Thursday, March 29, 2007

Selamat Menyambut Maulid-ur-Rasul


Sambutan maulid atau hari keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. tetap dan akan terus mendapat sambutan umat Islam seantero dunia pada 12 Rabi-ul-Awwal. Tahun ini, maulid jatuh pada hari Sabtu, 31 Mac dan majlis peringkat kebangsaan diadakan di Kompleks Sukan Negara (Stadium Putra), Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Majlis maulid dimulakan di Nusantara oleh para ulama dan pendakwah dari Hadhramaut, Yaman. Ia bertujuan semata-mata untuk mengenang Junjungan Nabi s.a.w. dan menyebar sebutan nama baginda yang mulia lagi berkat, nama yang tertulis di dedaun syurga dan di bawah arsy Malikur Rahman.

Majlis maulid tidak menjejas akidah, tidak merosakkan iman dan tidak pula merupakan satu acara pemujaan seperti yang didakwa oleh golongan tertentu yang menganggapnya sebagai bida'ah.

Golongan ini melarang sambutan atau majlis maulid sedangkan dalam keadaan dan keperluan tertentu, mereka meraikan hari keputeraan raja atau pembesar negara, hari kelahiran orang yang dikasihi dan ada kalanya hari kelahiran mereka sendiri.

Jadi, kenapa hari keputeraan Junjungan Nabi s.a.w. yang diutus oleh Allah untuk menyelamatkan umat manusia tidak boleh diperingati melalui perhimpunan yang dipenuhi dengan ucapan-ucapan dan ungkapan-ungkapan selawat serta salam, pengkisahan sejarah hidup serta puji-pujian kepada Pesuruh Allah!

Allahumma Salli'ala Saiyidina Muhammad, wa'alaa aalihi wa sahbihi wa Sallim.

1 comment:

Anonymous said...

Pak Tuan Syed Imran,

Selamat Menyambut Maulidul Rasul buat Pak Tuan, TomPah dan keluarga. Kami di Anakbukit semuanya sihat-sihat sahaja. Insyallah andai dizinkanNya akan saya sekeluarga ke Masjid Anakbukit untuk bersama-sama menghadiri majlis ilmu yang topiknya amatlah jelas dan benar sempena dengan sambutan di atas.

Namun, seperkara yang ingin saya utarakan di sini ialah pada penceramah baik yang muda dan tua masih belum menganjak paradigma masing-masing dan masih dalam kelompok pemikiran lama dan mereka sealiran dalam hal ini. Yang ingin saya maksudkan ialah setiap kali diadakan majlis sambutan maulidul rasul maka topik lama mengenai Rasulullah SAW iaitu asal usulnya dan perjalanan Baginda dalam menyebarkan syiar Islam akan berkumandang. Ini tidak hanya di masjid dekat dengan kampung saya malahan di Masjid Zahir Alor Setar yang saya amat banggai dan kagumi pun terbabit dengan budaya lama ini. Tidak ada cerita baru mengenai Nabu Muhammad melainkan kisah kelahiran Baginda, perjalanan Baginda dan perjuangannya dan topik ini yang diceritakan secara am. Yang membezakan kaedah penyampaian ialah mutu suara, mimik muka, intonasi suara dan gaya bercerta. Saya yang sudah berumur 42 tahun ini masih lagi ingat bahawa cerita yang sama diceritakan sejak zaman berzaman malahan sejak dari zaman saya kecil, remaja, bujang dan zaman berumahtangga. Ceritanya tidak lebih dan tidak kurang daripada apa yang saya baca dalam kisah riwayat para rasul dan nabi sejak kecil sampai sekarang. Macamlah tidak ada modal lain. Apakah ini sahaja yang mereka mampu?

