Sunday, March 11, 2007

Permasalahan moral di kalangan remaja; silap siapa?

Saya menerima penulisan ini daripada seorang remaja yang sering mengikuti blog ini dari Nashville, Amerika Syarikat. Penulis telah melontar persoalan dan permasalahan berkaitan remaja yang diikutinya dari jauh. Saya tidak menyunting tulisannya kerana itulah cetusan isi hatinya. -- Syed Imran


PERMASALAHAN MORAL DI KALANGAN REMAJA; SILAP SIAPA?

SAYA berasa sangat terpanggil untuk mengupas isu berkenaan permasalahan moral di kalangan remaja setelah saban hari dimomokkan dengan pelbagai karenah remaja yang semakin menakutkan di akhbar-akhbar utama negara. Jujurnya saya mengambil berat dan sensitif dengan hal ehwal remaja lantaran pelbagai faktor. Pertama saya menyedari bahawa saya juga berada di kalangan mereka, sebaya dan kedua saya sekadar ingin membuat gambaran terhadap para pewaris kepimpinan negara pada masa akan datang. Sesungguhnya, pada masa akan datang itu bukanlah seabad, atau sealaf yang akan datang, tetapi hanyalah sekitar 10 tahun atau 20 tahun yang akan menjelang.

Kemuncaknya, saya telah dimaklumkan oleh seorang kenalan yang memberitahu bahawa sekolah lama saya sendiri telah termuat di dalam akhbar tempatan lantaran telah berlakunya kes buli di kalangan pelajar sekolah terbabit.

Sepanjang lima tahun saya menuntut di sekolah tersebut belum pernah berita buli atau salah laku pelajar terpampang di dalam akhbar. Saya menyedari ketika saya menuntut di sekolah terbabit telah terdapatnya kes salah laku pelajar, tetapi bagi saya kejadian tersebut tidaklah sampai mencederakan pelajar yang terlibat dan masih pada tahap terkawal. Guru-guru juga mengambil pendekatan tegas dan tidak berkompromi terhadap permasalahan ini.

Justeru, apabila kes seperti ini terjadi, perkara tersebut telah menjadi satu indikator kepada saya berkenaan dengan mutu dan nilai budi para remaja ketika ini secara mutlak.

Namun, perlu diingatkan terlebih dahulu di sini bahawa seringkali terdapatnya media massa yang begitu banyak tersalah tafsir dan begitu lapar dengan berita-berita sensasi, lebih-lebih lagi perkara yang berlaku di sekolah yang dikatakan bagus dan indah pada pandangan masyarakat sekitar. Bukanlah saya mahu mendabik dada menghamburkan pujian berlebihan menyatakan bekas sekolah saya itu tersangatlah bagus, namun saya percaya bahawa begitulah yang terjadi dan kadangkala kejadian kecil telah sengaja diperbesar-besarkan dan perkara yang salah dan tidak dikaji dengan teliti telah dibetulkan dan seolah-olah benar berlaka. Saya menyokong kebebasan bersuara di kalangan masyarakat, namun perkara yang lebih penting ialah memastikan suara-suara yang kita laungkan itu bersifat benar dan tidak ditokok tambah secara membuta tuli.

Saya amat tertarik untuk mengupas suatu kes yang telah menggemparkan masyarakat nasional iaitu berkenaan kes pergaduhan ala samurai yang berlaku di sebuah sekolah di Manir, Terengganu. Perkara pertama yang bermain di benak pemikiran saya ialah jika dahulu kita menyangka wabak kebejatan moral hanya menyerang remaja di kawasan bandar, kini kita tidak boleh mempunyai mentaliti sebegitu lagi. Remaja yang tinggal di bandar-bandar kecil juga tidak terkecuali dan tidak terlepas, malah ad yang lebih parah. Saya pernah membaca suatu kajian yang membuktikan bahawa kes juvana yang terjadi di kawasan Felda juga ada mengatasi kes di sesetengah kawasan bandar dan ini merupakan suatu petanda yang membimbangkan.

