Sunday, March 18, 2007

40 tahun tanpa bekalan air bersih, di mana keadilan?

Saya agak tergamam mendapat tahu menerusi siaran berita TV3 pukul 1.30 petang hari ini, 18 Mac, yang melaporkan keperitan penduduk di Kampung Tambalung, Kota Belud, Sabah, yang masih bergantung kepada sungai dan air hujan untuk bekalan air, iaitu untuk minum, memasak makanan, membasuh pakaian dan mandi.

Apa dah jadi dengan janji-janji yang diulang-ulang setiap kali menagaih undi rakyat semasa menghadapi pilihan raya?

Penduduk Kampung Tambalung tidak mendapat bekalan air bersih, walaupun berulang kali dipohon, sejak 40 tahun lalu. Sedih, memang sedih memandangkan pada tahun ini Malaysia akan menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-50, setengah abad. Ini bermakna penduduk Kampung Tambalung tersisih daripada arus pembangunan hakiki sejak Sabah merdeka melalui Malaysia pada tahun 1963.

Para pemimpin kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sabah begitu bangga dengan pembangunan fizikal yang dicapai selama ini. Bangga dengan Menara Berkembar Petronas, bangga dengan Lebuh Raya Utara-Selatan, bangga dengan Lapangan Terbang di Sepang dan di Kota Kinabalu, bangga dengan Litar F1, bangga dengan pelabuhan-pelabuhan di Tanjong Pelepas, di Pelabuhan Klang, di Kota Kinabalu dan bangga dengan kilang-kilang elektronik dan sebagainya.

Dalam kebanggaan itu, rupa-rupanya masih ada penduduk yang belum dapat menikmati bekalan air bersih, atau menikmati bekalan elektrik dan sistem jalan yang sempurna.

Apalah erti 50 tahun kegemilangan kemerdekaan. Di mana letaknya keadilan dalam pengagihan nikmat pembangunan. Di mana?

Saya masih ingat semangat dan cita-cita kerajaan yang dilontarkan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1982 semasa memperkenalkan dasar kependudukan Malaysia ke arah 70 juta penduduk.

Dalam mengatur strategi yang perlu untuk mencapai tujuan itu, kerajaan telahpun menjangkakan penggunaan air sebanyak 15.6 bilion meter padu. Kekurangan dijangkakan akan berlaku pada tahun 2000, iaitu tujuh tahun lalu, bagi jumlah penduduk sebanyak 21 juta. Sekarang, jumlah penduduk mencapai 26 juta.

Persoalan yang ingin saya ajukan ialah apakah kerajaan tidak mempunyai perancangan yang betul setelah dapat menjangkakan kekurangan bekalan air akan berlaku? Bukankah bekalan air merupakan hak asasi manusia untuk hidup?

Apakah jadahnya kita terus membekal air kepada Singapura sedangkan rakyat kita sendiri tidak dapat bekalan air bersih?

Kita juga ingin tahu apa dah jadi dengan dasar makanan, air dan pertanian yang dijanjikan oleh kerajaan. Kerajaan menyebut bahawa tekanan harus diberi ke atas kecukupan dari segi taburan, perubahan corak penggunaan dan juga ke atas peningkatan cara-cara penghasilan. Jika dasar ini dilaksanakan dengan betul, adil dan telus, masakan ada rakyat yang tidak mendapat bekalan air sejak 40 tahun lalu?

Malaysia mempunyai bermacam-macam kementerian dan agensi yang bermatlamat membasmi kemiskinan dan menaikkan taraf hidup rakyat. Kerajaan berjanji untuk mengadakan kemudahan-kemudahan asas yang cukup terutama bekalan air dan elektrik, tetapi setelah 50 tahun merdeka, kenapa masih ada kampung yang tidak mendapat bekalan air, bekalan elektrik dan sistem jalan yang sempurna?

Dalam kes Kampung Tambalung, jelas sekali bahawa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sabah telah gagal memenuhi tanggungjawab dan amanah kepada penduduk di situ yang masih belum diberi bekalan air bersih.

Adakah ini selari dengan slogan "Malaysia - Cemerlang, Gemilang dan Terbilang" atau memenuhi konsep dan pendekatan Islam Hadhari?

5 comments:

Hi&Lo said...

Syed Imran,

Kota Belud dibawah kawasan BN. Also stronghold of Salleh Said keruak, berkas KM Sabah dan Allahyarham bapanya TYT.

Unknown said...

Pak Tuan nampaknya bertanya-tanya tentang barang yang sudah lama hilang.

