Wednesday, March 21, 2007

Kenapalah dengki sangat dengan penulis blog!


Lepas seorang, seorang menteri menjadikan blog, atau lebih tepat lagi penulis-penulis blog, sebagai sasaran tembakan rambang. Lebih daripada itu, ada pula "arahan" daripada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri kepada para editor surat khabar "lama" dan baru supaya jangan menjadikan penulisan dalam blog sebagai sumber.


Kenapalah takut sangat dengan penulisan dalam blog yang semakin hari semakin bertambah jumlahnya. Bukan semua penulisan tidak berasas, khabar angin atau omongan kosong. Jika benar, takkan pak-pak menteri nak melompat seperti si kodok cuba menyelamatkan diri daripada menjadi rezeki sang ular!


Yang terkini menyentuh penulisan blog tak lain dan tak bukan "Tokoh Wartawan" dan menteri penerangan Zainuddin Maidin yang dahpun selesa dengan gelaran Datuk Serinya. Sebagai mantan seorang wartawan, yang pada satu ketika telah dihanyutkan ke awang-awangan, Nana tentu lebih memahaminya berbanding dengan menteri lain.

Nana ZAM mengingatkan surat khabar supaya jangan menjadikan sumber penulisan blog untuk dijadikan bahan berita atau susulan berita. Jangan beri publisiti kepada blog kerana mereka bukan wartawan, tidak ada kredibiliti dan bukan autoriti. Nampaknya, Nana ZAM masih ketinggalan zaman, ramai penulis blog adalah wartawan, antaranya bukan calang-calang wartawan.


Apakah tidak mungkin Nana ZAM juga mengisi ruang dalam dunia siber andai kata mantan PM Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak membawanya ke dunia politik sehingga kini dia bergelar menteri! Renung-renungkanlah wahai Nana!


Nana ZAM tentu sedar atau sengaja buat tak sedar bahawa semakin banyak orang yang lebih suka melayari dan membaca penulisan dalam blog daripada membaca surat khabar, termasuk yang disebut sebagai "arus perdana". Pelawat-pelawat blog bukan sahaja dari dalam negeri bahkan luar negeri, terutama para pelajar dan rakyat Malaysia. Inilah maklum balas yang saya terima dari seberang laut.


Kita hidup pada zaman siber, wahai Nana, dunia kita dah tak bersempadan. Kita tidak dapat menyekat kehebatan aliran masuk dan keluar maklumat yang jauh lebih pantas dan diperolehi di hujung jari!


Zaman "Aci aci buka pintu, nana balik pukul satu, jangan takut burung hantu, nana ada tongkat semambu!" dah lama berlalu. Zaman sekarang, wahai Nana ZAM, manusia tak takut hantu sebab manusia dah jadi hantu!

4 comments:

Anonymous said...

Pelik kenyataan Nana Zam ni memandangkan kerajaan sebenarnya sudah memandang serius nukilan bloggers di dalam laman maya.

Contohnya:
1. Kes Datuk Johari Baharum dikaitkan dengan pendedahan dalam blog misteri yang tidak diketahui asal usul ataupun penulisnya.
2. Begitu juga dengan kes Ketua Pengarah BPR.
3. DPM baru-baru ini menidakkan laporan blog yang mengatakan dia sudah tidak sehaluan dengan PM.


Jelas pengaruh blog yang makin diambil berat oleh masyarakat Malaysia yang mahukan berita telus.

Ataupun mungkin sebenarnya kerajaan hanya akan memandang serius jika blog itu membawa kepentingannya.

Tetapi pada pendapat saya, lebih banyak pernyataan mengenai blog, samaada menidakkan atau menyokong blog akan membawa lebih tumpuan kepada blog dari rakyat.

Saya setuju dengan kenyataan Tuan Syed, kita hidup tanpa sempadan. Untuk menidakkan kehadiran blog, samalah dengan kita menyekat kemajuan teknologi. Samalah dengan kita menyuruh rakyat menutup telefon bimbit kerana SMS itu juga bukan daripada mereka yang bukan "autoriti".

Sebenarnya, agak sedih mendengar mesej Nana Zam itu kerana sebagai Menteri Penerangan, beliau seharusnya membawa Kementeriannya ke tahap global untuk menjadi negara maju seperti yang telah diwarwarkan dalam Wawasan 2020. Tetapi dengan kenyataan seperti ini, Kementerian Penerangan Malaysia nampaknya berpatah balik 20 tahun ke belakang. Mungkin lepas ini, Kementeriannya akan memasang wayang-wayang di kampung-kampung seperti lewat 70an dulu.

Anonymous said...

Pak Tuan,

Kalau kita percaya dan bersetuju dengan Tokoh Wartawan Negara (TWN) maka segala kenyataan yang dibuat oleh Abdullah Haji Ahmad mengenai pembelian kapalterbang A319 CJ dan Musa Hassan mengenai kes terhadap KP ACA adalah tidak benarlah. Ini adalah kerana kedua-da kes ini disebut oleh kedua-dua mereka dipetik daripada laman blog. Sekiranya laman blog tidak boleh dipercayai makan tidaklah perlu dinafikan berita-berita yang dikeluarkan di sini, bukankah begitu?