Berbalik kepada kes pergaduhan ala samurai yang terjadi di sebuah sekolah pinggir bandar Kuala Terengganu, walaupun akhbar-akhbar utama negara tidak melaporkan secara terperinci kejadian yang berlaku, tetapi beberapa kepingan gambar yang saya peroleh daripada rakan-rakan amat mengejut dan menakutkan.

Sungguhpun Kementerian Pelajaran bersungguh-sungguh menafikan peristiwa itu, tetapi foto tersebut sudah cukup untuk menggambarkan betapa adanya sesetengah golongan remaja yang berada pada tahap kebejatan moral yang sangat-sangat membimbangkan dan memerlukan tindakan segera. Penafian oleh pihak kerajaan bukanlah perkara pokok yang mahu dibincangkan di sini, tetapi perkara yang lebih utama mengapa tercetusnya perkara seteruk begini?

Tidak lama selepas itu kita digemparkan pula dengan kajian oleh seorang pakar kanak-kanak dan remaja daripada Universiti Kebangsaan Malaysia iaitu Dr Khaidzir Ismail. Hasil kajiannya terhadap 887 pelajar perempuan yang berisiko tinggi di sebuah negeri telah menggoncangkan seluruh lapisan masyarakat. Daripada 887 pelajar, hanya seorang sahaja yang mengaku tidak pernah mengamalkan hubungan seks bebas!

Itu belum lagi dilihat pada pecahan yang melakukan aktiviti lain seperti mengambil minuman beralkohol, menonton video lucah, pontenbg sekolah dan sebagainya! Seperti biasa, kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat cuba memandang enteng dan sunyi terhadap permasalahan ini.

Hasil kajian Dr Khaidzir Ismail antara lain membuktikan bahawa kebanyakan mereka datang daripada keluarga yang bermasalah. Saya ternanti-nanti, apakah reaksi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) terhadap kajian itu? Adakah kebimbangan mereka setanding atau mengatasi tahap kebimbangan jika anak-anak mereka tidak mendapat keputusan 5A di dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) atau tidak mencapai 10 atau 11 A di dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)?

Sejujurnya, saya amat yakin dan percaya bahawa institusi keluarga merupakan institusi yang cukup penting dan ampuh dalam melahirkan remaja yang berkualiti dan berjaya. Saya amat menyanjung tinggi terhadap institusi kekeluargaan dan amat percaya bahawa setiap perkara yang membentuk sikap dan diri remaja itu kebanyakannya merupakan acuan ibu bapa mereka. Saya tidak menolak bahawa terdapat juga remaja yang berjaya yang datang daripada keluarga yang bermasalah, benar, tetapi bagi saya lumrahnya mereka hanyalah mewakili sebilangan kecil remaja dan berapa ramaikah remaja yang mampu bertatih menanggung onak, duri dan rintangan untuk berjaya? Mereka masih muda, mentah dan masih mendambakan perhatian yang secukupnya daripada keluarga. Mereka sewajarnya diberi kasih sayang, tunjuk ajar serta model yang terbaik ke arah pembentukan peribadi yang mulia, bukannya dengan cara mewujudkan suasana yang tidak sihat di dalam keluarga.

Saya sangat bersimpati dengan rakan-rakan remaja yang lahir dalam keluarga yang bermasalah. Mereka memiliki potensi, intelektual, bakat dan sinar yang terang, namun telah dimalapkan oleh permasalahan yang dicipta sendiri oleh kedua ibu bapa mereka. Kelak, saya bimbang bahawa gejala ini akan terus menerus berlarutan pada generasi demi generasi.

Saya memerhatikan bahawa impak sistem pendidikan terhadap nilai akal budi di kalangan remaja masih belum cukup berkesan dan mendalam. Kita menyaksikan bahawa matapelajaran Agama Islam atau Pendidikan Moral merupakan antara matapelajaran wajib dipelajari di sekolah rendah atau menengah, namun kes juvana, rogol, vandalisme dan sebagainya terus menerus meningkat. Bukanlah saya mahu menyatakan bahawa kandungan subjek-subjek tersebut tidak relevan dan tidak selari dengan kehendak semasa. Tidak. Tetapi apa yang sangat membimbangkan saya ialah para pelajar hanya mempelajari subjek-subjek sebegini hanya untuk melengkapkan gred A di dalam sijil peperiksaan mereka.