Pak Tuan orang besaq pun tanya di mana perginya barang yang hilang itu, bayangkan kutu macam saya..

Dekat hari-hari anak-anak kutu ini berkata, "tak adillah macam tu..." (saya merujuk kepada harga barang-barang yang hari-hari mengamuk dengan penuh histeria. Depa frust, pak depa tak pernah bagi duit yang selesa jumlahnya untuk menikmati hidup seperti yang depa harapkan. Barang naik harga, gaji pak depa tak naik-naik. Lalu depa pun kata, "tak adillah macam tu..." ).

Saya yakin ada majikan yang nak bagi gaji lebih sikit kat kutu-kutu macam saya ni, tapi belanja overhead pulak hari-hari tak pasai-pasai mengamuk tak tentu hala. Tak dan depa nak fikir soal menaikkan gaji kutu-kutu..

Lalu setiap hari orang bertanya "di mana keadilan"?

Sampai bila pun tak jumpak-jumpak! Ghaibul ghuyub!

Anonymous said...

Pak Tuan,

Saya tengok la semalam di Buletin Utama TV3 berita follow-up cerita sedih takdak air di Kota Belud tu. Nampaknya para penduduk amat perlukan pembelaan yang sewajarnya daripada parti pemerintah. Sedih jugak akan tetapi berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Jadi kat Sabah pulak tu, sebuah negeri yang kaya raya dengan hasil bumi.

Yang memeranjatkan saya ialah jagan cakap Pak Tuan dan saya yang terkejut dengan pendedahan Buletian Utama ini, ahli parlimen kota belud salleh said keruak pun terkejut. Ini maha mengejutkan. Akan tetapi tidaklah sukar untuk membuat kesimpulan. Ini semua kerana wakil rakyat tidak buat kerja la, mudah sahaja. Tak payah cakap lama-lama dan panjang-panjang kerana selama ini wakil rakyat dok sahaja. kalau mereka buat kerja masakan rakyat masih lagi menderita?

Kita boleh memaafkan nasib wakil rakyat sekiranya beliau adalah antara mereka adalah antara ribuan wakil rakyat yang tidak bernama yang selalunya dianggap tidak penting, hanya sekadar melengkapkan landskap politik sesebuah negeri. Akan tetapi ini adalah kawasan bekas ketua menteri Sabah! Saya tidak akan salah sekiranya saya menyifatkan wakil rakyat berkenaan tidak membuat kerja dan tidak layak lagi nak sua muka bagi parti memerintah memilih beliau lagi untuk pilihanraya akan datang. Berilah peluang kepada orang lain yang lebih layak dan lebih mampu membuat kerja. Ini adalah masalah lama dan biasa yang berlaku di negara kita ini. Dalam hal ini wakil rakyat berkenaan tidakpun mempunyai jawatan eksekutif maka beliau mempunyai masa yang lebih banyak untuk memberi tumpuan kepada masalah rakyat. Namun dalam hal ini, beliau seringkali berada di kuala lumpur dan sekiranya di sabahpun, hanya mungkin berlegar-legar di kota kinabalu dan tunjuk muka di kawasan hanya apabila ada majlis.

Ramai di antara wakil rakyat di Malaysia bersifat sedemikian termausklah daripada parti pembangkang. Ini adalah lumrah. Namun masih ada antara mereka yang benar-benar mengambil tahu akan nasib penduduk, pengundi dan kawasan mereka kerana mereka tahu bahawa manusia adalah berpegang kepada janji.

Mat Kodiang, Kedah

AFRAR YUNUS said...

saudara
keadaan ini adalah biasa bagi kepimpinan dalam BN. saya kira semasa saudara bekerja sebagau SUA pun begitu. semuanya diunder carpet kan. ia tak? tak ramai yang berani bersuara ketika masih memegang jawatan. kini kelantan dikatakan tertinggal di bawah PAS. Berapa lama Kelantan di bawah BN ? Mana pengkritik di masa itu saudara ? Saya tidak fikir isu kota belud satu yang luar biasa.

Anonymous said...

Pak cik Syed Imran,

Perkara sebeginilah yang amat-amat membimbangkan diri saya. Walaupun saya sudah lama tidak menonton berita-berita utama negara, tetapi dengan adanya perkara yang dilaporkan ini menandakan sikap pemimpin yang dipilih rakyat itu langsung tidak pernah berubah. Amanah yang dipertanggunjawabkan tidak dilaksanakan.

Saya gusar sekiranya kebanyakan pemimpin kita berperangai sedemikian. Ini hanya membebankan masyarakat pula.