Saya berpendapat bahwa TWN perlu diberi penerangan terperinci (bukan oleh orang2nya di angkasapuri kerana kita tahu apa yang mereka dok buat setiap hari) akan pengaruh laman blog dan masa depan kewartawanan siber, satu daripada dimensi kewartawanan yang selama ini hanya dikenali oleh TWN sebagai media cetak dan elektronik. Dimensi baru ialah media siber. Media elektronik pun adalah baru bagi TWN kerana selama beberapa tahun beliau hanya bergelumang dengan media cetak dan di tempat yang sama. Disebabkan pengalaman beliau yang agak singkat dalam media elektronik maka kita harus memaafkan beliau apabila beliau tidak begitu mengetahui atau mahir dengan selok-belok media elektronik. Sekiranya tidak masakan beliau masih membenarkan RTM berada dalam keadaan 1980an (sebelum kedatangan Tok Mat ke Angkasapuri) sedangkan pesaing-pesaing RTM atau lebih tepat penanda-aras RTM seperti AlJazeera, ABC dan BBC sudah maju jauh berpuluh tahun. Rangkaian Media Prima bukanlah pesaing RTM akana tetapi pada pandangan TWN rangkaian itu adalah pesaing utama. Ini mencerminkan tahap minda TWN yang belum tahu kemampuan sebenar RTM. Pengaruh RTM adalah lebih besar dan lebih dashyat sekiranya kita tahu bagaimana hendak mengoptimumkan kemampuan sebenar RTM yang sepatutnya disebut dan diberi jolokan Rangkaian Terkemuka Malaysia (RTM) dan bukannya Rancangan Tidak Menarik (RTM), Rangkaian Tidak Munasabah (RTM) dan Ramai Tidak Menonton (RTM) atau Rehat Tunggu Mati(RTM) seperti lawak RTM yang selalu orang sebut. Dahulunya diberi jolokan Rumah Tok Mat (RTM) apabila Tan Sri Mohamed Rahmat amat sinonim dengan RTM, seperti juga Mohamed Rahmat Minister of Information Personafied.

Berbalik kepada media siber, sekiranya ianya tidak berwibawa, tidak boleh dipercayai dan kilang fitnah maka tidaklah ia kini menjadi genre media yang paling diminati dan mesti-baca dalam santapan minda rakyat di seluruh dunia termasuk malaysia. Disebabkan kini 11 juta rakyat negara ini sudah berikat (wired) maka pengaruh media siber dijangka akan lebih meluas dan lebih berpengaruh. Justeru, kita tidaklah hairan akan kebimbangan TWN mengenai media baru ini.

Saya hanya bersetuju dengan pendapat beberapa menteri bahawa ada antara perawi maya ini yang bersikap seperti tidak bertanggungjawab, akan tetapi majoritinya adalah berkewibawaan dan merupakan bekas wartawan yang sudah masak dan lali dengan pelbagai akta dan peraturan mengenai media semasa mereka bertugas seketika dahulu. Masakan mereka akan cepat lupa semua ini. hanya yang tidak pernah bertugas sahaja yang akan terbawa-bawa dengan pengaruh media siber yang akhirnya membawa mereka ke dunia fitnah, nista-cerca dan lucah. Media siber amatlah berpengaruh dan akan lebih berpengaruh dan akan menjadi antara medan pertempuran untuk pilihanraya umum yang akan datang.

Zaki Tok Tam
Anakbukit, Alor Setar, Kedah

Lokin said...

Pak Tuan Kuda

Komen Pak Tuan memang ada asasnya. Seorang mantan wartawan tidak semestinya "wartawan" pada jiwanya meskipun seorang "tokoh wartawan" seperti menteri ini. Apakah asas jati diri seorang wartawan, jika Pak Menteri masih boleh bisa mengingat? Hanya kerana dia kini bergelar pak menteri maka segalanya lebur menjadi abu? Begitu mudah "maruah" dibeli dengan wang ringgit.

Wahai Pak Menteri, bukankah kamu pernah berjanji akan mengotakan apa yang dikata? Menyatakan kebenaran walau amat pahit untuk ditelan? Bagaimana kini kuasa bisa mengubah haluan?

Tepukan paling gemuruh untuk seorang "Tokoh Wartawan"! Moga namamu harum dalam kenangan.

Anonymous said...

haaa, betui kata hang. mmg pelawat blog banyak jugak dari luar negara. sikit hari pelajar sume balik malaysia pastu amik pangkat-pangkat, kirim salamlah kronisme and shit-tisme khairy and anjing-anjingnya. jangan ingat pelajar luar negara senang dirasuah macam johari and zulkipli.