Saya menyanjung tinggi pelajar yang memperolehi keputusan yang gemilang terbilang di dalam peperiksaan mereka, namun apalah gunanya gred A yang berderet-deret sekiranya nilai-nilai murni, hukum-hakam agama serta perilaku-perilaku bermoral yang diterapkan oleh subjek-subjek tersebut langsung tidak mampu terperap pada diri mereka?

Pokok pangkalnya ialah pada institusi keluarga juga. Pertama, kita menyedari bahawa sudah tercipta budaya kini, masyarakat melakukan transformasi ke arah mementingkan pendidikan terhadap anak-anak mereka. Bagus dan selayaknya pujian perlu dihamburkan kepada mereka. Namun, bagi saya ada sesuatu yang tidak kena jika terjadinya kes anak remaja membunuh diri lantaran gagal melakar kejayaan di dalam peperiksaan. Tekanan berlebihan oleh masyarakat termasuk oleh keluarga mereka sendiri telah membebankan para remaja dan hasilnya, akan lahirlah para remaja yang tidak berjiwa dan hanya menuntut ilmu bagi memperoleh kepentingan-kepentingan yang sementara. Keluarga atau masyarakat seharusnya memberi lebih banyak peluang kepada anak-anak mereka untuk membuktikan potensi diri mereka untuk berjaya. Kejayaan tidak hanya tercipta di medan peperiksaan yang menguji sejauh mana kemampuan mengaplikasikan formula dan kemahiran menghafal semata-mata. Malah kejayaan juga perlu diukur melalui pemerkasaan akal dan budi dalam membentuk remaja yang bersahsiah.

Remaja yang memiliki kerohanian yang suci bestari, disusuli dengan kemampuan dan kawalan emosi dan jasadi yang cocok dan seimbang serta dilengkapkan dengan keintelektualan tahap tinggi melangit, merupakan impian peribadi saya dalam melihat generasi seusia saya kelak yang memacu kepimpinan dan kemajuan negara. Saya akan berasa gembira dan berbangga sekiranya Malaysia memiliki sejuta jurutera. Namun pada akhir dan zahirnya, kebanggaan saya itu tidak akan ke mana-mana sekiranya di kiri dan kanan saya terdapat berjuta-juta masyarakat yang rosak peribadinya.

Sekadar memetik kata-kata Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas, "Tamaddun yang sebenarnya ialah keadaan hidup insan yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakat."

Sekadar berkongsi rasa,

Amar Razali,
Nashville, TN.

4 comments:

Anonymous said...

The issue might be related with the one raised by an article from these citizens:

http://www.mykhilafah.com/sautun_nahdhah/web/2007/sn2007112_Gejala%20Sosial.htm

Unknown said...

Terima kasih.

Kepada yang berminat sila layari laman web yang diberikan dan hayatilah isi kandungan dan kupasan masalah yang diperkatakan.

Anonymous said...

Bagus! Ini diperlukan untuk kerajaan boleh mendapatkan cara-cara dan pengajaran kepada semua sekolah di mana-mana saja! Saya percaya! Saya berharap semua pelajar segera sedar tentang ini!

Anonymous said...

..Salam.. :)

--"pasai jalan jahudi memang saya tau sangat, sebab saya dulu pernah dok kat sana sekitar tahun 1984-1989
time tu saya cuma 7-12 tahun
kalu tak salah saya, penjaga kuboq tu at that time is hindu..
--sapa-sapa yang pernah dok kat sana?..
bagilah tau saya..mana tau, kita boleh 'REUNION BACK'..
time tu ada quarters telekom berderet..saya dok kat betoi-betoi depan kedai apek (lani tak dak dah kot)..
kalu tak salah saya ada sorang uncle digelar 'uncle robert' dok betui-betui sebelah kuboq tu..
cheerss..