Sekiranya ustaz-ustaz kita ni berfikiran "luar-daripada-kotak" maka apa salahnya dan mungkin tiba masanya para penceramah ini mengangkat dimensi dan memartabatkan pengkisahan riwayat hidup Rasulullah SAW sebagai seorang Kepala atau Pemerintah Perang, Pakar Ekonomi, Diplomat Agung, Pemimpin Politik Terulung zaman baginda, Perunding Agung dan pelbagai lagi. Saya ingin mendengar cerita daripada Al-Quran mengenai Nabi Muhammad sebagai Pemerintah Perang yang terbabit dalam pelbagai kempen ketenteraan seperti Perang Uhud, Perang Khandak, Perang Badar dan pelbagai lagi kempen semantara saya ingin mendengar kisah Nabi Muhammad SAW sebagai Diplomat Agung yang memperkenalkan Piagam Madinah, perlembagaan yang pertama di dunia iaitu perlembagaan yang jauh lebih lengkap dan hebat serta dihormati daripada Magna Carta di England dan Kanun Republik Kerajaan Rom. Baginda juga dalam kapasitinya sebagai Pemimpin Politik terbabit dengan Perjanjian Hubaidiyah (atau Hudaibiah?, maaf saya hanya penuntut ilmu) dan pelbagai lagi perjanjian, persefahaman dan kerjasama berbentuk politik dan sosial antara umat Islam dan bukan Islam di zaman baginda. Sebagai strategis perang dan pemerintah perang Baginda telah terbabit dengan pelbagai kempen ketenteraan yang jauh lebih hebat daripada kisah-kisah Napoleon Bonaparte, Horatio Nelson, Ulyses S.Grant, Eisenhower dan Raja Leonidas dari Sparta. Strategi Baginda di medan peperangan adalah jauh lebih hebat daripada Iskandar Zulkarnain (sekiranya benarlah wujudnya manusia ini!) atau Alexander The Great atau Richard The Lion Heart atapun William Wallace di Scotland. Kepakaran Baginda dalam mengepalai tentera Islam khususnya di Perang Badar di mana jumlah tentera Islam jauh lebih kecil berbanding dengan jumlah tentera musuh Islam dan saya rasa kepakaran Baginda di medan perang adalah jauh lebih hebat daripada Salahuddin Al-Ayubi di Perang Salib Baitulmukkadis.

Ternyata untuk seorang hamba Allah yang dikatakan buta huruf mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang seperti ini adalah sesuatu yang cukup menakjubkan. Tidaklah perlu diceritakan kisah-kisah menarik ini yang amat ternyata berbeza dengan nabi-nabi sebelum Baginda? Ambil sahajalah contoh Nabi Isa A.S, Nabi Musa A.S., Nabi Ibrahim A.S., Nabi Sulaimah A.S. dan Nabi Daud A.S. yang hanya merupakan utusan dan pesuruh Allah semata-mata yang terbabit dengan pengembangan agama suci Allah? Seandainya Nabi Isa mempunyai kaliber-kaliber seperti Nabi Muhamamd SAW maka saya amat pasti orang Kristian yang menjadikan amalan mereka berdasarkan kepada ajaran Nabi Isa akan "spin" bahawa pesuruh Allah itu lebih besar daripada jiwanya, iaitu "larger-than-life". Disebabkan kemampuan Nabi Isa hanya tertakluk kepada urusan pengembangan agama maka baginda hanya dikisahkan sebagai tokoh agama. Sekiranya Nabi Isa S.A. sehebat Nabi Muhammad SAW ataupun setidak-tidaknya setengah hebat daripada Nabi Muhammad SAW maka orang kristian akan mempropagandakan imej Baginda untuk menjadi jauh lebih hebat daripada yang ada dalam Kitab Injil. Begitu juga dengan Nabi Musa A.S. dan Nabi Daud A.S. yang didakwa oleh kaum Yahudi sebagai rasuk mereka. Ini amatlah berbeza dengan Nabi Muhammad SAW yang berpelbagai kaliber dan mempunyai karisma agung sebagai khalifah umatnya. Baginda berada di depan barisan tenteranya di medan perang sebagai pemerintah, Baginda mengimamkan solat, Baginda membaca khutbah, Baginda mengepalai rundingan damai, Baginda adalah arkitek kepada piagam yang agung yang masih wujud sehingga ke hari ini, Baginda Pakar Motivasi, Baginda Kaunselor Sosial dan Baginda adalah Tokoh dan Pakar Ekonomi bagi umatnya dan pelbagai lagi.

Bagi saya ini merupakan asas-asas penting (fundamental) yang penting dan kukuh yang perlu diceritakan kepada kita semua. Nescaya banyaklah kisah-kisah menarik yang ingin kita semua tahu bagaimana Baginda mampu melakukan semua ini semasa hayatnya. Ini sungguh menakjubkan dan kisah-kisah ini perlu disegarkan dalam sanubari umat Islam sehinggalah ke akhir zaman.

Saya berpendapat bahawa sudah sampai masanya para ustaz kita dan ulamak mengangkat dimensi pengkisahan riwayat hidup Nabi Muhammad SAW yang tidak perlu pun "di-spin" lagi kerana ianya adalah cerita dan kisah yang benar dan sahih. Ambilah kesempatan sempena perayaan Maulidul Rasul ini untuk menganjak paradigma dan ianya hendaklah bermula di masjid, pusat segala kegiatan umat Islam. Inilah masanya dan inilah ketikanya. Dan sekiranya boleh, berubahlah modal cerita daripada kisah-kisah yang selalu didengar kepada kisah-kisah yang segar dan jauh lebuh hebat mengenai Nabi Muhamamd SAW.

Tidakkah begitu Pak Tuan?

zaki tok tam
anakbukit, alor setar, kedah