kumpulan tertentu untuk melaga-lagakan kaum-kaum di Malaysia. AWAS... berhati-hatilah

Kita ambil contoh Palestine dengan Israel pergolakan yang tiada penhujungnya ...selagi Israel tidak menghurmati hak Rakyat Palestine dan Rakyat Palestine tidak dapat mengiktiraf kewujudan Israel selagi itulah negara itu akan terlibat dalam kancah perperangan yang tiada penghujungnya.

United Muslim Organisation
Boikot Produk Belanda

Anonymous said...

Pak tuan,

inilah yang dikatakan mengada-ngada.. Benggali sekor ni mati sok takder saper pun nak memperjuangkan nasib orang benggali kat Mesia ..sume dah naik tochang ...

Anonymous said...

Orang Melayu juga mengenali Sikh sebagai Bai.Entah dari mana datangnya perkataan ini dan bagaimana ia dikaitkan dengan Bai.
http://xperienceoflife.blogspot.com/2008/04/of-sikh-singh-and-bengali.html.

Anonymous said...

Pak syed,

Nak panggey apa pun panggey la,
janji itu roti benggali Patchee Bakery Jalan Dato Kramat sama Maliaa Bakery Jalan Transfer mau dok ada sentiasa.

Kena pulak cicah dengan kuah gulai ikan tak pun dibakaq bubuh teloq separuh masak atasnya. Masyukkk.

** Maap la no pak syed, Sekadar sendalan. Sekali sekala kena jugak cakap hal2 yang "tak serius" supaya lebih rileks.

Haria Pak Syed

Anonymous said...

Alah itu pun nak jadi isu. Kalau tanye rata rata orang Cina, dia orang mesti kata oh itu olang bangkali (merujuk kpd orang Punjabi(sikh)).

Unknown said...

Benda ni jadi isu kerana yang bercakap adalah MB Kerajaan Pakatan Rakyat. Kalau MB Kerajaan BN yang buat silap, depa diam saja. Depa nampaknya nak cari salah dan silap kerajaan PR. Betoi, orang Cina kata macam tu.

Kepada Peminat Roti Benggali, hang buat aku teliok... balik Penang mesti pekena kalau tidak tak sah!

Kepada Zack dan UMO (Boikot Produk Belanda), terima kasih.

Anonymous said...

Bukan saja orang punjabi dipanggil benggali orang keturunan pathan pun dipanggil benggali. Rasanya, perkataan Bai tu datang dari "Bhai" yang beerti Abang. Masih ingat rocker Man Bai? Ha! Kan rupa macam "Benggali" tu!! Seperti yang Pak Syed explained, orang melayu, asalkan rupa seperti bintang filem hindustan, benggali lah orang tu.

Unknown said...

Betul, Bai berakar umbi perkataan itu yang bermaksud abang.

Masa kanak-kanak lama dahulu, saya masih ingat satu permainan iaitu apabila nampak orang Sikh kena kata "cup Pak Bai". Kenapa? Sayapun tak tau!

Anonymous said...

Bhai maksudnya abang/brader dalam bahasa Urdu ( Pakistan) , Hindi dan Benggali ( Bangladesh )

Anonymous said...

awat pasai sebutan turun menurun pun depa dok jadi hingaq ka .. apa ra .. tak da kerja la, mai la tidoq ...

Unknown said...

Saya menerima satu e-mel daripada seorang pembaca dari Pulau Pinang yang membahasakan dirinya sebagai Ali - Anak Benggali Tanjung. Beliau telah membetulkan salah faham atau pengertian tentang asalnya moniker Bengali. Oleh kerana ulasan dapat menambahkan lagi maklumat berkaitan isu yang diperkatakan, maka saya perturunkan sepenuhnya isi kandungan e-melnya itu.

Kepada Saudara Ali - Anak Benggali Tanjung - saya ucapkan terima kasih dan ulasan saudara amat dihargai.

Berikut adalah ulasan Sdr Ali:


Assalamualaikum warahmatullahi wabaraqatuh,

Tuan Syed,

Saya ingin memperbetulkan misconception tentang asalnya moniker Bengali yang dilabelkan keatas orang-orang Sikh/Punjabi.

Penjelasan ini merangkumi beberapa fakta sejarah yang berhubung-kait:

1. Semasa zaman Sultan Melaka dulu, pedagang dan penumpang kapal dagangan dari India barat yang datang ke Melaka biasanya singgah di Calicut di Kerala (bukan Culcutta, walaupun hampir sama nama bandar pelabuhan ini) dan kemudian singgah sekali lagi di Culcutta Bengal sebagai tempat menambah stok makanan dan air (dan kemudian arang batu) sebelum meneruskan pelayaran ke rantau di sebelah ini. Kapal juga akan berlabuh di Culcutta sementara menunggu penukaran angin monsun bagi pelayaran. Inilah asal-usulnya pengenalan perkataan Benggali ini.

2. Kebanyakan kelasi dan nakhoda kapal serta pendakwah Islam pada ketika itu juga banyak berjanggut dan memakai penutup kepala yang berupa "serban". Malah, orang-orang Portugis yang menakluki Melak juga berpengkalan di Calicut, dan mereka dikenali dengan moniker Benggali putih, sebab kulit mereka yang cerah.

3. Penaklukan British di India dan pengenalan rangkaian keretapi telah mengubah sistem transportasi di benua India, dimana masa pelayaran dapat dipendekkan jika seseorang itu menaiki keretapi dari barat India ke timur dan rangkaian keretapi ini berhenti di Calcutta, juga di daerah Bengal. Maka ini juga menguatkan lagi penggunaan moniker Benggali ni. (English Bengali = dari Bengal)

4. Seterusnya, sistem pengangkutan British dari India ke Tanah Melayu ketika itu dimonopoli oleh sebuah Syarikat British - Bengal Steamship Company - yang ditumpangi oleh mereka dari India. Benggali di sini juga merujuk kepada penumpang-penumpang dan kelasi kapal-kapal tersebut.

5. Roti Benggali sebenarnya berasal dari roti tepung gandum yang dimakan diatas kapal-kapal berkenaan - (tepung atta atau capati cepat berulat diatas suasana kapal). Tepung gandum juga lebih ringan tapi volumenya dapat besarkan dengan air yang banyak jika dibandingkan dengan tepung atta atau capati yang asal (rye/millet/sorghum/jagung/gandum durum).

Sekian adanya. Wallhualam.

Salam dari saya.

***ali***
Anak Benggali Tanjung .....

Anonymous said...

Some good will come out of this episode as it will make it clear that Sikhs are Sikhs and not bengalis - even though the latter is not a bad word in any sense.

But I agree that Karpal Singh was right in saying it was a honest mistake and should not be made an issue...after all the MB did apologise for his 'slip of the tongue'. Any "Sikhs" trying to make an issue of this honest slip are just doing it to bignote themselves.

I think the MB should be thanked for his attitude of "inclusiveness" in ensuring that the people of rakyat are treated as important. he did that with the Sikhs and has done so with Christians, etc.

He is a good man. And yes, I'm a Sikh.

Anonymous said...

Okay, disebabkan saya ini Sikh, saya boleh jawab beberapa soalan sekalian..
1st, kaum Sikh sebenarnya tidak suka dengan panggilan Bengali ini kerana Bengali merupakan kaum yang lain sama sekali, kebanyakkannya berasal drpd Bangladesh ataupun barat india kalau saya tak silap manakala orang punjabi berasal daripada wilayah Punjab yang sebahagiannya di utara India dan selebihnya di selatan Pakistan.
2nd, Kaum Sikh selalunya tidak ada masalah dengan panggilan Bai. Hal ini kerana, Bai atau BHAI(dlm bahasa hindi dan punjabi) membawa maksud ABANG(brother).
3rd, walaubagaimanapun semestinya kaum kami yang terkenal di persada dunia dengan filem2 bwood ingin menghentikan persepsi persepsi yang salah dan mewujudkan identiti sendiri di malaysia. Ramai yang masih tidak tahu perkataan PUNJABI. Mereka hanya dapat clue apabila kita menjelaskan dengan menggunakan perkataan SINGH ataupun Bengali..
Singh merupakan nama tengah/akhir bagi seseorang lelaki yang beragama SIkh manakala KAUR merupakan nama tengah/akhir bagi seseorang wanita yang beragama SIKH.
Orang benggali bertutur dlm bahasa bengali yang agak sukar untuk difahami oleh orang punjabi. manakala, orang punjabi pula bertutur dalam bahasa Punjabi, HINDI dan Urdu.

Anonymous said...

Assalamualaikum.. Benggali adalah bangsa dan bahasa peribumi bangladesh... Sebab tu bangladesh bhai saab hairan kenapa sikh atau punjabi dipanggil benggali.. tetapi orang malaysia panggil diorang bangla (with a cynical sound). Paling diorang hairan kenapa ada roti benggali sedangkan diorang tak penah jumpa pun kat bangladesh... he he.. same goes to keling or kaling... sepatutnya ia merujuk kepada india muslim tetapi ramai merujuk india beraga hindu pun keling... banyak berjalan luas pandangan...insyaallah

Anonymous said...

Benggali tu sebenarnya Bangaladesh...Bahasa Punjabi tu lain sikit daripada bahasa Bengali.Bengali,Punjabi,Gujarati dan Tamil bahasa je lain tapi keturunan sama jew.cite habis.